Muqaddimah - Bab 3 - Hadith 9

Hadith 9 :

Dan dari Abu Hurairah ra juga, katanya: Rasulullah saw bersabda: "Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya).

- Diantaranya sembahyang datang lalu berkata: "Ya Tuhanku! akulah sembahyang"; Allah Ta`ala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup); dan (selepas itu) datang pula sedeqah, puasa dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): "Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup."; kemudian datang pula Islam lalu berkata: "Ya Tuhanku! Engkaulah Tuhan yang bernama As-salam, dan akulah Islam"; maka Allah Ta`ala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah Aku menerima dan dengan engkaulah jua Aku memberi balasan." (HR Imam Ahmad)

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Hadith yang ke 9 yang kita baca pada kali ini menceritakan dan menerangkan kepada kita berhubung dengan amalan-amalan manusia yang akan datang menjadi pembela pada hari Qiamat. Sebab itu di dalam al-Quran, Allah swt menjelaskan kepada kita bahwa setiap daripada kita ini adalah bergantung kepada amalan masing-masing. Dan kesemua manusia akan melihat amalan yang telah dilakukannya.

Firman Allah swt dalam Surah An-Najm: 39-41 yang bermaksud, "Dan tiadalah manusia itu, melainkan apa yang telah dia usahakan. Dan setiap manusia itu, dia akan diperlihatkan nanti apa yang telah dia amal sewaktu Allah beri kepadanya umur di atas mukabumi dahulu. Kemudian Kami akan balas dengan balasan yang paling baik dan adil seadil-adilnya (kalau baik, ke syurgalah. Tapi kalau jahat, silalah ke neraka Allah. Nauzubillahi min zalik)."...Sebab itu, amalan adalah suatu perkara yang amat penting di dalam kehidupan kita. Dan amalan yang soleh itulah yang diutamakan oleh Allah swt, yakni yang diletakkanNya sebagai syarat paling utama untuk hamba-hambaNya ketika mengadap Allah dalam keadaan aman pada hari Qiamat. Amalan-amalan soleh yang dimaksudkan itu ialah yang terlepas daripada segala sifat-sifat mazmumah, amalan yang bersih daripada riak, amalan yang bersih daripada segala sifat-sifat yang tidak baik, kerana segala sifat yang tidak baik ini memungkinkan bagi menghalang amalan yang baik untuk sampai kepada Allah.

Dimana di kaki-kaki langit dan di setiap lapisan langit itu, ada saja malaikat-malaikat yang akan menjaga pintu-pintu langit. Dan kalau kita baca hadith yang lain, kita akan mendapati bahwa diantara para malaikat yang membawa amalan kita, salah satunya ialah yang bernama Malaikat "Hafazzoh". Dimana Malaikat Hafazzoh inilah yang akan membawa amalan kita ini naik mengadap Allah. Dan di sinilah akan berlaku apa yang paling menakutkan kita selama ini, iaitulah berdasarkan daripada sebuah hadith Nabi saw. Yang mana Nabi saw menyebut bahwa ada diantara amalan manusia itu, tak sampai pun kepada Allah. Seperti sembahyangnya tidak sampai, puasanya tidak sampai, pahala mengaji kuliyyahnya pun tidak sampai (nauzubillahiminzalik). Kerana ada yang tersangkut di langit yang pertama, lalu dicampak keluar oleh malaikat yang menjaga langit yang pertama. Dan ada yang lepas hingga langit kedua tapi sangkut di langit ketiga pula. Dan ada juga yang lepas hingga enam pintu langit, tapi bila sampai langit ke tujuh, Malaikat campak kerana tak terima oleh Allah...Tak bimbangkah tuan-tuan bila dengar lagu ni?...Saya cukup bimbang tuan-tuan.

Dan Nabi saw menyebut, diantara sebab mengapa tidak diterimaNya amalan-amalan manusia itu ialah kerana ada amalan yang dihiasi dengan riak. Dan ada juga pengamal-pengamal yang hidup mereka dihiasi dengan hasad dengki, mengadu domba, menabur fitnah, benci pada ulama`dan berbagai kerja jahat yang dibuat; maka Allah tidak menerima amalan orang seperti ini walaupun dibawa naik oleh malaikat Hafazzoh. Malaikat Hafazzoh sama sekali tidak tahu samada amalan-amalan yang dibawanya itu bersih ataupun tidak, kerana tugasnya hanyalah sebagai pembawa amalan sahaja. Yang menerima atau menolak segala amalan ialah Allah swt sendiri. Itulah sebabnya ada amalan yang sangkut di langit satu, sangkut di langit dua, sangkut di langit enam dan sehinggakan ada yang dah sampai dah di langit tujuh pun tapi sangkut juga, yakni tak sampai di sisi Allah.

