Muqaddimah - Bab 2 - Hadith 3

Bab 2 : Wajib berpegang teguh kepada kitab Allah dan mengikut jalan pimpinan Rasulullah saw.

Hadith 3

Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya, "Bahwa Rasulullah saw telah bersabda : Kitab Allah `Azza wajallah ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya, beradalah ia dalam hidayah petunjuk yang sebenar-benarnya; dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya, beradalah ia di dalam kesesatan." (HR Muslim)

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Hadith yang kita baca pada kali ini diambil daripada Zaid bin Arqam ra. Dimana Zaid adalah anak kepada Arqam bin Abi Al-Arqam, yang mana rumahnya terletak di Bukit Saffa. Di rumah Arqam Abi al-Arqam inilah menjadi tempat Nabi saw berusrah mengajar para sahabat menghafal dan mengingati ayat-ayat al-Quran di zaman Makiyah.

Menurut ustaz Halim Nasir, ada satu cerita yang menarik berhubung tentang orang yang membawa hadith yang ketiga ini yakni Zaid bin Arqam ra. Dimana kerana Zaid bin Arqam inilah, maka turunnya sebuah surah yang dinamakan Surah al-Munaafiquun. Peritiwa ini berlaku pada tahun ke 6 hijrah, ketika Nabi saw bersama-sama dengan para sahabat ra (termasuklah dalam rombongan itu, si Abdullah bin Ubai laknatullah) pergi ke satu medan peperangan yang dinamakan dengan "Peperangan Bani Mussolid". Apabila selesai peperangan tersebut, pulanglah Nabi saw bersama-sama dengan sahabatnya menuju ke Madinah. Sampai di tengah-tengah perjalanan, biasalah bagi orang-orang yang bermusafir untuk berhenti rehat, makan minum dan sebagainya. Jadi, Rasulullah saw dan para sahabat pun berhenti di satu kawasan yang ada kolam air (wadi) untuk para sahabat minum dan memberi minum kepada binatang tunggangan. Maka ketika itulah berlakunya perebutan antara 2 manusia, iaitulah diantara seorang sahabat dari kalangan Muhajirin yang bernama Jahjah (dia adalah orang gaji kepada Saidina Umar ibnul Khatab ra, yang kerjanya memberi minum kepada kuda Saidina Umar) dan seorang sahabat yang bernama Sinan daripada Ansar Khazraj yakni puak Abdullah bin Ubai.

Maklumlah dah letih, akibat daripada perjalanan yang jauh (balik dari perang pulak tu, bukannya balik dari makan angin), jadi tuan-tuan kenalah faham. Lalu bila dalam keadaan macam tu, maka perselisihan yang kecil pun boleh membawa padah. Jadi, masa tengah ambil air itulah, maka berlaku bertekak sikit antara Sinan daripada Khazraj dengan Jahjah daripada Muhajirin. Bila berlaku bertekak begitu, maka hampir nak bergaduh. Tu dia perangai Arab. Benda kecik pun depa boleh bergaduh, sehingga ketahap boleh membunuh. Begitulah kuatnya asobiyah mereka, sebelum datangnya Nabi saw. Walaupun ada Nabi, tapi dengan kejadian perebutan air itu, menunjukkan bahwa masih ada lagi benih-benih asobiyah tu, walhal mereka berdua sama-sama orang Islam, yakni sama-sama telah dipersaudarakan oleh Nabi saw. Tapi maklumlah, mereka hanyalah para sahabat, iaitu manusia biasa yang tidak maksum.

