Sahih Bukhari - Jilid 2 - Bab batas orang sakit mendatangi solat jamaah.

Sahih Bukhari

Jilid 2

Bab batas orang sakit untuk mendatangi solat jamaah.

Dari A`masy dari Ibrahim: “Al-Aswad mengatakan: “Kami berada di tempat `Aisyah radiallahuanha, lalu kami menyebut perihal mengekalkan secara terus menerus berjamaah dalam melakukan solat serta mengagungkan kewajiban solat itu.”

[ Hadith ini disebut ketika Nabi saw telah wafat. Jadi bila Nabi wafat, maka ramai para sahabat termasuk tabiin pergi mengaji mengambil hadith-hadith dari Aisyah radiyallahuanha. Ini menunjukkan mengaji dengan guru wanita dibolehkan.  ]

Kemudian `Aisyah berkata: “Ketika Rasulullah saw sakit iaitu pada waktu sakit baginda yang menyebabkannya sampai meninggal dunia. Pada suatu saat solat sudah masuk waktunya, lalu diserukanlah untuk solat itu azannya. Seterusnya Rasulullah saw bersabda: “Perintahkanlah kepada Abu Bakar, supaya ia bersembahyang menjadi imamnya orangramai.”

[ Aisyah menceritakan satu peristiwa ketika Nabi hampir nak wafat. Ketika itu Nabi dalam keadaan keperitan sakit yang amat teruk sehingga baginda mencelupkan tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air untuk menyejukkan badan baginda. Sakitnya baginda seperti yang disebutnya adalah sakit seperti dua orang lelaki dikalangan umatnya. Allah uji kesabaran kekasihNya sampai tara tu. Keperitan sakitnya itu menyebabkan baginda pilih Saidina Abu Bakar menggantikannya menjadi imam solat. Nampak tak tuan-tuan macamana Nabi pilih pengganti dia?...Baginda pilih yang terbaik sebab yang nak jadi imam di dalam solat adalah imam juga di luar solat. Sebab itu, kita hari ini kalau nak pilih imam, pilihlah yang ada ciri-ciri kepimpinan yang peka dengan kemaslahatan umat Islam, sekurang-kurangnya kemaslahatan di dalam qariahnya. ]       

Maka ada sahabat kata kepada baginda saw: “Sesungguhnya Abu Bakar itu seorang yang sangat sekali kesedihan hatinya. Jikalau ia berdiri menggantikan kamu di tempat kamu sebagai imam dalam solat, maka sudah tentu dia tidak mampu untuk menjadi imamnya orangramai.”

[ Ada sahabat tanya sesama mereka, “Apa kelebihan yang ada pada Abu Bakar?”...Salah seorang kata, “Kelebihan Abu Bakar bukannya kerana beliau banyak melakukan solat mahupun puasa, tetapi kelebihannya adalah kerana sifatnya yang berlapang dada dengan kaum muslimin, dan mengambil sikap menunaikan tanggungjawab menasihati kaum muslimin. Perasaan hasad dengki dan buruk sangka kat orang sama sekali tidak ada pada Abu Bakar, tetapi dalam masa yang sama, beliau meneruskan seruan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah akan kemungkaran.”...Ini yang takdak kepada kebanyakan kita hari ini tuan-tuan. Kita bawa hal kita masing-masing. Takdak masa nak suruh orang buat baik, jauh sekalilah nak menasihati orang supaya tinggalkan benda mungkar.

Sedangkan kalau kita tengok kepada seorang lagi sahabat nama Jarir bin Abdillah al-Bajali, dia nasihat orang bukan kerana kepentingan apa-apa, tetapi dia menasihati orang kerana janjinya kepada Rasulullah saw. Berlaku suatu hari, dia suruh khadamnya pi beli seekor kuda. Apabila khadam dia bawa balik sekor, dia tanya, “Berapa harga ni?”...Khadam dia kata, “300.”...Jarir kata, “Ish! mana mungkin 300, enta pi panggil orang yang jual kuda ni.”...Bila orang tu mai, Jarir tanya, “Betoi ka enta jual kuda ni dengan harga 300?”...Tuan kuda tu kata, “Betoi.”...Jarir kata, “Kalau 300, tak boleh ni. Patut-patut mau 400.”...Tuan kuda tu kata, “Ana nak jual 300, kalau dah enta nak bayar 400, takpalah ana terima saja.”...Jarir masih belum puashati lagi, dia belek pi belek mai, kata dia, “Ish! kuda ni kalau 400 pun tak boleh, sepatutnya 500.”...Tuan kuda tu tak kata apa. Bukan setakat tu saja, last sekali Jarir penaik harga sampai 800, baru dia puashati.

