Jilid 1 - Bab 4 - Hadith 19

Mastika Hadith

Jilid 1

Bab 4 : Beriman kepada adanya malaikat.

Perkara ini termasuk dalam sebahagian lagi kepercayaan kepada perkara yang ghaib. Hanya insan yang bergelar rasul sahaja yang layak melihat para malaikat, samada melihatnya dalam bentuk seorang lelaki atau melihatnya dalam rupanya yang asli. Firman Allah dalam Surah an-Najm:13–15 ketika berlakunya peristiwa Mikraj, yang bermaksud, “Sesungguhnya Muhammad saw telah melihat wajah Jibril dalam bentuknya yang asal di Sidratil Muntaha…”…Maknanya Nabi saw memang lihat sungguh malaikat samada dalam bentuk seorang lelaki yang jumpa dia di Gua Hira` dan begitu juga yang mendatanginya di Masjidil Nabawi, ataupun dengan wajah yang asli. Rasulullah memang nampak real punya. Tapi kita sebagai manusia biasa ni, sori, memang tak layak untuk lihat malaikat. Kita hanya setakat beriman kepada perkara yang ghaib sahaja.

Para malaikat adalah makhluk ciptaan Allah swt yang mempunyai tugas-tugas tertentu. Kita akan lihat nanti dalam hadith 19, permulaan kepada tugas para malaikat. Sebenarnya cukup banyak tugas para malaikat ni. Sebagai contohnya, adakalanya diturunkan untuk membantu tentera-tentera Islam, especially peperangan yang Nabi saw sertai. Malaikat turun dalam jumlah yang berbeza-beza. Ini Allah sebut dalam Quran. Adakala Allah sebut 3000 dan adakalanya Allah sebut 5000. Walaupun Nabi saw tidak mengiranya tetapi al-Quran lah yang memberitahu jumlah malaikat yang turun membantu Rasulullah terutamanya pertempuran di medan Badar.  

Selain membantu para mujahidin dalam peperangan, ada juga malaikat yang tugasnya meminta ampun kepada Allah, supaya diampunNya penduduk-penduduk bumi. Menurut al-Quran, golongan yang diampun oleh Allah melalui kempen para malaikat itu adalah mereka yang suka bertaubat dan mereka yang suka mengikut jalan Allah swt.

Okay yang kata malaikat ni, bukan saja orang Islam percaya, malah orang kafir pun percaya. Bukannya yahudi dan nasara yang ana maksudkan. Tapi ianya adalah golongan kafir yang menentang Rasulullah di Mekah tu. Dalilnya tuan-tuan boleh rujuk Suratul Furqan:7. Inilah ayat yang Allah cerita cara Abu Jahal menolak dakwah Islam. Berbagai-bagai cara Abu Jahal guna. Dia kan pemimpin Mekah ketika itu, so takdak masalah untuk dia perkudakan mass media. Segala saluran digunakannya supaya orang jauh daripada Islam. Antara isi kandung ceramahnya dalam kempen nak menolak dakwah Nabi saw, dia kata, “Kalau betul Muhammad ini rasul, mengapa tidak turun kepadanya malaikat?”…Maknanya apa tuan-tuan?..Maknanya walaupun Abu Jahal tu lawan Rasulullah, tapi dia pun percaya juga wujudnya malaikat.

Hadith 19

Dari Anas ra, dari Nabi saw, sabdanya: “Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: “Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? – Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak?” Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang itu, malaikat bertanya lagi: “Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?” (Setelah malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya.” (Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)       

 

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Dalam hadith ini, Nabi saw menceritakan ada malaikat yang ditugaskan untuk mengawal rahim ibu. Kalau ikut logik akal, mana mungkin malaikat yang beratus-ratus sayap dengan fizikalnya yang besar boleh duduk dalam rahim ibu?…So inilah yang dikatakan percaya kepada benda ghaib.

Okay dalam hadith ini, disebalik Nabi saw cerita tugas malaikat, ada agenda lain yang Allah suruh rasul bagitau kat kita. Iaitu Dia nak ungkit kejadian manusia. Kalau tuan-tuan kaji al-Quran, tuan-tuan akan dapati macamana Allah ungkit golongan yang kuffur kepadaNya, dengan Dia suruh golongan itu fikir penciptaan diri. Kalau seseorang itu ada maruah diri, pasti dia akan tunduk kepada Allah setelah menyedari akan kejadian manusia ini hanya dari setitis mani yang hina. Sebab itu, Imam Ghazali pernah menyebut bahwa di antara jalan terpantas untuk kamu mengenang Kebesaran Allah ialah kamu melihat diri mu sendiri.

