Bab 5 : Iman dan Islam yang sempurna.
Hadith 14 :
Dari Anas bin Malik ra, katanya: Rasulullah saw telah bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku
menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibubapanya, anak pinaknya dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari dan Muslim )
Muslimin/muslimat rahimmakumullah. Hadith yang ke 14 ini diambil daripada seorang sahabat Nabi saw dari kalangan Ansar
yang bernama Anas bin Malik ra. Jangan kita confuse pula antara Anas bin Malik dengan Malik bin Anas. Anas bin Malik ra adalah
dikalangan sahabat. Tapi Malik bin Anas pula adalah imam Mazhab Maliki daripada golongan tabi`in, yakni golongan yang tidak
bersama dengan Nabi saw kerana mereka dilahirkan sesudah kewafatan Nabi saw. Dan Malik bin Anas ini adalah guru kepada Imam
kita iaitulah as-Syafie rahimmallahu ta`ala. Dan makam Imam Malik bin Anas berada di perkuburan Baqi` di al-Madinatul Munawwarah.
Sementara itu, Anas bin Malik ra pula adalah seorang sahabat Nabi saw, yang menjadi orang gaji ataupun pembantu kepada Rasulullah
saw. Beliau bekerja di rumah Nabi hampir 10 tahun. Iaitulah semenjak Nabi saw berhijrah ke Madinah sehinggalah Nabi saw wafat
kembali kepada Allah swt.
Anas bin Malik lah orang yang pertama sekali menerima berita pengharaman arak daripada Nabi saw., iaitulah bilamana
turunnya ayat 90 Suratul Maaidah yang bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah
pekerjaan syaitan..."...Ketika itu Anas bin Malik sedang memegang dulang yang penuh berisi dengan gelas-gelas arak untuk dihidangkan kepada
para sahabat di pasar Madinah. Dialah insan pertama yang telah diberitahu ayat itu oleh Nabi saw tentang pengharaman arak
secara total. Selepas turunnya ayat itu, maka secara automatik tidak boleh lagi minum arak bagi semua orang-orang Islam. Apabila
Anas bin Malik mendengar ayat itu dibacakan, lalu dia melemparkan dulang dengan keseluruhan gelas-gelasnya sekali ke tanah.
Kemudian dia berlari-lari di sekitar Madinah sambil memekik dan menjerit supaya arak dihentikan, tidak boleh diminum lagi.
Dalam pada itu, bergegaslah para sahabat, masa tu ada yang sudah pun meletakkan gelas berisi arak di bibir mereka, tapi apabila
mereka mendengar laungan Anas itu, maka mereka pun mencampakkan gelas-gelas berisi arak ke tanah tanpa tangguh-tangguh lagi.
Manakala Saiyidina Umar ibnul Khatab ra pula pulang segera ke rumahnya, lalu mengapak stok tong-tong drum yang penuh berisi
arak yang berada di rumahnya. Sehinggakan riwayat menyebut bahwa ketika itu kota Madinah seolah-olah menjadi banjir dengan
arak yang ditumpahkan. Inilah dia iman para sahabat radiallahuanhum ajmain. Mereka tidak bertangguh-tangguh lagi apabila Allah
memerintahkan mereka supaya melakukan sesuatu. Bukannya seperti manusia akhir zaman yang sentiasa menggunakan berbagai-bagai
alasan untuk menolak perintah dan hukum Allah. Mereka menjadi lebih hina daripada haiwan ternakan, kerana mereka ini diberi
akal, dihantarNya rasul, diberi al-Quran, dilahirkan dikalangan mereka para ulama` silih berganti; tetapi mereka masih
berdegil dalam kekufuran, maka layaklah Allah memanggil mereka seperti binatang-binatang ternakan sahaja. Bahkan mereka lebih
hina daripada binatang ternakan itu lagi.
