Muqaddimah - Bab 2 - Hadith 5

Bab 2 : Wajib berpegang teguh kepada kitab Allah dan mengikut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.

Hadith 5 :

Dari al-`Irbath bin Sariyah ra, katanya, "Rasulullah saw telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh, dengan suatu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan pendengar-pendengarnya menitiskan airmata dan menjadikan hati mereka gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki diantara kami: "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami ya Rasulullah?"...Baginda menjawab: "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah, dan mendengar serta taat kepada pemerintah kamu sekalipun ia seorang hamba abdi bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa diantara kamu yang hidup selepas aku akan melihat perselisihan yang banyak; dan dengan yang demikian berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dari perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat; oleh itu sesiapa diantara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifahku yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayah petunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya." (HR Tirmizi )

Menurut hadith Abu Daud, baginda bersabda: "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dari perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan itu bida`ah, dan tiap-tiap bida`ah itu sesat."

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Hadith yang ke 5 yang kita baca pada kali ini diambil daripada `Irbath bin Sariyah ra. Dimana `Irbath ini adalah seorang sahabah dikalangan ahlul suffah. Siapakah dia sahabah yang dimaksudkan dengan ahlul suffah?...Ahlul suffah ini adalah sahabat-sahabat Nabi saw yang teramat-amat miskin di Madinah. Dan mereka diketuai oleh Abu Hurairah ra. Mereka mendapat layanan yang begitu istimewa daripada Nabi saw sehinggakan kalaulah Rasulullah saw mendapat makanan, katalah segelas susu atau buah tamar atau keju atau timun atau tembikai atau apa saja dalam bentuk makanan dan minuman, maka Nabi saw tidak akan memakannya terlebih dahulu melainkan diberi makan terlebih dahulu kepada ahlul suffah. Inilah kehebatan mereka sehingga dijaga oleh Nabi saw kerana miskin yang teramat sangat. Pernah Nabi saw dihadiahkan dengan segelas susu, lalu bila Aishah rha memberikan susu itu kepada Nabi saw, maka dia diarahkan pula supaya diberi minum terlebih dahulu dengan susu itu akan Abu Hurairah ra. Selepas Abu Hurairah dah minum, barulah Nabi saw minum. Dan mereka ini, kalau dalam majlis pengajian Nabi saw, merekalah yang akan duduk paling hampir dengan Nabi saw. Bila Nabi saw duduk, mereka akan buat halaqah, maka ahlul suffahlah yang akan duduk di barisan depan sekali. Ahlul suffahlah yang akan mula-mula sekali duduk mengelilingi Nabi saw, kemudian barulah diikuti oleh sahabat-sahabat yang lain sehinggakan masjid menjadi penuh. Lalu berlakulah kisah bagaimana Allah swt menegur mereka, yakni walaupun begitu keadaannya, tapi mereka mesti memberi laluan kepada sahabat-sahabat yang datang lewat. Sebab itu, kalau kita baca dalam Surah al-Mujaadalah ayat 11, Allah berfirman dengan maksudNya, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kamu: Berlapang-lapanglah kamu di dalam majlis, maka hendaklah kamu melapangkannya, nescaya Allah akan melapangkan untuk kamu..."...Ayat ini turun apabila ada diantara sahabat-sahabat Nabi saw yang tak bagi chance kepada sahabat lain yang mai lewat, "Sapa mai lambat, pi dok belakang kat pokok tamar tu. Kami dok depan ni pasai kami mai awai."...Menurut riwayat, sehinggakan ada yang merenggangkan peha tak bagi lalu. Inilah yang menunjukkan betapa cemburunya mereka dalam menuntut ilmu. Kalau boleh, Nabi saw pun depa nak peluk. Oleh sebab inilah maka Allah swt tegur, "Janganlah macam tu. Berilah laluan kepada sahabat kamu yang lewat itu."...Inilah adab ketika kita mengaji. Kalau kita tengok ada sahabat-sahabat kita yang masih berdiri di belakang padahal ruang bahagian depan masih boleh diisikan lagi, maka sahabat-sahabat yang hadapan tu tolong kesot sikit memenuhi ruang kosong di depan tu. Inilah kaedah suasananya, supaya yang kat belakang ni pun boleh duduk dan tumpang dapat rahmat doa dari para malaikat. Bila cerita tentang "rahmat", menurut ustaz Halim Nasir, bila start saja kuliyyah dengan salam, maka para malaikat pun bersusun-susun sampai ke Arasy Allah swt memohon keampunan bagi pihak kita yang duduk dalam majlis ilmu itu. Inilah dia keberkatan yang didapati dalam majlis-majlis ilmu. Insya`Allah, kita akan bahas tentang topik ini dalam perbahasan-perbahasan yang akan datang.

Yang nak ceritanya ialah bahwa `Irbath ini adalah salah seorang daripada ahlul suffah, dan tidak banyak riwayat yang boleh kita ambil daripada `Irbath melainkan hanya ada 1-2 hadith sahaja yang diriwayatkannya. Diantaranya ialah hadith ke 5 yang kita baca pada kali ini. Dimana `Irbath menyatakan bahwa pada suatu pagi, Nabi saw telah memberi satu tazkirah kepada mereka sahabat-sahabatnya. Untuk pengetahuan tuan-tuan, menurut ustaz Halim Nasir bahwa Rasulullah saw bukan tiap-tiap hari dia bagi tazkirah. Dalam hadith lain Nabi saw sebut bahawa kadang-kadang baginda mentiadakan tazkirah beberapa hari, kemudian baginda saw akan mengadakannya kembali kerana baginda bimbangkan sahabat-sahabatnya menjadi bosan. Itu dia kaedah Nabi saw. Maknanya, bukan tiap-tiap pagi Nabi saw buat kuliyyah Subuh. Sebab itu, kadang-kadang selepas Subuh dilihat sahabat balik begitu sahaja. Ini disebabkan kebimbangan Nabi saw, kerana baginda tahu yang manusia ni kadang-kadang mereka rasa letih dan bosan. Mungkin lepas Subuh, ada yang nak tidur balik pun ada. Yang ni semua Nabi saw boleh baca akan peel manusia. Tambah pula para sahabat; ada yang baru balik dari berniaga di tempat yang perjalanannya sahaja memakan masa berbulan-bulan, kemudian ada yang baru balik daripada medan peperangan dan bermacam-macam lagi. Rasa letih tu mesti ada...Tara kita yang tak perang ni pun melingkaq tidoq balik lepas Subuh sampai lebam bijik mata. Tu tak pi perang apa pun. Tak terlibat di padang pasir tembak apa ka. Jadi cuba tuan-tuan bayangkan para sahabat yang baru balik daripada peperangan Badar maupun Uhud?...Sebab inilah maka Nabi saw sebut dalam hadith bahwa kadang-kadang baginda adakan tazkirah 2-3 hari sekali dan kadang-kadang baginda tiadakan. Inilah kaedah Nabi saw sebab baginda memahami akan sifat semula jadi manusia. Namun, kalau kita sendiri rasa tak bosan, dengan hari-hari kita boleh dengar kuliyyah, Alhamdulillah, tidak menjadi larangan pula untuk kita melakukan perkara yang sedemikian.

Maka diceritalah oleh `Irbath pada suatu pagi selepas solat Subuh, "Bagaimana kami telah diberi nasihat dan peringatan oleh Nabi saw"...Menurut ustaz Halim, inilah routine Nabi saw. Selepas baginda sembahyang Subuh, baginda akan palingkan wajah ke jamaahnya. Dan soalan pertama yang akan ditanya kepada sahabat-sahabatnya ialah, "Siapakah diantara sahabat kita yang tak hadir pagi ni?..Kalau tak hadir, apa sebabnya?..Adakah dia sakit?..Kalau dia sakit, kita mesti ziarah dia. Atau adakah dia meninggal dunia?..Kalau dia meninggal dunia, maka kita selesaikan jenazahnya."...Itulah yang pertama Nabi saw buat. Melalui kaedah inilah, Nabi saw dapat trace yang tak mai dah ke masjid. Kemudian kalau baginda tengok sahabat semua ada, Nabi saw tanya pula soalan kedua, "Siapa diantara kamu yang bermimpi malam tadi?..Sila cerita, mungkin saya boleh takwilkan."...Kalau tidak ada sahabat yang bermimpi, maka Nabi saw pula akan ceritakan akan mimpinya kepada sahabat. Tapi kalau kedua-duanya tidak ada yang bermimpi, maka barulah Nabi saw akan memberi tazkirah. Itulah routinenya.

Berbalik kita kepada cerita `Irbath tadi yang mana katanya, "Nabi saw memberi tazkirah kepada kami dalam satu bentuk nasihat dan peringatan yang cukup menggetarkan hati kami sehingga menyentuh jiwa serta perasaan kami, lalu menyebabkan menitisnya airmata kami."...Hadith ini mengajar kita bahwa inilah bentuk ceramah/kuliyyah/tazkirah yang mesti disampaikan oleh pendakwah-pendakwah. Dia mesti sampai ke tahap paling tidak mad`u nya (orang yang dia seru) mesti dapat merasa gerun dan takutnya kepada Allah. Jangan dibiarkan majlis tazkirah hanya dihiasi dengan gelak ketawa semata-mata. Dengan lawak jenaka yang tak habis-habis seolah-olah samalah dengan Senario, Pi mai pi mai tang tu dan sebagainya. Yang ini kena berhati-hati dan kita tegur secara ikhlas. Kalau nak lawak satu dua benda untuk cuit hati supaya tak boring, yang tu tak jadi masalah. Tetapi jangan start bagi salam dok buat lawak dah, sampai ke salam yang penghabisan pun masih dok buat lawak juga, yang ni jangan dok amalkan. Sebab keadaan sebegini tidak akan membentuk jiwa manusia. Jadi, kita mesti memberi tazkirah dalam keadaan memberi "mau`izah bali qotan", yakni satu bentuk mau`izah yang menyampaikan kepada hati sehingga membolehkan ia merasa gerun dan takut. Lalu bila habis dalam majlis ilmu, maka manusia akan tahu apa yang nak dibuatnya. Inilah message yang disebut oleh al-ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya "Bagaimana kita menyeru kepada ugama Islam". Bila habis saja kuliyyah/ceramah, maka kesan dari kuliyyah/ceramah itu sampai membolehkan orang yang diseru itu tahu apa yang perlu untuk bertindak. Kalau perlu lepas dia dengar ceramah tu, hati dia terbuka nak "isi borang", kita takdak masalah boleh tolong carikan "borang" untuk dia. Kalau perlu lepas dengar kuliyyah tu, dia nak ubah perangai jadi pejuang agama Allah, Alhamdulillah, boleh pahala juga kat kita.

