Sahih Bukhari - Jilid 2 - Bab berdiri di kanan imam sebaris dgnnya, jika imam/makmum dua orang shj

Sahih Bukhari

Jilid 2

Al-imam al-Bukhari rahimallahu ta`ala apabila meriwayatkan hadith-hadith dalam sahihnya, kadang-kala hadith-hadith berkenaan diulang lebih dari sekali seperti hadith “innamal `amalu bin niat” (sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat) telah diriwayatkan berulang-ulang kali dalam sahih Bukhari. Disebabkan hadith-hadith yang berulang-ulang seperti inilah menyebabkan di dalam Sahih Bukhari mempunyai 7000++ hadith.

Al-imam al-Bukhari meletakkan banyak bab dalam sahihnya. Jadi, berlakunya hadith-hadith berulang kerana ia berada di dalam bab-bab tersebut. Seperti hadith “innamal `amalu bin niat” itu ada dalam bab niat dan ia ada dalam bab solat.   

Kadang-kala beliau masukkan hadith yang sama dari jalan sanad yang berbeza, dalam ertikata lainnya ialah dari rawi yang berbeza. Hadith-hadith seperti ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

Dari rujukan kitab Sahih Bukhari, sebenarnya bukan banyak itu sahaja hadith yang ada pada al-imam al-Bukhari. Dalam pengembaraan beliau, banyak hadith-hadith yang dikutipnya, tetapi setelah disaring dan diputuskan di sisinya adalah sahih, maka barulah beliau memasukkannya ke dalam kitab Sahih Bukhari. Dan para ulama yang datang menganalisa hadith-hadith Bukhari mendapati bahwa keputusan Bukhari memutuskan hadith-hadith di dalam sahihnya itu sebagai sahih adalah benar-benar sahih. Kenapa kita bangkitkan persoalan ini?...Sebabnya ialah ada juga kitab-kitab sahih yang lain, walaupun penulisnya mengatakan sahih, namun setelah dianalisa dan disemak oleh para ulama hadith, maka didapati kesimpulannya bahwa adanya hadith-hadith di dalam kitab-kitab tersebut tidaklah sahih. Sebagai contohnya di dalam Sahih Ibnu Hibban, dimana Ibnu Hibban agak memudahkan dalam meletakkan keputusan sahih. Begitu juga dalam kitab al-Mustadrak `ala-Sahihain tulisan al-Hakim an-Naisaburi, dimasukkan hadith-hadith yang dikatakan sahih walaupun tidak diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Namun setelah dikaji oleh para ulama hadith (antaranya ialah al-Imam Dzahaby rahimahullah yang meninggal dunia pada tahun 748 Hijrah), didapati bahwa sebahagian yang disebut sebagai sahih oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak, sebenarnya tidaklah sahih. Kenapa berlaku sedemikian di dalam kitab al-Hakim dan Ibnu Hibban?...Ini bergantung kepada spesifikasi sukatannya tuan-tuan. Kalaulah “penapis” yang digunakan besar, kemungkinan banyak benda akan terlepas. Tapi kalau “penapis” yang digunakan itu kecil, maka sudah pasti yang disaring itu benar-benar tulin. Demikianlah yang dilakukan oleh al-Imam Bukhari di dalam kitabnya “Sahih Bukhari”.

Bab berdiri di kanan imam sebaris betul-betul sama dengan imam (bihiza ihi sawa an), jika imam dan makmum dua orang sahaja.

Mula-mula sekali apa yang perlu kita faham apabila al-Imam Bukhari meletakkan bab di dalam Sahih Bukhari, ialah kerana ia terbit dari kefahaman imam Bukhari sendiri terhadap sesuatu hadith. Jadi di dalam hadith ini, apa yang difaham oleh imam Bukhari ialah sekiranya solat dilakukan oleh hanya dua orang, maka makmum kena duduk dikanan imam dan betul-betul sama sebaris dengan imam (bihiza ihi sawa an). Maknanya bukan makmum belakang sedikit seperti yang dipraktikkan oleh kebanyakan kita hari ini. Inilah mazhab imam al-Bukhari dan inilah mazhab kebanyakan ulama-ulama hadith.

Bukannya apa tuan-tuan, kalau kita lihat dari bahasa Arab, sebutan “bihiza`” yang datang dari perkataan “haza`” bermaksud “sama”. Cuba tuan-tuan lihat hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar radiyallahuanhu ketika melihat cara Nabi saw angkat tangan ketika takbir, dia kata, “Nabi apabila takbir, baginda mengangkat kedua tangannya sama selaras dengan bahunya (...bihiza i aw hazwa man kibaih).”...Jadi, kita bila angkat takbir, angkat betul-betul selaras dengan bahu. Jangan macam orang malas yang angkat lebih kurang saja. Ataupun dalam riwayat Malik ibnu Huwairis (sahabat Nabi saw yang datang bersama kawan-kawannya, duduk dengan Nabi sekitar 20 hari) yang melihat solat Nabi saw, katanya, “Ka na yar faq `u ya dai hi yu hazi uzunain (Baginda angkat tangannya selaras dengan telinga).”...Jadi, angkat takbir ikut sunnah Nabi saw ialah dalam dua keadaan ini sahaja.