Pernah Anas bin Malik ra melapurkan, "Selama
10 tahun aku berkhidmat dengan Nabi saw, tidak pernah baginda memarahi aku."...Sekiranya ada ketika Anas terlupa mengemas tempat tidur
Nabi, ataupun terlupa nak hidang air, ataupun dia terlupa buat kerjanya sebagai orang gaji; Nabi saw tidak pernah memarahi
dia. Inilah contoh sifat majikan kepada orang gajinya. Tapi dalam masyarakat kita pada hari ini, apabila ada majikan buat
baik, orang gaji pula buat perangai. Pi dera anak majikan lah, pi curi harta majikan lah dan bermacam-macam lagi yang kita
dengar. Tapi taklah semua berkelakuan begitu. Yang bagus pun ada juga. Jadi, ini semua adalah perkara-perkara yang boleh kita
ambil sebagai pengajaran daripada Anas bin Malik ra, yang dimakamkan juga beliau di perkuburan Baqi`.
Okay berbalik kepada hadith yang kita baca ni. Di dalam hadith ini, Nabi saw menyebut tentang kesempurnaan iman. Dengan
baginda menjelaskan bagaimana ciri-ciri iman yang paling utama. Diantaranya kata Nabi saw iaitulah meletakkan kasih dan sayang
kita kepada Rasulullah saw mengatasi kasih sayang kita kepada segala-galanya. Perkara ini bukanlah satu perkara yang mudah
untuk kita lakukan. Memanglah untuk melafazkannya nampak terlalu mudah, tetapi dalam bentuk praktikal, ia memerlukan satu
iltizam yang mantap untuk kita sampai ke suatu tahap, yakni merasai benar-benar cinta dan kasih kepada Nabi saw. Kerana sifirnya
mudah, iaitu apabila kita meletakkan cinta dan kasih sayang kepada Nabi saw, maka secara automatik kita telah juga mencintai
Allah swt. Sebab Rasulullah saw ini seorang yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajaranNya.
Lalu Nabi saw menyebut, "Tidak sempurna iman seseorang hatta sehinggalah aku ini lebih dicintainya daripada cinta kepada anaknya, daripada
cinta emak ayahnya dan daripada mencintai seluruh manusia."...Apa yang Nabi saw nak bagitau kat kita ialah perasaan kasih dan sayang adalah
suatu perasaan yang Allah letakkan apabila Allah mencipta manusia. Tak kiralah apa bangsa sekali pun, asalkan namanya insan,
pasti Allah letakkan perasaan kasih kepadanya. Allah campak satu perasaan dalam diri manusia supaya dia sayang dan cinta akan
ayah ibunya, keluarganya dan adik beradiknya. Tapi Nabi saw kata, "JAGA! jangan sampai kecintaan kepada manusia selain aku ini diletakkan
lebih tinggi daripada sayang pada aku."...Yang inilah yang kita kena sentiasa berjaga-jaga. Yakni sayang kepada emak ayah memanglah
tak salah, tapi jangan sayang kepada emak ayah kita melebihi sayang kepada Nabi saw.
Sekarang mari kita tengok, bagaimanakah tanda yang kata kita ni sayang kepada Nabi saw?...Ustaz Halim Nasir memetik
daripada kata-kata seorang ulama` yang bernama Qadi`iyat rahimmallahu ta`ala. Qadi`iyat menyebut bahwa diantara tanda kamu
kasih dan cinta kepada Rasulullah saw ialah :
1) kamu hendaklah membela sunnahnya.