Bila sebut “Kebesaran Allah”, cuba tuan-tuan baca tiga ayat terakhir Suratul Hasyr. Daripada tiga ayat ini kita boleh lihat betapa hebatnya yang kata “Allah” tu tuan-tuan. Especially ayat terakhir tu, yang mention tentang tiga serangkai Kehebatan Allah swt; iaitu Dia Menciptakan, Dia Mengadakan dari yang tiada kepada ada dan Dia Membentuk rupa dengan indah. Sebab itu dalam satu hadith Nabi saw, Allah melaknat siapa yang mengukir patung-patung sebab meniru sifat Allah. Jadi bila sebut “Allah melaknat”, maknanya kes berat la tu tuan-tuan. So please be alert dengan kes anak patung apa semua ni. Menurut fatwa Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya “Al-halal wal-haram fil-Islam”, yang boleh main dengan patung hanyalah budak-budak kecik sahaja. Bapa budak jangan dok gatai nak join sama main patung. Ianya hanya untuk kanak-kanak sahaja. Ini berdasarkan hadith Rasulullah saw ketika baginda pergi melamar Saidatina Aisyah radiallahuanha yang ketika itu baru berusia 9 tahun. Semasa Nabi sampai ke rumah Abi Bakrin, Nabi melihat Aisyah sedang menyikat rambut patung kuda bersayap miliknya. Nabi tak marah dan Nabi tak suruh Aisyah lempar patung itu. Jadi berdasarkan sirah ini, ulama ambik hukum bahwa harus bagi budak-budak kecik main patung. Dan menurut Dr Yusuf Qardawi, bahwa menjadi harus juga kepada si bapa untuk membeli patung kepada si anak. Kerana dengan sukanya hati si anak, boleh pahala kat si bapa tadi. Cumanya, benda-benda patung ini jangan dihormati. Jangan dok gantung buat perhiasan pulak. Biar disepak-sepakkan dia, biar bubuh bawah kerusi saja.

Okay kembali kita kepada hadith di atas. Kalau kita perati hadith ini, kita akan dapati Allah mencipta manusia dalam peringkat-peringkat kejadian. Dia tak buat sekaligus. Apa tak boleh kah Allah buat, ketika keluar saja sperma bertemu dengan ovam wanita, terus saja jadi lembaga manusia yang complete, eg bergigi, bertutur dan sebagainya?…Boleh, awat tak boleh pula. Tapi pasai apa Allah buat manusia ini dalam bentuk step by step, yang disebut Nabi, start daripada berenangnya sperma mencari telur wanita (ovam)?…Kalau tuan-tuan buka tafsir Fi-zilal, tuan-tuan boleh lihat sempoinya tafsir Sayid Qutb tentang sperma. Dia tafsir dalam bentuk sasteranya. Sayid Qutb ni dia ada sikit jiwa sastera. So sebab tu kalau sapa takdak jiwa sastera, susah sikit la nak faham tafsir Fi-zilal ni sebab bahasa dia agak tinggi. Apa yang ana faham kata Sayid Qutb, katanya, “Bayangkan sperma ini yang berenang-renang dalam rahim wanita. Bersusah payah merempuh alam rahim. Ada yang terus menerus mara, ada yang kecundang kembali menjadi darah haid. Yang mara, rintangan menanti seterusnya. Begitulah simbolik, susahnya kehidupan si sperma itu apabila dia menjadi manusia kelak.”…Maknanya start daripada alam rahim lagi dia dah susah. Bukan senang nak mencari ovam wanita, sehingga terpaksa berenang dengan sedaya yang dia mungkin. Ini dia yang kata nu`fah (sperma) tu. Kalau kita check sperma ni bawah microskop, kita akan nampak dia ada kepala dan ada ekoq. Ianya mewarisi sifat ayah, dan ovam mewarisi sifat ibu. Jadi kalau kita nampak anak kita tu more kepada kita, maknanya genetik kita lebih. Sebab tu kalau ada anak kita jenih bebai hempas pintu bila tak dapat duit, jangan dok salahkan dia. Salahkan hangpa sebab dia ikut perangai hangpa la tu. Check tengok, kecik-kecik hangpa ada perangai macam tu tak?…Hempas-hempas pintu ni selalunya perangai orang pompuan. Hat anak lelaki lain pula. Depa buas lagu sat pi mandi sungai, sat pi mandi lombong. Terjun telanjang bulat camtu saja. Check tengok, pak dia kecik-kecik dulu suka mandi bogel tak?…Sah, confirm, pak dia pun dulu-dulu camtu la jugak. Ini dia genetik tu tuan-tuan. Dari kajian sains pula, perempuan hanya mempunyai kromosom X, manakala lelaki ada kromosom XY. So kalau sperma banyak mempunyai kromosom X, bertemu dengan kromosom wanita X, maka jadilah dia XX (anak perempuan). Begitulah juga kalau sperma banyak mempunyai kromosom Y dan bertemu dengan kromosom X wanita, maka jadilah dia XY (anak lelaki). Ini dia teori sains.

Okay kembali kita kepada persoalan, kenapa Allah jadikan manusia ini step by step?…Jawapannya ialah takdak tujuan lain selain nak mengajar kita supaya merasai betapa hinanya kejadian manusia ini. Start daripada air, jadi `alaqah. Dari `alaqah, jadi mudrah. Dari mudrah, jadi tulang belulang, kemudian jadi pula daging. Nampak tak tuan-tuan; kita bukannya jadi automatik seketoi camtu?…Dakkkk!…Kita manusia ini dijadikan dalam bentuk satu persatu, untuk menunjukkan betapa lemahnya yang dikatakan “manusia” tu.