Lepas bayar apa semua, ada sahabat tegur Jarir, “Buat apa enta dok penaik harga tu? Dah tuan dia nak jual 300, ikut dia la.”...Kata Jarir, “Bukannya apa, sebenarnya aku telah berjanji kepada Rasulullah saw bahwasanya aku akan menasihati semua kaum muslimin. Aku berpegang dengan janji ku itu. Jadi dalam masalah kuda tadi, tuan kuda tu nak jual dengan harga yang tidak patut sebab dia tak tau tentang kuda, jadi aku yang tahu tentang hal itu menasihatinya dengan harga yang patut sekalipun yang nak beli tu aku sendiri.”...Nampak tak tuan-tuan bagaimana setianya janji Jarir kepada Rasulullah saw untuk menasihati kaum muslimin. Dengan sebab itulah, mereka (para sahabat radiyallahuanhu) menjadi kepimpinan bagi umat Islam. Bukan macam pemimpin kita hari ini, mentang-mentang dia duduk kat atas, dia gagau habih semua kat dia. ]              

Baginda saw mengulangi lagi perintahnya supaya Abu Bakar mengimami orangramai. Tetapi para sahabat, diantaranya `Aisyah sendiri mengulangi pula apa yang dikatakan bahwa Abu Bakar amat bersedih hati sehingga tidak mungkin dapat menjadi imam. Untuk ketiga kalinya baginda saw mengulangi perintahnya, selanjutnya bersabda: “Sebenarnya kamu semua adalah sama halnya dengan wanita yang berhadapan dengan Nabi Yusuf (isteri wazir Mesir yang dicela kerana terpikat kepada anak pungutnya iaitu Yusuf), namun setelah melihat sendiri keadaan dan ketampanan Yusuf, lalu mereka (wanita-wanita yang mencela) pun terpesona sampai terpotong jari-jari tangan mereka sendiri, jadi pada umumnya kaum wanita mengemukakan sesuatu yang tidak sesuai dengan isi hatinya sendiri.”

[ Yang Nabi saw maksudkan dengan wanita dalam kisah Nabi Yusuf itu ialah baginda nak tuju kepada Aisyah. Dan wanita yang dimaksudkan itu ialah isteri wazir Mesir yang disebut dalam riwayat Israiliyat sebagai Zulaikha. Seperti yang disebut di dalam al-Quran, yang kata Zulaikha ini dia terpikat dengan ketampanan Nabi Yusuf alaihissalam sehingga cuba mempengaruhi Nabi Yusuf untuk melakukan perzinaan. Lalu dia dikutuk oleh wanita-wanita vip di zaman itu. Bila jadi macam tu, yang kata Zulaikha ni, dia set satu jamuan jemput semua wanita-wanita vip tu mai makan kat rumah dia. Bila depa mai dan tengah sibuk dok makan itulah isteri wazir Mesir suruh Nabi Yusuf lalu kot celah-celah depa. Bila tengok Nabi Yusuf lalu, terpegun semua dengan kekacakan Nabi Yusuf sampai tak perasan masing-masing terpotong jari dengan pisau yang sengaja disediakan untuk potong makanan. Depa kata, “Ini bukan manusia ni. Ini malaikat!”

Jadi Nabi saw buat perumpamaan Zulaikha itu nak tuju kepada Aisyah sebab tujuan Zulaikha sama saja dengan tujuan Aisyah dalam kes nak lantik bapanya Abu Bakar jadi imam. Jamuan yang Zulaikha buat tu bukan tujuan sebenar nak jamu makan, tapi tujuan sebenar ialah nak tunjuk Nabi Yusuf. Sama la juga dengan alasan yang diberi oleh Aisyah. Tujuan sebenar Aisyah tak mau bapa dia jadi imam bukanlah sebab Abu Bakar suka menangis, tapi tujuan sebenar Aisyah ialah dia bimbang kemudian hari nanti ada orang yang tak setuju Abu Bakar jadi imam pi cakap kot belakang sebab sebelum ni tak pernah sapa-sapa ganti Nabi jadi imam. Tu saja. ]                     

Perintahlah olehmu semua supaya Abu Bakar bersembahyang menjadi imamnya orangramai. Abu Bakar kemudian keluar, lalu bersembahyang. Tiba-tiba Nabi saw merasa agak ringan pada badannya (merasa kuat keluar ke masjid). Baginda saw dipapah oleh dua lelaki yakni salah seorangnya ialah Abbas. Seolah-olah aku masih ingat sewaktu melihat kedua kaki baginda saw menyeret, yakni tidak melangkah seperti orang yang sembuh dan hal ini kerana merasakan sakitnya.