Jadi, bila nak hampir berlaku pergaduhan, lalu Jahjah pun melaung ucapan, "Wahai Muhajirin, tolong saya!"...Lalu Sinan pun sebut, "Wahai Ansar! Wahai Khazraj! bantu saya lawan Muhajirin!"...Waktu itu Rasulullah saw duduk agak jauh sikit daripada tempat kejadian. Maka ketika itulah datangnya Abdullah bin Ubai mengambik kesempatan. Dia tanya, "Apa hal kecoh-kecoh ni?"...Kata Sinan, "Ni Jahjah ni. Bila berebut nak ambil air, dah nak bergaduh pulak dengan kita."...Lalu Abdullah bin Ubai pun menjalankan fitnahnya, "Itulah, aku dah kata dah kat hangpa pasai puak-puak ni. Masa depa mai ke Madinah dulu, dah la kita bagi tempat tinggal, bagi makan, kemudian kita cerai bini kita sendiri untuk bagi kat depa kahwin. Seakan-akanlah kita bagi anjing makan, kemudian bila dia dah gemuk sihat, dia nak tokak pulak kita."...Inilah dia ucapan kesempatan yang diluahkan oleh Abdullah bin Ubai untuk menghentam Muhajirin yang dipimpin oleh Nabi saw...Samalah seperti ucapan yang diluahkan oleh seorang pemimpin dalam negara kita hari tu, yang nama dia pun Abdullah juga, lebih kurang macam Abdullah bin Ubai la juga. Kata dia, "Tu lah, puak-puak ni tak sedaq diri. Tak reti nak bersyukur. Tak reti nak berterima kasih. Kita dah bagi tempat tinggal. Dah bagi dah segala-galanya. Tapi tiba-tiba sekarang, nak lawan kita balik."

Ulama` tafsir menyebut bahwa Abdullah bin Ubai mengeluarkan kenyataan sedemikian adalah sebab dia berasa teramat marah terhadap Nabi saw. Sebabnya, sebelum Nabi saw berhijrah, si laknatullah ini memang dok berangan dah nak jadi pemimpin Madinah. Malah ketika itu, memang nak ditabal dah nak jadi pemimpin Madinah pun. Tapi bila tiba-tiba Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, punah ranah peluang dia. Itu yang dendam kesumat tak habih-habih tu. Kes berebut nak jadi "Majlis Tertinggi" rupanya. Tu saja...Tapi masa dia lepaskan ucapan tak puashatinya itu, dia tak sangka yang ucapannya itu didengar oleh Zaid bin Arqam yang ketika itu masih lagi budak (umur sekitar 12-13 tahun). Lalu bila Zaid dengar, dia kata, "Ini tak boleh jadi ni. Sebab ada musuh dalam selimut yang cuba hancurkan kekuatan Islam dari dalam."...Lalu bergegaslah Zaid bin Arqam bertemu dengan Nabi saw yang pada waktu itu sedang duduk berehat dengan Saidina Umar al-Khatab. Lalu datang Zaid, dan diceritanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, berlaku pergaduhan sikit di telaga sana, yakni antara Jahjah dengan Sinan. Kemudian datang Abdullah bin Ubai dengan mengatakan bahwa kita ni anjing wahai Rasulullah. Dia kata menyesal bagi makan kepada orang Muhajirin ini, sebab seolah-olah bagi makan anjing. Dan dia kata lagi bahwa tunggulah bila kita pulang ke Madinah, nanti orang-orang yang mulia akan menghalau orang-orang yang hina. Begitulah ucapannya, ya Rasulullah."...Maksud "mulia" disini ialah orang macam Abdullah bin Ubai dan seangkatan dengannya. Manakala maksud "hina" ialah bagi Nabi saw dan orang-orang yang beriman.