Tuan-tuan bila sebut solat ikut sunnah Nabi saw; apa yang ana perati hari ini, ramai dikalangan kita kurang mengambil perhatian perihal pentingnya solat yang dilakukan oleh mereka adakah sama seperti yang dilakukan oleh Nabi saw?...Kereta yang kita naik tiap-tiap hari tu, selalu kita pi check adakah dalam keadaan selamat digunakan ataupun tidak. Barang yang kita beli kat kedai, selalu kita tanya kat tokey kedai, ini ori atau tidak?...Tapi dalam bab solat, kita tak pernah tanya, adakah solat kita tu betul-betul macam solat Nabi yang pastinya original daripada Allah swt?...Seperti yang kita sebut Malik ibnu Huwairis tadi, apabila Nabi saw tengok Malik dan kawan-kawannya agak rindu dengan kaum keluarga mereka setelah lama mengaji dengan Nabi, maka Nabi suruh mereka pulang. Dan antara perkara penting yang Nabi pesan sebelum mereka pulang ialah Nabi kata, “Sollu kama ro ai tumuni usalli (Kamu sembahyanglah sepertimana kamu lihat aku sembahyang).”

Dulu ketika kita belajar sembahyang di sekolah, kita ikut sebijik seperti yang diajar oleh ustaz sekolah tanpa seorang pun bangkit bertanya, adakah demikian seperti solat Nabi saw?...Ana pernah sembang dengan sorang ustaz lulusan Madinah yang kemudiannya balik berkhidmat di salah sebuah pondok di Kedah. Ana kata, “Ketika ini banyak kita lihat kursus-kursus solat cara Nabi dikendalikan. Walaupun kita lihat sambutannya baik tapi kalau nak dibandingkan peratusan seluruh orang Islam di negara kita, kehadiran masih lagi amat rendah. Jadi ramai yang tak ambil pusing tentang kursus tu. Ambil contoh di surau tempat ana kerja, bila ana tanya kat beberapa orang kawan, “Agak-agak, betoi ka cara hangpa solat tu? Agak-agak macam solat Nabi ka tu?”...Semua depa kata, itulah yang depa belajar kat sekolah dulu, sedangkan ramai ana lihat menghadapi masalah seawal angkat takbiratul ihram lagi. Maknanya, sampai ke tua depa masih berpandukan solat seperti yang diajar kepada mereka waktu di sekolah dulu. Jadi di sini, daripada kita habiskan masa kendalikan kursus-kursus solat cara Nabi yang belum tentu semua orang hadir, kenapa tidak kita start ajar solat cara Nabi di sekolah-sekolah yang pasti kehadirannya compulsory?”...Ustaz sahabat ana tu kata, “Kalau maksud enta masalah lafaz usolli tu, kita ajar kat pondok-pondok begitu sebab nak bagi budak-budak tu faham sebab kita bukannya Arab.”...Ana tanya balik satu benda saja, “So, macamana pula anak-anak umat Islam yang bukan Arab macam di Eropah, Amerika, Afrika, China dan sebagainya; adakah mereka diajar dengan kaedah yang sama seperti yang diajar di sekolah-sekolah kita di Malaysia?”...Ini persoalannya tuan-tuan.

Namun yang lebih teruk, hat jenih tak mengaji, solat ikut orang ramai buat. Contohnya selepas bagi salam belah kanan, dia angguk macam Jepun tunduk hormat, kemudian baru dia bagi salam belah kiri. Perbuatan seperti itu, tidak ada kitab yang bagitau dan tidak ada ustaz yang suruh, namun inilah yang dikatakan terikut-ikut dengan rentak orangramai. Dan contoh satu lagi, iaitu selepas bagi salam belah kanan, depa baca doa minta keredaan Allah dengan syurga, kemudian bagi salam belah kiri, baca doa dijauhkan dari api neraka. Ana pernah tanya kat sorang yang lakukan amalan tu, “Enta ambil kat mana cara macam tu?”...Sheikh tu kata, “Ini adalah petua daripada tok guru saya.”...Sedangkan kita tahu amalan solat sekali-kali tidak boleh petua dari sesiapa pun dan sekali-kali tidak ada rujukan melainkan dari al-Quran dan sunnah Nabi saw. Maknanya, segala cara dan kaifiat solat hanya ada dalam hadith-hadith Nabi saw.