[ Sebenarnya Aisyah kenal dengan lelaki kedua yang memapah Nabi saw, tapi Aisyah tak sebut. Yang disebutnya hanyalah al-Abbas (pak penakan Nabi). Lelaki yang seorang lagi ialah Saidina Ali karramallahuwajhah (#). Aisyah tak sebut sebab dia pernah kecik hati sikit dengan Saidina Ali. Modal inilah diambil oleh Shiah untuk pukul Aisyah. Dalam tafsir al-Mizan oleh at-Tabataba`i yang menjadi rujukan utama ulama-ulama Shiah, yang dipakai secara meluas di institusi-institusi pengajian di Qum, Iran termasuk di Najaf, Iraq; disebut dalam kitab itu bahwa Aisyah adalah wanita yang terlibat dengan melakukan zina. Ini dia tuan-tuan yang kata Shiah tu, depa hina Aisyah ummul mukminin sedemikian rupa.

Tuan-tuan tengok tak macamana Shiah jadi-jadian di M`sia tumpang sekaki join sahabat-sahabat kita time buat demonstrasi bantahan di depan kedutaan Denmark hari tu?...Penampilan dengan pakaian serba hitam sambil angkat gambar-gambar Khomeini dan Sistani bersama sepanduk gabungan berbunyi “Iran dan Hamas”, seolah-olah nak bagitau Shiah ada kaitan dengan Hamas, atau Hamas dibantu oleh Iran. Kita jangan sekali-kali terpedaya dengan Shiah tuan-tuan sebab Hamas tidak ada kaitan dengan bantuan Iran. Iran tu Shiah yang sekarang ini sedang gila darah membunuh orang-orang ahli Sunnah di Iraq. Refer laman jihad unspun yang moderatornya seorang wanita bangsa Kanada bernama Khadijah al-Qahar, atau www.al-basrah.net, tuan-tuan akan dapat gambaran sebenar apa yang berlaku di Iraq hari ini. Jadi apa yang nak bagitau di sini ialah kita ahli Sunnah dengan depa Shiah sama sekali tak sama. Kalau setakat nak sembang tu takpa. Tapi bila mai kepada pegangan agama, kita (ahli Sunnah) dengan depa tak sama.

Kembali kita kepada cerita Saidina Ali dan Aisyah. Salah satu sebab Aisyah kecik hati dengan Ali ialah ketika berlakunya peristiwa al-Ifk. Inilah peristiwa yang digembar-gemburkan oleh orang-orang munafik dengan menyatakan bahwa Aisyah telah berzina dengan Safwan ibnu Mu`attal al-Sulami. Peristiwa ini berlaku selepas Nabi saw kembali dari satu peperangan yang Aisyah ikut sama. Ketika konvoi tentera-tentera Islam rest kat satu tempat, Aisyah pi buang air. Tetiba time nak bertolak, Aisyah dapati ada benda kesayangan dia tertinggal di tempat buang air tadi. Jadi dia turun dari khemah yang ada atas belakang unta tu dan patah balik pi cari benda kesayangan dia tadi tanpa disedari oleh sahabat yang ditugaskan bawa unta tunggangan Aisyah. Konvoi pun bergerak tanpa Aisyah. Bila disedari kena tinggal, Aisyah tak tau nak buat apa, last sekali dia lena dalam keadaan kelumbung sorang-sorang di tengah padang pasir. Safwan yang bergerak sebagai peninjau di saf belakang, terkejut jumpa Aisyah terlena sorang-sorang tengah padang pasir. Safwan turun dari untanya, dan dia suruh Aisyah naik. Lepas tu “nyong nyong nyong” dia tarik tali unta tanpa keluar sepatah perkataan pun. Dia tarik-tarik-tarik sampai dia letih, baru dia tambat unta tu kat tempat teduh. Lepas tambat, dia belah pi rest kat tempat lain. Tu dia tuan-tuan yang kata baiknya sahabat radiyallahuanhu, depa bukan jenih nak menggatai dengan isteri Nabi.