Dan inilah juga yang disebut oleh Imamul Syahid Hassan al-Bana rahimmallahu ta`ala, yang mati ditembak dengan 5 das tembakan di dada kirinya pada Februari 1949 sekitar jam 6:00 pm di hadapan pejabat Ikhwan di tengah-tengah bandar Kaherah. Bagaimana jenazahnya itu tidak diizinkan sesiapa pun untuk menziarahinya. Yang memandikan dan mengkapankan jenazahnya ialah ayah mertuanya, dan yang menyembahyangkan ialah ayah mertuanya dan seorang adiknya sendiri. Hanya 2 orang sahaja yang menyembahyangkan jenazah Imamul Syahid Hassan al-Bana. Ketika dimandikan jenazah beliau, rumah beliau dikepung dengan kereta perisai-kereta perisai oleh tentera-tentera yang telah dipesongkan pemikiran mereka oleh rejim Jamal Abdul Nasir yang berkuasa pada waktu itu. Tidak diizinkan sesiapa pun menziarahi jenazah beliau. Malah sewaktu beliau ditembak dengan 5 das tembakan itu, cepat-cepat perisik yang menyamar sebagai pemandu teksi itu mengambil jenazahnya. Ketika darah masih lagi mengalir, yang belum lagi tumpah di atas jalanraya di Kaherah, cepat-cepat mereka masukkan jenazah ke dalam teksi, kerana mereka bimbang sekiranya darah syuhadah itu setitik saja jatuh ke bumi Mesir pada waktu itu, maka akan gugur dan hancurlah mereka dengan semangat jihad yang akan dipelopori oleh orang-orang yang beriman kepada Allah swt. Punya la takutnya mereka itu sehinggakan tidak diizinkan walau setitik darah pun jatuh ke tanah. Lepas mereka tembak, ambil cepat-cepat masuk dalam teksi, terus hantar ke hospital. Bila dihantar balik ke rumah, rumahnya pula dikawal. Sehinggalah ke tanah perkuburan, seorang pun tidak diizinkan menziarahi jenazahnya. Itulah dia Imamul Syahid Hassan al-Bana yang syahid ketika usianya 43 tahun. Bagaimana beliau pernah berkata, "Kami orang-orang Ikhwan, apabila kami menyampaikan dakwah kepada masyarakat, seumpama kami membelah dada mereka dan mengambil hati mereka, lalu kemudiannya kami basuh hati mereka dengan al-Quran, dengan hadith-hadith Nabi saw, dan dengan hikmah kebijaksaan ucapan solafulsoleh. Dan kemudian bila dah bersih, kami letak balik dalam hati mereka dan kami jahit balik dada mereka."...Itulah perumpamaan yang dibuat oleh Hassan al-Bana, iaitu menyuci hati mad`u dengan mengajak mereka merasai gerun dan takut. Sebab itu, seorang pendakwah tidak boleh menjauhkan mad`u nya daripada Islam, bahkan dia mesti menarik mad`u nya kepada ugama Allah swt.

Lalu kata `Irbath, "Bagaimana nasihat itu menggerunkan hati kami dan menakutkan kami."...Inilah kaedah yang Rasulullah saw pakai. Dan begitulah juga dengan Allah swt mengajar kita dengan 6 ayat di awal Surah al-Muddatstsir yang bermaksud, "Wahai orang yang berselimut (Muhammad saw). Bangunlah, lalu berilah amaran dan peringatan (kepada kaummu)! Dan Tuhanmu, besarkanlah! Dan pakaianmu, bersihkanlah! Dan berhala (kejahatan), tinggalkanlah. Janganlah engkau memberikan sesuatu kerana hendak meminta lebih banyak daripadanya."...Inilah message dakwah Nabi saw. Dimana inilah kaedah yang diajar oleh Allah swt bilamana kita berceramah/ berkhutbah/ menyampaikan dakwah, kita tak boleh lari daripada 6 message yang Allah ajar dalam Surah yang ke 75 ini, iaitu Surah al-Muddatstsir. Dimana di awal message ini terdapat beberapa kaedah yang boleh menakut dan menggerunkan hati manusia, iaitulah dengan menyampaikan amaran. Sebab apa ayat ke 2 itu tidak disebut, "Bangunlah, dan pergilah mengajar."?...Kerana kalau disebut "mengajar", belum tentu boleh menakutkan hati manusia. Tetapi kalau diberi amaran atau diberi inzor dengan neraka Allah atau dengan bala bencana yang akan menimpa umat apabila mereka meninggalkan ajaran Islam, maka Insya`Allah akan memberi kesan. Sebab itulah Allah suruh Nabi saw, "Bangun wahai Muhammad, pergi beri amaran!"...Antara contoh ayat lain yang memberi amaran dan peringatan ialah ayat 15 dalam Surah as-Sajdah yang bermaksud, "Jika sekiranya mereka berpaling wahai Muhammad (saw) maka katakanlah kepada mereka: Aku memberi amaran kepada kamu dengan petir dan kilat, sepertimana yang pernah menimpa kaum `Ad dan Tsamud."...Allah swt ajar kepada Rasulullah saw macam tu, maka demikianlah juga Rasulullah saw pesan kepada kita. Iaitu hendaklah memberi peringatan, bukan sekadar mengajar.

Apa yang dimaksudkan oleh `Irbath ialah pesanan yang disampaikan oleh Nabi saw itu amat-amat menggerunkan hati mereka sehingga membuatkan hati mereka menangis sampai mengeluarkan airmata kerana takutkan Allah swt. Sebab itu, dalam membicarakan persoalan gerun dan takut kepada Allah swt, bukannya habis sekadar habisnya kuliyyah dan ceramah sahaja; malah terdapat terlalu banyak kaedah yang dibentangkan oleh Allah swt yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegerunan kepada hati-hati kita. Sebab itu, diantara ciri-ciri orang yang betul-betul beriman ialah orang yang hatinya sentiasa gerun dan takut kepada Allah. Siapa yang selalu ikut pakar qiamullail kita iaitu Ustaz Osman Ibrahim, dia akan selalu dengar ustaz baca ayat 2 daripada Surah al-Anfaal, yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah mereka-mereka yang apabila diingatkan mereka dengan Allah; apabila mereka melihat ayat-ayat Allah, apabila mereka dibacakan dengan sifat-sifat Allah, apabila mereka dibaca dengan asma`Allah swt melalui al-Quran, dan apabila mereka diberitahu bahwa Allah bersifat dengan sifat-sifat kebesaran; maka gementarlah hati mereka..."...Inilah ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Tapi kalau diberitahu bahwa Allah ini Jabbar, Allah ini al-Qohar, Allah ini al-Muttakabbir, tapi hati mereka tetap tidak merasai apa-apa kegerunan pun kepada Allah; maka ketahuilah bahwa jiwa orang sebegini sudah pun mati dan kosong. Jadi, untuk menjadi orang-orang yang beriman, maka mesti ada perasaan gerun dan takut kepada Allah apabila dinyatakan "asma`ul husna" (nama-nama Allah swt).

Tak gerunkah tuan-tuan pada salah satu daripada nama Allah yang disebut ar-Roqib. Apa makna ar-Roqib?...Maknanya ialah Allah Ta`ala itu sentiasa mengawasi hamba-hambaNya. Mana kita nak lari tuan-tuan oii?!...Siapa yang mengaji "asma`ul husna", dia akan diberitahu bahwa nama Allah itu 99. Kata Nabi saw, "Siapa yang hafal nama-nama Allah, masuk syurgalah dia."...Begitu juga yang disebut dalam satu ayat Quran yang bermaksud, "Sesungguhnya Tuhan mu adalah Mirsod."...Apa makna Mirsod?...Maknanya ialah meneropong atau mengintai. Bayangkan tuan-tuan Allah Ta`ala sentiasa mengintai kita. Samada waktu kita tidur, waktu kita mandi, waktu kita jadi pemimpin, waktu kita bekerja, dan waktu kita jadi apa saja; Allah itu sifatNya "Mirsod" dan ar-Roqib, yang sentiasa tidak akan lupa akan hamba-hambaNya. Inilah yang menggentarkan dan menakutkan orang-orang yang beriman, sebab dia tahu Allah sedang memandang dia. Maka teringatlah dia akan dosa-dosa yang telah lalu, ini akan menakutkannya, lalu bertaubatlah dia kepada Allah swt dengan menyesali diatas perbuatannya yang telah lalu. Inilah dia maksud ar-Roqib, yang menggetarkan hati orang yang beriman bila mendengarnya. Lebih-lebih menakutkan lagi apabila Allah swt berfirman dengan maksudNya, "Dan tidak adalah 3 orang yang berbisik-bisik (melakukan konspirasi), yang ke 4 ialah Allah swt. Dan tidak adalah 5 orang yang berbisik, melainkan yang ke 6 ialah Aku (Allah swt)."...Maknanya, bila ada 5 orang buat kerja jahat tanpa diketahui oleh manusia, maka yang ke 6 yang tanpa diketahui oleh 5 orang itu pula adalah Allah swt. Sebab itu, kita nak bagi amaran keras kepada mereka-mereka yang melakukan kerja-kerja jahat, mereka-mereka yang melakukan komplot untuk memfitnah orang, mengaibkan orang dan menjatuhkan orang; yang mereka boleh gelak di dunia dengan merasai senang hati kerana orang yang mereka mahu jatuhkan itu, sudah pun mereka jatuhkan. Tapi mereka lupa bahwa bila 5 orang melakukan kerja terkutuk, maka yang ke 6 ialah Allah swt yang mengawasi mereka. Kalau 100 orang kamu, maka yang ke 101 itu ialah Aku (kata Allah swt). Di mana kita mahu lari, dengan Allah sentiasa ar-Roqib memerhati kita?

Kita akan lihat betapa hebatnya Allah bila kita renung satu lagi nama Allah iaitulah al-Hafiz. Apa makna al-Hafiz?...Dialah yang mengawal dan menjaga putaran alam ini, Dialah yang menjaga langit dan bumi, Dialah yang menjaga bintang /bulan/matahari; itulah makna al-Hafiz. Sebab itu, apabila orang-orang yang beriman melihat gerhana bulan umpamanya, reaksi mereka lain dengan orang yang tidak beriman. Mari kita imbas kembali gerhana bulan penuh yang berlaku pada tahun lepas, iaitu yang berlaku antara pukul 9.52pm sehingga 10.49pm pada 16 Julai 2000, yang mana sebelum ini kali terakhir berlakunya "total eclipse" (gerhana penuh) ialah pada tahun 1859, yakni 141 tahun yang telah lalu. Pada 16 Julai 2000 tahun sudah, baru dia repeat balik dan dia akan berlaku pula sekali lagi total eclipse pada jangka masa 1000 tahun akan datang...Ikut adatnya dalam jangkamasa 1000 tahun tu, saya dan tuan-tuan kira dah "padam". Jadi, siapa yang tak ambil kesempatan untuk sembahyang sunat gerhana bulan pada malam itu, maka rugi besarlah dia. Inilah yang ustaz Halim kata bahwa pandangan orang yang beriman tentang gerhana penuh itu memang berlainan daripada pandangan orang-orang yang tidak beriman. Malah ada yang tak ambik peduli langsung dengan gerhana yang berlaku. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Sedangkan inilah dia Kebesaran Allah swt yang Dia nak tunjuk kepada kita.