Muslimin muslimat, inilah betapa pentingnya amalan. Sebab itu, kata Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di dalam kitabnya "Al-Fatah ar-Robbani" bahwa amalan yang diterima Allah itu adalah amalan yang bersih daripada segala syirik walaupun kecil sebesar debu. (As-sheikh Abdul Qadir al-Jilani adalah sultonul auliya`, yakni ketua bagi segala para wali. Beliau berasal dari daerah Jilan di Iran, sebab itu dia diberi gelaran "al-Jilani"). Oleh sebab itu, kita yang dok pi mengaji siang dan malam ni, yang dok hambat kuliyyah dari masjid ke masjid ni, kita kena jaga elok-elok. Memang kita cintakan majlis ilmu, memang kita berjuang sungguh sebab mahu Islam yang sebenar, dan kita takkan tolak hukum Allah swt; tetapi JAGA!, jangan sandarkan amalan kerana manusia. Jangan sembahyang kerana manusia, atau jangan kita lakukan atau tinggalkan apa pun kerana manusia. Apabila kita bergantung sahaja pada manusia, maka di situ sudah wujudnya syirik (Nauzubillah), yang boleh menghalang amalan kita untuk sampai kepada Allah. Inilah yang amat-amat menakutkan kita.

Sebab itu Allah memberitahu pada ayat yang terakhir dalam Suratul Kahfi (antaranya Allah berfirman) yang bermaksud, "Dan barang siapa yang mahu bertemu Aku pada hari Qiamat dalam keadaan aman, yakni dengan hati yang penuh sejahtera (kerana tak bimbang dah huru hara Padang Mahsyar), maka hendaklah buat amalan yang soleh dan janganlah kamu mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun."...Inilah dua syarat yang Allah letakkan untuk kita berjumpa dengan Dia, tanpa ada perasaan bimbang dan ragu untuk menerima balasan syurga daripada Allah swt.

Sebab itu, ulama` mengajar kita di dalam kitab "Tambihul Qhofilin" bahwa diantara syarat untuk diterimaNya amalan itu ialah : 1) hendaklah kita berilmu, (2) niat kerana Allah, (3) bersabar melakukan apa saja. Seperti bersabar mengerjakan sembahyang. Ingat tak tuan-tuan tentang satu hadith Nabi saw, yang mana baginda pernah menyebut, "Tahukah kamu siapakah pencuri di dalam sembahyang?"...Lalu sahabat menjawab, "Kami tidak tahu ya Rasulullah. Bahwasanya hanya Allah dan rasulNya sahajalah yang tahu."...Lalu Nabi saw menyebut, "Pencuri-pencuri dalam sembahyang itu ialah orang yang tidak sempurna rukuknya, tidak ada toma`ninah pada amalannya, tidak sempurna i`qtidalnya; maka orang seperti ini adalah pencuri-pencuri di dalam sembahyang."...Walaupun nampak ringkas saja hadith ini, tapi sebenarnya kita tetap kena jaga sembahyang kita elok-elok, kerana amalan ini nanti akan menjadi pembela kepada kita di hari Qiamat kelak sepertimana yang disebut dalam hadith 9 yang kita baca pada kali ini.

Dalam hadith 9 ini, Nabi saw menyebut bahwa amalan-amalan akan datang pada hari Qiamat untuk memberi syafaat kepada tuan punya tubuh. Tapi dalam hadith lain pula, ada mengatakan bahwa selain daripada amalan-amalan yang datang untuk memberi syafaat, ada 3 golongan manusia yang Allah swt akan beri lesen kepada mereka untuk mensyafaatkan manusia di Padang Mahsyar. Yang pertamanya ialah para rasul. Yang keduanya adalah para ulama`, dan yang ketiganya adalah as-Syuhada`, yakni orang mati syahid ketika mempertahankan Islam. Inilah 3 kumpulan manusia yang diberi keizinan oleh Allah di Padang Mahsyar untuk mensyafaatkan manusia. Sebab itu, kita mesti hormati dan sayang akan ketiga-tiga golongan ini. Tetapi apa yang membimbangkan kita pada hari ini ialah trend membenci dan mencemuh ulama` telah pun menular dalam masyarakat kita pada hari ini. Bila ulama` tegur bahwa perempuan-perempuan yang beragama Islam, mestilah menutup aurat; maka akan terbitlah kata-kata sumbang mencemuh ulama`yang buat teguran. Mereka kata, "Ulama`-ulama` ni tak ada kerja lain ka?..Yang mereka tahu hanyalah nak perlekeh dan hina wanita sahaja."...Sedangkan para ulama` hanya menyebut perkara yang benar, yakni kalaulah wanita mendedahkan aurat, maka sudah tentulah akan berlaku perkara -perkara yang tidak diingini; seperti kejadian rogol bunuh umpamanya. Ini semua berpunca daripada pendedahan aurat secara berleluasa hari ini. Kemudian apabila berlaku kejadian rogol dan bunuh ke atas seorang jurutera wanita tempohari, kita telah mendengar bagaimana ada bunyinya suara-suara sumbang daripada mulut-mulut biadap yang mengatakan bahwa, "Kalau lagu ni, baik tak payah pakai tudung, sebab pakai tudung pun kena rogol jugak."...Mulut-mulut biadap seperti ini, kita beri amaran kepada mereka, "Jangan membiarkan kejahilan kamu itu menyesatkan diri kamu sendiri, dengan melanggar hukum dan perintah Allah swt. Apatah lagi cuba menyesatkan orang lain pula.".