Nak jadi ceritanya, last sekali Safwan dan Aisyah sampai juga di Madinah selepas Nabi dan tentera-tenteranya sampai terlebih awal. Apa lagi; bila nampak Safwan dengan Aisyah berdua saja balik, puak-puak munafik dapat modai baik punya la. Habih satu Madinah, depa cerita Aisyah berzina dengan Safwan. Sebaik pulang tu, Aisyah demam, tak keluar-keluar sampai dia tak tau cerita dia difitnah walaupun dah heboh di setiap pelusuk kota Madinah. Suatu hari ketika Aisyah keluar nak buang air, baru sorang kawan dia cerita tentang dia difitnah. Baru Aisyah sedar, patut la Nabi buat tak peduli saja masa dia demam hari tu. Ini dia tuan-tuan; mau kalau kata Nabi tu sendiri yang tulis wahyu seperti yang dituduh oleh orientalis barat, maka sudah pasti dalam peristiwa al-ifk itu, Nabi akan on the spot kata Aisyah tak buat. Tapi tak tuan-tuan, Nabi juga manusia seperti kita, baginda pun tak tau cerita sebenarnya, baginda bergantung kepada wahyu Allah untuk menjawab permasalahan tersebut. Nabi saw bagitau kat Aisyah, “Sekiranya kamu tidak lakukan, pasti Allah akan memelihara kamu. Tapi sekiranya kamu lakukan, bertaubatlah kamu kepada Allah ta`ala.”...Bertambah-tambah demam Aisyah bila dengar Nabi kata macam tu. Dan Aisyah keciwa bila Nabi tanya ramai orang dalam masalah tu. Antara orang yang Nabi tanya ialah Ali kw, dan Ali pula pi bagi jawapan yang mengeciwakan Aisyah. Sebenarnya Ali tau Aisyah tak buat dan dia tak kata Aisyah buat, cumanya mungkin dia pun dengar banyak cerita dari mulut ke mulut, jadi bila Nabi tanya pendapat dia, Ali kata, “Kalau Rasulullah rasa nak kawin lain, anak dara ramai lagi.”...Ini yang buatkan Aisyah berasa hati kat Ali. Orang lain bila Nabi tanya, semua pakat jawab elok ja, tapi bila mai kat Ali, dia pi bagi idea lain pula walaupun bukan Ali niat nak bagi sakit hati Aisyah. Alaaa..macam kita juga la tuan-tuan, kekadang tu bila kawan-kawan tanya pendapat kita, on the spot kita bagi pendapat, tapi bila balik rumah, ingat-ingat balik, “Ish! silap aku bagi pendapat tadi.”...Ali pun macam tu la juga. Bila dia dah terlepas cakap macam tu dan dapat tau kat Aisyah pula, sebagai seorang pompuan, tersinggung tu mesti ada. Jadi, sampailah bila Nabi saw dah wafat, bila ada riwayat yang membabitkan Ali seperti hadith di atas, yang mana memang Aisyah tau yang papah Nabi ketika sakit tu ialah bapa saudara Nabi al-Abbas dan Ali, namun kata Aisyah, “Baginda jalan dipapah oleh dua orang iaitulah al-Abbas dan seorang lelaki yang lain.”...Aisyah tak sebut nama Ali di situ. Tapi bukanlah Aisyah berdendam, dia hanya tersinggung sikit saja. Namun puak Shiah jadikan ini sebagai suatu kesempatan untuk depa hina Aisyah radiyallahuanha.