Firman Allah dalam ayat 39-40 dalam Surah Yaasiin, yang bermaksud, "Matahari tidak akan mengejar bulan, dan bulan tidak akan mengejar matahari. Siang tidak akan mendahului malam, dan malam tidak akan mendahului siang. Semua planet ini beredar pada falaknya (tempat peredarannya)."...Inilah dia ilmu falak yakni yang boleh dihitung. Dari firman Allah swt dalam Surah Yaasiin inilah, maka lahirnya para saintis-saintis dan pakar-pakar astronomy. Mereka mengira dengan ilmu yang Allah beri, lalu mereka buat prediction bahwa pada 16 Julai 2000, bermula pada pukul 7.57pm sehinggalah 1.02am akan berlaku total eclipse yang cukup menarik untuk disaksikan di sebelah rantau Asia ini. Agak-agak tuan-tuan, bagaimana pakar-pakar astronomy itu boleh kira dengan tepat tarikh nak berlakunya gerhana bulan penuh tu?...Sebenarnya, apakah message Allah nak tunjukkan kat kita tentang gerhana itu?...Inilah dia tuan-tuan, yang menandakan bahwa makhluk-makhluk planet ini patuh kepada Allah swt. Allah kata kat bumi, "Kamu bumi pada waktu 16 Julai 2000 tu, hendaklah in-line dengan matahari. Dan kamu matahari hendaklah pancarkan sinar kepada bumi, maka berlakulah bayang di sebelah bumi mengadap bulan. Dan kamu bulan, bila sampai pukul 7.57pm pada 16 Julai 2000, kamu mesti masuk ke dalam bayangan bumi (dalam istilah sains, ia dipanggil shadowing zone), dan kamu kena duduk di situ untuk Aku tunjukkan Kebesaran Aku kepada makhluk Ku."...Masya`Allah, bulan/ bumi/ matahari boleh sami` na wa ato` na. Betapa Agungnya Allah swt yang telah menciptakan makhluk-makhluk ini. Tetapi insan yang diberi akal oleh Allah tidak pula boleh patuh kepada perintah Allah. Lalu apabila bulan masuk saja sikit demi sedikit dalam "shadowing zone", ia menjadi hitam. Proses gerhana ini memakan masa selama sekitar 1 jam 47 minit. Sebab itu, sunat untuk kita mengadakan sembahyang khusuf (gerhana bulan) dengan disunatkan membaca secara jahar (kuat); dengan 4x rukuk, 4x al-Fatihah, 4x sujud iaitu 2 rakaat jumlahnya.

Kata Allah lagi dalam firmanNya dalam Surah al-Fusilat ayat 37 yang bermaksud, "Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan, tetapi sujudlah kepada Allah, yang telah menciptakan kedua-duanya. Dan kepadaNyalah kamu akan kembali."...Inilah hebatnya Allah swt. Sewaktu Allah cipta bulan dulu, Allah dah bagitau siap-siap dah kat bulan, "Pada 16 Julai 2000 nanti, hang bulan kena masuk dalam kawasan bayangan bumi."...Bulan sami` na wa ato` na. Begitu juga bilamana Allah swt mencipta manusia. Allah taklif dah kepada manusia dengan amanah-amanah seperti haramkan riba, potong tangan pencuri dan sebagainya; tapi manusia lawan Allah. Punyalah kuffurnya manusia, punyalah jahatnya manusia, dan punyalah tidak ada nilainya manusia itu apabila mereka tidak ada perasaan gerun dan takut kepada Allah swt. Inilah yang Tuhan kata bahwa "gementar hati" sebagai salah satu jalan untuk kita mencapai status ketaqwaan kepadaNya, apabila kita melihat proses-proses kejadian gerhana yang berlaku. Sebab itu, hampir seluruh masjid di M`sia telah mengadakan sembahyang sunat gerhana. Dan yang paling menarik ialah di Masjid Negara, yakni siap dengan diberi penerangan oleh pakar fizik dari UKM iaitu Prof Madya Dr Zamri, yang menerangkan fasa demi fasa macamana berlakunya gerhana tersebut. Ini menyebabkan orang ramai cukup tertarik dan berminat dengan penerangan yang diberi kerana melihat di sana adanya Allah swt yang mengawal segala-galanya. Itulah dia Allah yang bersifat dengan sifat KebesaranNya, dan itulah Allah yang memiliki nama al-Hafiz yakni Yang menjaga dan Yang memelihara alam semesta ini. Pointnya yang ustaz Halim cuba nak bagitau ialah makhluk-makhluk seperti matahari, bintang, bulan, bumi dan di seluruh alam cakerawala ini, semuanya mereka ini pakat patuh belaka kepada Allah swt. Inilah yang disebut oleh al-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya "Filzilaalil Quran", katanya, "Bulan itu Islam, matahari itu Islam, planet itu Islam, air laut itu Islam. Ini bermakna mereka menyerah diri dan patuh kepada Allah swt."

Berbalik kita kepada hadith di atas. Inilah yang perlu kita faham, bagaimana Nabi saw menyampaikan tazkirah kepada `Irbath dan para sahabat sehinggakan boleh menggetarkan hati-hati mereka. Dalam fasa yang pertama bagi hadith ini, kita telah pun menghuraikan berhubung dengan "gementarnya hati", menitiskan airmata dan menakutkan hati. Inilah bentuk tazkirah yang kita mesti tanamkan, dengan menggandingkannya melalui 2 kaedah, yakni samada syadaid (bersikap keras) ataupun ruhas (bersikap lemah lembut). Dimana al-Qardhawi mengatakan bahwa kedua-duanya mestilah digabungkan, yakni tidak boleh dengan sentiasa cara lemah lembut sahaja ataupun tidak juga boleh keras memanjang. Jadi, mestilah digabungkan ruhas dan syadaid, maka barulah message Islam akan berjaya disampaikan kepada masyarakat. Dan Insya`Allah, masyarakat akan kembali kepada ugama Allah swt. Tuan-tuan jangan bimbanglah, selagi digelar sebagai makhluk Allah, manusia itu kuffur macamana sekali pun, satu hari nanti dia akan kembali juga kepada ugama Allah; kerana Islam ini urusan Allah yang tidak boleh ditolak.

...bersambung...

Dan sekarang kita menyambung lagi matan hadith ini, dimana Nabi saw telah bersabda, "Aku berpesan kepada mu supaya bertaqwa kepada Allah swt,"...Pada sessi ke 2 ini, ustaz Halim Nasir hanya membahaskan setakat ini sahaja, dan yang lainnya akan dibahas pada sessi yang akan datang.

Muslimin muslimat sekelian. Inilah nasihat yang pertama yang diberi di dalam hadith ini oleh Nabi saw, iaitu menyampaikan satu wasiat yang amat besar. Ia bukanlah sekadar pesanan semata-mata, tetapi ia disebut sebagai "wasiat". Bila ia dikatakan sebagai "wasiat", maka ia menjadi satu benda yang terlalu besar. Sebab itu, kalau kita baca al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat macamana Allah menghuraikan hubungan antara anak dengan kedua ibubapanya, dengan menggunakan kalimah "wasiat". Antaranya ialah dalam firman Allah dalam Suratul Ahqaaf:15 yang bermaksud, "Dan Kami telah berwasiat kepada manusia, supaya berbuat baik kepada kedua orang ibubapanya..."...Daripada ayat ini, Allah swt suruh kita berbakti kepada kedua ibubapa untuk membalas budi mereka, dan suruhan ini Allah sebut dengan kalimah "wasiat".

Bertaqwa kepada Allah bukan sekadar dipesan oleh Nabi saw sahaja, malah diperintah juga oleh Allah swt sepertimana dalam Surah an-Nissa`:131 yang bermaksud, "Dan demikianlah wahai Muhammad (saw), Kami telah berwasiat kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum engkau, dan Kami juga berwasiat kepada engkau dan umat mu supaya bertaqwalah kepada Allah."...Inilah wasiat Allah swt kepada kita. Sehebat mana sekalipun si khatib berpidato, tapi kalau khatib itu tidak berpesan dengan ketaqwaan di atas mimbar pada hari Jumaat ataupun pada sembahyang 2 Eid, mau tangkap si khatib tu, kemudian rendam dia dalam laut, sebab tak tau law punya khatib. Sebab tidak akan sah sembahyang Jumaat bila khatib tak pesan pada dirinya dan khususnya pada makmum supaya bertaqwa kepada Allah. Saban minggu dipesankan dengan ketaqwaan kepada masyarakat. Pentingnya pesanan ketaqwaan ini sehingga menjadi satu syarat kepada sahnya khutbah. Jadi, ianya mesti dibaca oleh khatib dan berpesan dengan pesan-pesan ketaqwaan. Sebab dengan ketaqwaan inilah, Allah swt meletakkan tinggi atau tidaknya manusia di sisiNya. Sepertimana firmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu pada sisi Aku ialah orang yang paling bertaqwa."...Dari ayat ini, Allah tidak melihat langsung akan pangkat, kedudukan dan harta seseorang, melainkan dia merebut pangkat ketaqwaannya walaupun se-dhoif mana kehidupannya, sebab sifat ketaqwaan inilah membuatkan Allah swt pandang kita mulia.

Dan di dalam al-Quran juga telah mengajar kita bahwa sesungguhnya di akhirat kelak akan adanya habuan-habuan yang akan diberi oleh Allah swt apabila kita bertaqwa kepadaNya. Jangan kita nampak benda lagu ni sebagai remeh temeh, sebaliknya kita kena minta sifat taqwa ini dengan berdoa kepada Allah. Sepertimana doa yang diajar oleh Nabi saw, yang kemudian diambil daripada Ibn Mas`ud ra (boleh refer dalam kitab Riyadhus Solihin) yang berbunyi, "Allahuma inna nas alukal huda wattuko wal `a fafa wal ghinah."...Bunyi sebegini ialah setelah ia dijamakkan. Tapi hat dalam hadith hanya berbunyi, "Allahuma inni as aluka"...Bila berjemaah, lebih eloklah dijamakkan kerana berdasarkan dalil ketika Nabi saw mendengar Saidina Ali kw berdoa untuk dirinya sendiri, lalu Rasulullah saw tegur Saidina Ali, "Mengapa kamu tidak berdoa untuk semua muslimin dan muslimat?"...Jadi, berdasarkan dalil ini, tok imam kena baca doa secara berjamak. Inilah kaedahnya iaitu ingat sama kepada orang lain, jangan pentingkan diri kita sahaja.

Daripada doa di atas tadi, Nabi saw mengajar kita bahwa setelah minta hidayah petunjuk daripada Allah swt, maka minta tolong supaya Allah campakkan ketaqwaan pula. Ini disebabkan hanya Allah sahaja yang boleh bagi ketaqwaan, bukannya kerja manusia. Berdoa adalah antara salah satu kaedah daripada banyak-banyak kaedah yang diajar oleh Nabi saw kepada umatnya. Kaedah-kaedah yang lain itu ialah :

1) melalui ayat-ayat al-Quran.

2) melalui hadith-hadithnya.

3) melalui perbuatannya.

4) melalui doa-doa yang Nabi saw ajar.

5) melalui diamnya Rasulullah saw. Dimana diamnya Rasulullah menjadi hukum bagi orang Islam. Seperti diamnya Nabi saw ketika di dalam suatu peperangan apabila insan yang digelar "Saifullah" (pedang Allah) yang telah menangkap beberapa ekor biawak padang pasir yang dinamakan "ad-Dhob" (yang minyaknya menjadi rebutan pada kaum lelaki dikalangan orang Melayu), dan disembelih lalu dipanggang dan dimakannya depan Nabi saw. Tapi Nabi saw hanya melihat tanpa berkata apa-apa pun. Maka diamnya Rasulullah saw ketika itu, hukumnya menjadi "harus". Maknanya, kita boleh makan biawak padang pasir, tapi bukan biawak pokok kelapa. Kalau biawak pokok kelapa hangpa makan, nanti jadi munafik, pasai lidah bercabang...Itulah dia cerita Khalid ibn Walid ra, yang memeluk Islam pada tahun ke 7 hijrah, iaitu setahun selepas berlakunya "Perjanjian Hudaibiyyah". Ketika itulah Khalid dilantik oleh Rasulullah saw menjadi General perang. Inilah bijaksananya Rasulullah saw. Baginda tahu yang Khalid memang hebat dimasa jahiliyyahnya, maka Nabi tetap mengekalkan kedudukan Khalid sebagai General perang walaupun dia baru memeluk Islam. Sebab itu, bagi kawan-kawan kita yang ada kedudukan sikit tapi masih ada lagi perasaan ragu-ragu nak "isi borang", maka janganlah bimbang. Bila "isi borang", mana tahap hang dulu, hang duduk di situ. Dia takdak nak gaduh nak turun pangkat apa tarak. Sebab Islam ajar macam tu. Sebab itu, Khalid masa jahiliyah dia General, kemudian bila masuk Islam, tetap jawatannya dikekalkan oleh Nabi saw.

