FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH - Muqaddimah

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH[1]
Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy
 
Muqaddimah
 
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Rasulullah, kerabat dan para sahabat serta sesiapa pun yang mengikuti petunjuknya, amma ba'd.
 
Buku ini mengandungi huraian tentang fiqah daulah dalam Islam. Ianya termasuk fiqah yang tidak banyak diketahui orang-orang Muslim pada dekad kebelakangan ini. Mereka tidak memberikan sumbangan yang memadai, dengan cara mengkaji dan berusaha membahasnya, sebagaimana perhatian yang mereka berikan terhadap fiqah yang lain, yang dibahas secara luas dan panjang lebar, terutama yang berkaitan dengan fiqah ibadah.
 
Al-Imam Ibnul-Qayyyim mengeluh akan kejumudan para fukaha pada masanya, iaitu abad kelapan Hijriyah. Sehingga mereka memaksa para pegawai yang berkuasa untuk menetapkan undang-undang politik sendiri, terlepas dari hukum syariat. Ibnul-Qayyim menyalahkan fukaha jumud ini sebagai sumber penyimpangan para pegawai dan penguasa serta jauhnya mereka dari manhaj syariat yang luas. Bahkan boleh jadi hal ini dianggap sebagai awal penyusupan hukum-hukum positif (komen saya: yang sekarang ini dianggap sebagai hukum tetap, ie undang-undang sivil), lalu menggeser hukum-hukum syariat Islam.  
 
Para fukaha yang jumud ini masih mempunyai generasi penerus hingga saat ini, yang hidup pada abad kelimabelas Hijriyah. Sekalipun mereka hidup pada zaman sekarang, tetapi mereka menggunakan akal para ulama yang telah mati sekian abad, yang segala-galanya sudah banyak berubah, berbeza jauh dengan keadaan pada masa ini. Mereka lupa bahawa Al-Imam Asy-Syafi`i boleh berubah pendapatnya dalam tempoh waktu yang relatif singkat, sehingga dia mempunyai satu pendapat yang baru dan satu lagi pendapat yang lama. Sedangkan teman-teman Abu Hanifah boleh berbeza dengannya lebih dari sepertiga pendapat-pendapatny a, kerana ada perbezaan masa mereka dengan masa Abu Hanifah. Tentang hal ini mereka berkata, "Andaikata Abu Hanifah melihat seperti apa yang kami lihat saat ini, tentu dia akan mengatakan seperti yang kami katakan, atau bahkan lebih."
 
Pernah ada tujuh riwayat yang berbeza, berasal dari Al-Imam Ahmad mengenai satu masalah, atau bahkan lebih, kerana adanya perbezaan situasi dan keadaan.
 
Kita lihat orang-orang yang menekuni bidang fiqah pada masa sekarang dan orang-orang yang mengira bahwa dirinya terjun dalam shahwah (kebangkitan) Islam, ada yang berkata, mesyuarat adalah sesuatu yang diisyaratkan, bukan sesuatu yang pasti. Boleh saja waliyul-amri  meminta pendapat orang lain agar dia mendapatkan keterangan, lalu dia abaikan pendapat Majlis Syura jika memang dia menghendaki hal itu, lalu dia tetap melaksanakan pendapatnya sendiri. Dia boleh meminta pertolongan kepada Majlis Syura, lalu mengukuhkannya jika dia mahu, atau menyingkirkannya jika dia mahu.
 
Kita melihat ada orang yang menolak multiparti di dalam daulah Islam, ada pula yang menolak pilihan raya untuk memilih seorang pemimpin daulah atau memiliki wakil-wakil rakyat yang duduk di Majlis Syura atau Dewan Rakyat. Ada pula yang menolak suara majoriti, menolak pembatasan masa jawatan pemimpin daulah untuk sekian tahun, ada pula yang berpendapat bahwa apa pun yang ada dalam sistem demokrasi mesti ditolak dan diperangi. 
 