Lalu bangkit Umar al-Khatab, "Ya Rasulullah, bunuhlah si Abdullah bin Ubai itu!"...Itu dia Umar, tarak kata nak cakap banyak dah. Silap sikit, kira nak pancung saja dia. Jawab Rasulullah, "Wahai Umar, bertenang. Sekiranya aku membunuh mereka, apa nanti kata puak Ansar di Madinah kepada aku?..Akan timbullah nanti ucapan: Rasulullah membunuh sahabatnya sendiri. Maka akan hebohlah Madinah dan akan bergembiralah orang yahudi."...Lalu Rasulullah saw membuat keputusan segera pada waktu itu dengan mengangkat khemahnya dan terus bergerak, sambil mengarahkan semua para sahabat untuk bergerak terus balik ke Madinah. Tengok tuan-tuan, inilah bijaknya Rasulullah saw dalam membuat satu-satu keputusan. Dalam masalah ini, untuk nak meredakan suasana tegang, baginda mengarahkan semua sekali sahabat-sahabatnya berangkat balik dengan segera ke Madinah. Kalau mereka tunggu berehat 2-3 malam di situ lagi, berkemungkinan besar akan berlaku tikam menikam antara satu sama lain. Maka Rasulullah saw kata, "Ayuh! Kita bergerak."...Sehinggakan ada sahabat yang tidak tahu menahu tentang perselisihan di telaga air itu, menjadi hairan: Mengapa Rasulullah saw cepat sangat bergerak, walhal baru saja nak berehat?...Ada yang sandwich baru nak buka, kurma baru nak telan, teh tarik buih baru nak naik, dah pulak Rasulullah suruh bergerak. Kata Rasulullah saw, "Patuhlah arahan ku dan teruskan bergerak."...Inilah yang dikatakan sahabat. Mereka "sami`na wa ato`na", bungkus khemah dan teruskan perjalanan.

Bila sampai di Madinah, Rasulullah pada peringkat awalnya masih lagi sangsi dengan lapuran Zaid bin Arqam mengenai kejadian di telaga air tempohari. Kemudian ditambah pula dengan orang-orang Ansar dikalangan sahabat yang datang berjumpa dengan Nabi saw, mereka kata, "Ya Rasulullah, bukankah Zaid itu masih budak lagi?Takkan Rasulullah nak dengar cakap budak Zaid tu?"...Dari kenyataan ini, menunjukan masih ada lagi orang-orang Ansar yang bersangka baik dengan Abdullah bin Ubai tu. Lalu Nabi saw terpengaruh dengan kata-kata orang Ansar tadi, maka ini membuatkan Zaid merasa sedih. Maklumlah, dia cakap benda betul, tapi Rasulullah saw masih tak percaya lagi. Sebab ketika itu, Nabi saw pandang dari sudut zahir dan baginda pula tak mau membesar-besarkan isu ini. Tiba-tiba berita ini sampai kepada Abdullah bin Ubai laknatullah. Dia menjadi pucat dan datang terus kepada Nabi, lalu bersumpah dengan berkata, "Ya Rasulullah, engkaulah orang yang paling baik. Tak pernah pun aku cakap sepertimana yang engkau dengar itu, wahai Rasulullah."...Ketika itulah kata ulama`, turunnya Surah al-Munaafiquun. Bila turunnya surah itu, maka Rasulullah pun memanggil Zaid bin Arqam. Sambil memegang telinga Zaid, Rasulullah saw bersabda, "Inilah telinga yang Allah dengar akan berita yang didengarnya."...Inilah kisah Zaid bin Arqam, yang kerana dialah, maka turunnya Surah al-Munaafiquun. Yakni yang mendedahkan tembelang Abdullah bin Ubai.

Firman Allah dalam Surah al-Munafiquun ayat 1 yang bermaksud, "Apabila datang kepada kamu orang-orang munafiq, mereka berkata: Kami menjadi saksi bahwa kamulah rasul Allah. Dan Allah juga tahu bahwa engkaulah Rasul Allah, dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya orang-orang munafiq itu memang puak yang paling pembohong sekali."...Maknanya kalau nama saja munafiq, jangan kita percaya dengan puak-puak ni. Sebab Allah swt ambil sumpah diriNya sendiri, bahwa munafiq itu adalah pembohong yang paling besar sekali. Daripada ayat ini, kita kena berjaga-jaga dengan puak-puak munafiq sebab kita tak boleh percaya yang mereka akan melaksanakan Islam. Jangan mimpilah kalau depa kata bahwa mereka pun nak kembali kepada Islam. Selagi nama mereka "munafiq", depa takdak kerja lain selain kerja mereka ialah menipu Allah, menipu rasul dan menghina Islam. Sebab itu, tok sah dok percaya kat depa sampai qiamat. Siapa yang bagitau kat kita tentang munafiq ni?...Itulah Dia Allah. Dia sendiri naik saksi bahwa munafiq itu adalah pembohong. Jadi, mana mungkin ada manusia nak terhegeh-hegeh pi berdialog dengan depa. Inilah ketegasan Allah, dan semuanya ini adalah berpunca daripada Zaid bin Arqam ra.