Okay sekarang mari kita tengok apa pula dia yang dikatakan sebagai habuan-habuan bila kita beroleh ketaqwaan?...Lalu ustaz Halim menyebut satu ayat iaitu ayat 29 dalam Suratul Anfaal yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan untuk kamu satu ilmu, iaitu kamu boleh membezakan antara haq dan kebathilan.."...Inilah hasil yang kita dapat apabila kita bertaqwa kepada Allah, yakni Allah akan campakkan kepada kita ilmu al-Furqaan (pembeza). Contohnya ialah Saidina Umar ra, dia digelar al-Farouk yakni pembeza antara haq dengan yang bathil. Manakala dalam al-Quran pula, ada surah yang dinamakan dengan Surah al-Furqaan (Surah Pembeza) yakni surah 25 selepas Surah an-Nur dan sebelum Surah as-Syu`arak. Surah al-Furqaan ini dimulakan dengan ayat yang bermaksud, "Maha suci Allah", dan didapati dalam al-Quran ini hanya ada 2 surah sahaja yang dimulakan dengan "Maha suci Allah". Iaitulah Surah al-Furqaan dan Surah al-Mulk.

Berbalik kita kepada ilmu al-Furqaan seperti yang diperkatakan tadi, kerana ia adalah amat penting dalam kehidupan. Sebabnya, walaupun kita mungkin ada ilmu banyak, tapi kalau tak boleh nak bezakan antara haq dan kebathilan, maka akan timbul masalah. Mungkin benda-benda yang remeh, kita akan anggap benda besar. Sebaliknya yang besar, dianggap remeh pula. Jadi terbalik keadaannya pula. Contohnya seperti kecohnya isu aurat suara wanita hari tu. Ianya jadi kecoh sebab diheboh serta diperbesar-besarkan dalam media dan sebagainya. Disini, kita ingin menyatakan bahwa dalil yang ulama` ambil bila mereka mengatakan bahwa suara wanita itu menjadi aurat apabila dipertandingkan atau diperdendangkan, ialah ia berdalilkan dari kata-kata Imam Hanafi. Dimana Imam Hanafi menyebut bahwa perempuan-perempuan yang memakai perhiasan di kaki (gelang) apabila berjalan, Allah melarang mereka dari menghentakkan kaki dengan kuat kerana boleh menarik perhatian lelaki. Kalau perempuan yang bergelang kaki pun ditegur cara mereka berjalan, inikan pula suara wanita. Lebih-lebih lagilah apabila suara mereka dilagu-lagukan dan didendang-dendangkan sehinggakan mengkhayalkan si lelaki. Daripada dalil inilah, maka Imam Hanafi menghukumkan "haram" bagi penyanyi-penyanyi wanita. Ini yang perlu kita faham. Jangan kita bertelagah sehingga tak tahu mana puncanya. Dalam Islam, kita dibenar berpindah-pindah mazhab apabila ada saat dan ketikanya. Contohnya dalam bulan Ramadan, kita kena bayar zakat fitrah, betoi tak?...Umumnya kita di M`sia, kita bayar dengan duit. Bila kita menggantikan harga beras dengan duit, ini amalan mazhab mana?...Ini daripada mazhab Maliki, tuan-tuan. Tapi sebab apa kita buat?...Sebab Islam izinkan. Kalau ikutkan mazhab kita yakni Imam Syafie, zakat kita dibayarkan dengan makanan asasi bagi sesuatu penduduk. Makanan asasi kita apa?...Beras...Kemudian, anak kita berapa?..11. Maka jenuhlah nak pikul 11 bungkus beras nak bagi kat Amil. Sebab itu, Islam membenarkan makanan ditukarkan dengan duit. Jadi, samalah dengan isu aurat suara wanita tu, kita gunakan hukum dari mazhab Hanafi. Tapi puak-puak yang tak mengaji ni, bila dapat satu-satu isu walaupun remeh, habih naik riuh satu M`sia. Depa guna media-media untuk menyebarkan fahaman ikut akai depa yang singkat tu.

Sebab itu, pentingnya ketaqwaan sebab Allah akan campak pada kita suatu ilmu yang boleh membezakan yang mana haq dan yang mana bathil. Orang yang bertaqwa, bila datang suatu berita kepadanya, dia akan siasat dulu akan berita tersebut, betul ataupun palsu. Sebab itu, Nabi saw ajar dengan satu doa yang bermaksud, "Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami haq itu haq, dan berilah kami rezeki untuk mengikut yang haq. Dan tunjukkanlah kepada kami bathil itu bathil, dan berilah kami rezeki untuk kami menjauhi yang bathil."...Ini penting. Kalau ilmu banyak pun, tapi kalau tak tau nak beza haq dan bathil, boleh binasa hidup...nauzubillahiminzalik...Sebab itu, kita kena ada ilmu ini, iaitu "Furqanna". Tapi nak dapatkannya, maka hendaklah bersyarat. Kata Allah dalam Suratul Anfaal:29 tadi, "Sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, maka Aku bagi kamu ilmu untuk membeza antara haq dan bathil."...Dan memang kita nak bagitau bahwa haq dan kebathilan memang tidak boleh bersatu (tetap akan berpisah). Seperti dalam Surah Yaasiin yang selalu kita baca, ayat 59 yang bermaksud, "Berpisahlah kamu pada hari ini (hari qiamat), wahai orang-orang yang berdosa!"...Daripada tafsir Imam Qurtubi rahimallahu ta`ala, bahwa yang dimaksudkan oleh Allah, "Berpisahlah pada hari ini wahai orang-orang yang berdosa!" ialah orang yang beriman masuk syurga, manakala orang yang kuffur masuk ke dalam neraka. Dan tuan-tuan kena ingat, bukankah hadith Nabi saw pernah disebut bahwa bagi setiap 1000 manusia di Padang Mahsyar, 999 akan ke neraka dan hanya 1 sahaja ke syurga. Maka dari dalil inilah, menunjukkan bahwa bukan senang nak masuk syurga...Tak kecut perut ka tuan-tuan bila dengar hadith macam ni?...Dengan peluang yang paling sukar bila tengok nisbah sedemikian, maka belah mana kita nak duduk?...Sebab itu, kita mesti tahu pemisahannya antara haq dan bathil.

Dan Allah terlebih dahulu, bukan sekadar memisahkan haq dan bathil ini di negeri akhirat, bahkan sudah dipisahkanNya awal-awal lagi di dunia ini. Contohnya ialah daripada kisah Nabi Noh as (dalam Surah Hud:25-49), dimana ketika Nabi Noh as naik ke dalam bahteranya, Allah swt menyuruh Nabi Noh as membawa semua jenis binatang berpasang-pasangan. Tapi dalam pada itu juga, ketika air baru paras lutut atau belum lagi sampai ke peringkat berjaga-jaga, ada seorang yang tidak naik, iaitulah anak kepada Nabi Noh sendiri. Kemudian air mula terbit daripada bumi yang memancarkan mata air dan hujan juga turun daripada langit. Firman Allah yang bermaksud, "Kami buka pintu langit serta mencurah-curahkan air, dan Kami terbitkan air daripada bumi akan mata air-mata air."...Tuan-tuan, KL berlaku banjir kilat pasai hujan turun daripada langit saja. Tapi banjir zaman Nabi Noh as, Allah swt bagitau bahwa hujan mencurah daripada langit dan bumi menerbitkan mata air. Tuan-tuan cuba bayang lagumana laju dan besarnya banjir zaman Nabi Noh as.

Bila Nabi Noh ajak anaknya naik ke bahtera, anak dia kata, "Takpalah ayah, saya nampak ada bukit tinggi, maka bolehlah saya panjat. Takkan air tu boleh sampai ke bukit."...Inilah contoh otak orang yang berfahaman "sekular". Para ulama` yang mentafsirkan ayat itu mengatakan bahwa apabila anak Nabi Noh berkata sedemikian, maka inilah pemikiran sekular. Sebab orang sekular ni, depa hanya nampak yang dekat dan zahir sahaja, depa tak nampak dah akhirat. Anak Nabi Noh as, dia nampak bukit yang dekat itu sahaja, tapi dia tak nampak bahwa Allah swt sedang Murka kepada mereka ketika itu. Begitulah juga puak-puak sekular hari ini, halal haram tolak tepi, janji mau maju dulu.

Lalu kata Nabi Noh as kepada anaknya, "Takdak bukit dah hari ni. Allah swt sedang Murka!"...Akhirnya, bila anaknya tenggelam timbul hanyut dipukul arus banjir, maka terbitlah rasa kasihan dalam hati Nabi Noh as...Tuan-tuan, ayah mana yang tak sayang anak sendiri?...Walau sejahat mana sekalipun anak kita, yang dari tulang surbi kita lahirnya dia; tak akan sanggup kita tengok dia di apa-apakan. Begitulah juga dengan Nabi Noh, walaupun anaknya kuffur lawan Allah, tapi bila tengok tenggelam timbul tenggelam timbul, mulalah dia rasa kasihan. Maka diangkat tangannya dan mulalah Nabi Noh merayu dan merintih kepada Tuhan dengan berkata, "Wahai Tuhan, itukan anak aku. Selamatkanlah dia dan ampunkanlah dia. Wahai Tuhan, yang sedang tenggelam timbul itu anak aku, zuriat aku."...Lalu jawab Allah dengan jawapan pemisahan haq dan bathil, "Berkata Allah: Wahai Noh, dia bukan dari kalangan keluarga kamu."...Kalau puak nasionalis Melayu dengar atau baca ayat ni, depa nanti kata Allah sebagai pemecah-belah. Awat tak boleh ka selamatkan saja anak Nabi Noh tu bila ayahnya minta diselamatkan?...Jawab Allah, "Tidak, dia bukan anak kamu sebab dia tidak beramal dengan amal yang soleh.."...Inilah dia yang dikatakan Allah putuskan hubungan di atas dunia lagi antara ayah dan anak, kerana iman dan kebathilan. Haq dan bathil mesti berpisah, dia tak boleh duduk sekali. Apa boleh buat?...Dah itu Allah punya agenda. Jadi, macamana orang nak minta kita bersekongkol dengan puak-puak yang suka buat maksiat?...Mana boleh?...Sebab kita rasa geli. Segeli macam nak makan mee cina tu. Jadi, tak boleh untuk kita duduk sekali dalam keadaan sedemikian. Sebab haq dan bathil mesti bertentang sampai qiamat...Akhirnya bila Allah pisahkan Nabi Noh dan anaknya, maka matilah anaknya dalam kekuffuran...Nauzubillahiminzalik. Sebab itu, kita kena cari ketaqwaan ini, untuk kita tahu bezakan haq dan bathil.

