Mastika Hadith
Jilid 1
Bab 4 : Beriman kepada adanya malaikat.
Hadith 33
Dari Abu Hurairah ra, bahwa Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya yang berselawat kepadaku
sekali selawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu.” (Muslim, Tirmizi, Abu Daud,
Nasaai, Imam Ahmad dan Hibban)
Muslimin muslimat yang dirahmati
Allah. Hadith yang akan dibicarakan masih lagi berlegar tentang fadhilat selawat ke atas Nabi saw. Dan kali ini kita lihat
adanya “rahmat” Allah disebut. Mari kita tengok apa yang dikatakan sebagai “rahmat” Allah. Cuba perati
ayat 23 Surah al-`Araaf, yang di dalamnya ada satu doa yang selalu kita sebut selepas solat. Maksudnya, “Wahai Tuhan
kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan jika sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami di atas kezaliman
yang telah kami lakukan, dan jika sekiranya Engkau tidak memberi rahmat kepada kami, maka nescaya kami akan termasuk
dikalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah swt.”…Ayat ini dirakam Allah ketika Nabi Adam as berdoa dan
merintih apabila dia dikeluarkan dari syurga. Dari doa ini kita boleh lihat betapa pentingnya yang kata “rahmat”
Allah tu. Sehingga disebut rugi sekiranya kehidupan kita tidak dirahmati oleh Allah swt.
Dalam tafsir asy-syahid Sayyid
Qutb rahimallahu ta`ala berkata bahwa “rahmat” itu adalah gabungan dari dua asma` Allah iaitulah ar-Rahman dan
ar-Rahim. Sebab itu kita pernah dengar adanya malaikat yang jaga alam rahim dalam perut ibu sebab di situ adalah antara area
yang dirahmati Allah. Disebut alam rahim sebab dengan kasih sayang Allah lah, janin kita yang diberi dengan berbagai-bagai
nama sainsnya seperti embriyo, zigot dan sebagainya, dapat makan dan dapat bernafas.
Maknanya apabila berlaku sahaja persenyawaan, maka kasih sayang Allah tertumpah; tak kira samada dalam perut ibu muslimah
maupun yang bukan Islam.
Apa lagi tuan-tuan nak cerita
pasai “rahmat” ni?…Oh ya, cuba tuan-tuan perati kat batu nisan orang mati. Tertera tulisan “sipolan
bin/binti sipolan telah kembali ke rahmatullah”. Nampak tak tuan-tuan; mungkin orang hat mati tu jahat macam firaun,
sembahyang tak pernah, puasa jauh sekali, tapi bila mati saja dia, pasti “rahmat” Allah yang dicarinya juga. Sebab
itu disebut “Allahyarham” bermaksud semoga Allah merahmatinya, atau “Almarhum” bermaksud yang dirahmati,
kepada orang yang meninggal dunia. Maknanya, dari dalam perut mak sampailah ke kubur, tak boleh putus dari rahmat Allah swt.
Dalam Quran pun begitu banyak
contoh-contoh yang telah Allah bentangkan kepada kita menceritakan tentang “rahmat”Nya. Salah satunya kita boleh
refer dalam Surah al-Kahfi, dimana dalam surah ini Allah menceritakan tentang bagaimana tujuh orang pemuda yang berani menegur
pemerintah yang zalim. Ganjaran cukup besar tuan-tuan kalau kita dibunuh apabila berani menegur pihak pemerintah. Cuba rujuk
satu hadith riwayat al-Hakim yang disahihkan oleh adz-Dzahaby, begitu juga al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah.
nombor 374. Hadith itu berbunyi, “Penghulu bagi orang yang mati syahid di dalam syurga ada dua golongan. Yang
pertamanya ialah Hamzah bin Abdul Muthalib radiallahuanhu. Dan yang keduanya ialah seseorang yang berdiri dihadapan pemerintah
yang zalim, lalu mengajak pemerintah kepada amar makruf nahi mungkar, tiba-tiba dia mati dibunuh kerana ajakannya itu maka
dia adalah saiyyidul syuhada`.”…Inilah yang dibuat oleh as-habul Kahfi terhadap pemerintah mereka seperti yang
disebut dalam ayat 14 Surah al-Kahfi, kata Allah, “Dan ingatlah! Ketika tujuh orang pemuda itu berdiri di hadapan
raja yang zalim, lalu mereka berkata: Tuhan kami adalah Tuhan yang menguasai langit dan bumi, dan sekiranya kami mengucapkan
perkataan yang lain daripada ini, nescaya kami akan menyeleweng dari jalan kebenaran.”…Maknanya
apa tuan-tuan?…Maknanya ialah ia telah menjadi suatu fitrah bahwa apabila kebenaran disampaikan, maka tunggulah akan
datangnya ujian dan cabaran. Inilah yang berlaku kepada as-habul Kahfi. Mereka diburu oleh raja yang zalim sehingga lari ke
sebuah gua. Cerita seterusnya mungkin semua kita dah tau kot. Tapi ada satu benda yang ana nak bagitau di sini, iaitu sebelum
mereka membaringkan diri masing-masing dalam gua itu, ada satu benda yang mereka buat. Apa yang depa buat tuan-tuan?…Takdak
benda lain yang depa buat melainkan meminta doa kepada Allah sepertimana yang dirakam oleh Allah dalam ayat 10 Surah al-Kahfi.
