Sahih Bukhari - Jilid 2 - Bab binaan masjid

Sahih Bukhari
Jilid 2          
 
Bab binaan masjid
Abu Sa`id berkata: "Atap masjid Nabi saw dulunya diperbuat dari pelepah-pelepah tamar."
 
[ Masjid Nabi hanya dari pelepah-pelapah tamar sahaja, namun yang keluar dari masjid Nabi saw itu bukan standard yang ada kat tok-tok imam hari ini yang hanya laku bila ada tahlil dan sembahyang mayat sahaja. Yang graduate keluar dari masjid Nabi adalah pemerintah-pemerintah yang memerintah negara orang Islam dan mereka menawan satu persatu kerajaan-kerajaan kufar sehingga kesemuanya jatuh tersepok di bawah telapak kaki mereka. Inilah standard yang sepatut mau ada kat imam-imam masjid hari ini kalau nak tengok Islam kembali ke zaman kegemilangannya. ]  
 
Umar memerintah supaya dibina masjid dan berkata: "Lindungilah para manusia yang berjamaah didalamnya dari hujan dan janganlah mewarnakan masjid dengan warna merah dan kuning kerana boleh melalaikan orangramai."
 
[ Sewaktu pemerintahan Saidina Umar al-Khatab sebagai Khalifah, masjid Nabi saw diperbesarkan sedikit sebab keperluan semakin mendesak. Sebelum itu semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, beliau tak tambah apa langsung. Yang kata Saidina Abu Bakar ni, dia buat sebijik macamana Nabi saw buat. Apa yang Nabi tinggalkan, itulah yang beliau maintain. Kata nak tambah, tidak sekali. Ini dia tuan-tuan, yang kata waraknya Saidina Abu Bakar sehingga beliau dipuji oleh Rasulullah saw, kata baginda, "Sekiranya ditimbang iman seluruh penduduk Madinah, nescaya berat lagi iman Abu Bakar."...Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi khalifah, Abu Bakar diuji dalam masalah penghantaran tentera Usamah bin Zaid yang tertangguh ketika Rasulullah wafat. Saidina Abu Bakar mengambil keputusan untuk terus menghantar tentera pimpinan Usamah itu walaupun tidak disetujui oleh sebilangan sahabat kerana ketika itu gejala murtad sedang berleluasa akibat kewafatan Nabi saw. Kata Abu Bakar, "Aku tidak akan menghentikan tentera yang dihantar oleh Nabi saw semasa hayatnya sekalipun isteri-isteri Nabi yang berada di Madinah ini digigit oleh anjing-anjing."...Berkat mengikut sunnah Nabi dengan diteruskan penghantaran tentera Usamah itu, menjadikan musuh-musuh yang ada di dalam negeri jadi gerun, depa kata, "Nabi wafat pun tentera masih boleh dihantar keperbatasan, apatah lagi di Madinah, jangan buat pasai."...Jadi, bila musuh tafsir begitu, maka tidak ada yang berani bangkit lawan Abu Bakar.
 
Dalam perenggan di atas, apabila disebut tentang isteri-isteri Nabi, yang salah seorangnya ialah Hafsah binti Umar al-Khatab, teringat ana dengan sebuah kisah masyhur cerita tentang Umar bunuh anak perempuannya sewaktu jahiliyah. Kalau betoilah Umar bunuh anak perempuannya yang sulung (kalau ikut riwayat tersebut), sedangkan Hafsah itulah anak sulung Umar, yang hidup sihat sehingga menjadi isteri Nabi, maka di sini kita lihat bahwa ada yang tak kena dengan riwayat tersebut. Sebenarnya Umar tak buat perkara terkutuk macam tu. Ini hanyalah perancangan jahat untuk memburuk-burukkan nama Saidina Umar ibnu Khatab. Semua ulama-ulama hadith tidak dapat menerima riwayat-riwayat seperti ini sebab datang dari sumber yang tidak kukuh.
 
Begitu juga dengan cerita bagaimana kononnya Tariq bin Ziyad(1) membakar kapal-kapal sebaik saja tentera-tentera Islam tiba di Andalus, seraya berkata, "Sekarang kapal-kapal sudah ku bakar, musuh dihadapan kamu, lautan di belakang kamu, pilih yang mana satu kamu mahu!"...Menurut Dr Asri Zainul Abidin, cerita seperti ini adalah palsu malah mencemar maruah Islam kerana tentera-tentera Islam bukan jenih penakut seperti yang cuba digambarkan oleh si pereka cerita tersebut. Lagi pun menurut sumber yang sahih, Tariq bin Ziyad bukanlah pemimpin tertinggi dalam peperangan di Andalusia, jadi mana mungkin beliau boleh mengeluarkan arahan sedemikian. Arahan itu pula dilihat seakan-akan tidak cerdik sebab mana mungkin pimpinan Islam melakukan pembaziran begitu. Nampak tak tuan-tuan, bagaimana sejarah Islam dicemari oleh tangan-tangan yang jahat. ]        
 
Anas berkata: "Banyak orang yang bermegah-megahan dalam mendirikan masjid, tetapi mereka tidak meramaikannya atau membuat kegiatan apa-apa di masjid itu, melainkan sedikit saja."
 