Tadi kita cerita tentang habuan-habuan yang dijanjikan untuk orang-orang yang bertaqwa. Maka sekarang kita lihat pula macamana jalan untuk kita nak dapat taqwa itu?...Lalu ustaz Halim pun merujuk kepada satu ucapan daripada Saidina Ali karamallahuwajhah...Bila sebut Saidina Ali ini, Masya`Allah tuan-tuan. Dalam perang, Nabi saw selalu letakkan dia di posisi "wing". Contohnya dalam Perang Badar, Nabi saw letakkan Saidina Ali kw di sayap kanan dan di sayap kiri pula ialah Miqdad bin al-Aswad; kedua-dua umur 18 tahun waktu tu, masih remaja lagi. Sebab itulah, dalam permainan bolasepak mana pun, cuba tuan-tuan perati tengok, yang jadi wing kanan dan kiri tu mesti orang muda punya. Tengok macam Roberto Carlos, yang kepala botak tu ataupun Ryan Giggs, depa ni lah yang nak ligan bola sampai ke hujung-hujung line tu, pasai nak center bola pi kat striker yang dok tunggu depan goal. Kemudian nak lob bola tu bukannya senang, kena ada kira-kira angle dia tu. Buka main terajang ikut suka saja. Depa world class player punya, satu dunia dok tengok. Sebab itu, posisi sayap tu kena letak orang muda. Kalau hangpa bubuh sayap yang umur dia 40an, boleh bersila dia kat tengah padang. Pancat dia, tak terkejarnya bola tu tuan-tuan. Sebab itu, Rasulullah saw gunakan taktik gempur dari kiri kanan dengan meletakkan orang-orang muda di bahagian sayap kanan dan kiri. Inilah kelebihan Saidina Ali kw.

Kalau kita mengaji Sirah, waktu berlakunya Perang Khaibar yakni satu peperangan yang solid antara orang Islam dengan Yahudi; ianya berlaku apabila orang yahudi (qainuqa`/ nadir/ quraizah) bergabung untuk mengganggu kerajaan Islam Madinah. Ini dia yahudi tuan-tuan. Sebab itu, kita tak hairan dengan perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku di tebing barat. Inilah yang kita nak bagitau bahwa perangai yahudi ni sejak dari zaman Nabi Musa as, sejak zaman Rasulullah saw hinggalah sekarang; mereka tak pernah kenal erti perdamaian. Lalu mereka memusuhi Rasulullah sehingga mereka bergabung 3 puak memerangi Rasulullah di Khaibar yakni 100 km di utara Madinah. Bila tentera Islam sampai di kawasan Khaibar, tengok-tengok ada tembok keliling. Memang penakut puak-puak ni sejak dari dulu lagi; depa pasang tembok tinggi-tingi, duduk dalam tu ramai-ramai, dok asah parang. Bukan depa nak keluar hadapi tentera Islam. Lalu Rasulullah saw pun berpendapat bahwa tembok itu mestilah dirobohkan terlebih dahulu, kemudian baru boleh gempur puak-puak yahudi tu. Lalu Nabi saw mengambil keputusan untuk berkhemah di malam hari, dan esok selepas sahaja sembahyang Subuh, Nabi saw panggil Saidina Abi Bakr ra dan berkata, "Wahai Abi Bakr, pimpinlah pasukan dan gempurlah benteng Khaibar."...Saidina Abu Bakar pun kumpulkan orang, keluarlah dia di pagi hari itu, tapi bila dia balik di waktu petang dengan berkeadaan muka masam macam cuka. "Tak boleh ya Rasulullah kerana tebalnya benteng mereka.", kata Abi Bakr. Kata Nabi saw, "Takpa, kita berkhemah satu malam lagi."...Besok selepas sembahyang Subuh, giliran Saidina Umar al-Khatab ra pula untuk menggempur benteng Khaibar. Setelah diperintah oleh Nabi saw, maka pergilah Umar dengan bangganya bersama dengan bala tenteranya. Tapi samalah juga macam Abi Bakr, iaitu pergi pagi balik petang, muka masam macam cuka kerana gagal menghadapi benteng Khaibar yang kuat. Kata Nabi saw, "Takpa, satu malam lagi kita berkhemah."...Besok pagi, Saidina Usman pun menonjolkan mukanya, sebab kalau ikut giliran, maka Saidina Usmanlah yang akan pergi. Tiba-tiba Nabi kata, "Di mana Ali?"...Sebab Rasulullah tak nampak Ali dalam sembahyang Subuh berjamaah di pagi tu. Lalu ada sahabat kata bahwa Ali dok ada dalam khemah kena sakit mata. Lalu Rasulullah pun pi kat Ali dan baginda ludah kat mata Ali, maka time tu jugak sembuhlah Ali dari sakit matanya itu. Inilah syafaat Rasulullah saw. Kita jangan dok cuba buat lagu tu. Kalau sakit mata, pi lah jumpa doktor. Jangan dok jumpa bomoh suruh dia ludah pula, buta nanya satgi. Takut jadi macamana Musailamah al-Kazab. Bila dia mengaku jadi nabi, maka ada lah orang sakit mata di Madinah pi jumpa dia. Orang tu ingat, mungkin bila dia kata dia nabi, mesti dia boleh berubat macam Nabi saw buat kat Saidina Ali tu. Tapi bila Musailamah ludah, orang tu buta terus. Inilah yang menunjukkan yang Musailamah tu pembohong, sehinggakan air ludahnya pun tidak diterima Allah swt.

Kemudian bila mata Saidina Ali sembuh elok, maka kata Rasulullah saw, "Wahai Ali, engkaulah orangnya."...Saidina Usman tak boleh nak kata apa sebab Rasulullah saw skip dia. Dia tarak nak kecik hati, malah dia sami` na wa ato` na, dia tarak kata nak merajuk pi makan durian apa tarak. Saidina Ali kw pun pergilah, lalu...Masya`Allah, menurut riwayat, dia berjaya merobohkan benteng Khaibar yang kukuh itu dengan hanya menolak dengan sebelah tangannya sahaja...Yang ni lah yang orang Melayu dok cari sampai la ni tak jumpa-jumpa. Berjuang tak mau, dia kira hat mudah saja. Usrah tak payah, tamrin pun tak payah; yang dia kira nak menang cepat pakai ilmu kuat. Hang ingat Tuhan nak bagi menang free ka?...Mestilah kena ada kerja buat, berkorban, berjihad, pecah peluh dan sebagainya; maka barulah diberikan kemenangan oleh Allah swt. Begitulah yang ada pada Ali, sehinggakan beliau berjaya merobohkan benteng Khaibar. Dan bila Ali masuk saja dalam kawasan benteng itu, dia secara personally challenge one by one dengan General puak yahudi tu. Tetapi sebelum Ali berlawan dengan General itu, Ali telah bermadah. Kata Ali, "Hoi yahudi! Ini Ali anak Abi Talib. Hang nak tau dak?..Aku masa kecik-kecik dulu, emak aku panggil aku dengan gelaran "Singan Jantan", hang tau dak?..Manakala tentera Islam yang sebanyak ini, telah ku pimpin sebanyak 100x. Jadi, macam hang ni, kira tok sah dok sembanglah dengan aku!"...Pasai tu gamaknya puak-puak wrestling tu kita tengok dok sembang dulu sebelum berentap, depa tiru style ni la kot. Cuba tuan-tuan tengok The Rock, Undertaker apa semua ni; bukan ka bila depa nak lawan tu, depa nanti bercakap dulu, "Uha! Uha!"...dengan mikrofonnya. Orang ramai pun bergemuruh sorak. Dah la kawan yang nak lawan dengan depa tu badan kurus kedekiang, lepaih tu depa keriau pula dengan suara yang kuat, boleh kecut perut kawan yang nak lawan tu. Jadi, saya ingat depa curi style Ali la puak-puak ni...Kemudian kata Saidina Ali lagi, "Aku bukan 1st time pimpin tentera sebanyak ini, malah lebih dari 100x. Dan kalau aku memenggal leher musuh, pantasnya aku bertindak sehinggakan tidak sempat kamu mengira satu."..."Sa"...tak sempat nak kata "tu", kepala dah bercerai. Apa yang saya nak bagitau ialah apa yang Ali sebut tu semuanya benda betul, bukannya dia bohong. Lalu apabila yahudi tu dengar Ali kata lagu tu, kecut jadinya. Dan akhirnya bila bertembung, dengan kehendak Allah swt, menang tentera Islam.

Berbalik kita kepada petua yang Saidina Ali kw turunkan macamana nak dapat taqwa; iaitulah dia sebut dalam 2 rangkap. Katanya, "Jadikanlah diri mu di sisi Allah, sebaik-baik manusia. Dan jadikan diri mu pada pandangan kamu sendiri, sejahat-jahat manusia."...Inilah kuncinya yang Saidina Ali kw ajar. Iaitu dalam pandangan Allah, kita try sebaik mungkin menjadi orang yang baik. Tak berhenti pi kuliyyah, ceramah, ibadah, sedeqah, infaq, ilmu dan apa saja yang membolehkan kitalah orang yang terbaik di sisi Allah. Tetapi dalam pandangan diri kita sendiri, kita hendaklah meletakkan diri kita ini sebagai orang yang paling jahat sekali. Aku ni jahat, tak pernah buat baik, tak banyak buat kebaikan, aku ni masih jahil; kita kena pandang diri kita jahat walaupun kita tak jahat. Kalau compare dengan orang lain, sentiasalah meletakkan orang lain itu lebih baik daripada kita. Aku ni masih kurang amal jariah, aku masih kurang sedeqah, aku masih kurang di sudut Islam, walaupun sumbangan kita dah banyak untuk Islam. Jangan pandang kita dah cukup buat baik. Dari anggapan kita itu, Insya`Allah, inilah jalan yang akan kita tempoh menuju ketaqwaan. Inilah ucapan Saidina Ali karamallahuwajhah, yang dirakamkan oleh al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya "Nasihat Sepanjang Hayat". Inilah dia nasihat untuk kita mencapaikan sifat ketaqwaan yang diidam-idamkan, iaitulah meletakkan diri kita di hadapan Allah sebaik-baik manusia. Maknanya, jangan buat jahat, dan kalau buat dosa, kenalah istighfar cepat-cepat. Dan kemudiannya meletakkan diri kita pada pandangan kita sendiri, kitalah yang paling kotor punya orang. Paling jahatnya kita ni walaupun kita tak pernah pun buat benda jahat. Insya`Allah, kita akan ada semangat untuk baiki diri kita tiap-tiap hari. Maka inilah jalan yang kita kena tempoh untuk mencapai ketaqwaan di sisi Allah swt.

...bersambung...

Pada kali ini kita sambung sedikit lagi dari hadith yang ke5. Dimana pada sesi yang lalu, telah pun dibahaskan berhubung dengan nasihat Nabi saw berkenaan dengan ketaqwaan kepada Allah. Dan pada kali ini, kita lihat pula nasihat Nabi saw yang ke2. Iaitulah Nabi saw menyentuh tentang masalah kepimpinan. Dimana Nabi saw mengarahkan kita supaya mendengar dan taat kepada ketua kita walaupun dia seorang Habasyiyun (orang Afrika dari bangsa Habsyi) yang menjadi ketua kita. Apakah message yang mahu disampaikan oleh Nabi saw dalam masalah ini?...Inilah yang Nabi saw nak menyatakan kepada kita bahwa dinilai suatu kepimpinan itu oleh Allah bukanlah berdasar kepada keturunan seseorang, tetapi dinilai kepimpinan itu berdasarkan selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah dan Rasulullah saw. Sebab itulah Nabi saw kata, "Walaupun yang menjadi ketua kamu adalah seorang hamba bangsa Habsyi. Tetapi kalau dia patuh dengan berpegang kepada Quran dan as-Sunnah, maka dengar dan taatlah kepadanya."