Jadi, kalau kita compare kata-kata Qadi`iyat ini dengan gelagat sebahagian manusia yang mengaku Islam di akhir zaman
sekarang ini, maka kita akan melihat banyak perselisihan. Sebab apa boleh jadi lagu tu?...Sebab manusia akhir zaman bukan
lagi menjadi pembela sunnah Nabi saw, malah mereka mempertikainya pula. Mereka sanggup mempermain-mainkan persoalan menyimpan
janggut, walaupun benda itu sunat sahaja tetapi ia adalah sunnah Nabi saw. Kalau beginilah tindakan kamu wahai matdet!, maka
kamu bukanlah orang yang sayang kepada Nabi saw. Kalau kamu jahil, duduk sajalah sengap-sengap. Ini tidak, kamu dengan lagak
bongkak berucap di depan khalayak ramai mempertikai akan sunnah Nabi saw. Bila kamu bercakap dengan tak ketahuan punca, itu
menunjukkan akan kejahilan diri kamu sendiri. Sepatutnya kita sebagai umat Nabi Muhammad saw, hendaklah menjaga sunnahnya
(yang sunat) sekadar yang kita mampu. Manakala yang wajib pula, mau tak mau mesti juga kena buat. Seperti menegakkan hukum
Allah, sebab ia adalah sunnah yang wajib, yang mesti dilaksanakan. Dan itulah yang Rasulullah saw buat ketika dia berhijrah
ke al-Madinatul Munawwarah.
2) kamu berusaha mengikut jejak langkah Rasulullah saw.
Sepanjang hidup kita, kalau boleh kita berusaha nak tiru sebagaimana kehidupan Nabi saw. Sekiranya kita jadi pemimpin
negara, maka kita hendaklah berusaha meniru bagaimana kepimpinan Nabi saw. Dan kalau kita sebagai suami, maka kita perlulah
berusaha meniru bagaimana Nabi saw menjadi suami kepada 12 orang isterinya dengan penuh keadilan. Kemudian kalau kita menjadi
peniaga, maka kita hendaklah berusaha meniru bagaimana kehidupan perniagaan Rasulullah saw. Sepertimana yang dilaporkan oleh
Maisarah (orang gaji Saiyyidatina Khadijah rha), yang dibekalkan supaya mengikut Rasulullah pergi ke Syams untuk berniaga
barang dagangannya di musim panas dan ke Yaman apabila datangnya musim sejuk; lalu apabila pulang, Maisarah pun melaporkanlah
apa yang baik dilihatnya, lalu menyebabkan Siti Khadijah rha tertarik dan ingin berkahwin dengan Nabi saw. Sehinggakan hasratnya
itu disebutnya sendiri di hadapan Nabi saw. Riwayat menyebut, pada suatu pagi ketika Nabi saw pergi ke rumah Khadijah untuk
ambik barang dagangan, yang kebetulannya pula Maisarah ketika itu tidak ada bersama dengan Khadijah, maka Saidatina Khadijah
sendirilah yang mengeluarkan barang kepada Nabi saw. Dan riwayat juga menyebut bahwa di pagi itu Khadijah memakai tudung untuk
menutup kepalanya (tapi tudung tu punya color tak disebut pula. Tapi saya ingat, mungkin hijau). Lalu bila Khadijah tolak keluar barang-barang,
Rasulullah pun malu-malu berdiri di luar rumah. Lalu Khadijah kata, "Ya Muhammad. Ada satu perkara saya nak beritahu kepada kamu, ya Muhammad. Yakni
ada seorang perempuan mari jumpa saya, lalu meluahkan hasratnya sanggup untuk menjadi teman untuk kamu kerana dia tengok akhlak
kamu cukup bagus. Cumanya, dia seorang janda yang pernah berkahwin sebanyak 2x. Tapi walaupun dia janda, dia sangat kaya tau,
Muhammad. Jadi, sudikah kamu?"...Bukan ada perempuan lain pun; watak perempuan yang Khadijah dok sebut tu yang sebenar ialah dirinya sendiri. Disebabkan
malu nak berterus-terang, maka diciptanyalah watak perempuan tu. Dan Muhammad pula bukan jenis perangai macam kita. "Aaaapa