Tuan-tuan, yang kata manusia ni, sifat ingin mengabdikan diri kepada Tuhan memang menjadi fitrah semulajadi manusia. Cuba lihat hindu dan budha. Ajaran-ajaran mereka juga sedang mencadangkan cara untuk mendekatkan diri dengan tuhan. Ada yang wel-wel, ada yang angguk-angguk, ada yang bakar gaharu sampai alam sekitar jadi jerebu; namun kesemua jalan itu tidak diikhtiraf kerana sama sekali tidak serupa seperti jalan yang dikehendaki oleh Zat empunya yang diabdikan diri, iaitulah Allah `azzawajal. Katalah kita dijemput ke istana raja, boleh ka kita angkat tangan bagi salam kat agong, “Assalamu`alaikum tuanku!”?...Kat kawan kita boleh la buat macam tu. Tapi kat agong, boleh ka macam tu?...Tak boleh, agong marah sebab bagi raja, dia ada caranya tersendiri, walaupun bagi kita itu satu penghormatan, tapi bagi dia tidak. Ini makhluk tuan-tuan, apatah lagi Allah jalla wa`ala, walaupun tidak boleh dibuat perbandingan dan permisalan, tapi inilah sebagai contoh untuk difahamkan kepada tuan-tuan tentang permasalahan apa yang dikatakan sebagai cara mendekatkan diri kepada Tuhan.

Maka para ulama menyebut bahwa untuk mendekatkan diri kepada Allah `azzawajal sebagai tanda tunduk dan patuh kepadaNya merangkumi dua makna. Yang pertama ialah patuh hanya kepada Allah, dan yang kedua ialah tidak patuh melainkan dengan cara yang Allah kehendaki.             

   

Telah menceritakan kepada kami (imam al-Bukhari) dari Sulaiman ibnu Harb (guru imam Bukhari yang thiqah) yang disampaikan oleh Syu`bah ibnu Hajjaj daripada al-Hakam yang berkata: "Aku mendengar dari Sa`id ibnu Jubair (menantu Abu Hurairah radiyallahuanhu) yang mengambil dari Ibnu Abbas radiyallahuanhuma,

[ Inilah rangkaian yang dinamakan sebagai sanad. Menurut ulama-ulama hadith bahwa barangsiapa yang memberikan sanad, maka dia bertanggungjawab sebab dari sanad-sanad itulah hadith-hadith dibezakan dari segi status antara satu sama lain. Kalaulah didapati ada rawi pembohong dalam sesuatu rangkaian sanad maka hadith tersebut ditolak. Begitu juga kalau ada rawi yang kurang kuat ingatannya, juga hadith tersebut jatuh dari status sahihnya kepada kurang sahih. Kuatnya ingatan para rawi diuji dalam dua keadaan. Pertamanya dhabs al-kitaba (jaga penulisannya). Misalnya, katalah ada seorang ulama hadith walaupun telah dibuktikan dipercayai oleh ulama lain namun kalau dia tidak menjaga tulisan-tulisannya, seperti meletak tulisan-tulisannya itu di merata-rata tempat, lalu kalau ada ahli-ahli hadith yang lain melihat akan hal demikian dan melaporkannya, maka riwayat ulama hadith (perawi) yang cuai tadi akan dipertikaikan kerana bimbang ada orang lain dah edit dalam penulisannya itu.

Ataupun keduanya diuji dalam keadaan ad-dhabs Hif (hafalan). Disinilah letaknya kehebatan ilmu hadith dari segala displin ilmu-ilmu yang lain. Qualiti hafalan para rawi akan disemak oleh para ulama-ulama hadith dengan membuat perbandingan (tatabbu` ar-riwayat). Sekiranya dalam sesuatu hadith, semua rawi sebut sama melainkan ada seorang yang tak sama, lama kelamaan (setelah disemak) pasti si rawi yang tak sama itu akan dipertikaikan. Para ulama hadith akan semak setiap data para rawi seperti tarikh kelahiran dan kematian mereka, tarikh berjumpanya antara para perawi, di mana tempat mereka berjumpa, semuanya disemak in detail. Sebab itu dalam Islam, terdapat kutub-khanah khas dinamakan sebagai "khutubul rijal", yang menyimpan biodata para perawi hadith dan komentar para ulama hadith terhadap mereka.

Kembali kepada perbahasan hadith. Hadith ini diceritakan oleh Ibnu Abbas radiyallahuanhuma. Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutholib, sepupu Nabi saw. Dari silsilah keturunan inilah munculnya kerajaan Abbasiyah, yang mengambil-alih pemerintahan dari Bani Umaiyah. Jadi, apabila kerajaan Abbasiyah dari keturunan Nabi saw, maka ulama-ulama yang berada di sekeliling pemerintah ketika itu amat suka mengampu sehingga pemerintah lupa diri. Inilah masalah kita dalam Islam. Dia ada dua tuan-tuan. Pertama ialah ulama-ulama kaki ampu, yang kerjanya hanya mengampu pemerintah. Belum sempat pemerintah berucap, depa dah mengiyakannya. Kalau pemerintah silap dalam sesuatu isu, depalah yang akan cari dalil untuk menghalalkan kesilapan tersebut. Dan yang kedua ialah hat jenih kaki lawan. Lawan ni sampai tak kira siang malam. Tak kiralah benda tu betoi ka, salah ka, depa tetap lawan. Kedua-dua golongan inilah yang merosakkan pemerintahan Islam, baik yang mengampu mahupun yang lawan tak kira tempat. Mereka telah menyimpang dari pendirian sebagai Muslim, yang menegur akan kesalahan, dan sokong akan kebenaran.