[ Hari ini, sudah pun berlaku apa yang Anas sebut 1427 tahun yang lalu. Dulu, orang buat masjid ialah untuk menghayati agama dan menjadikannya sebagai titik tolak kepada gerakan jihad. Tapi hari ini kita tengok, banyak masjid dibina dengan cukup indah dan besar-besar belaka, spotlight terang benderang, tapi tengok-tengok, satu kuliah pengajian pun takdak. ] 
 
Ibnu Abbas berkata: "Kita semua ini nescayalah perlu sekali memperindahkan masjid-masjid itu dalam batas-batasnya yang tertentu, sebagaimana kaum yahudi atau nasrani juga berbuat demikian itu."
 
[ Peringatan dari Ibnu Abbas ra ini baik untuk kita bermuhasabah sebab hari ini banyak masjid-masjid dibina atas pemberian wakaf. Namun yang perlu kita faham bahwa yang membabitkan pahala wakaf hanyalah berkenaan dengan benda asas sahaja seperti buat tiang, pintu, tingkap, ruang solat, kipas angin, lampu dan air. Manakala benda-benda perhiasan tidak termasuk dalam pahala wakaf, hatta nak buat kubah sehingga menghabiskan puluhan ribu ringgit pun, ana tak setuju. ] 
 
Ali bin Abdurrahman menyampaikan kepada kami katanya, Ya`kub bin Ibrahim bin Saad menyampaikan kepada kami katanya bapaku menyampaikan kepada aku daripada Soleh bin Kaisan katanya Nafi` menyampaikan kepada kami bahwa Abdullah bin Umar mengkhabarkan kepadanya mengenai keadaan masjid di zaman Rasulullah saw yang dibangunkan dengan batu bata, atapnya dari daun-daun pelepah tamar, tiang-tiang adalah dari kayu tamar. Hal itu tidak diadakan tambahan sedikitpun oleh Abu Bakar sewaktu menjadi khalifah. Umar setelah menjadi khalifah memberikan tambahan dalam tubuh masjid tadi. Ia menggantikan tiang-tiang dengan kayu. Seterusnya Utsman sewaktu diangkat sebagai khalifah, mengadakan rombakan dan memberikan tambahan dalam masjid itu dengan tambahan yang banyak sekali. Dindingnya dibangunkan dengan batu yang terukir dan adukan untuk memperkuatkan dinding. Tiang-tiangnya ia buat dari batu yang terukir juga, sedangkan atapnya dari kayu hitam seperti kayu jati atau tembesi.   
   
[ Pada zaman pemerintahan Umar al-Khatab, Islam menjadi kuat sehingga menumbangkan Rom dan Parsi. Ketika itu Islam cukup kaya sehingga ada golongan muallaf cuba mengambil kesempatan meminta peruntukan dari Umar, tetapi Umar terang-terang kata kat depa, "Dulu, betoi zaman Nabi kami lemah, tapi sekarang kami dah kuat. Jadi sekiranya kamu nak masuk Islam, kamu boleh masuk dengan kerelaan kamu. Tapi kalau kamu tak mau masuk Islam, jangan sekali-kali menentang kami kerana nescaya kamu diperangi."...Maknanya zaman Umar, Islam betoi-betoi dah steady. Namun begitu, Umar juga tidak membuat apa-apa untuk menampakkan masjid hebat. Beliau sekadar memperbaiki keperluan asas sahaja.
 
Kemudian pada zaman Utsman, Islam bertambah kaya. Sehingga dagangan hamba abdi, pakai timbang saja. Walaupun begitu, kata para ulama, Utsman melakukan penambahan ke atas masjid Nabi dengan tidak melampaui batas. Perhiasan ukiran mula diperkenalkan, tetapi semua itu adalah dari wang peribadi. Namun kata fukaha`, mengukir secara berlebih-lebihan dalam masjid tidak dibenarkan. Dalam kitab al-Fiqhul Manhaji `ala Mazhab Imam Syafie(2) menyatakan bahwa para fukaha telah berkata, "Maka tidak harus wakaf untuk menghiaskan masjid dengan ukiran-ukiran dan juga tidak harus wakaf untuk membina perhiasan kubur kerana orang-orang yang mati pergi menuju kepada kesusahan (berjumpa Allah), sebab itu tidak layak membina sebarang binaan di atas kubur. Dan tidak patut menghabiskan harta benda kepada benda yang tidak ada manfaatnya."...Ini dia tuan-tuan, para ulama tidak suka dengan adanya benda-benda perhiasan dalam masjid seperti lampu-lampu yang berungkai-rungkai bergemerlapan, ukiran-ukiran khat yang berlebihan, tiang-tiang diukir; namun yang kita tengok hari ini, masing-masing pakat berlumba-lumba menghiaskan masjid masing-masing dengan benda-benda macam ni.
 