dia?...Jjjjanda?...Sapa dia?"...inilah yang akan keluar kalau kita dengar janda kaya, kita mulalah nak menggatal...Tapi
Rasulullah bukan jenis lagu ni. Baginda hanya tunduk sahaja bila Khadijah bercakap. Sehingga riwayat menyebut bahwa akibat
malunya Khadijah ketika bercakap dengan Nabi ketika itu, lalu dimainnya dengan dipusing-pusing hujung tudungnya. Lalu bila
habih saja Khadijah bercakap, Rasulullah tak cakap apa pun, dia kalih kemudian dia cabut. Inilah yang diceritakan dalam riwayat (tapi kitabnya
ust Halim lupa pulak). Tapi apa yang kita nak bagitau disini sepertimana yang disebut oleh Qadi`iyat ialah kalau kita sebagai peniaga, maka
belajar-belajarlah tiru bagaimana akhlak Nabi saw ketika berniaga. Bacalah dalam "Encyclopedia of Seerah", yang mana dalam
buku ini diceritakan bagaimana penampilan Nabi saw ketika berurus-niaga; dengan tawar menawarnya, dengan wajah yang sentiasa
manisnya, dengan ringan tangannya menolong orang dan lain-lain lagi. Maka dengan akhlaknya yang sebegini hebatlah, maka Khadijah
tertarik; dan akhirnya mereka berkahwin juga (masyaALLAH). Berbahagialah Saiyyidatina Khadijah hidup bersama dengan Nabi saw.
Kita yang hidup berjiran pula hendaklah berusaha meniru kehidupan Rasulullah saw. Hatta dengan orang yahudi pun dia
pernah berjiran; ini bermakna dia pernah berjiran dengan orang yang bukan Islam. Jadi, kenalah kita tiru bagaimana akhlaknya
ketika berjiran dengan orang yang bukan Islam. Kerana di M`sia ni, kita tidak boleh elak daripada kehidupan berjiran. Kalau
sapa-sapa yang rasa beban bila hidup berjiran, dia takdak pilihan lain melainkan dia kena pindah duduk dalam hutan. Kat sana
bolehlah dia berjiran dengan beruk, kera, lutung dan sebagainya. Dah kamu tak mau berjiran dengan orang, lebih baik kamu pi
berjiran dengan kera. Kalau kamu tak mau pi berkawan dengan beruk dalam hutan, mau tak mau kamu kena hidup berjiran. Dan apabila
berjiran, kita mesti jaga akhlak kita sebagai umat Muhammad saw; yakni sebaik-baik umat sepertimana yang disebut dalam al-Quran.
Dan bila kita bergelar umat Muhammad, maka hendaklah kita meniru sifat-sifat mahmudah yang ada padanya. Daripada banyak-banyak
sifat mahmudah Nabi saw yang dibahaskan oleh para ulama`, antara sifatnya yang baik boleh kita tiru ialah sifat zuhudnya. Bila cakap pasai
"zuhud", maka kita kena tafsir elok-elok apa itu zuhud dalam ertikata yang sebenar. Sebab ada yang tafsir zuhud ni ialah berzikir
berzikir berzikir sampai tak mandi-mandi. Bila kita sembahyang sebelah dia, kita boleh bau bermacam-macam aroma. Mau ke tak bau, sampai 6 hari tak
mandi pasai zuhud habis sehingga tak peduli dah dunia nak jadi apa. Dia punya wirid sampai terlupa mandi dan sampai
takdak masa dah nak trim janggut misainya. Dah merembang macam hutan simpan jadinya. Keadaan pengotoq tak tentu arah
sebegini bukanlah zuhud maknanya. Tapi sifat zuhud yang ada pada Rasulullah saw itu ialah sepertimana yang diucapkan oleh
seorang insan yang digelar dengan gelaran "Abu Thurab". Abu Thurab adalah gelaran kepada Saiyyidina Ali karramallahu wajhah. Kalau Abdurrahman bin Saqar
dengan gelaran "Abu Hurairah", dan gelaran "Abu Quhafah" kepada Saiyyidina Abi Bakrin as-Siddiq, maka Saiyyidina Ali digelar