Syaiban ar-Ra`i, seorang pendakwah pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid[*], walaupun beliau tidak alim sangat, namun beliau sering memberi nasihat-nasihat yang bagus. Suatu hari ketika beliau diminta oleh Khalifah Harun ar-Rashid mengeluarkan nasihat, Syaiban ar-Ra`i kata, "Wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya engkau bersahabat dengan para ulama yang senantiasa menakutkan engkau sehingga datang kepada engkau keamanan, itu lebih baik daripada engkau bersahabat dengan ulama yang selalu memberi kepada engkau pujian dan keamanan dengan menyatakan "engkau ahli bayt, engkau ahlu bayt, engkau akan diampunkan oleh Tuhan" sehingga datang kepada mu ketakutan."...Kata Harun ar-Rashid, "Tafsirkan makna kata-katamu itu?"...Jawab Syaiban, "Wahai Khalifah. Dengan engkau mendengar nasihat para ulama yang berani mengatakan kepadamu "takutkanlah kepada Allah, jangan engkau buat begini kerana ia berdosa di sisi Allah" sehingga engkau sentiasa takut dengan amarannya, sehingga engkau merasa aman di sisi Allah `azawajal, itu lebih baik daripada engkau berkawan dengan para ulama yang mengampu dengan selalu mengatakan "engkau bagus, Tuhan ampun engkau" sehingga satu hari Allah akan letakkan engkau di tempat yang engkau akan takut."]

katanya: "Aku bermalam di rumah saudara perempuan dari ibuku bernama Maimunah (isteri Rasullallah saw).

[ Dalam hadith ni diterjemah Maimunah sebagai ibu saudara sebelah ibu sebab merujuk sebutan Ibnu Abbas dengan perkataan "kholati" (rujuk teks bahas Arab), yang dalam bahasa Arabnya bermaksud emak saudara sebelah ibu. Kalau "ammati" ia bermaksud emak saudara sebelah bapa. Inilah keistimewaannya bahasa Arab, dengan hanya satu perkataan sahaja, dia boleh pecah banyak. ]

Selepas sembahyang Isyak di masjid, kemudian baginda saw datang di rumah terus bersembahyang empat rakaat. Sesudah itu baginda tidur. Kemudian selepas itu baginda saw bangun berdiri untuk bersembahyang (tahajud). Lalu aku datang berdiri pula di sebelah kirinya. Tiba-tiba baginda saw menjadikan aku berada disebelah kanannya (tarik aku ke sebelah kanan).

[ Dalam hadith lain, Ibnu Abbas mendetailkan. Ketika itu usianya hanya sekitar 6-7 tahun. Walaupun dalam usia begitu, Ibnu Abbas mempunyai kesedaran yang hebat. Inilah kelebihan Islam yang mampu menjadikan orang yang berpegang dengannya lebih pantas matang secara perbandingan lebih dari cara hidup yang lain. Sebab itu kita tengok apabila seseorang tu tidak ada roh Islam dalam diri dia, umur 40 tahun pun masih rugged dengan subang sebelah di telinga, ikat kepala dengan bendera Amerika lagi. Cakap pun "lu gua, lu gua". Pening kita tengok golongan macam ni. Tapi bila ada roh Islam, benda-benda buang masa macam ni akan mai dalam fikiran kita, "Ish! tak patut dah dok buat benda-benda macam ni."...Islam itu sendiri menjadikan kita matang, berpendirian dan berprinsip. Tetapi dalam keadaan yang lain, jangan pula dilihat macam orang berugama, tetapi realiti berpendirian tak tentu hala, sentiasa datang lewat, buat kerja sambil lewa, pandu laju macam F1, kalau ustaz macam tu, berat sangat la tuan-tuan. Ada something wrong tu.