Sebab itu, kepimpinan menjadi suatu aset yang besar dalam kehidupan masyarakat. Maknanya masalah kepimpinan, bukanlah masalah yang kecil di dalam Islam. Jangankan kata kita menunggu 5 tahun sekali seperti yang ada dalam sistem demokrasi di dalam negara kita pada hari ini, malah tiap-tiap hari Allah swt ajar kita dalam masalah kepimpinan ini, seperti di dalam sembahyang berjemaah umpamanya. Inilah dia konsep kepimpinan sebenar dalam Islam. Allah melatih kita mengenai konsep ini melalui Imam yang dilantik, sehingga apabila kita mengaji dalam bab Fekah, maka bertemulah kita dengan syarat-syarat perlantikan menjadi Imam. Antara syarat-syaratnya ialah orang yang hafal Quran, orang yang sudah berkahwin, orang yang keturunannya baik (ayahnya tok guru atau ustaz), dan orang yang memahami agama lebih daripada orang lain. Orang-orang berkelayakan seperti ini, kita letakkan di hadapan sebagai Imam. Apabila Imam sudah pun dilantik, maka wajib makmum patuh dan ikut segala apa yang dilakukan oleh Imam. Makmum kena patuh bermula daripada Imam melafazkan takbiratul ihram sampailah dia beri salam. Dan makmum tidak boleh berpisah daripada Imamnya selagi Imamnya tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan dan merosakkan sembahyangnya. Dan juga kita diajar di dalam sembahyang berjemaah itu, ketaatan demi ketaatan hendaklah diberikan kepada Imam selagi dia rukuk dan sujud kepada Allah swt. Inilah besarnya kepimpinan di dalam Islam. Sebab itulah Nabi saw menggalakkan kita (lelaki) bersembahyang secara berjemaah, sehingga pernah Nabi saw mahu membakar rumah-rumah sahabatnya yang tidak mahu pergi sembahyang berjemaah. Hatta Nabi saw sendiri ketika sedang sakit teruk, mohon dia dipapah untuk pergi juga sembahyang berjemaah. Lalu disuruhnya Saidina Abi Bakr menjadi Imam dan Nabi saw menjadi makmum. Besarnya peranan ini untuk mengajar kita bahwa Allah menilai kepimpinan itu berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, bukannya dari keturunan dan kelulusan. Tetapi yang lebih penting daripada ini semua ialah dia (Imam) mestilah memimpin dengan suatu konsep "anni`budullah" yakni mengajak manusia menyembah Allah swt dan kemudian mengajar pula masyarakatnya jangan melibatkan diri di dalam kerja-kerja mungkar/ maksiat/ kejahatan yang boleh mengundang bala` daripada Allah swt.

Sebab itulah Allah swt meletakkan di dalam al-Quran syarat-syarat untuk menjadi pemimpin. Kita melihat bagaimana Allah swt meletakkan ciri yang paling besar, yang mana ketika Allah menceritakan satu kisah yang berlaku selepas kewafatan Nabi Musa as iaitu pada ayat 246-247 dalam Suratul Baqarah. Ketika ALLAH menceritakan, "Dan ingatlah, apakah kamu tidak melihat ketika berlakunya satu kisah selepas kewafatan Nabi Musa as. Iaitulah ketika mereka berkata kepada Nabi mereka: Utuslah seorang raja (pemimpin) untuk kami, supaya kami berperang pada jalan Allah.."...Riwayat menyebut bahwa Nabi yang dimaksudkan ialah Nabi Samuel dari kalangan Bani Israil. Dan menurut riwayat, pada waktu itu Baitul Maqdis telah ditawan oleh seorang raja yang zolim. Bila kita sebut "Baitul Maqdis" yang bererti rumah yang disucikan, kenalah sebut betul-betul. Bukannya "Baitul Muqaddis" yang bererti rumah yang menyucikan. Ada perbezaan tu dari sudut nahu. Jangan dok ikut macam dalam tv tu yang hentam ikut sedap saja. Lalu Allah lantik seorang Nabi yang bernama Nabi Samuel as dan memerintah beliau supaya beritahu kepada Bani Israil untuk turun berjihad perang lawan raja yang zolim tu dan rampas kembali Baitul Maqdis. Maka untuk mengepalai ketumbukan tentera jihad itu, maka kenalah lantik seorang ketua. Lalu berlakulah perebutan di kalangan Bani Israil untuk menjawat jawatan tersebut. Masing-masing pakat melobi dengan bermacam-macam cara, sehinggakan mereka sendiri tak tahu siapa yang layak. Kemudian bila Allah suruh Nabi Samuel mencari dan melantik seorang ketua, maka masing-masing di kalangan ahli korporat mulalah melobi secara politik wang. Mereka mula tabur duit dan berkempen supaya Nabi Samuel melantik mereka. Ada yang offer bawa pi melancung dan macam-macam lagi. Orang kampung yang tak pernah masuk hotel 5*, bila dia tengok bath-tub, dia pun terjun ingatkan swimming pool. Bila masing-masing pakat dok berkempen, akhirnya Allah swt berfirman kepada Nabi Samuel dengan ayat 247.

Akhirnya Allah berfiman yang bermaksud, "Wahai Samuel, beritahu kepada Bani Israil bahwa sesungguhnya Allah telah melantik menjadi ketua mereka ialah seorang lelaki yang miskin bernama Thalut."...Lalu Bani Israil dari kalangan ahli korporat bertempik hairan, "Wahai Nabi Samuel, lagumana boleh jadi lagu ni?..Bagaimana Allah boleh lantik seorang pengutip dan penjual kayu api menjadi pemimpin kami?"...Tercenganglah puak-puak korporat ni sebab mereka tahu memang Thalut takdak apa yakni miskin orangnya. Lalu mereka protes, "Kami lebih berhak menjadi ketua kalau nak dibandingkan dengan dia sebab kami semua ada harta, sedangkan dia takdak harta."...Inilah yang dikatakan politik wang. Kata mereka lagi, "Thalut ada apa yang dia boleh bagi apa kat kita?..Segala jenis projek dia tak boleh bagi. Bukan kata projek, hatta sehelai kain pelikat pun mungkin dia tak mampu nak bagi. Kalau lantik kami, rakyat mau apa, kami boleh bagi."...Maka Allah swt jawab, "Aku sendiri yang lantik Thalut ni sebab 2 perkara besar yang ada kat dia dan tidak ada pada kamu. Iaitulah yang pertama dia ada ilmu. Hangpa duit saja banyak, tapi bangang bahalol samdol."...Inilah syarat yang pertama Allah swt letak, iaitulah mesti ada ilmu. Bila kita sebut berilmu ni, dia bukan ilmu hal dunia sahaja, malah dia juga mesti tahu ilmu akhirat. Dia mesti tahu risiko yang akan dihadapinya di akhirat kelak kalau rasuah diamalnya, bila dia pecah amanah, kalau dia buat aniaya fitnah kat orang dan sebagainya.

Janganlah berlaku seperti apa yang diceritakan di dalam al-Quran tentang seorang pemerintah yang bodoh iaitulah si Namrud laknatullah. Tapi walaupun dia bodoh, dia mahu juga bermuzakarah dengan Nabi Ibrahim as. Ini disebut dalam al-Quran ayat 258 Suratul Baqarah. Sebab itu, Allah galakkan kita bermuzakarah. Islam ajar kalau kita tak puas hati, mai kita bincang. Jangan kita dengar sumber dari sebelah pihak saja, kemudian kita hentam sebelah pihak yang lain tanpa ketahui duduk perkara yang sebenar; itu tak aci. Jadi, Islam ajar cara "face to face" yang macam dalam NTV7 dulu tu. Lalu berhujjahlah Nabi Ibrahim as dengan berkata, "Sesungguhnya ALLAH itulah yang Menghidupkan dan Mematikan."...Lalu jawab Namrud dengan sombongnya, "Ish! Setakat nak menghidup dan mematikan orang, aku pun boleh."...Kemudian diperintahkannya 2 orang tahanan supaya dibawa di hadapannya, lalu dihunusnya pedang dan dicantasnya leher seorang daripada tahanan tadi, dan seorang lagi dibebaskannya. Kemudian katanya, "Lihat wahai Ibrahim, macamana aku juga boleh mematikan dan menghidupkan manusia."...Inilah tindakan dari orang yang bodoh lagi sombong, sebab orang kata lain, dia tafsir lain. Kemudian kata Nabi Ibrahim as lagi, "Baiklah, kamu terror sangat kan!..Allah swt boleh menerbitkan matahari daripada timur. Sekarang apa kata kamu pula cuba terbitkan matahari dari sebelah barat, wahai Namrud?"...Melopong la Namrud jawabnya. Tapi walaupun characternya seorang yang bodoh/ jahat/ zalim, tapi dia reti juga bermuzakarah dengan Nabi Ibrahim as. Inilah dia ciri kepimpinan yang tidak berilmu kerana dia cuba nak sanggah ketuhanan Allah swt. Dan bagaimana akhirnya dia tewas dan mati sebagai seorang yang kuffur kepada Allah swt....Na uzubillahiminzalik.

Syarat yang kedua kata Allah, "Thalut ni tubuhnya sihat."...Ini adalah syarat kepimpinan. Dah kalau cakap sikit pun dah terbatuk-batuk, kemudian cakap pun dah tak tentu arah merapu sampai jadi bahan jenaka budak-budak jadinya; ni apa cerita?...Ilmu kalau banyak pun, tapi sakit memanjang pun tak guna jugak. Kejap-kejap kronori by-pass, kejap-kejap kronori by-pass, dok by-pass memanjang. Bila memanjang dok pintas jantung yang ada 5 injap tu, akhirnya 4 tersumbat, tinggai 1 saja. Jadi bernafas pun tak berapa selesa dah. Sampaikan hari tu ingat dah pi dah, tapi masih panjang lagi umur dia rupanya. Tapi kita sebagai pejuang Islam, memang tak hairan, sebab Allah dah bagitau dalam ayat 15 Suratul Baqarah bahwa Dia akan panjangkan umur puak-puak munafik ni termasuklah pemimpin-pemimpin mereka. Tapi bukannya Allah panjangkan umur mereka dalam Islam, bukannya Allah panjangkan umur para pemimpin mereka dalam iman; akan tetapi Allah panjangkan umur puak-puak munafik dalam sifat-sifat toghut/ melampau/ zolim/ takabbur/ sombong. Dan walaupun pada zahirnya kita nampak depa senang, tetapi Allah menegaskan bahwa mereka ini sentiasa dalam terlalu amat gelisah. Jadi apa perlu kita risau tentang mereka?...Janji, kerja buat kita untuk menegak Islam tetap mau teruskan, dan selebihnya kita serahlah kepada Allah swt.

Maka Islam meletakkan sihat tubuh badan dan ilmu sebagai syarat menjadi kepimpinan. Dan Thalut lah yang memimpin mereka yakni Bani Israil, sehingga berjaya membebaskan Baitul Maqdis daripada raja yang zolim itu. Inilah yang Quran sebut bagaimana cara lantik kepimpinan. Dan inilah kaedah yang Allah ajar bagaimana kepimpinan memainkan peranan yang cukup besar dalam mencorakkan masyarakat. Kalau kita baca satu hadith yang lain, lagi kita takut. Dalam hadith tu, Nabi saw letakkan syarat; kata Nabi saw, "Antara orang yang layak menjadi pemimpin ialah mereka-mereka yang menghafal Suratul Baqarah."...Bukannya al-Ikhlas, tapi yang Nabi saw letakkan syarat ialah Suratul Baqarah. Sampai ke tahap tu Nabi letak, yakni siapa yang hafal Suratul Baqarah yang mengandungi 286 ayat dan kemudiannya pula di dalamnya didapati ada ayat yang paling panjang sekali di dalam Quran (ayat 282); maka layaklah dia jadi pemimpin. Menurut Ustaz Halim Nasir, dalam pengalamannya ketika proses menghafal Quran, ayat yang paling susah sampai pecah peluh untuk menghafalnya ialah Suratul Baqarah:282 (menceritakan mengenai bab hutang piutang), panjangnya hingga satu setengah muka surat.