Zaid bin Arqam ra inilah yang membawa hadith ketiga ini, yang mana beliau mengatakan bahwa Nabi saw menyebut :

1) Bahwa sesungguhnya al-Quran ini ialah tali Allah swt, yang dengan sebabnyalah boleh membawa kita kepada rahmat Allah swt. Makna pertama hadith ini ialah mengajar kita bahwa siapa saja pegang kukuh dengan Quran, maka dia akan mendapat rahmat Allah swt. Persoalan "rahmat" adalah antara perkara besar yang kita kena minta kepada Allah swt. Cuba kita lihat Surah al-Kahfi, yakni ketika ashabul Kahfi melarikan diri daripada raja yang zalim bersama dengan seekor anjing. Apabila ashabul Kahfi masuk saja ke dalam gua (yang ada di Jordan sekarang ni), benda pertama yang mereka minta ialah "rahmat" Allah. Mereka tidak minta pertolongan yang lain. Dimana doa mereka telah dirakamkan oleh Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 10, "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada sisiMu akan rahmat, kasih sayang dan petunjuk. Dan tunjukkanlah kepada kami daripada setiap urusan kami petunjuk dalam nak melaksanakan kerja kami."...Inilah "rahmat" yang selalu kita minta, dan ia terlalu besar di sisi Allah swt.

Begitu juga yang diajar oleh junjungan kita Rasulullah saw akan satu doa yang dipetik dari ayat 8 Surah Ali Imran, yang bermaksud, "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau palingkan hati kami, sesudah Engkau beri hidayah kepada kami dan berikanlah rahmat kepada kami dari sisi Mu, sesungguhnya Engkau banyak Pemberian."...Dari doa ini pun telah diceritakan betapa besarnya "rahmat" di sisi Allah swt.

Lagi satu contoh yang nak tunjukkan betapa besarnya "rahmat" ialah semasa kita bagi salam, "Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh."...Nampak tak tuan-tuan, ia juga dimulakan dengan "rahmat" dulu, kemudian baru datangnya keberkatan. Maknanya, bila kita bagi salam kat sahabat, bermakna kita minta sahabat kita itu diberi "rahmat" oleh ALLAH. Kemudian apabila sahabat kita tu pula jawab, "Wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, wa magh firatuh wa riqh wanuh.", itulah setakat yang ulama` bahas cara-cara menjawab salam. Yakni kalau sahabat bagi salam, "Assalamu`alaikum" saja, maka kita disuruh jawab, "Wa`alaikumussalam warahmatullah". Dan sekiranya sahabat kita bagi salam, "Assalamu`alaikum warahmatullah", kita dianjurkan menjawab lebih daripada dia, iaitu, "Wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh". Kalau sahabat bagi salam sampai ke "...wabarakatuh", kita disuruh jawab, "Wa`alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, wa magh firatuh". Kemudian kalau sahabat kita tu pi bagi salam sampai ke, "...wa magh firatuh", maka disunatkan menjawab dengan ditambah lagi, "...wa riqh wanuh"...Yang bermaksud, "Keampunan bagi kamu dan redha Allah ke atas kamu."...Inilah yang ulama` bahas. Namun, kalau memberi dan menjawab salam seperti biasa (sampai takat "...wabarakatuh") pun tidak mengapa kerana perkara ini menjadi sunat yang dilebih-lebihkan saja. Tapi yang kita nak tekankan ialah cerita tentang besarnya "rahmat" Allah swt.