Muslimin muslihat sekelian, berbalik kita kepada hadith 9 yang kita baca pada kali ini. Bagaimana Nabi saw menyebut bahwa yang mula-mula sekali datang untuk memberi syafaatnya kepada kita ialah amalan as-Solah yakni sembahyang. Dan sembahyang bercakap, "Akulah sembahyang."...Inilah dia cara Allah swt mengajar kita mengenai prinsip keimanan. Diantaranya ialah mempercayai persoalan ghoibiyah. Yakni yang kita dengar ceritanya melalui telinga, tetapi tidak dapat dilihat perkara itu dengan mata kasar, seperti Nabi saw sebut "sembahyang bercakap". Bolehkah kita imagine macamana sembahyang itu boleh datang dan bercakap untuk membela kita?...Tak boleh tuan-tuan sebab ini adalah persoalan ghoibiyah. Lagipun Islam mengajar kita "Sami` na wa ato`na". Dan Islam mengajar kita juga bahwa segala apa yang Nabi Muhammad saw sebut adalah wahyu daripada Allah swt. Maka dengan kerana itu, tidak ada sebab untuk kita meletakkan keraguan atas segala apa yang Nabi saw sebut. Lagipun Allah itu adalah Tuhan yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Jadi, Dia boleh buat apa saja sehinggakan tidak pernah terfikir oleh kepala hotak kita yang sempit ini. Maka sebab itu, tidaklah menghairankan kalau Dia boleh buat sembahyang bercakap. Bukankah ada sebuah hadith yang menceritakan bagaimana di Padang Mahsyar kelak ada golongan manusia yang berjalan di atas muka mereka, yakni dalam keadaan wajah ke bawah dan kaki ke atas?...Bila Nabi saw sebut lagu tu, lalu ada sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana manusia boleh berjalan dengan mukanya ke bawah dan kakinya pula ke atas?"...Lalu Rasulullah saw menjawab dengan ringkas sahaja, "Allah swtlah yang telah menjalankan kamu di atas kedua kaki, dan Allah swt itulah juga yang akan menjalankan kamu di atas muka kamu."..Jadi, bila Nabi saw kata sembahyang boleh bercakap, maka kita jangan dok rasa pelik kerana ini semua adalah kerja Allah swt.

Bila disebut sembahyanglah yang datang paling awal sekali untuk membela kita, maka teringatlah saya kepada peristiwa mahal yang paling berharga di dalam bulan Rejab, iaitulah tentang peristiwa penerimaan sembahyang. Oleh sebab itu, kalau dalam mana-mana ceramah berkenaan Israk Mikraj, kalau tak diceritakan hal sembahyang, may be ada something wrong lah kat ustaz yang menyampaikan ceramah tu. Sepatutnya dalam ceramah Israk Mikraj, ustaz-ustaz kena tekankan betapa mahalnya ibadah sembahyang yang diterima oleh Rasulullah saw itu. Penerimaan amalan sembahyang agak special sikit, yakni bukannya seperti penerimaan amalan-amalan yang lain. Amalan-amalan apa pun yakni seperti zakat, haji, puasa, sedeqah; kesemuanya ini, Jibril as yang turun dengan laju menyampaikan wahyu....Tuan-tuan tau ka berapa laju Jibril turun?...Allah kata bahwa sekiranya Jibril as ditugaskanNya untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi saw, dan ketika itu Jibril berada di ufuk tinggi, maka dengan dia pandang saja kepada Rasulullah, maka sampailah dia kepada Rasulullah saw. Itulah dia kelajuan Jibril as.