Hina tak hina manusia ni, cuba tuan-tuan perati bila wanita start pregnant. Mengandung saja wanita, automatically darah haid pun takdak. Cuba tanya doktor, “Mana pi darah haid tu?”…Doktor akan bagitau bahwa darah itu ditukar menjadi makanan kepada si janin. Tu dia tuan-tuan, Allah buat kita sehina itu. So nak samseng apa kalau kita tau dulu kita hanya makan darah kotor dalam perut ibu?…Takkan ini pun tak boleh menyedarkan kita lagi?…Itu pun nak samseng lagi, nak lawan Allah, nak lawan Islam. Itu pun nak samseng lagi, kata macam-macam kat ulama`. Nak sekat sana, nak sekat sini. Padahal kamu yang samseng dulu tu pun, hanya makan darah kotor dalam perut ibu kamu yang ditransfer jadi makanan. Yang jadi samseng ni agak-agak tuan-tuan pasai apa?…Sebab dia tak pernah renung kejadian diri sendiri. Inilah sebabnya. Sebab itu golongan samseng ni, mereka akan bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Cuba tuan-tuan tengok Surah `Abasa:17 – 21. Kata Allah, “Celakanya manusia ini! Kenapa dia lawan Aku?!…Dia tak tengok ka daripada apa Aku jadikan dia?…Aku jadikan dia daripada airmani. Kemudian Aku tentukan qadar untuk dia, ie rupabentuk dia, warna kulit dia, rezki dia, ajal dia dan segala-galanya. Lepas tu Aku send rasul ke dunia ini supaya ditunjukkan kepadanya yang mana jalan elok dan yang mana jalan tak elok. Kemudian dia akan dimatikan dan dikuburkan.”…Nampak tak tuan-tuan; sampai tara tu Allah perjelaskan. So macam mana manusia yang kerdil ni nak lawan Allah?…Ketentuan celaka atau bahagianya ending seseorang pun Allah dah tetapkan. Tapi jangan pula kita faham qadar ketentuan Allah itu dengan fahaman jabariah atau qadariah. Contoh fahaman jabariah macam ni. Katalah ada satu couple kena tangkap berkhalwat. Lalu bila pegawai pencegah maksiat tanya kat couple tu, “Awat hangpa khalwat?”…Si lelaki tu jawab, “Nak buat macamana sheikh; Allah dah takdir kami berkhalwat.”…Nampak tak tuan-tuan; puak-puak ni pun mengaji juga. Ya memang Allah dah tentukan nasib kita sejak dari dalam perut ibu kita lagi. Itu memang betul sabit daripada hadith yang kita bahas ni. Cumanya, para ulama menyatakan bahwa Allah akan beri tanda atau signal supaya manusia yang dalam kecelakaan itu boleh buat perubahan, atau manusia yang dalam kebahagiaan itu boleh maintain kehidupan yang baiknya itu. Dalam fahaman ahlul sunnah wal jamaah, kita tak boleh bergantung bulat serah kepada takdir. Kita perlu ada usaha dan ikhtiar sebab iradah Allah swt bergantung kepada ikhtiar manusia. Sebagai contoh; masuknya Abu Jahal ke neraka sebab dia sendiri yang memilih jalan itu. Lalu Allah dengan sifat iradah, meluluskannya. Begitu juga dengan para mujahidin. Mereka pilih mati di jalan Allah. So Allah dengan iradahNya, meluluskannya juga. Itu dia tuan-tuan.

Kesimpulan.

Apabila kita hidup sebenarnya kita sedang menjalankan qada Allah yang telah tertulis sejak azali lagi. Ini tidak boleh diubah oleh sesiapa pun, samada ending kita bahagia (Alhamdulillah) atau ending kita celaka (nauzubillah), sebab semuanya ini Allah telah tentukan. Namun begitu, Allah tidak membiarkan hambaNya begitu saja. Dia letak panduan untuk hambaNya sendiri pilih samada jalan bahagia atau jalan celaka itu. Dan dengan pilihan itulah, Allah akan menentukan dengan sifat iradah yang ada pada zatNya. Sebab yang kata iradah ini, ianya bergantung kepada ikhtiar manusia itu sendiri. Sebab itu jangan kita hairan dengan wujudnya santau, sihir, ilmu hitam apa semua ni. Memang benda-benda ni semua kita tak suka dan Allah pun tak suka, tapi ianya tetap berlaku. Sebab apa?…Sebab iradah (kelulusan daripada Allah) bergantung kepada ikhtiar manusia. Ini dia tauhid tuan-tuan. Jangan jadi macam jabariah yang bergantung bulat-bulat kepada takdir. Pegangan ini ditolak oleh ahlul sunnah wal jamaah.    

tano.jpg