Okay dalam riwayat yang lain, Ibnu Abbas sebut Nabi saw tarik telinga dia dan letakkannya di sebelah kanan walaupun ketika itu baginda sedang solat. Inilah dalil menunjukkan sebenarnya dalam urusan solat kita boleh melakukan pergerakan. Contoh, katalah dalam saf, orang yang di sebelah kita agak rengang, dalam keadaan ini kita boleh tarik dia rapat dengan kita. Tapi kalau dia terkejut tunjuk ketegaq tak mau rapat, biaq pi kat dia. Jangan kita pi tarik dia juga-juga. Biarkan dia sehingga habis solat. Lepas solat elok-elok kita berbincang bagitau keadaan sebenar kat dia. Begitulah juga kalau ada orang melintas depan kita sewaktu kita sembahyang sunat sorang-sorang. Ketika itu kita boleh sekat orang tu. Tapi kalau dalam jamaah, kita tak boleh tahan orang yang melintas. Di sini ada perbezaannya sebab dalam jamaah, sutrah imam adalah sutrah makmum. Sebab itu dalam satu hadith Imam Bukhari riwayat Ibnu Abbas juga, berlaku di Mina ketika itu Nabi saw tengah jadi imam solat orangramai, kata Ibnu Abbas, "Aku naiki keldai dan aku lintas di tengah-tengah saf, namun tidak ada seorang pun bantah perbuatan ku itu."...Jadi, kalau dalam waktu solat Jumaat, katalah ada seorang batal ketika melakukan solat, maka tidak menjadi kesalahan untuk dia keluar berjalan melalui tengah-tengah jamaah, pergi ambil wuduk, dan sambung semula solatnya. Dia tidak perlu tunggu hingga habis orangramai solat. Yang dilarang lintas ketika solat berjamaah ialah di hadapan imam, bukan di hadapan makmum. Tapi dalam hal solat sunat sorang-sorang, para fukaha` telah menyebut beberapa keadaan. Pertama, sekiranya seseorang itu solat di tempat biasa, kita nampak dan kita sengaja lintas depan dia, maka kita berdosa. Tapi kalau kita tak nampak dan tidak sengaja melintas, Allah ta`ala mengangkat kalam daripada orang yang lupa, dan orang yang tak tau. Yang kedua, katalah seseorang itu sengaja pi solat di depan pintu yang menjadi kebiasaan tempat orang lalu-lalang, ketika itu kalau ada orang melintas depan dia, yang berdosanya ialah orang yang solat depan pintu tu, bukan orang yang melintas sebab dengan dia solat kat depan pintu menyusahkan orangramai untuk melintas.

Jadi pointnya di sini ialah kita boleh melakukan gerakan dalam solat dalam urusan solat. Kalau kita bawa anak kecil ke masjid, ketika solat kita bimbang dia pi pegang apa-apa, maka kita boleh angkat dan dokong dia sambil solat. Nabi saw sendiri melakukannya dalam hadith baginda mendukung Umamah binti Abi `As ketika baginda solat. Ini dia tuan-tuan betapa mudahnya Islam. Tidak ada orang yang menyusah-nyusahkan dalam hal agama melainkan dia sendiri akan jadi payah. Allah ta`ala mau daripada kamu senang, dan Allah tak mau daripada kamu susah. ]

Seterusnya baginda saw bersembahyang lima rakaat, kemudian sembahyang lagi dua rakaat dan sehabis itu lalu tidur, sehingga aku dapat mendengar dengkur atau suara di waktu tidurnya. Sesudah itu baginda saw keluar untuk mengerjakan solat Subuh."

[ Perlu kita tahu bahwa yang kata sunnah Nabi saw adalah terdiri daripada beberapa jenis. Ada perkara yang berlaku kepada diri Nabi saw yang disebut sebagai “jibiliyah”, ia berlaku di atas dasar kearaban atau keinsanan Nabi. Contohnya dalam hadith ini ialah dengkuran Nabi ketika baginda tidur. Ya memang dari segi istilahnya dengkuran itu juga adalah sunnah kerana apa sahaja yang terbit daripada Nabi saw adalah sunnah. Tapi adakah disunatkan kita tidur berdengkur?...Tidak tuan-tuan kerana dengkuran dalam tidur Nabi itu adalah menunjukkan baginda juga manusia. Di dalam al-Quran, berulang-kali Allah menegaskan Rasulullah saw itu hanya seorang manusia. Antaranya Nabi sebut dalam al-Quran, "Katakanlah aku ini manusia seperti kamu. Cumanya diwahyukan kepadaku."...Oleh sebab itu, Allah bekalkan kepada Nabi ciri-ciri manusia seperti perasaan dukacita, perlu kepada makan minum, buang air, rasa letih, kadang-kadang cedera dalam peperangan dan sebagainya. Bukannya apa tuan-tuan; kalau kita kaji sejarah manusia, akan didapati apabila manusia puji dan puja secara berlebih-lebihan, dia akan ada kecenderungan untuk mengangkat individu yang dipuja itu kepada martabat ketuhanan. Maka akibatnya akan menjadikan agama yang sepatutnya membawa manusia kepada tauhid mengabdikan diri kepada Allah, akhirnya menyimpang menjadi syirik kerana mengabdikan diri kepada selain daripada Allah.