Tetapi bagi amalan sembahyang, Allah swt memerintah Jibril as untuk menjemput Nabi saw naik bertemu denganNya untuk mengambil amalan sembahyang. Ketika itulah Nabi saw melihat sendiri keadaan Jibril as dalam bentuknya yang asli buat kali yang kedua, yakni di Sidratul Muntaha. Kali yang pertama Nabi saw melihat wajah Jibril as yang asli ialah semasa baginda lari keluar daripada Gua Hira` setelah dipeluk oleh Jibril. Apabila Rasulullah lari keluar, kemudian bila baginda mendongak ke atas, baginda nampak Jibril sedang duduk diantara kaki langit dengan memenuhi ruang angkasa. Itulah besarnya Jibril as. Jadi untuk kedua kalinya Nabi saw melihat Jibril as ialah sepertimana kata Allah, "Sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril dalam wajahnya yang asli untuk kali yang keduanya di Sidratul Muntaha."...Di Sidratul Muntaha inilah Nabi saw melihat akan kebesaran Allah swt, dan besarnya tubuh Jibril as. Dan bila sampai di Sidratul Muntaha ini jugalah, maka berlakulah perpisahan antara Nabi saw dengan Jibril as. Kata Jibril, "Setakat inilah sahaja yang boleh saya pergi, wahai Rasulullah. Kerana kalau saya pergi lagi dengan lebih jauh dengan melintasi Sidratul Muntaha, maka tubuh saya akan terbakar."...Rupa-rupanya para malaikat yang dibuat daripada cahaya ini tidak boleh pergi melepasi Sidratul Muntaha, kerana bila cahaya masuk ke kawasan selepas Sidratil Muntaha, maka akan hangus terbakar. Lalu Nabi saw pun naik melepasi Sidratil Muntaha seorang diri, dan berkata, "Aku melepasi 70000 hijab untuk sampai mengadap Allah swt."...Kemudian bila Nabi saw sampai mengadap Allah swt, maka di sini berlaku sedikit khilaf, yakni antara Ibn Abbas radiallahuanhuma dengan Aishah radiallahuanha. Iaitu berhubung persoalan, adakah Nabi saw melihat Allah?...Disini berlaku khilaf. Kata Ibn Abbas r.a., "Rasulullah saw melihat Allah."...Manakala kata Aishah rha pula, "Rasulullah saw hanya mengadap Allah, tetapi tidak melihat Allah."...Jadi, bila berlaku sedikit khilaf seperti ini, apa yang perlu kita buat ialah jangan dok bertekak sapa yang betul. Kita perlu ingat bahwa mereka berdua adalah sahabat dan sahabiyah yang ada kekurangan kerana mereka bukan rasul, maka oleh sebab itulah juga mereka bukan maksum. Tapi apa yang penting yang kita nak bagitau ialah Nabi saw mengadap Allah; habih cerita. Sebab memang confirm Nabi saw mengadap Allah. Jangan kita hanya pandai dok bertekak di kedai kopi "nampak atau tak nampak", tapi sembahyang tak buat. Yang ni yang tak berapa berkenan ni.

Kemudian bila Nabi saw sampai melepasi kawasan Istawa, maka Nabi saw melihat akan kebesaran Allah swt. Maka di situlah terpancarnya daripada mulut Nabi saw, "At-tahiya tulmubarokah...tulillah". Yang bermaksud, "Segala kehormatan, kelimpahan, kebahagiaan dan kebaikan adalah untuk Allah."...Terus saja Nabi saw membacakan kalimah ini apabila melihat Keagungan dan Kebesaran Allah. Lalu Allah menjawab, "Assalamu `alaika ayyuhannabiyu warahmatullahi wabarokatuh.". Yang bermaksud, "Kesejahteraan, rahmat Allah, dan barakahnya tetap kepada mu wahai Nabi."...Dan Nabi saw balas balik, "Assalamu `alaina wa`ala ibadillahissolihin."....Yang bermaksud, "Kesejahteraan juga semoga tetap ke atas kami dan hamba-hamba Allah yang soleh-soleh."...Inilah dia bacaan tahiyyat dalam sembahyang yang kita berulang-ulang kali baca tanpa jemu itu. Dimanakah sejarah berlakunya bacaan tahiyyat ini tuan-tuan?...Ia berlaku di kawasan atas daripada Sidratil Muntaha. Sebab itu, mana mungkin kita boleh buat lebih kurang sahaja dengan sembahyang ni. Yang ianya diambil sendiri oleh Nabi saw dari suatu tempat yang begitu tinggi sekali kemuliaannya, iaitulah di sisi Allah swt; bukannya melalui Jibril turun menyampaikan wahyu. Kemudian terpaksa pula Nabi saw melalui berbagai-bagai peraturanNya. Seperti pada mulanya difardhukan 50 waktu untuk umat Muhammad saw, tapi kemudian akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu sahaja. Dimana 5 waktu itu pun diberi pahala seperti 50 waktu yang asal. Disini berlaku sedikit perbahasan diantara ulama`; iaitu mengapa Allah ta`ala tak bagi terus 5 waktu pada Nabi saw ketika itu?...Takkan Allah swt yang Maha Mengetahui itu, tak tahu bahwa Nabi saw akan berulang alik 9x untuk bertemu denganNya?...Takkan Dia tak tahu yang Nabi saw akan bertemu dengan Nabi Musa as di langit yang keenam, yang mana atas nasihat Nabi Musa itulah membuatkan Nabi saw terpaksa berulang sebanyak 9x?...Jadi, apa perlu Nabi saw 9x turun naik pergi bertemu dengan Allah swt?....Lalu apabila berlaku perbahasan diantara ulama`mengenai hal ini, maka akhirnya mereka mendapat jawapan bahwa inilah sebenarnya tarbiyah daripada Allah swt. Yakni sebagai suatu tanda bahwa hubungan kita dengan Allah, jangan putus. Kalau berlaku saja apa-apa masalah seperti masalah keluarga, masyarakat ataupun negara sekalipun; prioritinya ialah mengadu pada Allah swt dulu, seperti buat sembahyang hajat apa semua. Kemudian baru kita ikhtiar cara manusia. Sebab itu, kita jangan sekali-kali memperlekeh dan mempersenda-senda sembahyang hajat maupun qiamullail. Kerana kita pernah dengar akan suara-suara biadap yang mengatakan bahwa qiamullail inilah yang boleh merosakkan pelajaran. Sebab kononnya bila student berqiamullail, berkemungkinan mereka akan fail exam kerana pening kepala tidur tak cukup. Inilah dia contoh otak sekular yang bertaburan di atas bumi Malaysia ini. Jadikanlah ini sebagai peringatan kepada kita yang bergelar pejuang-pejuang agama Allah, iaitu jangan sekali-kali kita memperlekeh sembahyang kerana ia merupakan ibadah yang paling besar di sisi Allah swt. Kerana amalan lain diturunkan melalui wahyu, tetapi amalan sembahyang dijemput khas Nabi saw untuk naik mengambilnya dengan menembusi 7 lapisan langit termasuk melepasi Sidratil Muntaha sehinggalah sampai ke Istawa, dan akhirnya mengadap Allah swt.