Kita melihat ada orang yang menolak para wanita memberikan suara dalam pilihan raya umum, terlebih lagi jika ada di antara mereka yang duduk di Dewan Rakyat, yang bererti sama dengan menelantarkan setengah kuasa masyarakat. Ada pula yang tidak memberikan hak ini kepada orang-orang non-Muslim, hak memberikan suara, atau memberi peluang kepada mereka untuk bergabung dalam hukum.
 
Bahkan di sana ada orang yang berkata, "Orang Muslim tidak diperkenankan mengajukan dirinya untuk duduk di Dewan Rakyat atau posisi lainnya, kerana dengan cara itu bererti dia meminta kekuasaan untuk diri sendiri. Sementara sesiapa pun yang menuntut kekuasaan, maka dia tidak layak diberi kekuasaan."
 
Jumlah mereka ini memang tidak seberapa banyak jika dibandingkan dengan jumhur shahwah Islam, sekalipun suara mereka juga cukup lantang. Di sana ada satu kekuatan yang sudah dikenali dan memusuhi shahwah dan kesedaran Islam, yang sengaja dihembuskan menerusi orang-orang seperti itu untuk tujuan peribadi. 
 
Kebalikan dari orang-orang yang jumud ini, kita mendapatkan orang-orang yang mengingkari adanya daulah di dalam Islam yang berhukum dengan apa yang diturunkan Allah. Mereka memisahkan antara agama dan politik dengan pemisahan secara menyeluruh. Jadi tidak ada agama dalam politik dan tidak ada politik di dalam agama.
 
Mereka ingin menerapkan Islam di dunia Timur seperti penerapan agama nasrani di dunia Barat. Padahal Islam bukan Nasrani, masjid bukanlah gereja, sejarah ulama Islam di sini berbeza dengan sejarah para pemimpin gereja di sana . Di dalam Islam tidak mengenali ungkapan, "Serahkan apa yang menjadi bahagian Kaisar kepada Kaisar, dan serahkan apa yang menjadi bahagian Allah kepada Allah." Bahkan Islam menyerukan bahawa Kaisar dan apa yang menjadi milik Kaisar, semuanya adalah milik Allah Yang Esa. Islam tidak pernah mendirikan mahkamah inkuisisi yang menyeramkan seperti yang didirikan gereja untuk menghabisi para ilmuwan, cendekiawan dan pembaharu, yang masih hidup mahupun yang sudah mati.
 
Mereka ingin menelanjangi Islam sebagai kekuasaan yang temporal, yang di dalamnya tidak ada kekuasaan agama seperti dalam nasrani. Dengan kata lain, Islam ingin dibiarkan tersingkir dan lemah, tidak memiliki kekuasaan, baik dalam daulah mahupun dalam agama.  
 
Kita melihat mereka keluar dari ijmak umat yang nyata, yang diyakini sepanjang sejarahnya, bahawa Islam adalah akidah dan syariah, agama dan daulah, ibadah dan qiyadah (kepemimpinan) , solat dan jihad, bahawa Rasulullah s.a.w adalah pemimpin pertama bagi daulah Islam, dan para pengganti baginda setelah itu juga mengikuti jalan yang sudah dirintis. Sistem khilafah merupakan perwakilan atas nama Rasulullah s.a.w dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia.
 
Orang-orang sekular dari kalangan liberalis atau komunis ini berbual sebagai orang Islam, hanya sekadar pengakuan di bibir, tetapi sama sekali tidak mahu tunduk kepada hukum Islam, tidak mempedulikan perintah dan larangannya, tidak kembali kepada Kitab dan Sunnahnya. Kalaupun suatu saat mereka kembali kepada Islam, hal itu dimaksudkan untuk mengalihkan kalam Allah dari tempatnya, mencekik nas agar mahu tunduk kepada mereka, bukan mereka yang tunduk kepada nas. Yang demikian ini sama sekali bukan tingkah laku orang-orang yang memiliki iman, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):
"Sesungguhnya jawapan orang-orang Mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan: Kami mendengar dan kami patuh. Dan, mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah An-Nur: 51)
 