Contohnya lihat saja kristian. Tuhan hantar Nabi Isa alaihissalam dengan memberikan beberapa kelebihan kepadanya, namun apabila manusia gagal membezakan antara rasul dan Tuhan, maka lama-kelamaan mereka tabalkan rasul menjadi tuhan. Keadaan ini berlaku dalam banyak agama lain. Lalu bila Islam datang, Islam tegas dalam masalah ini. Cuba lihat ayat pertama dalam Surah Isra` ketika Allah menceritakan tentang peristiwa hebat Isra` wal Mikraj. Kita kena faham, pada zaman Nabi, tidak ada alat seperti tv yang mereka-cipta cerita-cerita fiction yang boleh manusia menggambarkan adanya perjalanan yang begitu pantas seperti cerita x-men, superman apa semua tu. Zaman dulu takdak semua tu, so manusia ketika itu tidak dapat membayangkan adanya satu manusia yang boleh berjalan dalam perjalanan ribuan batu dalam satu malam sahaja. Jadi, orang zaman dulu untuk menerima cerita macam ini adalah amat-amat sukar. Oleh sebab cerita Isra` wal Mikraj itu suatu yang begitu ajaib dan bimbang akan berlakunya salah faham, maka Allah terus menyebut, "Maha suci Tuhan daripada segala kekurangan, menjalankan hambaNya pada waktu malam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati di sekelilingnya."...Nampak tak tuan-tuan bagaimana Allah sebut diri nabiNya itu sebagai hamba. Dia tak sebut rasul, Dia tak sebut Muhammad. Disebut begitu supaya orang yang membaca al-Quran menyedari bahwa Muhammad yang dijalankan itu adalah hamba Tuhan. Kekuatan dan kehebatan bukan berpunca dan bersumber daripada Muhammad, sebaliknya ia adalah bersumber dari "Maha suci Tuhan yang menjalankannya". Dengan itu, aqidah orang Islam bersih dalam masalah ini.

Pernah seorang datang kepada baginda saw, sambil melaung, "Wahai Rasulullah! dengan apa yang Allah dan engkau kehendaki?!"...Cepat-cepat baginda potong dengan menjawab, "Adakah engkau nak jadikan aku sekutu Tuhan? Katalah sahaja: Apa yang Allah sahaja kehendaki?"...Maka selepas wafatnya Rasulullah, tidak ada orang Islam yang melaung-laung depan makam Nabi, "Wahai Rasulullah! berikanlah hajat ku!", melainkan orang itu telah melakukan sesuatu yang syirik. Tuan-tuan, Nabi saw meninggalkan Islam dalam keadaan sebersih-bersihnya. Tidak pernah seorang pun di kalangan para sahabat radiyallahuanhu pergi tunai nazar di makam Nabi apabila berlaku apa-apa masalah.

Berbalik kepada sunnah Nabi tadi yang terbahagi kepada beberapa perkara. Umpamanya seperti baginda tidur berdengkur, walaupun datangnya dari Nabi saw, tetapi ia tidak disunatkan kepada umatnya untuk tidur berdengkur sebab berdengkur itu dianggap sebagai tabiat biasa manusia yang ada pada rasul. Begitu juga Nabi pakai jubah, ia menjadi khilaf dikalangan ulama, dimana kebanyakannya berpendapat bahwa pemakaian jubah tidak menjadi sunnah yang dituntut kerana ia adalah pakaian Nabi berdasarkan baginda dilahirkan di negeri Arab. Namun sapa nak pakai, ahlan wasahlan, dipersilakan. Demikianlah juga halnya dengan masalah Nabi jalan pakai tongkat. Para ulama turut membincangkan hal ini. Kekadang kita tengok masih muda-muda, dah pakai tongkat. Bila tanya kenapa pakai tongkat?, depa kata, "Sunnah, sunnah, sunnah!"...Tuan-tuan, kalaulah pakai tongkat itu sunnah, bayangkan kat mana nak parking tongkat-tongkat para jemaah yang ramai mai solat di masjid? Parking kasut ada, parking tongkat ana tak pernah tengok lagi. Bila sebut kasut, teringat dulu pernah diiklankan kasut Nabi dalam Harakah (hat bentuk tajam kat depan tu). Semua ni mengarut tuan-tuan. Tuntutan didatangkan Nabi bukan di situ. Ini semua melambangkan kedangkalan faham terhadap agama. Dok kira kasut tajam, janggut nak simpan panjang mana, nak pakai jubah ka taknak pakai, itu yang disibukkan. Orang nak murtad keluar Islam ka, IFC ka, FTA ka takdak nak pikiaq dah masalah tu. Boleh mai masjid bawa tongkat, pegang tasbih kira ok. Macam tu ka Islam?

Tuan-tuan, apa yang dipertahankan oleh para sahabah radiyallahuanhu bukan yang disebut di atas tadi. Yang mereka pertahankan ialah aqidah Nabi, syariat Nabi, perundangan Nabi, hukum hakam Nabi dan perjuangan Nabi saw. Yang mana semua ini tidak ada di atas mukabumi, melainkan dengan kedatangan Nabi. Kalau Nabi tak mai pun, Arab tetap pakai jubah. Kat tv kita boleh tengok tok-tok Arab pakai jubah, melompat-lompat tengok bola di stadium, siap dengan lilit kepala macam Mujahidin lagi. Itu sebab jubah adalah pakaian orang Arab. Tetapi aqidah dan syariah tidak ada melainkan dengan datangnya Muhammad bin Abdillah.