Pentingnya amalan sembahyang ini, sehinggakan terdapat dua pendapat ulama` tentang orang Islam yang meninggalkan sembahyang. Contohnya, seperti sewaktu seseorang itu belum mendapat hidayah lagi. Iaitu masa tengah dok hangat heavy metal dulu. Jenis simpan rambut punya la panjang sampai ke tengah belakang nu. Pakai seluaq jeans ni kira sampai tak nampak rupa seluaq dah, punya la koyak rabak. Jenis yang keluar masuk panggung wayang ni. Tak reti nak pi kuliyyah-kuliyyah di masjid macam sekarang ni. Tapi tiba-tiba sekarang ni, Allah swt campakkan hidayah kepadanya; jadi nak buat macamana sekarang?...Macamana dengan waktu-waktu sembahyang yang ditinggalkannya sewaktu rock n roll dulu?...Disini ada dua pendapat ulama` mengenainya :

1) pandangan pertama adalah agak keras sebab ulama` sebut HARAM bagi orang seperti ini untuk buat semua sembahyang sunat. Maknanya segala qobliyah, ba`diyah, tarawih apa semua ni adalah haram, kecuali dia kena habiskan sembahyang qado nya terlebih dahulu.

2) pandangan daripada Imamul Syafie, yang mengatakan bahwa, "Qado lah dan sembahyang sunatlah."...Yang ni yang kebanyakan daripada kita ambik sebab ia lembut sikit. Jadi, bolehlah kita buat segala qobliyah, ba`diyah, dhuha, tarawih, dan disamping itu jangan sekali-kali melupai sembahyang qado. Kalau kita tak ingat berapa banyak yang perlu diqadokan (maklumlah 10 tahun tak sembahyang sebab sibuk dengan dunia metalnya), maka buatlah setakat mana yang mampu. Kalau kita rasa tak habih lagi, maka teruskanlah. Ataupun memang kita dok buat sehingga dah habih di sisi Allah, tapi kita tak tau, lalu dok terus lakukan; takpa aih, boleh pahala juga tu. Apa salahnya?...Janji mau buat, jangan tak buat. Inilah dia hukum dalam perkara meninggalkan sembahyang...nauzubillah...minta dilindungi Allah sebab sembahyang ni memang tak boleh ditinggalkan sama sekali, walaupun dalam keadaan sakit ataupun bermusafir sekalipun, sembahyang mesti kita dirikan juga.

Dan sembahyang juga hendaklah dijadikan sebagai asas pendidikan kepada kanak-kanak, sepertimana sabda Nabi saw yang bermaksud, "Perintahkanlah anak kamu bersembahyang ketika usianya 7 tahun. Kalau mereka tak sembahyang juga ketika berumur 10 tahun, maka pukullah mereka."...Nabi saw bagi lesen suruh kita pukul, tapi bukan yang menyakitkan. Ia hanya sekadar untuk memberi pengajaran kepada anak kita itu bahwa sembahyang ini merupakan pendidikan asas yang paling utama sekali.

Dan yang paling penting dalam bab sembahyang ini ialah dia boleh sampai ke tahap mencegah kemungkaran. Sepertimana yang pernah dikatakan oleh Abu Hurairah ra (yang ni bukan hadith), "Barang siapa yang sembahyang tapi tidak ia cegah akan kejahatan (yakni tidak buat amal makruf nahi mungkar), maka dia akan semakin jauh semakin jauh semakin jauh daripada Allah (yakni bukan semakin dekat)."...Jenis ni, hangpa nak melantak harta riba ka, hangpa nak mentahkedarah arak berapa banyak tong ka, hangpa nak berjudi sampai ke pagi ka, orang buat kezoliman kepada para reformis ka; dia tak peduli. Yang hanya dia kira ialah sembahyang dia sahaja. Dia tak kisah dah dengan hal-hal persekitaran dia; janji ada masjid boleh dia sembahyang, kira okay la tu. Dia tak peduli dah untuk mencegah kemungkaran. Golongan macam ni, la ni banyak tuan-tuan. Nampak aje pakai serban panjang dahi hitam, tapi apa yellow pun tak tau. Jenis yang tak mengaji ni payah, sebab bila kita mendedahkan kejahatan seseorang, dia pi kata pula kita mengumpat, "Ya Sheikh, anta sudah kata sama orang. "....Memanglah Allah tak suka orang mengumpat, sebab dia masuk dalam dosa yang agak besar. Mengikut hukum, kalau kita menceritakan keburukan si A kepada B, tapi cerita itu tak sampai kepada A; maka cukup untuk kita bertaubat. Tapi kalau cerita itu sampai kepada A dan A tahu kita umpat dia, maka apa yang perlu kita buat ialah bertaubat dan perlu pi minta maaf kepada A. Tetapi barang diingat bahwa ada juga umpat yang dibolehkan (kalau nak bahas, jadi cerita panjang pula nanti), yakni mengenai orang yang jelas akan kejahatannya serta berbangga pula dengan kefasikannya. Sehingga kita boleh sebut akan nama dia supaya orang jangan ikut dia. Maka kita sudah mengumpat, tapi mengumpat seperti itu menjadi wajib pula ke atas kita. Dalam ertikata lain, boleh pahala pula kat kita sebab untuk cegah kemungkaran. Sebab itu, saya selalu sarankan supaya kita pi mengaji. Jangan serban saja besaq tapi tak mengaji.