Mereka mencemuh Islam yang konfrehensif dan yang tidak dikenali bandingannya seperti itu sepanjang sejarah, lalu mereka menyebutnya sebagai Islam politik. Seakan-akan di sana ada macam-macam Islam, ada Islam spiritual, Islam intelektual, Islam sosial dan Islam politik. Padahal Islam adalah milik Islam ditilik dari substansi, elemen, sendi dan rujukannya, iaitu Islam Al-Qur`an dan Sunnah.    
 
Antara golongan sekular yang mengusutkan tali Islam, dengan orang-orang yang jumud dan tidak mahu melirik apa yang ada pada zaman sekarang, ada gelombang Al-Wasathiyatul- Islamiyah (Islam moderat), yang mengambil Islam dari sumbernya yang bening dan yakin bahawa itulah manhaj yang lengkap bagi kehidupan, bagi individu, keluarga, masyarakat mahupun daulah. Islam moderat ini memandang Islam dengan satu mata dan memandang zaman sekarang dengan matanya yang lain, memadukan antara yang lama penuh manfaat dengan yang baru penuh kebaikan, menyertai yang salaf dengan yang baru, membandingkan yang tetap dengan yang berubah. Di samping itu, Islam moderat ini juga mengajak untuk memuliakan akal, memperbaharui pemikiran, ijtihad dalam agama, membuat inovasi di dunia, menukil tatanan-tatanan (sistem) moden yang paling baik, melihat demokrasi sebagai tatanan yang paling baik dengan Islam setelah menyaringkan dari hal-hal yang mencela, lalu mengisinya dengan nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya.
 
Buku ini berusaha mengungkap fiqah dari satu masalah yang cukup penting, iaitu masalah daulah dalam Islam; bagaimana kedudukannya? Bagaimana hukum mendirikan daulah? Apa ciri-cirinya yang menonjol? Apa tabiatnya? Apakah itu merupakan daulah madaniyah (pemerintahan sipil atau orang awam) yang komitmen terhadap Islam, ataukah daulah teokrat diniyah (pemerintahan teokrat agama) yang dipegang para pendeta? Bagaimana cara kita membantah anggapan bahawa ini adalah pemerintahan agama yang diterapkan berdasarkan hak Allah? Apa sikapnya terhadap pelbagai parti, demokrasi, wanita dan non-Muslim? Bolehkah setiap jemaah Islam ikut bergabung dalam penerapan hukum di tengah negara sekular? Dan masih banyak masalah yang cukup sensitif dan penting.
 
Dari perbahasan ini kami berharap dapat memberikan sedikit sinar tentang masalah yang cukup penting ini, dan menjawab sebahagian syubhat yang merebak di tengah masyarakat, serta menjelaskan sikap yang adil antara orang-orang yang jumud dan sekular. Sebahagian isi dalam buku ini kami kutip dari buku-buku kami yang lain, terutama jilid kedua dari buku Fatawa Mu'ashirah (Fatwa Kontemporer) . Semoga penempatan fatwa-fatwa ini ke dalam fiqah politik boleh lebih tepat dan sesuai dengan matlamatnya.
 
Yusuf Al-Qardhawy
Kaherah, 1417/1996
 
------------ --------- --------- --------- --
Nota:
[1] Judul asal: MIN FIQHID-DAULAH FIL-ISLAM diterjemah oleh Abu Ahmad. Hakcipta dilindungi ALLAH SUBHANAHU WATA` ALA (ungkapan penerbit beginilah yang membuatkan saya berani tulis untuk disebarkan melalui internet). Bukannya apa, dalam suasana Pilihanraya Umum sekarang, kesempatan ini cukup baik untuk sama-sama kita kongsi apa yang dikatakan politik dalam Islam.