"Abu Thurab". Kalau kita buka kitab "Nasihat Sepanjang Hayat" yang dikarang oleh al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Asqalani
rahimallahu
ta`ala, yakni kitab yang memuatkan ucapan-ucapan para sahabat; dimana di dalam kitab inilah bagaimana al-Hafiz Imam Ibnu Hajar
Asqalani telah memuatkan sebuah ucapan Saiyyidina Ali karramallahu wajhah berhubung dengan makna "zuhud". Dimana telah berkata
Saiyyidina Ali karramallahu wajhah, "Zuhud itu terdiri daripada 3 huruf. Yang pertama ialah harfun Zai, yang kedua ialah Ha` dan yang ketiga ialah Dal."...Maka Saiyyidina Ali karramallahu
wajhah pun menafsirkannya mengikut pandangan beliau yang benar di sisi Allah swt. Katanya, "Yang dimaksud dengan harfun Zai itu ialah Zadullil
ma`ad yakni bekalan untuk negeri akhirat."...Inilah dia makna pertama apabila kita sebut ciri-ciri orang yang zuhud, iaitulah sentiasa
mencari bekalan untuk dia sampai ke negeri akhirat.
Muslimin/muslimat sekelian; selagi kita diberi kesempatan oleh Allah untuk menyedut udara ini dan selagi Allah beri
kesihatan kepada tubuh badan kita, maka janganlah kita melepaskan peluang untuk merebut segala ruang dan peluang yang dibuka
oleh Allah swt untuk kita mencari bekalan sepanjang hidup di dunia ini. Sebab itu, kita mesti tahu bagaimana prinsip hidup
di atas dunia ini bagi menyelamatkan kita di akhirat kelak. Iaitulah sepertimana berlakunya satu kisah dimana suatu hari Rasulullah
saw bertemu dengan Ibn Umar ra, lalu menepuk bahunya...Bila sebut nama Ibn Umar ra, ini ada suatu kisah yang menarik tentang dirinya. Dikalangan para sabahat, memang
telah menjadi kebiasaan mereka untuk tidur di Masjidil Nabawi, termasuklah Ibn Umar ra. Di tengah malam, mereka akan bangun
bertahajjud bersama-sama dengan Nabi saw kecuali Ibn Umar sahaja yang selalu tak bangun, dia kira tidoq saja. Beliau hanya
sedar bila Bilal ibnu Rabah melaungkan azan Subuh. Tiap-tiap malam dia buat lagu tu. Sehinggalah kata Ibn Umar, "Pada suatu hari, seperti biasa ketika aku tidur lena di Masjidil
Nabawi, tiba-tiba aku telah didatangkan mimpi. Dimana dalam mimpi itu, aku dibawa oleh 2 lelaki menuju ke suatu tempat yang
aku lihat didalamnya ada api yang menjulang-julang, aku juga melihat ada ular-ular sebesar leher unta, dan kemudian aku juga
melihat ada kalajengking sebesar keldai. Aku pun menjadi takut. Lalu kedua-dua lelaki itu pegang tangan aku dan ugut untuk
lemparkan aku ke dalam tempat itu. Tiba-tiba aku tersedar."...Pada keesokan harinya, Ibn Umar pun menceritakan mimpinya itu kepada Nabi
saw, lalu Rasulullah pun tersenyum sambil berkata, "Wahai Ibn Umar, ada pun 2 orang lelaki yang membawa engkau itu adalah Jibril dan Mikail.
Tahukah engkau sebab apa engkau mimpi lagu tu?...Wahai Ibn Umar, ini adalah kerana Allah marah kepada engkau sebab engkau
tak bangun tahajjud."...Tuan-tuan, inilah dia makam sahabat. Dia tak buat yang sunat saja, Allah dah tegur dengan mimpi. Kita "Allahumah
dini" 10.15 am (Subuh gajah kata orang Kedah), takdak apa pun mimpi nak tegur kita. Tapi sahabat Rasulullah (Abdullah bin
Umar), dia tak bangun tahajjud saja, Allah bagi dia mimpi tengok neraka. Lalu menyebabkan dia ketakutan dan katanya, "Bermula daripada malam itu,
aku tak tinggal dah tahajjud."...SubhanAllah...Inilah iman para sahabat yang terlalu tinggi.