Namun setelah berlalunya zaman para sahabah radiyallahuanhu, zaman tabiin dan zaman tabiin tabiin; maka mula timbul orang-orang yang dinamakan sebagai ahlul bida`ah. Mereka melakukan bida`ah di dalam aqidah. Mereka rasa tidak cukup minta kepada Allah ta`ala, lalu ditambah minta pula kepada rasul. Sebab itu hari ini di Madinah, polis-polis Arab melarang para jamaah haji berdoa di makam Nabi lama-lama, depa kata, "Ya haji! doa pada Allah! doa pada Allah!"...Bukannya apa; macam kita orang M`sia yang datang dari jauh, apabila nampak makam Nabi, dia jadi kagum, "Ya Rasulullah! tolong anak aku sakit."...Dengan tidak dapat mengawal perasaannya, dia telah melakukan syirik kerana meletakkan makam nabi menjadi makam Tuhan.

Selain ahlul bida`ah, timbul juga puak-puak extreme seperti puak syiah. Kalau extreme kepada Nabi itu takpa, tapi mereka extreme kepada kaum keluarga nabi sehingga tabal kaum keluarga nabi setaraf dengan kedudukan nabi. Tuan-tuan, di dalam beragama, ada dua benda kita kena jauhi, iaitu ifrad dan tafriq. Maknanya tak boleh cuai dan tidak boleh melampaui batas dalam beragama. Siapa yang buat tak tau, buat lebih kurang dengan agama, sesat dia. Dan siapa yang beragama lebih dari yang dituntut oleh agama (melampau), dia juga sesat kerana kedua-duanya adalah jalan syaitan, kata Ibnu Taimiyah rahimahullahu ta`ala. Kalau tuan-tuan pergi ke Iran, tuan-tuan akan dapati di dalam bangunan-bangunan mereka, lebih banyak perkataan "Ya Ali" daripada perkataan "Ya Allah". Apabila ditanya, adakah Ali lebih diagungkan daripada Allah?...Depa kata, "Tak. Kita semua jauh dari Allah. Dengan bertawassul kepada Ali, menjadikan jalan dekat kepada Allah."...Nampak tak tuan-tuan; sama saja apabila Nabi saw menentang berhala-hala Quraisy. Kaum Quraisy kata kat Nabi, "Kami tak sembah berhala melainkan orang-orang soleh ini (berhala berasal dari arca-arca yang menggambarkan orang-orang soleh) mendekatkan kami dengan Allah."...Sedangkan hari ini, orang-orang kristian keluar dari kristian kerana tak mau sembah Isa, tiba-tiba masuk Islam kena sembah Ali pula, tak kalut punya cerita ka tu tuan-tuan?

Selain Iran, Mesir juga antara tempat yang banyak kerja kurafat. Yang mulia Imam as-Syafie, penegak sunnah Nabi saw, tauhidnya bersih kepada Allah ta`ala, tapi kalau tuan-tuan pergi ziarah makamnya di Mesir, penjaga makam di situ akan minta tuan-tuan bayar $20 untuk ditunjukkan bekas tapak kaki nabi ketika baginda datang ziarah makam imam Syafie. Nampak tak tuan-tuan; betapa tidak logiknya Nabi saw yang wafat pada tahun 10 hijrah boleh pergi melawat imam Syafie yang meninggal dunia pada tahun 204 hijrah?...Yang peliknya, ada juga ustaz-ustaz yang bawa cerita begini dalam ceramah-ceramah. Inilah puncanya yang membuatkan orang-orang awam jadi keliru. Tolong la tuan-tuan, Islam untuk generasi moden hari ini, jangan dikelirukan dengan cerita-cerita bodoh, cerita-cerita kartun, cerita-cerita kurafat sebegini. Jangan dibawa masuk cerita-cerita macam ni dalam masjid. Karut semuanya itu. Dalam keadaan sekarang ketika semua orang sedang mempertikaikan Islam seperti "sisters in Islam", geng-geng Islam liberal dan seumpamanya, tiba-tiba ada lagi ustaz-ustaz dok bawa mai cerita-cerita dongeng, cerita-cerita mitos dalam masjid. Orang kristian lari dari agamanya kerana penuh dengan kesyirikan dan kekarutan, tiba-tiba bila mai kat Islam, suruh minta kat tok wali pula dah. Tergamakkah kita menyebut nama wali dengan meninggalkan Allah ta`ala? Tergamakkah kita memanggil nama "Ya Sheikh Abdul Qadir Jilani" dengan meninggalkan "Ya Rabbi"? Ini adalah syirik. Barangsiapa yang memanggil, "Ya Sheikh Abdul Qadir Jilani! tunaikan hajatku!", maka terkeluar dia daripada Islam...nauzubillah.