Balik kita pada perbahasan hadith. Lalu bila sembahyang datang, maka Allah kata, "Engkau sahaja tidak cukup."...Kemudian kata Nabi saw, "Mari pula sedeqah."... Jadi, bila tidak memadai dengan sembahyang, maka sedeqah pula datang tolong support. Lalu kata sedeqah, "Wahai Allah! akulah sedeqah."...Sedeqah ini sebenarnya cukup luas pengertiannya tuan-tuan. Antara maksud sedeqah ialah membantu dengan harta benda seperti yang kita sedia maklum. Begitu juga apabila kita membantu dengan mengguna tulang 4 kerat kita, seperti tolong mengangkat barang kawan kita sewaktu dia nak pindah, itu pun sedeqah juga. Kamu melemparkan senyuman pun dikira sedeqah juga. Cumanya jangan senyum sorang-sorang, takut nanti orang hantar pi Tanjung Rambutan pula. Kemudian bila suami mencampuri isterinya secara halal, bermakna suami isteri itu saling bersedeqah diantara mereka. Ini Rasulullah saw yang sebut. Kemudian dengan kita bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir juga adalah merupakan amalan-amalan sedeqah belaka semua tu. Inilah luasnya pengertian sedeqah, jangan kita letak sedeqah ni hanya bila bagi duit sahaja, Sebab itu, sedeqah ini akan datang membela kita.

Lalu kata Allah kepada sedeqah, "Tujuan engkau baik, tapi engkau sahaja tak cukup."...Kemudian datang pula puasanya untuk membela. Sebab itu, bagi kita orang yang beriman, bila masuk saja bulan Rejab, kita rasa seronok tak terkira. Sebab bulan Rejab itu adalah "Baabun Ramadhan", yakni pintu kepada Ramadhan. Bila masuk saja Rejab, itu tandanya Ramadhan semakin dekat semakin dekat, lalu kita pun tak sabar dah. Kemudian bila habis Rejab, masuk pula Syaaban. Bila masuk Syaaban, kita digalak perbanyakkan puasa sunat, sebab pernah dilaporkan oleh Saidatina Aishah, "Tidak ada bulan yang Nabi saw paling banyak puasa sunat kecuali Syaaban."...Sebab itu, bila masuk saja bulan Syaaban, kita kena banyak puasa sunat. Nak selang sehari ka, nak buat Ithnin Khamis ka, buatlah; janji kita mau buat lebih sedikit dalam bulan Syaaban sebab itulah sunnah Nabi saw.

Sebenarnya, puasa sunat dalam bulan Rejab dan Syaaban ni hanyalah latihan sahaja sebelum menjelangnya Ramadhan. Bayangkan tuan-tuan, orang yang tak pernah puasa sunat, tiba-tiba datangnya Ramadhan; tuan-tuan boleh bayang tak dia punya panik lagumana?...Puasa Ithnin Khamis tak pernah, 10 Muharram tak pernah, 3 hari setiap bulan hari-hari putih yakni 13/14/15 haribulan Islam tobat tak pernah buat; tiba-tiba masuk Ramadhan, tuan-tuan boleh bayang tak lagumana dia punya pening?...Dok tengok rokok eh! eh! eh! eh! bunyi pun. Sebab itu, Nabi saw suruh kita latih dengan puasa sunat.