Tuan-tuan, tolong ambil perhatian, hari ini pertembungan antara kita (ahli Sunnah) dengan Shiah semakin serious. Di Iraq amat jelas perkembangan ini. Dalam beberapa tahun sahaja Jaafari yang bermazhab Shiah menguasai Iraq dengan diberi mandat sebagai PM, dia telah membunuh orang-orang ahli Sunnah dalam jumlah siksaan yang begitu dahsyat. Hari ini telah dilaporkan oleh Persatuan Ulama Ahli Sunnah Iraq bahwa kementerian dalam kerajaan yang dikuasai Shiah telah menubuh satu squad pembunuhan puak. Target mereka ialah imam-imam ahli Sunnah di masjid-masjid. Maka sebab itu, mutakhir ini kita sering diberitakan tentang pembunuhan berlaku ke atas tokoh-tokoh ulama ahli Sunnah di Iraq. Dan inilah yang dilakukan semasa Iran dikuasai Shiah pada peringkat awalnya. Jadi bukan kita anti Iran tak tentu pasal, tapi inilah politik yang diadunkan oleh acuan Shiah. Dengan sebab itulah kita nak bagitau bahwa kalaulah Iran yang dituduh ada nuklear itu adalah Arab Saudi, telah lama Amerika serang dia. Tapi oleh kerana Iran itu adalah Iran (yang anti kepada ahli Sunnah di Telok), maka Amerika tak akan serang dia. Malah Amerika akan pastikan kewujudan Iran. Inilah cara “divide and rule” Amerika. Inilah bijaknya Amerika, sehingga dia tau kat mana kelemahan umat Islam dan apa masalah umat Islam. Jadi bila semua benda ini menguntungkannya, sudah pasti Amerika akan mengekalkan semua yang berlaku seperti hari ini. ]                                                           

Melihat Nabi saw datang, lalu Abu Bakar hendak undur ke belakang maksudnya supaya baginda saw sendiri saja yang menjadi imam tetapi baginda saw memberikan isyarat kepadanya agar Abu Bakar tetap saja di tempatnya. Seterusnya didatangkan Nabi saw di dekat Abu Bakar, sehingga baginda saw duduk di samping Abu Bakar.”

Kepada A`masy yakni salah seorang yang meriwayatkan hadith ini ditanyakan: “Jadi, Nabi saw bersembahyang dan Abu Bakar juga bersembahyang meneruskan solatnya itu, sedangkan orangramai sama bersembahyang mengikut gerakan Abu Bakar?” A`masy kemudian menjawab dengan menganggukkan kepala yang menyatakan: “Ya, begitulah.”Abu Mu`awiyah memberikan tambahan: Nabi saw duduk di sebelah kirinya Abu Bakar. Jadi, Abu Bakar di waktu itu bersembahyang dengan berdiri, sedang Nabi saw dengan duduk.                 

[ Bila riwayat sebut Nabi duduk sebelah kiri Abu Bakar, dan Abu Bakar di sebelah kanan Nabi, ini bermakna Nabi saw yang jadi imam walaupun dalam keadaan duduk. Namun begitu, solat makmum di belakang masih berpandukan pergerakan Abu Bakar sebab mereka tak nampak Nabi yang menjadi imam dalam keadaan duduk. Dan dari hadith ini juga, memberi isyarat bahwa kalau makmum takbir terlebih dahulu dari imam, solat makmum tadi tetap sah. Ini disebabkan Abu Bakar takbir dulu sebelum Nabi datang. Tapi kita jangan pula saja-saja pi buat macam tu. Namun dari segi batal atau tidak, ia tidak batal. Dan satu lagi pengajaran yang boleh kita ambil dari hadith ini ialah kalau imam rasa sihat, dia boleh mai ambik balik tempat dia, dan penggantinya itu boleh undur ke belakang.      

Lain-lain pengajaran yang boleh dikutip dari hadith ini:

1)       Dibenarkan seseorang itu dilantik jadi imam walaupun dia kuat menangis dalam solat sebab Nabi saw tak larang malah menyuruh Abu Bakar jadi imam walaupun alasan Aisyah yang kata bapanya kuat menangis dalam solat disetujui oleh sebilangan sahabat.        

2)      Dalam solat, beri isyarat dengan tangan lebih patut daripada isyarat dengan suara. Seperti yang kita tengok dalam hadith di atas, apabila Abu Bakar nak undur, Nabi bagi isyarat “tak payah” dengan tangannya. Jadi, kalaulah kita nak masbuk dalam keadaan tok imam agak ke belakang sedangkan di depan imam ada ruang, apa yang perlu kita buat ialah kita hanya tolak tok imam pelan-pelan ke depan. Tak perlu kita kata kat tok imam, “Tolong ke depan sikit tok imam.”, ini hanya memutuskan bacaan dalam solat.  