Dengan keadaan dunia Islam ditekan dari segenap sudut hari ini, maka umat Islam tidak ada percaturan lain melainkan kempen besar-besaran menyeru umatnya kembali kepada Islam sebenar. Berbagai-bagai jenis Islam telah diperkenalkan, namun semuanya gagal. Dan dalam keadaan yang sama, ramai di barat juga turut meninggalkan kristian. Mereka sedang mencari suatu agama baru yang boleh memberikan ketenangan yang bersih dari sebarang penyelewengan. Ramai dikalangan mereka tahu bible itu sendiri telah ditokok-tambah oleh paderi-paderi seperti yang disifatkan oleh Allah di dalam al-Quran (bermaksud), "Mereka mengambil pendita-pendita sebagai tuhan selain dari Allah ta`ala."...Jadi adakah kita nak hidangkan kepada orang-orang yang baru masuk Islam ini dengan agama yang tokok-tambah juga? Jangan tuan-tuan. Mestilah dihidangkan Islam yang bersih dari sebarang tokok-tambah, baik dari tokok-tambah orang tua-tua Melayu, tokok-tambah orang tua-tua Arab, tokok-tambah orang tua-tua India mahupun dari orang tua-tua bangsa apa sekali pun. Kalau dalam bab urut patah tangan apa semua tu, yang tu takpa serah kat orang tua-tua. Namun dalam bab agama, ia hanya milik Allah dan rasul. Bukannya apa tuan-tuan, Islam yang bersih bulat dari Rasulullah saw sahaja yang mampu menghadapi dunia serba moden sekarang. Islam tulin dari Rasulullah inilah yang boleh membanteras fahaman Islam liberal yang cuba mempengaruhi generasi muda hari ini dengan kononnya boleh memberi pemikiran terbuka. ]

----------------------------------------------------------------------------

[*] Pertama sekali yang perlu kita bagitau tentang Khalifah Harun ar-Rashid ialah beliau adalah seorang pemerintahan dari kalangan Bani Abbasiyah yang mempunyai hubungan baik dengan para ulama. Beliau sering menangis mendengar nasihat-nasihat dari para ulama. Kita sebut benda ni bukannya apa tuan-tuan, sebab buku-buku dongeng kanak-kanak di pasaran hari ini sering kita dapati ada satu watak bernama Abu Nawas yang suka memperbodoh-bodohkan Khalifah Harun ar-Rashid. Ini cerita bohong tuan-tuan. Sebenar watak Abu Nawas tidak ada. Yang ada pada zaman Abbasiyah ialah seorang penyair bernama Abu Nuwas, yang mempunyai perwatakan yang jahat. Beliau kaki mabuk dan kaki perempuan. Namun musuh-musuh Islam telah bentuk watak beliau menjadikan dia pandai. Sebab itu, Ibnu Khaldun dalam kitabnya "Muqaddimah", beliau telah mengkritik cerita-cerita yang mengaitkan Harun ar-Rashid dengan kejahatan. Inilah kerja-kerja musuh Islam, yang apabila mereka gagal memalsukan rujukan tertinggi umat Islam al-Quran, mereka beralih menyerang dengan menokok tambah dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Bila sebut "tokok-tambah" ni tuan-tuan, kita sebagai Muslim kena alert. Dalam hal Khalifah Harun ar-Rashid dan Abu Nawas, memang itu kerja musuh-musuh Islam. Tapi setengah dari kalangan orang Islam sendiri juga sangat suka "tokok-tambah" dalam penulisan mereka, lebih-lebih lagi berkenaan ulama-ulama yang amat mereka kagumi. Namun setelah diselidiki, didapati ada sebahagian "tokok-tambah" itu tidak benar. Kita hormat al-Imam Syafie rahimahullahu ta`ala. Tetapi ada sebahagian buku-buku tulis bahwa Imam Syafie ketika berusia 9 tahun sudah boleh memberi fatwa. Ini tidak benar. Fatwa bukan suatu benda main-main. Yang mengeluarkan fatwa memerlukan seseorang yang matang, mantap dan masak dalam pemikirannya. Tidak memadai hanya pengetahuan dan hafalan sahaja. Ya, memang benar Imam Syafie 7 tahun sudah menghafal al-Quran, tetapi ketika itu beliau belum menguasai kaedah ilmu hadith. Bahkan sejarah membuktikan bahwa bahwa usianya 23 tahun baru beliau berjumpa dengan Imam Malik rahimahullahu ta`ala untuk mengambil Muwatho`, dan ketika itu beliau masih belum lagi menulis ar-Risalah. Namun apabila ada penulis yang terlalu meminatinya, tulisan mereka jadi terlebih sangat. Dia bagitau Imam yang diminatinya itu duduk dalam kandungan ibunya selama 7 tahun. Ini menyanggahi ilmu sains tuan-tuan. Mungkin dahulu tidak ada ujian air kencing yang menentukan kehamilan, jadi sebab itu ibu kepada imam itu sangka dia hamil yang sebenarnya dia tidak hamil. Tidak ada janin yang boleh duduk dalam kandungan ibunya lebih dari setahun melainkan jadi batu dia. Jadi cerita janin duduk 4 tahun sehingga 7 tahun dalam kandungan, semua itu menyanggahi fakta saintifik, sekaligus akan membuka ruang kepada orang-orang yang mengkaji sains untuk menempelak Islam. Ini yang kita tidak mahu tu.

Allahu`alam.

12 Julai `06

k1.jpg