Tapi kata Allah kepada puasa, "Bagus dah kamu datang, tapi kamu sahaja tak cukup."...Maka selepas itu kata Nabi saw, "Tiba-tiba datanglah Islam."....Ugama Islam tu sendiri datang kepada Allah, tuan-tuan. Inilah yang dikatakan ghoibiyat, yakni benda tak nampak tapi dia berlaku. Bila ugama Islam tu datang, dia kata, "Engkaulah as-Salam, dan akulah Islam."...Bagi Allah itu ada nama-nama yang baik, maka kamu berdoalah, menyerulah dan memintalah dengan menggunakan namaNya. Antara salah satu nama Allah adalah as-Salam. Dari as-Salam inilah yang selalu kita sebut ketika memberi salam waktu bertemu sesama orang Islam, yakni Assalamu`alaikum warahmatullah. Sebab itu, kita kena perati tengok dan buat teguran kepada budak-budak yang suka buat main-main dengan ucapan salam ni. Kita kena pesan dan mendidik mereka, sebab kadang-kadang kita dengar mereka dok main-main kata, "Assalamu`alaikum."...Kawan dia jawab, "Kum apa?"...Dia jawab, "Combat."...Kemudian, "Bat apa?"...Dia jawab, "Batman"..."Man apa?"...."Mentol."..."Tol apa?"...."Tolol."...Jaga tuan-tuan. Bila kita dengar budak-budak dok main-main lagu ni, kita kena tegur depa. Sebab perkataan as-Salam dalam ucapan salam ni adalah nama Allah, jadi dia bukan boleh buat main-main. As-salam adalah nama Allah yang bermakna keamanan dan kesejahteraan. Sebab itulah di Masjidil Haram di Kota Mekah, pintu yang paling utama ialah Baabun Salam. Walaupun ada pintu King Abdulaziz, ada baabun Syaibah, ada baabun Ali, ada baabun Umar dan bermacam-macam jenis pintu lagi; tapi selalunya jemaah kita yang pergi umrah dan haji, pada hari pertama mereka akan dibawa masuk melalui Baabun Salam. Kita masuk melalui Baabun Salam (pintu keamanan) kerana di situ jugalah Nabi saw masuk ketika baginda menunaikan haji dan umrahnya. Melalui Baabun Salam inilah juga kita akan lalu ke kawasan Mas`a (kawasan orang sedang saei). Dan sebelum masuk tu, kita akan berdoa, "Allahumma antassalam, waminkassalam..."...Tapi sebab yang paling penting kita masuk melalui Baabun Salam itu ialah sebab Nabi kita masuk. Yang ni yang perlu kita faham. Bukan saja-saja seronok punya cerita ni. Contohnya, macam kita suka makan timun, tembikai, daging kambing dan keju umpamanya. Kita suka tu pasai apa?...Kita suka sebab Nabi saw suka. Bukannya pasai sedap. Kita suka makan timun sebab Rasulullah suka makan timun. Ataupun kita suka makan kambing sebab Nabi kita Rasulullah suka makan kambing. Kita ikut bukan kerana sedapnya makanan itu, tapi kita ikut makan sebab Nabi kita makan. Inilah ceritanya bagaimana nak ikut sunnah. Timun sedap ka tuan-tuan?...Bukan manis apa pun. Dengan payau dan kadang-kadang pahit pula tu. Tapi pasai Rasulullah makan, kita pun gagah pi makan juga. Inilah sunnah di sudut pemakanan...Jadi samalah juga dengan kita masuk melalui Baabun Salam itu kerana Nabi saw kita masuk. Bukan pasai melalui pintu tu kita boleh terus ke pintu Ka`abah; bukan lagu tu. Tapi pasai Muhammad rasul aku masuk, maka aku pun masuk. Kelakuan sebeginilah yang telah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khatab ketika mana dia mencium Hajar Aswad. Dia bercakap dengan batu tu, "Hoi batu hitam! aku cium hang bukan pasai nama hang batu hitam. Tapi aku cium pasai aku nampak Nabi aku cium. Engkau hanyalah batu."...Saidina Umar ra menilai Hajar Aswad dari sudut kelakuan Nabi saw. Inilah dia sunnah.

Maka kata Islam, "Antassalam wa ana Islam."...Jadi, yang last sekali siapa datang tuan-tuan?...Ugama Islam tu sendiri datang membela kita balik. Sebab itu, mana jalan kita nak buang perkataan "Islam"?...Jadi, kita nasikatkan kepada orang-orang yang ada niat nak buang perkataan "Islam" ni, "Yang dah lepas tu, lepaslah. Janganlah dok buat lagi kerja lagu tu."...Sebab "Islam" tu besok akan datang membela kamu. Dah kalau kamu buang perkataan "Islam", maknanya kamu tak suka Islam, jadi bagaimana Islam nak datang membela kamu?...Hadith ni bukan Pas saja-saja dok reka apa ka, tapi hadith ni Nabi saw yang bagitau. Dan kitab ini pula diikhtiraf oleh Jabatan Perdana Menteri. Itu sebablah saya sebut bukan Melayu saja yang selalu lupa, tapi Mahathir pun selalu lupa juga sebab kitab ini ada cop daripada Jabatannya sendiri. Ataupun cop saja ada, tapi baca tak pernah. Lagu tu la kot.