3)      Dengan perlantikan Abu Bakar sebagai pengganti imam, ini menunjukkan bahwa Nabi nak memahamkan orangramai bahwa Abu Bakar adalah orang yang paling layak untuk mengganti baginda selepas ketiadaannya. Ini yang Shiah tak boleh terima. Bertambah marahnya Shiah apabila para sahabat yang lain pergi mesyuarat perlantikan khalifah sedangkan Ali ketika itu sedang urus jenazah Nabi saw. Tuan-tuan, hari ini, Abu Bakar dah takdak, Umar dah takdak, Ali pun dah takdak, tapi kalau tuan-tuan join geng Shiah, tuan-tuan akan dapati sampai ke hari ini, depa masih dok bincang lagi nak lantik sapa. Pening kita tuan-tuan bila bincang benda yang dah berlalu. Tapi kalau setakat bincang, takpa. Jangan sekali-kali join depa untuk hina Abu Bakar dan Umar kerana dibimbangi termasuk di kalangan rafidhah, iaitu golongan Shiah yang sesat.

4)      Seorang makmum boleh diletakkan di posisi tepi imam sekiranya itulah cara untuk memberi panduan kepada makmum-makmum lain di belakang yang tidak dapat melihat imam.

5)      Dari hadith ini juga, dibolehkan tok imam sembahyang duduk kalau dia tak larat, sedangkan makmum-makmum berdiri.

6)      Dan dari hadith ini juga, dibolehkan menggunakan pembesar suara ketika solat kerana dalam hadith tadi, bukan sahaja makmum-makmum berpandukan kepada gerakan Abu Bakar, malah mereka berpandukan juga dari suara Abu Bakar. ]          

----------------------------------------------------------------

(#) Bukannya apa tuan-tuan; apabila sebut Saidina Ali, teringat ana penerangan oleh Dr Asri Zainul Abidin tentang puak Khawarij yang menentang Saidina Ali. Kepada seluruh kaum muslimin yang mengaku sebagai para pejuang agama Allah tolong ambil perhatian tentang isu ini.

Menurut Dr Asri, Khawarij wujud selepas berlakunya krisis antara Saidina Ali dan Muawiyah. Berlakunya peperangan antara Ali dan Muawiyah bin Abu Sufian radiyallahuanhuma adalah kerana berlaku salah faham terhadap isu Saidina Utsman bin Affan. Bagaimana boleh berlakunya pertembungan tersebut sedangkan mereka adalah sahabat Nabi saw yang dijamin syurga?...Puncanya ialah berlaku kekeliruan dalam bidang perhubungan. Dulu mana ada mobile phone tuan-tuan, untuk menghubungkan Ali di Kufah dan Muawiyah di Syam. Ketika Ali mengambil jawatan khalifah selepas pembunuhan Utsman, Muawiyah membantah dengan menyatakan bahwa, “Aku tak mau serah urusan khalifah ini kepada Ali melainkan dia kena tangkap dan jatuhkan hukuman kepada pembunuh Utsman dulu. Kemudian baru aku taat kepada Ali”...Bila Ali terima mesej dari Muawiyah, dia kata, “Macamana aku nak jatuhkan hukuman sedangkan pakatan yang bunuh Utsman ramai.”...Namun ketika berlakunya perselisihan pendapat, tentera-tentera dari kedua-dua belah pihak telah mula bergerak. Dan akhirnya hasil dari salah faham tersebut, maka berlakulah pertempuran yang dinamakan sebagai Peperangan Siffin.   

Walaupun berlaku pergolakan, namun stand Muawiyah ini yang antum semua kena ambil perhatian. Iaitu ketika kalut perang nak meletus antara Ali dan Muawiyah, tiba-tiba pihak kufar Rom cuba ambil kesempatan dengan menyusun tentera-tenteranya menghampiri ke sempadan umat Islam. Nampak tak tuan-tuan, sejak dulu lagi, memang kufar akan mengambil kesempatan dari pergolakan yang berlaku dalam umat Islam. Apabila Muawiyah dapat tau rancangan Rom, dia utus surat kepada Rom dengan menyatakan, “Janganlah kamu sangka dengan perbalahan aku dan saudaraku ini memberi peluang untuk kamu mengambil kesempatan. Jika aku tahu kamu masih terus menggerakkan tentera-tenteramu, sesungguhnya aku akan berdamai dengan Ali di atas apa saja syarat yang dikenakan pada ku. Selepas itu, aku akan memerangi kamu sehingga kamu tidak dapat lagi hidup di dalam negeri kamu!”...Ini dia yang kata Muawiyah tu tuan-tuan. Pemikiran dia jelas tentang siapa musuh sebenar sehingga menyebabkan Rom tak berani rapat.