Okay berbalik kita pada cerita Rasulullah saw bertemu dengan Ibn Umar ra tadi. Sambil memegang bahu Ibn Umar, Rasulullah
saw pun berkata, "Jadikanlah kehidupan di dunia ini seperti engkau sedang merantau di negeri orang, atau engkau sedang berjalan di suatu
perjalanan musafir yang jauh."...Hadith ini dibahaskan oleh Imam Nawawi rahimmallahu ta`ala tentang apakah maksud Rasulullah mengatakan bahwa hidup
di dunia ini seperti orang yang merantau jauh. Dimana kata Imam Nawawi, "Itulah dia yang perlu kamu faham. Yakni bilamana kita merantau
ke negeri orang, maka pasti akan ada dalam diri kita satu perasaan rindu untuk pulang ke tanah air."...Pergilah merantau ke negeri mana pun; baik
5 tahun, 10 tahun maupun 20 tahun; satu ketika pasti perasaan rindu itu akan mengetuk-ngetuk pintu hati kita untuk kembali
ke tanahair...Kemudian kata Imam Nawawi lagi, "Bila Nabi sebut qhoribun, maka kamu mesti tahu bahwa maksud Nabi itu ialah kita hendaklah
rindu untuk balik ke kampung asal, iaitulah alam roh. Lalu kita kena ingat bahwa kita kena ada perasaan untuk balik bertemu
Allah, sebab kita adalah qhoribun yakni orang yang merantau."...Tambah Imam Nawawi lagi, "Bila kamu nak balik kampung, takkan dengan tangan kosong saja.
Takde ke ole-ole untuk berhadapan dengan kampung asal kamu?"...Maka kata Imam Nawawi, "Ole-ole itu ialah merupakan ketaqwaan, keimanan, keikhlasan daripada
sedeqah dan amal jariah kamu. Inilah ole-ole yang kamu nak bawa ketika mengadap Allah di kampung asal kamu yakni di alam roh
nanti."...Inilah
penafsiran Imam Nawawi, apabila Nabi kata, "Kamu hidup di dunia hendaklah seperti orang yang sedang merantau jauh di negeri orang.".
Manakala seterusnya kata Nabi saw, "...dan di atas dunia, kamu kena rasa seperti orang yang bermusafir yang terlalu jauh."...Lalu kata Imam Nawawi,
"Bila kamu
nak mulakan bermusafir, maka kamu perlu ada bekal terlebih dahulu."...Contohnya, katakanlah kita nak pi umrah; bekalan apakah yang
perlu kita sediakan sebelum pergi?...Yang mula-mula sekali mesti ada ialah international passport siap dengan visa yang di
cop oleh embassy Arab Saudi. Kemudian segala aksessori mesti disediakan, seperti kain ihram 2-3 helai, al-Quran untuk dibaca
di Madinah, buku kecik yang tercatat doa-doa untuk dibaca ketika tawaf dan lain-lain lagi....Lalu kata Imam Nawawi, "Dan bekalan itu adalah iman,
ketaqwaan, keikhlasan, pengorbanan dan jihad perjuangan untuk kamu bawa nak mengadap ALLAH."...Inilah dia cara Nabi saw ajar kita tentang
zuhud.