Ini ada satu lagi hadith yang mesti diingatkan oleh sapa yang teringin nak jadi pemimpin. Yang mana hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra dan Muawiyah bin Abu Sufyan ra, kata Nabi saw, "Ada 3 golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari qiamat, yakni Allah tidak peduli akan mereka sehinggakan tidak dibersihNya akan dosa mereka."...Nauzubillah...Pada siapa lagi kita nak harapkan pada hari qiamat, tuan-tuan?...Siapa lagi kalau tak Allah swt sendiri. Dengan keizinanNyalah, maka barulah boleh Nabi saw memberi syafaat kepada umatnya. Syafaat ketika itu dipanggil sebagai "Syafaat Kubra", yakni syafaat yang besar untuk menyelamatkan umatnya dan kita kena ingat bahwa bukan semua orang dapat syafaat tu. Dah la pada hari qiamat tu, kita takdak siapa dah untuk bergantung melainkan hanyalah Allah dan rasulNya, tiba-tiba kata Nabi bahwa ada 3 golongan manusia yang Allah akan buat tak tau seperti tak pernah wujudnya mereka di sisi Allah swt...Lepas tu kata Nabi saw lagi, "Yang pertamanya ialah orang tua yang suka berzina."...Bila sebut pasai zina ni, kita nak sebut bahwa bila nak sabitkan dengan kesalahan zina pada sesiapa pun, kita bukan boleh main sebar-sebar surat layang buat fitnah seperti yang Tok Abu kena tu. Macam tu tak aci. Saya bukan nak bela dia apa dak, tarak kena mengena pun antara dia dengan saya. Tapi saya bercakap atas dasar hukum, yakni Quran sebut bahwa kita kena kemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil, barulah kita boleh bercakap. Orang pompuan tak boleh jadi saksi sebab nak pi mengendap celah-celah pokok pisang tu bukan kerja orang pompuan. Kemudian bila kata 4 lelaki yang adil; macamana pula dikatakan adil dalam Islam tu?...Adil dalam Islam ialah seseorang itu tak buat dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil. Dosa besar seperti minum arak, berjudi, berzina dan sebagainya; dia tak buat. Tapi dosa kecik ni dia buat jugak, tapi tak kekal. Macam terpandang jugak minah kilang yang mengancam-mengancam tu, tapi taklah sampai tiap-tiap hari.

Jadi, inilah akibat bila hukum Islam tidak dijalankan, ia akan tikam kita balik. Ini menjadi satu pengajaran kepada puak-puak umno ni. Sebab itulah hari tu Kelantan nak buat rang undang-undang mengikut "Qanun Jinayah Syar`iyah", dan Sultan pun dah sign cantik dah, kemudian bila kita nak laksanakan untuk menjaga masyarakat; tiba-tiba hangpa kacau. Sekarang apa dah jadi?...Sebab itu Tok Abu mesti kena bersihkan diri dia. Dia tak boleh diam macam tu saja sebab masyarakat akan terus menyangka buruk terhadapnya. Paling tidak, dia kena buat DNA. Bila result tunjuk negatif, maka bersihlah nama dia dan rakyat pun tak sangka buruk dah. Dia bukan kata boleh habih cerita ni setakat letak jawatan semata-mata, kemudian duduk diam-diam teriak sorang-sorang, bukan lagu tu. Kalaulah dia sampai la ni pun tak buat sesuatu, bila orang sebut saja nama dia kat mana pun, maka sangkaan buruk tetap juga tidak berkesudahan. Bila orang tuduh tanpa bukti, itu fasik namanya. Sebab itu dia kena buat clearance. Janganlah biarkan diri dia menjadi sasaran fitnah manusia. Cerita ni bukan cerita kecik kerana ia melibatkan 4 orang saksi adil. Keempat-empat saksi ni pulak mesti clear kena betul-betul nampak seperti kata Nabi saw macam batang celak masuk dalam botol celak. Kalau salah seorang daripada saksi tu specky, minta maaf sebab boleh menimbulkan keraguan. Orang yang pakai cermin mata, bukan boleh jadi saksi sebab nanti bila hakim tanya, "Masa tengok tu pakai dak spec?"...Kalau dia jawab, "Dak, tinggai dalam kereta."...Buta saja 80x saksi tu pula kena sebat. Nampak tak tuan-tuan, begitu telitinya syarat yang diletakkan oleh Islam untuk seseorang menjadi saksi. Sebab itu, kita nasihatkan kerajaan supaya melaksanakan hukum Islam. Ini akan memelihara masyarakat dan menghindar daripada fitnah menfitnah.

Yang keduanya kata Nabi s.a.w., "Pemerintah yang menipu rakyat."...Sebab itu, sapa yang nak pegang apa-apa jawatan pun, dia mau jaga kuat, sebab bukannya benda kecik cerita pegang amanah ni. Kalau dah bukit bukau, gunung ganang, langit dan lain-lainnya pun tolak untuk menerima amanah sebagai khalifah di bumi ini; tuan-tuan boleh imaginelah sendiri betapa besarnya amanah itu. Manakala dalam hadith lain kata Nabi saw, "Mana-mana pemimpin yang mati dalam keadaan menipu rakyatnya, maka haram bau syurga ke atasnya."...Jangankan kata nak masuk syurga, nak cium bau syurga yang boleh dihidu dengan jarak 500 tahun perjalanan akhirat, pun Tuhan tak bagi. Sebab itulah Imam Ahmad ibnul Hanbal rela dirinya disebat, begitu juga Imam Malik rela disebat, manakala Imam Abu Hanifah pula mati dalam tahanan; sebab apa?...Sebab masing-masing menolak jawatan menjadi Qadi (hakim). Takutnya mereka memegang jawatan sebab Nabi saw pernah sebut bahwa seorang hakim itu sebelah kakinya sudah pun berada di dalam neraka. Kerana daripada 3 jenis hakim, 2 ke neraka, hanya 1 sahaja yang masuk syurga. Yang tu yang takut tu. Bukan boleh buat main-main benda-benda lagu ni. Bukan boleh sesuka hati kita kerana benda amanah ini disebut oleh Nabi saw.

Dan golongan ketiga yang Allah tak akan mempedulikan mereka di akhirat kelak ialah kata Nabi saw, "Orang miskin yang sombong."...Orang yang macam nilah yang paling malang sekali. Dah la di dunia abuk pun tarak, kat akhirat diseksa Allah pula. Jenis nilah yang tiap-tiap hari naik gerek cabok pi melepak kat kedai kopi, kemudian tolak buah dam pi haji tiap-tiap hari; tapi hangit lawan Islam. Inilah jenis yang Nabi saw sebut tu. Bukan kita nak hina, kadang-kadang kat dia tu memang takdak apa pun, naik bas turun bas saja. Tapi dia punya mengebat mengalahkan tokey balak. Dengan pen 3 batang terselit kat poket; merah, biru, cokelat. Orang takdak pen cokelat, tapi dia ada. Beli New Straits Time, baca dalam teksi pun terbalik. Sampai driver teksi dok jeling kot cermin, "Wire putuih apa dia ni."...Bukannya sewel, tapi kalau dah bodoh sombong, lagu tu lah jadinya. Dah la di dunia miskin harta, miskin aqidah, miskin iman; sombong pula tu, sampai boleh lawan Quran, lawan Allah, lawan Rasul...Laillahaillallah...Inilah dia golongan-golongan yang Nabi saw sebut tadi, yang mana Allah langsung tidak akan memperdulikan mereka.

Kemudian sambung lagi matan hadith ke 5 ini; dimana seterusnya Nabi saw mengingatkan kita, "Bahwa sesiapa yang hidup selepas aku, maka kamu akan melihat perselisihan yang begitu banyak."...Betul tak apa yang Nabi saw katakan itu kalau dilihat pada zaman kita ni sekarang?...Ini bermakna pertembungan haq dan bathil tidak akan berhenti sampai qiamat. Perselisihan yang hebat sekarang ialah sampai ke peringkat ada yang tak percaya dah kat Nabi saw. Sehinggakan mereka sanggup tolak hadith Rasulullah saw, dengan alasan mereka tak boleh terima Nabi Muhammad saw kerana Nabi Muhammad pun orang macam kita juga, yakni boleh dipertikaikan. Mereka namakan diri mereka "Jamaah Al-Quran Malaysia". Mereka tolak sunnah Nabi saw kerana mereka tak percaya. Depa kata yang tak boleh pertikai hanyalah zat Allah, tapi nabi-nabi ni boleh pertikai sebab depa pun orang macam kita. Di sini dengan keras kita nak sebut dekat puak-puak ni bahwa walaupun Rasul-rasul dan Nabi-nabi itu orang, tetapi mereka itu diwahyukan. Bukan macam kita; kita hanya membaca wahyu. Mana lebih besar; diwahyukan oleh Jibril as atau yang hanya membaca wahyu ?...Ini yang perlu kita faham. Dan kalau kita tak faham, maka inilah yang berlakunya perselisihan.

Maka Nabi saw pun berkata, "Bila kamu jumpa perselisihan semacam itu, maka kamu peganglah sunnah aku."...Kalau dia seorang pemimpin, maka dia kena pegang macamana Rasulullah saw memimpin. Kalau Rasulullah sendiri pun boleh lagi ditegur, inikan pula kita. Maka jadilah kita seperti Rasulullah yakni seorang pemimpin yang boleh ditegur. Nabi saw biasa kena tegur oleh sahabat-sahabatnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas daripada Allah. Nabi saw tak tolak teguran sahabatnya, malah dia terima teguran. Begitu juga Nabi saw pernah ditegur oleh Allah swt, sepertimana yang terdapat dalam Surah `Abasa. Surah ini turun apabila Radio 3 Mekah sedang merakam ceramah Nabi saw kepada Abu Jahal, Abu Lahab, Umaiyah (sebelum Islam) dan kroni-kroni mereka yang lain. Bukan senang Nabi saw nak dapat peluang sedemikian rupa, yakni berdakwah di depan para pemimpin Mekah. Tapi sedang Nabi saw menyampaikan hujjahnya, tiba-tiba datang seorang buta bernama Abdullah bin Makhtum ra. Ibn Makhtum ni dah la buta, miskin pula. Dengan pakaian compang campingnya, dia datang meraba-raba kepada Rasulullah saw, suruh Nabi saw cerita tentang Islam untuknya. Dia tak tau yang Nabi saw ketika itu sedang bersyarah depan puak-puak elit Mekah. Rasulullah saw bila nampak Ibn Makhtum mai kat dia time tu, (seolah-olah nak bagi faham) Nabi kata, "Ish! awat dia ni pi mai pulak time ni?"...Bukan Nabi saw marah kat Ibn Makhtum, tapi dia mai kat Nabi time tu kira tak kena pada waktunya. Kalau dalam gearing punya sistem, kira nampak macam tak synchronize. Umpamanya, kita masuk gear 1 nak pi ke depan, tapi tiba-tiba kereta tu sendiri pi jadi gear reverse, terbalik pi kot belakang pulak. Nabi saw tengah dok present depan puak 5*, sat lagi bila Abu Jahal tengok, takut dia nanti kata, "Apa puak-puak lekeh ni mai pulak."...Tapi yang jelasnya, dalam Quran Allah kata wajah Nabi saw masam ketika itu. Itulah sebabnya surah itu dinamakan Surah `Abasa yang bererti masam muka...Nabi bermasam muka, bukan bermakna Nabi saw marah kat Ibn Makhtum. Tapi Ibn Makhtum kira kacau daun bila mai time tu. Masalah timing saja. Mana lah tahu kot-kot puak-puak elit ni isi borang lepas ceramah nanti. Inilah peluang yang sudah sekian lama Nabi saw tunggu-tunggukan...Lalu Allah swt tegur Nabi saw, "Hai Muhammad, masam muka nampak!..Oooo, pasai yang mai tu orang buta, hang tak berapa nak suka layan dia. Hang lebih suka layan Abu Jahal?"...Inilah teguran yang Rasulullah terima walaupun baginda adalah pemimpin paling agung dalam dunia. Teguran Allah swt itu adalah sebagai satu pengikhtibaran kepada mana-mana kepimpinan dalam dunia ini bahwa rakyat boleh menegur mereka. Inilah konsep yang Allah ajar. Janganlah sampai nak tegur sikit pun tak boleh. Bila kita tanya sikit; kita pulak diugut dengan ISA. Tak aci la lagu tu.