Apabila Ali lihat Muawiyah tetap dengan keputusan tidak mahu taat, maka di atas dasarnya sebagai Khalifah, Ali melancarkan serangan. Jadi, bukan Muawiyah yang memulakan peperangan. Ini tuan-tuan kena faham. Muawiyah firm dengan stand dia mahukan pembunuh Utsman sebab Muawiyah adalah gabenor semasa pemerintah Utsman. Dan dalam masalah pertembungan dengan Ali, bukan sahaja Muawiyah sorang yang keliru, malah kemudiannya Ummul Mukminin Aisyah bersama sahabat-sahabat Nabi yakni Zubair bin Awwam dan Talhah juga keluar untuk membantah tentera-tentera yang ada di dalam pentadbiran Ali.

Maka berlakulah peperangan yang tidak dapat dielakkan. Dalam riwayat Bukhari, berkata Muawiyah, “Jika peperangan ini terus terusan berlaku, siapakah yang nak jaga anak-anak yatim kepada ayah-ayah mereka yang ramai terbunuh ini?”...Lalu Muawiyah bersetuju untuk berdamai dengan Ali, maka berlakulah peristiwa Tahkim (perdamaian). Apabila tentera-tentera dari kedua-dua belah pihak berundur, Ali menghantar wakilnya Abu Musa al-Asyaari dan Muawiyah menghantar Amru bin `As sebagai wakilnya. Dalam perbincangan itu menurut riwayat Shiah, kononnya Amru bin `As melakukan penipuan ke atas Abu Musa al-Asyaari. Itu riwayat bohong tuan-tuan. Dalam riwayat Shiah itu kononnya mereka setuju untuk pecat pemimpin masing-masing, dengan Abu Musa al-Asyaari yang melakukannya dahulu. Apabila selesai Abu Musa memecat Ali, tiba-tiba Amru bin `As tidak mahu memecat Muawiyah. Ini cerita bohong dari unsur Shiah. Kisah yang benar adalah dari riwayat al-Khalifah bin Khayad, yang menyatakan bahwa sebenarnya tidak dapat persetujuan yang jelas dalam perbincangan tersebut. Lalu masing-masing menyerahkan urusan itu kepada umat Islam ketika itu.

Disinilah mula munculnya puak yang dikatakan sebagai Khawarij. Mereka pada asalnya adalah dari tentera-tentera Ali. Mereka sama sekali tidak dapat menerima perdamaian antara Ali dengan Muawiyah, lalu mereka keluar dari bai`ah kepada Ali. Apabila mereka keluar, mereka mencetuskan satu pemikiran baru. Pemikiran mereka ialah apabila Ali berunding dengan Muawiyah yang dianggap sebagai bughah, bererti Ali sudah tidak mengikut hukum Allah, maka Ali menjadi kafir. Di mana sebelum itu, mereka telah mengkafirkan Muawiyah, Amru bin `As dan juga Utsman bin Affan. Khawarij mengangkat suatu slogan yang terkenal iaitulah “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah. Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, mereka adalah orang-orang yang kafir.”...Ini dia slogan khawarij. Maka bagi khawarij; apabila Ali, Muawiyah dan Utsman tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka semua adalah orang-orang yang kafir.

Kemudian khawarij kembangkan lagi idea itu. Kata khawarij bahwa orang yang buat dosa, bererti mereka mencabar Allah. Apabila mencabar Allah, bererti mereka menghina Allah. Apabila mereka menghina Allah, mereka menjadi kafir. Ini bermakna khawarij mengkafir semua orang yang berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya.

Apabila dilihat keadaan agak tegang, Ali panggil puak khawarij untuk berdialog. Kata Ali, “Sekiranya kamu hendak teruskan juga pendirian kamu mengkafirkan semua orang, aku minta kepada kamu, janganlah kamu mengkafirkan semua umat Muhammad kerana dosa dan kesalahan ku. Tidakkah kamu lihat Nabi potong tangan pencuri, tapi Nabi bagi harta pusaka kat dia?...Tidakkah kamu lihat Nabi rejam orang yang berzina, kemudian Nabi sembahyangkan jenazahnya?...Kalau orang buat dosa jadi kafir, mana mungkin dapat semua itu?”...Bukan semua orang berzina tu bertujuan untuk mencabar Allah. Ada yang tak boleh nak control nafsunya, jadi dia berdosa besar, tapi bukan dia nak challenge Allah. Maknanya dia belum kafir. Hujjah Ali itu tidak boleh dihujjah balas oleh khawarij sebab Ali bagi bukti dari perbuatan Nabi saw. Akhirnya, mereka tetap mengkafirkan Ali walaupun mati hujjah. Ini menyebabkan Ali memerangi puak Khawarij. Kata Ibnu Taimiyah dalam mengulas peristiwa khawarij, “Sesungguhnya Ali begitu gembira dapat memerangi khawarij, tapi dia tidak gembira ketika berperang dengan Muawiyah mahupun Aisyah.”