Sebab itulah Allah swt menyebut dalam sebuah hadith qudsi (qudsi bermakna qudus ataupun suci. Kesemua kata-kata dalam hadith qudsi adalah datang daripada Allah, dan disampaikan melalui lidah Rasulullah saw), dengan sabdaan Rasulullah saw bahwa firmanNya yang bermaksud, "Rahmat Ku mendahului kemurkaan Ku."...Daripada hadith ini, Allah nak bagitau walaupun Dia murka bila kita buat salah, tapi ingatlah bahwa "RahmatNya mendahului kemurkaanNya". Inilah yang berlaku kepada seorang dikalangan Bani Israil, yang dia telah membunuh 100 orang (yang kita semua tahu akan ceritanya), tapi akhirnya dia dapat masuk ke dalam syurga juga. Inilah contoh bagaimana Rahmat Allah mendahului kemurkaanNya apabila si pembunuh ini mahu bertaubat kepada Allah walaupun dia dah bunuh 100 orang. Lalu Allah swt mencampakkan RahmatNya sehingga orang itu dapat masuk ke syurga.

2) Kata Nabi saw, "Siapa yang pegang dengan Quran ini, maka confirm dia berada di atas hidayah petunjuk."...Inilah nilaian ukuran yang Rasulullah saw buat, iaitu hendaklah berpegang dengan al-Quran (bukannya sekadar nak rasmi sesuatu, baru nak buka Quran. Yang tu tak aci). Malah kata Nabi saw lagi, "Siapa yang tinggalkan Quran, maka sesatlah ia."...Inilah ukuran yang Rasulullah saw buat, yakni siapa yang tinggalkan Quran, pasti sesat punya.

Jadi, macamana kita nak kata seseorang itu baik kalau dia seorang yang meninggalkan Quran?..Macamana kita nak kata eloknya perangai, kalau orang itu menghina hukum hudud yakni hukum daripada al-Quran?...Sebab bila orang itu tinggalkan hukum daripada al-Quran, maka Rasulullah saw sebut bahwa orang itu sesat.

Maka dengan kerana inilah, para orientalis-orientalis barat bersama-sama dengan orang-orang yang mahu menjahanamkan Islam, merancang dengan amat teliti supaya umat Islam direnggangkan daripada al-Quran. Inilah yang berlaku bila masuknya seorang Perdana Menteri British bernama Mr. Gladstone ke dalam parlimen British pada tahun 1888 untuk bercakap pada suatu mesyuarat ahli parlimen British, yang mana beliau bangun sambil memegang kitab al-Quran dan berkata, "Wahai ahli parlimen sekelian! Selagi umat Islam berpegang dengan kitab ini, maka selagi itulah kita tidak akan dapat mengalahkan mereka. So, apa yang boleh kita buat ialah kita serang mereka dengan serangan pemikiran. Kita tanamkan suatu ideologi baru dalam fikiran mereka supaya mereka tidak lagi berpegang dengan kitab ini. Kita jangan larang mereka baca kitab ini. Biarkan mereka baca Quran, biarkan mereka nak buat pertandingan Quran, biarkan mereka nak bina masjid, dan bila mereka nak buka puasa, kita bagi kat depa buah kurma berlori-lori, biarkan mereka buka puasa. Tapi jangan kita biarkan mereka berpegang teguh dengan kitab ini, dengan kita menghilangkan keyakinan mereka pada kitab ini."...Inilah ucapan Gladstone yang telah dilaksanakan oleh orientalis-orientalis barat sehingga melahirkan ajaran "sekular", yang mencengkam otak umat Islam pada hari ini.

Sekular ini sepertimana yang pernah disebut Art Berry (seorang orientalis Inggeris) dalam bukunya "Religious in the Middle-East" ialah satu fahaman yang meletakkan ugama bukan lagi sebagai dasar bagi orang-orang di Eropah maupun di Amerika Syarikat. Inilah ucapan yang disebut oleh Art Berry bahwa mereka di Eropah sudah tidak perlu lagi kepada ugama. Inilah yang disebut sebagai, "Da` lillah, lillah. Wa ma kaisar, lil kaisar". Yang bermaksud, "Tinggalkanlah untuk Allah, hak Allah. Dan tinggalkanlah untuk pemerintah, hak pemerintah"...Ini bermakna pemerintah sebelah, ugama sebelah. Kedua-duanya tidak boleh bercampur. Pemerintah nak memerintah, buatlah cara mana pun, tapi jangan campur dengan ugama. Untuk agama, depa nanti bagitau, "Tuuu, hang nampak tak masjid?Hang sembahyanglah, zakatlah, sedeqahlah, faraidlah dan kahwinlah kat sana. Pemerintah tak dak kena mengena dengan ugama."Inilah yang ditanamkan dalam pemikiran masyarakat kita sekarang. Bila kita bagitau nak laksanakan hukum Islam, terbeliak bijik mata puak-puak karat ni. Bila kita sebut potong tangan, tersedak pun ada. Seolah-olah mereka tak pernah baca ayat mengenai potong tangan di dalam al-Quranul Karim. Inilah kelemahan umat Islam hari ini.