Cuba tuan-tuan tengok cerita Nabi Ibrahim as dalam ayat 260 Suratul Baqarah juzuk 3, berfirman Allah swt yang bermaksud, "(Ingatlah) ketika Ibrahim bertanya kepada Aku: Wahai Tuhan, bagaimanakah Kamu menghidupkan orang mati?"...Ada tak Allah swt jawab, "Apa hang dok tanya-tanya ni?..Hang nak rasa kena ISA ka Nabi Ibrahim?"...Ada Allah kata lagu tu?...Allah jawab balik dengan maksudNya, "Wahai Nabi Ibrahim, tak berimankah kamu?"...Kata Nabi Ibrahim, "Ya, aku beriman. Cumanya, untuk meyakinkan hati aku sahaja."...Lalu kata Allah, "Ambillah 4 ekor burung, dan cincang-cincanglah kesemuanya selumat-lumatnya, kemudian taburkanlah cebisan bahagian-bahagian burung yang dicincang tadi di 4 penjuru bukit. Kemudian, kamu panggilah balik kesemuanya."...Bila Nabi Ibrahim as panggil, maka jadi balik burung 4 ekor tadi. Ini diceritakan dalam Quran. Maknanya, inilah konsep macamana rakyat boleh berdialog dengan pemimpin secara open. Kamu sebagai pemimpin, bila rakyat nak tahu sesuatu perkara, maka kamu kena explain la. Janganla sikit-sikit nak mengamuk tak tentu arah, mana boleh pemimpin buat perangai lagu tu. Sebagai pemimpin, kenalah faham betul-betul konsep ini sebab Nabi saw pun Allah swt tegur, inikan pula kita manusia biasa.

Inilah yang Nabi saw kata, "Peganglah sunnah aku bila kamu nampak akan perselisihan."...Apa yang Nabi saw buat selama 23 tahun, itulah dia sunnahnya. Peganglah cara Nabi saw memperbetulkan aqidah para sahabatnya selama 13 tahun di Mekah dan cara mendirikan negara Islam di Madinah selama 10 tahun. Kemudian kata Nabi saw lagi, "Dan pegang juga sunnah para khulafah ar-Rashidin."...Maknanya, kita disuruh mencontohi perjalanan hidup para sahabat Nabi saw iaitulah Saidina Abi Bakr as-Siddiq, Saidina Umar al-Khatab, Saidina Usman bin Affan dan Saidina Ali karamallahuwajhah. Contohilah bagaimana mereka membentuk negara Islam ketika masing-masing menjadi Khalifah. Sepertimana kata Saidina Abi Bakr as-Siddiq ra dalam ucapan masyhurnya, "Aku bukanlah yang terbaik dikalangan kamu. Kalau aku betul, kamu semua hendaklah bantu aku. Tapi kalau aku menyeleweng, maka perbetullah aku. Benar itu amanah dan dusta itu khianat."...Inilah ucapan sulungnya ketika di hari perlantikannya sebagai khalifah di Saqifah Bani Sa`adah (kalau kat sini, lebih kurang macam PWTC la tu). Cuba tuan-tuan perhatikan ucapan Saidina Abi Bakr tu; inilah dia sifat kepimpinan yang Islam ajar. Yakni mesti ada sifat tawwaduk serta rendah diri kepada masyarakat. Bukan macam yang ada kat Putrajaya tu. Nak jumpa punyala susah, appointment tu lah appointment ni lah. Nak jumpa hari ini tapi appointment kena buat 3 bulan lalu. Lepas tu bila sampai hari pertemuan, tuuuuu dia 8 lapis punya gate lengkap dengan security kita kena lalu pulak. Cuba kita compare dengan Rasulullah saw dan khalifah-khalifah ar-Rashidun, macamana punya senang orang nak approach mereka. Dan kita masih menunggu seorang pemipin yang boleh berucap sepertimana Saidina Abu Bakar cakap. Tak timboi-timboi pun lagi. Tapi yang selalu dok dengar ialah, "Kita akan menerus kesinambungan, kesinambungan, kesinambungan."...Memang lah Islam suruhkan majukan negara seperti projek diteruskan umpamanya. Tapi masa Saidina Abi Bakr naik atas stage masa hari dia dilantik tu, dia tak kata pun, "Okay, mana-mana jalan yang terbengkalai zaman Nabi dulu yang tak siap lagi, sila hantar borang sebelum sekian-sekian haribulan melalui setiausaha sulit saya."...Ada dia kata macam tu dulu?...Mana ada tuan-tuan. Mula-mula sekali yang dia kata ialah, "Aku bukan elok sangat kalau nak bandingkan dengan orang lain."...Tak elok lagi ka Saiyyidina Abi Bakr tu tuan-tuan?...Sehinggakan Nabi saw pernah kata bahwa orang yang pertama terima kitab di tangan kanan ialah Saidina Umar al-Khatab. Lalu sahabat tertanya-tanya, "Macamana pula dengan Abi Bakr?"...Kata Rasulullah saw, "Abi Bakr tak sempat nak ambil kitab, sebab dia sudah masuk syurga bersama-sama dengan ku."...Itu dia Saidina Abi Bakr as-Siddiq. Walaupun lagu tu Nabi saw dah sebut, tapi Abi Bakr masih lagi kata, "Aku masih lagi tak baik sebab aku masih lagi ada kelemahan. Kalau aku betoi, hangpa tolonglah aku. Kalau aku tak betoi, hangpa pebetoi aku."...Barulah seronok kepimpinan macam Saidina Abi Bakr ni kerana ada "given n take" dan ada "check n balance". Jadi, tidaklah bersifat ottokrat, tapi bersifat dengan sifat yang baik. Barulah akan datang perasaan sayangnya kita kepada pemimpin dan seronok duduk di bawah pemerintahannya. Tidak akan ada lagi hidup dalam ketakutan kerana boleh tegur menegur diantara pemimpin dan masyarakat. Ini diajar oleh Saidina Abi Bakr.

Bila naik Umar, pun macam tu juga. Keadilan Islam sampai ke zaman Ali. Sehinggakan masa Saidina Ali kw kena tikam sewaktu nak sembahyang Subuh di Kuffah (Iraq), lalu dipangku oleh anaknya dan berkata Ali, "Kalaulah aku mati kerana tikaman ini, maka laksanakanlah hukum qisas ke atas pembunuh ku ini. Tapi kalau aku tak mati kerana tikaman itu, maka laksanakanlah hukuman ta`zir kerana dia telah menikam aku. Tetapi jangan kamu buat aniaya orang yang telah menikam aku itu."...Bahkan ada riwayat menyebut bahwa ketika Saidina Ali kw hampir nak meninggal dunia, Ali sudah tidak ada selera untuk makan lagi. Lalu Ali berpesan kepada Hassan dan Hussain, "Berikanlah habuan makanan ku ini kepada orang yang telah menikam ku."...Islam seadil itu wahai muslimin muslimat sekelian...Tapi kita la ni, sampai lebam bijik mata pun kita tak tau cerita lagi...Ni apa cerita ni?...Sampai masuk mahkamah, barulah kita tau, "Oooooo, orang tua ni ka yang tumbuk rupanya."...Inilah dia keadilan yang Saidina Ali tunjuk, walhal dia dah kena tikam. Walaupun memang sah orang itu yang tikam Ali kerana masa ditangkap memang pisau di tangannya, tetapi Saidina Ali kata jangan aniaya dia dan jaga dia elok-elok. Sampai ke tahap itu, adilnya Ali. Sehingga dia kata, "Kalau aku mati, barulah di qisaskan dia. Tapi kalau aku tak mati, maka ta`zirlah dia kerana dia menikam aku."...Inilah dia keadilan Islam yang cuba kita terapkan dalam masyarakat hari ini. Bukannya kita nak menghasut atau membenci sesiapa, tapi kita menyatakan yang haq.

Dan akhir sekali Nabi saw berpesan di akhir hadith, "Kamu peganglah sunnah aku dan sunnah sahabat-sahabat aku seteguh-teguhnya."...Dalam hadith lain, Nabi saw kata, "Peganglah sunnah ku sekuat kamu gigit dengan gigi geraham kamu."...Gigit dengan geraham ni bermakna kemas lah. Tapi kalau gigit dengan kacip yang kat depan tu memang tak berapa kuat. Tapi kalau gigit dengan gigi geraham tu, kita kunyah telan terus. Jadi bila Nabi sebut gigit dengan gigi geraham bermakna pegang sungguh-sungguhlah dengan sunnah Nabi saw dalam keadaan kita melihat perselisihan yang begitu banyak pada hari ini. Maka kembali lah kita berpegang kepada ugama Allah swt.

Kesimpulannya ialah kita menyentuh pada kali ini untuk menyatakan bahwa betapa besarnya masalah kepimpinan. Dan kita sebut sedikit tadi berkenaan persoalan yang berhubung dengan 3 jenis golongan manusia yang mana Allah tidak akan bercakap dan membersihkan mereka. Antaranya ialah pemimpin yang menipu rakyatnya dan orang tua yang suka berzina. Dan kita juga sebut bahwa dalam kes zina, kita tak boleh tuduh pakai surat-surat layang, tetapi hendaklah dengan cara hukum Allah, iaitu memerlukan 4 orang saksi lelaki yang adil sepertimana yang terdapat dalam Surah an-Nur. Dan orang yang dituduh tanpa bukti yang sah dari hukum syara` hendaklah bangun membela dirinya sendiri. Ini adalah kerana untuk membersihkan dirinya daripada masyarakat yang akan terus bersangka buruk terhadapnya. Dan di hujung hadith Nabi saw berpesan bahwa kita perlu berjaga-jaga kerana akan datang perselisihan yang banyak. Dan kita yakin memang wujud sekarang ni di hadapan mata kita sendiri. Terutamanya membabitkan golongan-golongan yang berugama, seperti depa tangkap orang buat maksiat, tapi depa pula dituduh buat kesilapan. Ini semua adalah perselisihan yang tak pernah berlaku di zaman Rasulullah saw, maka Nabi saw pun kata peganglah sunnahnya dan peganglah akan sunnah sahabah-sahabahnya sekuat-kuatnya. Ini bermakna kita kena belajar macamana kepimpinan Saidina Abi Bakr ra sehinggalah kepimpinan Ali kw, dan tidak lupa juga kepimpinan Umaiyah, Abbasiyah, Fatimiyyah, Ayyubiyah; yang telah memerintah dunia sehingga menyebabkan orang-orang bukan Islam amat-amat tertarik dengan Islam, dan mereka beramai-ramai memeluk ugama Allah swt.

Allahu ta`ala `alam.

 


pic18316.jpg