Kata para fukaha lagi dalam kitab Fekah Mazhab Imam Syafie, "Daripada apa yang kita tengok orang-orang Islam perbuatkan hari ini, timbul persoalan, apakah orang-orang Islam tidak tahu tentang larangan menghiaskan masjid dan kuburan? Atau mungkin ulama-ulama di tempat masing-masing setuju dengan perbuatan menghiaskan masjid dan kubur itu? Atau mungkin ulama-ulama mereka mendiamkan diri? Hari ini kita tengak betapa banyaknya harta benda yang diambil daripada orang kaya baik dari orang miskin, dari orang yang suka wakaf dan dari orang yang suka menderma, untuk bertujuan menghiaskan masjid-masjid. Berlumba-lumba mereka membina dinding-dinding, kubah, membesarkan mihrab dan mimbar dengan harga yang terlalu mahal. Perbuatan mereka itu mungkin atas kejahilan mereka sendiri, atau mungkin saja-saja buat jahil, namun pembaziran yang dilakukan itu dimarahi oleh syara`. Seolah-olah mereka tidak membaca firman Allah (yang bermaksud): Beruntunglah orang-orang beriman yang khusyuk dalam solat mereka. Persoalannya, mana mungkin datang khusyuk sekiranya depan, belakang, kiri, kanan, kesemuanya memperlihatkan ukiran-ukiran yang diperindah-indahkan yang pasti akan mengganggu hati sanubari manusia."...Ini dia tuan-tuan, kitab apa yang sebut macam tu?...Kitab wahabi ka?...Bukan. Yang pastinya ia adalah kitab Imam as-Syafie rahimallahu ta`ala.
 
Jadi pointnya di sini ialah sekiranya kita antara yang diberi kepercayaan untuk pegang amanah masjid, maka kita mesti warak dalam mengendali harta benda yang diberi oleh orangramai sebagai wakaf. Kalau setakat beli cat untuk memperelokkan masjid supaya tak nampak kotor, yang itu dibenarkan. Tapi kalau seronok-seronok pi beli lampu yang beruntai-untai dengan harganya yang mencecah ratusan ribu ringgit dengan menggunakan duit wakaf, maka kata ulama, kita wajib ganti balik sebab itu tidak termasuk dalam wakaf masjid. Dalam bab ini, semua fukaha dalam semua mazhab bersependapat termasuklah mazhab kita as-Syafie.
 
Dalam masalah binaan atas kubur pula, ia juga dilarang oleh syara` kerana Nabi saw melarang keras dalam satu hadith sahih baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Kita jangan ikut seperti yang raja-raja kita buat. Walau cantik mana sekalipun kubur raja-raja, jangan sekali-kali kita ikut sebab Nabi melarangnya. Dalam masalah ini, kita masih tertanya-tanya, mana perginya peranan ulama-ulama DiRaja dalam memperbetulkan perkara yang dilarang keras oleh syara`?...Cuba tengok perkuburan Baqi`. Ada sapa boleh kenal kubur kat situ kubur sapa?...Mana boleh sebab tidak ada batu nisan yang tulis nama sekian-sekian di pacak kat perkuburan Baqi`. Namun adakah mereka juga tidak dikenali di sisi Allah kerana batu nisan depa tidak ditulis nama?...Siapa diantara kita tau kubur Imam Syafie di mana?...Macam-macam yang kita dengaq, sat ada kata di Syria, sat kata di Mesir, maknanya semua orang pakat andai saja tanpa tahu secara sahih betul-betul kubur Imam Syafie ditempatkan, tapi adakah dengan kita tidak menziarahi kubur Imam Syafie, maka dia tidak dikenali di sisi Allah?...Tidak tuan-tuan, beliau tetap diletakkan di tempat yang tinggi di sisi Allah walaupun kita tak pi melawat kubur dia. Jadi, kalaulah kita mati di dalam laut sekalipun, namun kalau kita seorang yang soleh, maka kita tetap seorang yang soleh di sisi Allah. ]                                               
 
(1) Sebelum ini, ana pernah tulis kisah Tariq bin Ziyad itu di dalam perbahasan "Mastika Hadith - Jilid 1 - Bab 2 - Fasal 1 - Hadith 12". Jadi, kini setelah ana mengetahui status kisah tersebut bathil, maka ana buat correction dengan membuang kisah tersebut dari perbahasan "Mastika Hadith - Jilid 1 - Bab 2 - Fasal 1 - Hadith 12".
 
Ana turut juga membuat correction dalam perbahasan "Mastika Hadith - Jilid 1 - Bab 1 - Fasal 2 - Hadith 5", yang sebelum ini telah dimuatkan dengan kisah Nabi Sulaiman alaihissalam dan Abdurrahman bin Auf radiyallahuanhu masuk syurga lambat kerana kononnya dihisab begitu lama di Padang Mahsyar. Untuk makluman tuan-tuan, kedua-dua riwayat tersebut juga sebenar tidak sahih dan telah ana delete dari perbahasan tersebut.
 
(2) Kitab al-Fiqhul Manhaji `ala Mazhab Imam Syafie ditulis oleh tiga ulama dari Syria iaitu Sheikh Mustafa Bugho, Sheikh Mustafa Khin dan Ali Syarbaji.
 
Allahu`alam.
25 Feb `06. 

pic11647.jpg