Seterusnya makna zuhud yang kedua menurut Saiyyidina Ali karramallahu wajhah ialah harfun Ha`. Maksud zuhud pada kalimah
Ha` itu ialah "Hudal liddin" yakni petunjuk agama. Maknanya, orang zuhud ini ialah orang yang sentiasa berada di atas petunjuk
agama Allah swt. Hatinya tetap istiqomah, dengan tidak berbalik kiri dan kanan. Tetap dia di atas petunjuk agama Allah, yakni
Islam yang suci, lurus dan Islam yang tidak ada cacat celanya. Maka inilah makna yang kedua bagi zuhud dan kamu yang berzuhud
mestilah tahu bahwa inilah ugama yang menjadi petunjuk kepada kita. Sepertimana firman Allah dalam Surah Ali Imran:85 yang
bermaksud, "Barang
siapa yang berusaha mencari selain daripada Islam sebagai cara hidup, maka tiadalah diterima daripadanya, sedang dia di akhirat
termasuk orang-orang yang rugi."...Apabila seseorang itu mengenepikan Islam dengan mengambil cara hidup lain; seperti dia berpakaian cara barat, berekonomi
cara barat, memimpin cara sekular barat; maka orang sebegini kata Allah, "Tidak diterima daripadanya, walaupun secantik mana fikrahnya itu
ataupun secantik mana kefahaman yang hendak diterapnya dengan menolak Islam. Dan di negeri akhirat, dia masuk dalam golongan
orang-orang yang rugi."...Nauzubillah.
Dan makna zuhud yang ketiga kata Saiyyidina Ali ialah ditafsirnya pada harfun Dal, iaitulah "Dawwa mun alatho`ah", yakni yang bermaksud sentiasa taat kepada Allah swt. Dan inilah
yang Nabi saw pesan dalam perjanjian Bai`atul Aqobah yang ke 2 yang berlaku setahun sebelum Nabi saw hijrah ke Madinah. Sepertimana
yang kita tahu selepas Isra` wal Mikraj lah, Nabi saw mula menyusun langkah dengan menyampaikan Islam kepada orang-orang Ansar
yang datang mengerjakan haji ke tanah suci Mekah. Cara mereka mengerjakan haji ketika itu ialah dengan mengikut cara Nabi
Ibrahim as, kerana syariat haji belum lagi turun kepada Rasululah saw ketika itu. Pada tahun ke 11 kerasulannya, Nabi saw
berjumpa dengan 12 orang Ansar di Bukit Aqobah. Selepas mereka berbaiah dengan Nabi saw di situ, lalu mereka pun memeluk Islam.
Kemudian Nabi saw kata kepada mereka, "Baliklah kamu ke Madinah. Dan dirikanlah sembahyang, jangan syirikan Allah, jangan kamu berzina dan jangan kamu bunuh
anak perempuan kamu."...Lalu
baliklah mereka bersama dengan seorang sahabat Nabi yang bernama Mashab bin Umar ra, yang dikirim oleh Nabi saw untuk mengajar
orang-orang Madinah tentang Islam. Dan riwayat menyebut bahwa ketika berada di Madinah, Mashab telah mengetuk kesemua pintu-pintu
rumah yang berada dalam kota Madinah, sambil mengajak mereka masuk Islam. Sehingga akhirnya Islam lah para pemimpin terkanan
Ansar seperti Saad bin Muaz, Saad bin Ubadah, Abdullah bin Jahasyi, Jabir bin Abdullah dll. Kemudian daripada pengaruh mereka
ini pula, menjadikan jumlah yang memeluk Islam semakin ramai. Selepas itu, apabila datang lagi musim haji pada tahun berikutnya,
maka jumlah orang-orang Ansar yang datang ke Mekah juga bertambah kepada 72 orang. Maka berlakulah perjanjian Aqobah yang
ke 2 diantara Nabi saw dengan 72 orang Islam Ansar itu. Antara 72 orang perwakilan itu, terdapat 2 orang wakil muslimat, mereka
ialah Asma` binti Amru dan Nusaibah binti Kaab rha. Pada malam perjanjian itu, Nabi saw ditemani oleh salah seorang daripada