Maka bila Islam datang, Allah swt kata, "Pada hari ini, dengan engkaulah Aku menerima dan dengan engkaulah jua Aku memberi balasan."...Apakah maksudnya Allah berkata begitu?...Maksudnya ialah mai lah sembahyang, mai lah zakat, mai lah puasa, mai lah amalan apa pun, tapi kalau aqidah kita bocor, habih!...Kalau aqidah runtuh, maka kesemua amalan-amalan tadi tidak ada gunanya lagi. Itulah maksud hadith yang ke 9 ini. Yakni kalau Islam kita tidak macam Islam Rasulullah saw ataupun tidak macam Islam para sahabat ra, atau dalam lain perkataan, Islam kita ni jenis baka sahaja, maka akan jadilah sepertimana kata Nabi saw dalam hadithnya yang lain, katanya, "Pada akhir zaman nanti, Islam ini akan tinggal pada nama sahaja."...Sekarang ni pun kita boleh lihat bagaimana emak bapak memberi nama-nama yang cukup hebat kepada anak-anak mereka. Bukan macam era 60an dan 70an dulu, yang mana nama anak-anak hanya diberi dengan dua perkataan sahaja, seperti Abdul Wahab, Mohamad Yusuf, Zulkifli, umpamanya. Tapi sekarang ni mari pula trend bubuh nama anak sampai 3 perkataan seperti Ahmad Nizam Syazwan, Mohd Syafiq Daniel dan macam-macam lagi yang memang hebat-hebat belaka. Walaupun kita dengar cantik-cantik belaka nama orang-orang Islam mutakhir ini, tapi Nabi saw kata, "...tinggai nama saja la."...Kerana Islam tidak dipraktik lagi dah. Sebab itu, Nabi saw kata dalam satu lagi hadithnya yang lain, "Islam akan terongkai satu demi satu daripada ikatannya. Mula-mula yang terungkai ialah al-Hukmuh yakni hukum...dan yang paling pengabih sekali terungkai ialah as-Solah yakni sembahyang."...Sekarang pun kita boleh tengok, orang dah tak ambil peduli lagi dah dengan sembahyang. Inilah dia hasil akibat daripada manusia yang tidak faham akan Islam yang sebenarnya, yakni Islam yang diajar oleh Nabi saw.

Kita tak mau Islam baka; yang ni tak aci. Yang kita mahu ialah Islam macam Islam Rasulullah saw atau macam para sahabat ra, yakni sentiasa berkorban untuk agama Allah. Dalam ertikata lainnya ialah kita sanggup lakukan apa saja demi kerana Islam. Walaupun kita tak berperang lagumana sahabat ra sehingga ada yang terkoyak isi perut dan ada yang sampai capik sebelah kaki (Abdul Rahaman bin Auf) kerana mempertahankan Islam, dan Nabi saw pula sampai pecah pipi dan gigi gerahamnya dalam Perang Uhud kerana mempertahankan Islam; tapi kita juga jangan ketinggalan untuk menjadi golongan yang kerana Allah, kita sanggup melakukan segala-galanya. Yang ni kena ada dalam diri kita masing-masing. Kalau tidak ada kerana kita hanyalah Islam baka, maka di akhirat kelak, Islam tidak akan dapat membela kita.

Sebab itulah kita kena hayati elok-elok akan hadith ke 9 ini kerana dengan Islam inilah Allah akan menerima dan memberi balasan daripada amalan kita nanti. Maknanya, Islamlah yang akan menjadi "Penentu" bagi segala-galanya. Sebab itu, semua pihak tak kiralah fahaman apa pun, asalkan dia mengucap dua kalimah syahadah, maka dia mesti bertanggung-jawab untuk membela Islam. Kalau "kita" yang mengucap 2 kalimah syahadah, tapi dalam masa yang sama "kita"lah yang menjadi penghancur Islam, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan akan keputusanNya. Orang-orang zaman dahulu hancur adalah kerana mereka melawan Islam. Mereka lawan Nabi bermakna mereka lawan Islam, sebab semua para Nabi adalah pembawa ugama Islam. Jadi, kita kena ambil ikhtibar daripada kehancuran orang-orang sebelum daripada kita itu.

Kesimpulannya:

Hadith ke 9 ini mengajar kita bahwa setiap amalan yang kita buat akan tampil menjadi pembela. Amalan yang mana satu akan membela kita?...Iaitulah amalan yang lepas 7 petala langit dan selamat bertemu Allah. Ada amalan yang sangkut di langit 1, di langit 2 atau di langit 3 adalah kerana syirik, riak, hasad dan semua sifat yang tidak baik. Sebab itu, kita kena jaga segala amalan kita supaya bersih dan ikhlas, yakni "Lillahi Ta`ala". Apa saja yang kita buat, prioritinya adalah Allah dulu. Dan untuk mendapat hati yang ikhlas, Imam Ghazali kata bahwa satu saja amalan yang boleh mengajar kita untuk jadi orang ikhlas, iaitulah Qiamullail. Maknanya, siapa yang bangun sembahyang malam, maka dia sedang mengajar membina dirinya untuk menjadi ikhlas. Sebab dia bangun tengah-tengah malam tu, siapa pun tak tahu melainkan Allah sahaja yang tahu. Sebab itu amalan tahajjud kata Imam Ghazali adalah amalan yang boleh membawa kita menjadi insan yang ikhlas kepada Allah swt. Dan Allah tak suruh kecuali kita mengikhlaskan diri kerana ugamaNya.

Allahu ta`ala `alam.

 

mountain15_mountains.jpg