Mereka tidak minta supaya malaikat turun dari langit untuk menjaga pintu gua untuk mereka. Tetapi yang mereka minta ialah
diturunkan “rahmat” kasih sayang dari Allah kerana mereka tahu bahwa itulah saja yang boleh menyelamatkan mereka.
Jadi yang mereka boleh tidur selama 309 tahun itu ialah sebab mereka tidur atas “rahmat” Allah. Nampak tak tuan-tuan,
betapa besarnya “rahmat” kasih sayang Allah swt ke atas makhlukNya.
Apa lagi tuan-tuan nak cerita
pasai “rahmat” Allah?..Okay mai kita tengok satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimallahu ta`ala
tentang kemasukan manusia ke dalam syurga Allah. Maksud hadith tersebut berbunyi, kata Nabi saw, “Seseorang diantara
kamu tidak akan dapat memasuki syurga Allah hanya kerana amalan kamu…”…Tu dia tuan-tuan, apa dah jadi?…Nabi
kata kita semua tak boleh masuk syurga kalau semata-mata bersandarkan kepada amalan. Maknanya, kita bukan masuk syurga kerana
kuat semayang, bukan kerana berani berjihad, bukan kerana rajin berpuasa, bukan kerana haji umrah. Habih kerana apa?…Nabi
kata, “Tetapi kamu boleh masuk syurga adalah kerana rahmat Allah swt.”…Tu dia tuan-tuan. Sebab itu
dalam ilmu tasawuf, kalau kita bergantung pada amalan untuk dapat pahala, masih dianggap biadap dan kurang sopan kepada Allah
swt. Contohnya bila kita bubuh dalam mindset kita semayang untuk dapat pahala, maka di sisi ulama tasawuf, menganggap apa
yang kita lakukan itu masih tidak beradab kepada Allah swt. Bagi kita orang awam yang imannya nipis tara tu ok dah dari tak
semayang langsung. Tapi bukan kepada para ulama yang setiap perbuatan mereka bukan berkehendakkan pahala sebab pahala apa
semua tu adalah hak Allah. Yang mereka hendak ialah rahmat Allah. Tapi yang kata “amalan” tu tetap kena beramal
juga sebab ianya menjadi matlamat penciptaan kita bersama-sama dengan kaum jin. Sepertimana kata Allah dalam Quran, “Tidak
Aku cipta jin dan manusia melainkan kena menyembah Aku!”…Ini dia yang kata “amalan” tu tuan-tuan.
Dia bukan untuk masuk syurga, sebaliknya hanya sebagai penzahiran matlamat penciptaan manusia. Tu saja.
Okay kita dah bincang apa dia
yang dikatakan “rahmat”. Cumanya sekarang, bagaimana caranya nak mencapai “rahmat”?…Salah satu
caranya ialah seperti yang diajar Nabi dalam hadith yang dibahaskan kali ini iaitu hanya dengan berselawat ke atas Nabi sekali
sahaja, Allah bagi kat kita 10 rahmat. Tabarakallahu ta`ala. Punyalah baiknya Allah.
Lagi satu jalan nak dapat “rahmat”
Allah, cuba tuan-tuan tengok Surah al-Baqarah:218. Dalam ayat ini Allah sebut ada tiga jalan. Yang pertamanya, dengan hanya
beriman sudah diberi “rahmat” Allah. Yang keduanya, dengan berhijrah meninggalkan maksiat pun dapat “rahmat”.
Dan yang ketiganya ialah dengan cara berjihad di jalan Allah dengan nyawa, harta, pemikiran dan sebagainya juga turut diberi
“rahmat”. Ini dia tuan-tuan, nak bagitau pentingya “rahmat” dalam kehidupan kita. Kalau takdak campurtangan
“rahmat” dalam kehidupan seharian, kita akan rasa tak tenteram, jiwa gelisah, mengaji Quran tak sedap, buat apa
pun tak sedap. Contoh orang yang hidup mereka penuh “rahmat” selain dari Rasulullah saw, takdak lain, ialah para
sahabat radiallahuanhu. Lihat saja Saidina Umar al-Khatab bila dijemput ke kota al-Quds (Baitul Maqdis) setelah berjaya dibebaskan
oleh Abu Ubaidah Amir al-Jarrah dari tangan tentera salibiyah. Dia pi ke sana tu bukannya naik kuda atau unta, tapi naik baghal
saja. Baghal time tu kira takdak kelas punya kenderaan. Nampak tak tuan-tuan, ini dia hidup yang dirahmati Allah . Dia tak
peduli apa orang nak kata, sedangkan dia tu khalifah. Bukannya dia parking baghal tu jauh-jauh tak bagi orang nampak. Malah
dia terus tarik tali baghal tu sampai ke depan pintu kota Baitul Maqdis yang ketika itu dipenuhi oleh orangramai yang sedang
menanti ketibaannya. Abu Ubaidah tak terkata apa sebab dia kenal sangat dengan perangai Omar. Selepas menyaksikan penyerahan
kunci kota Baitul Maqdis, maka bangunlah Saidina Omar memberi ucapan masyhurnya, kata Omar, “Kita orang Arab dimuliakan
oleh Allah kerana kita berpegang kepada Islam. Sebaliknya kalau kita mencari selain dari Islam, kita akan dihina oleh Allah
swt.”…Tu dia tuan-tuan, hebatnya ucapan orang yang hidupnya diberkati Allah, sehingga matinya juga dirahmati Allah.
Wallahu `alam

|