bapa saudaranya iaitulah Saiyyidina Abbas bin Abdul Mutalib ra, yang mana ketika itu dia masih belum lagi Islam. Walaupun
ketika itu dia masih belum Islam, tapi sikap Saiyyidina Abbas tidak seperti Abu Lahab. Yakni Abu Lahab menentang Rasulullah,
tapi Saiyyidina Abbas simpati. Lalu dengan ditemani oleh Saiyyidina Abbas, Nabi saw pun baiah dengan 72 wakil Ansar itu, dengan
tercatatnya sebanyak 6 isi kandung penting (tak payah lah bahas kerana terlalu panjang). Perkara yang mula-mula sekali Nabi
saw sebut iaitulah "Allas sam`i wath tho `ah fin nasyaa ti wal kasar", yakni bermaksud "Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada Islam, samada dalam keadaan kamu rajin
ataupun kamu malas."...Inilah
yang Nabi saw ajar. Walaupun Nabi tujukan ucapan itu kepada 72 orang Ansar pada tahun ke 12 kerasulannya, namun kata Said
Ramadan al-Buti di dalam kitab Fiqhul Sirahnya, menyatakan bahwa, "Apa yang Nabi saw sebut itu, adalah kepada kita juga."...Maknanya, semuanya tertuju kepada kita bilamana Nabi kata,
"Hendaklah
kamu mendengar dan taat kepada Islam, samada dalam keadaan kamu rajin ataupun kamu malas, kamu ada duit atau kamu takdak duit,
kamu good mood atau bad mood; kamu mesti taat kepada Islam."...Inilah kata-kata Rasulullah saw yang dikaitkan dengan penafsiran Saiyyidina
Ali karramallahu wajhah berhubung dengan harfun Dal yang membawa makna "Dawwa mun alatho`ah", yakni hendaklah kamu sentiasa taat. Inilah dia makna zuhud, iaitu salah satu sifat Rasulullah
s.a.w.
Oleh sebab itulah kata Qadi`iyat bahwa tanda kamu cinta kepada Rasulullah ialah hendaklah kamu berusaha meniru cara
hidup Rasulullah. Dan barang siapa yang bercanggah cara hidupnya dengan Nabi saw, maka berdosa besarlah dia. Dan ini boleh
membawa kepada terhapusnya iman, aqidah dan terbatalnya syahadah....Wanauzubillahiminzalik.
Kesimpulannya.
Hadith ke 14 ini mengajar kita bahwa tidak salah untuk kita mencintai anak, ayah, ibu kita, termasuklah binatang peliharaan
kita kerana perasaan sayang ini memang Allah dah letakkan dalam hati kita. Jadi, memang kita tak boleh nak buang perasaan
itu. Tetapi jangan melepasi perasaan sayang dan kasih itu melebihi daripada Rasulullah saw. Dan diantara tanda kita kasih
lagi kepada Rasulullah ialah kita sebut "Sallahu
alaihi wassalam" apabila kita dengar namanya disebut. Begitu juga dengan memperbanyakkan selawat ke atasnya, ini tanda kita
sayang padanya. Bila ada duit lebih, bolehlah kita ziarah makamnya ketika buat umrah/haji di Raudah as-Syarifah di al-Madinatul
Munawwarah, itu tandanya kita sayang pada Nabi saw.
Dan antara yang paling besar ialah sepertimana yang disebut oleh Qadi`iyat, iaitulah kita kena membela sunnahnya dan
berusaha untuk kita mengikut ajarannya supaya kita benar-benar menjadi insan yang tahu berterima kasih kepada Nabi saw. Kerana
dia telah banyak berkorban segala-galanya untuk kita, yang mana akhirnya kita hari ini menjadi orang Islam. Lalu bolehlah
kita sembahyang, puasa dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah kerana pengorbanan Nabi saw. Nak jumpa dia, takdak dah. Melainkan
di hari qiamat, iaitu jumpa di telaga Khautsar....InsyaAllah.
Wallahu ta`ala `alam.

|