Sewaktu hayat Nabi saw, baginda pernah menyebut, “Akan muncul dari kalangan kamu satu puak yang mana mereka tercabut dari ugama sepertimana anak panah tercabut dari busarnya. Kamu akan berasa hina kalau nak dibandingkan ibadat kamu dengan ibadat mereka. Namun bacaan Quran mereka hanya tidak lebih dari halkum mereka sahaja. Jika kamu terjumpa puak yang baca Quran untuk mengkafirkan orang seperti ini, maka bunuhlah mereka.”...Tu dia tuan-tuan, gambaran khawarij yang disebut oleh Nabi saw. Maknanya, yang kata khawarij ni, depa memang kuat ibadat, namun Quran yang mereka baca hanyalah bertujuan berhujjah untuk kepentingan politik mereka sehingga mereka sanggup mengkafirkan Saidina Ali dan semua yang tidak bersefahaman dengan fahaman mereka. Kata Ibnu Abbas mengenai khawarij, “Mata mereka berlekuk kerana ibadat dan tangis pada malam hari, namun pada siangnya mereka menghunuskan pedang mengkafirkan orang Islam yang tidak sehaluan dengan kumpulan mereka.”...Inilah fikrah kharijiyah, yang mengkafirkan siapa saja yang tidak sepuak dengan mereka. Mereka menggangap siapa yang menolak mereka, maka menolak Islam. Siapa yang menolak Islam, orang tu kafir. Mereka juga menganggap siapa yang menolak tokoh mereka, maka menolak Islam. Siapa yang menolak Islam, dia kafir. Inilah dia kira congak khawarij. Sedangkan kalau tuan-tuan bangkang apa yang saya tulis tentang Islam, bukan semestinya tuan-tuan benci pada Islam, mungkin tuan-tuan bangkang kerana pandangan saya dalam tulisan itu. Tapi khawarij tidak. Slogan mereka, “Barangsiapa yang menentang pemikiran khawarij, maka mereka itu menentang Islam.”

Idea seperti itu cukup bahaya tuan-tuan. Memang hari ini khawarij dah takdak secara nama, namun idea mereka masih diwarisi oleh sekumpulan yang bersemangat Islam di Mesir yang dikenali sebagai “Jamaah at-Takfir wal-hijrah” yang dipimpin oleh Mustapha Shukri, asalnya adalah menantu kepada Hassan al-Banna. Pendekatan dakwah “Jamaah at-Takfir wal-hijrah” yang menggunakan nas melebihi hadnya tidak disenangi oleh kebanyakan orang. Sebelum itu, mereka adalah dari Ikhwan Muslimin. Apabila permintaan mereka kepada pemimpin Ikhwan supaya mengkafirkan sesiapa saja yang menentang Ikhwan ditolak, mereka bertindak keluar dari Ikhwan. Pemimpin Ikhwanul Muslimin kata, “Kita tidak boleh mengkafirkan orang begitu sahaja sebab sebahagian yang menentang kita bukannya anti Islam, cumanya mereka mungkin tidak faham dengan pendekatan kita. Mereka hanya salah sangka terhadap kita. Lagipun bukanlah syarat Islam itu mesti masuk Ikhwan. Mungkin mereka ada cara mereka sendiri dalam berdakwah orangramai kepada Islam.”...Kenyataan pemimpin Ikhwan itu dibantah oleh Mustapha Shukri, katanya, “Ikhwan takut! Cara Ikhwan lambat!”...Dalam bahasa kita, Mustapha Shukri nak bagitau bahwa Ikhwan dah ceroi!...Sedangkan dia lupa pada ungkapan pengasas Ikhwan Hassan al-Banna yang mengingatkan ahli-ahlinya bahwa, “Sesiapa yang ingin memetik buah sebelum masaknya, sesungguhnya aku tidak termasuk dikalangan mereka.”                                       

Allahu`alam.

19 Mac `06

tanjung_tokong.jpg