Lalu bagaimana mungkin boleh bersatu-padu dalam keadaan kamu "mamat koko" meninggalkan al-Quran?... Mamat koko adalah panggilan untuk orang umno di Penang belah Tanjung ni. Diambil sempena lagu hindustan yang dilagukan oleh ustaz Akil Hai Rawa, "Ameno ko ko, ameno ko ko, ..."...Bukan apa, ada satu hari tu semasa merasmikan program Forum Perdana di Kepala Batas, Paklah pernah kata, "Umat Islam mesti bersatu-padu..."...Ya la, memang kena bersatu-padu pun. Tapi bersatu-padu yang macamana yang kamu maksudkan, wahai Paklah?...Adakah bersatu-padu dengan membiarkan arak/judi?...Adakah bersatu-padu dengan membiarkan orang yang terang-terang mengganggu pegawai kerajaan daripada melaksanakan tugasnya, untuk mendakwa si Matdet di bawah akta rasuah 1972?...Oooooo, biarkan "dia" begitu...Marilah Melayu bersatu-padu! atas mungkar/maksiat. Lagu tu ka?...PIIIIRRRAAAAAHH !!!...jangan dok sembang la. Pi dok jauh-jauh kira bulu hidung lagi baguih.

Mai kita nak bagitau kat puak-puak mamat koko ni bahwa sebenarnya yang memecah-belahkan kita sejak dari dulu lagi tak lain dan tak bukan ialah penjajah Inggeris laknatullah. Mereka mengajar kita supaya jangan percaya dengan hukum Quran, cukuplah dengan perlaksanaan projek-projek pembangunan, sambil membiarkan maksiat dan mungkar berlaku. Adakah itu ertinya perpaduan yang kamu "mamat koko" dok laung-laungkan?...Demi Allah, saya ulang sekali lagi bahwa kita benci akan perpecahan, kita tidak suka Melayu bermasam muka dan kita mahu Melayu bersatu daripada utara sampai ke Johor. Tetapi kamu mamat koko mestilah mengerti bahwa bersatu-padu kami adalah atas dasar Islam.

Kalau kamu mamat koko nak sembang bersatu dengan melaksanakan 6 hukum sebatan sepertimana yang dilakukan di Johor yang disiarkan dalam majalah Asiaweek keluaran Jun, 2000; yang mana dengan ini disebut bahwa Johor telah melaksanakan syariat Allah swt, maka inilah dia apa yang disebut oleh Allah swt sebagai puak munafiq pembohong besar. Apa depa ingat depa boleh pembohong golongan-golongan yang mengaji ugama ka?...Kemudian disebut dalam Asiaweek itu juga macamana ulamak kemaruk jawatan, Paduka Hamid Othman, kata dia, "Insya`Allah, tak lama lagi, Kedah, KL, Selangor akan mengikut jejak Johor dengan melaksanakan sebatan 6 rotan. Inilah syariat Allah swt."...Apa punya buta perut punya ulamak. Apa depa tak pernah baca ka ayat 2 Surah an-Nur yang bermaksud, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu dera, dengan masing-masing 100 dera..."...Pernah Saidina Umar ra berkata walaupun kamu buat 99x sebatan rotan, itu masih bukan lagi hukum Allah. Hanya tak cukup sekali saja lagi pun Umar kata bukan hukum Allah, inikan pula kamu buat hanya 6x sebatan?...Nauzubillahiminzalik.

Dan kita ulang sekali lagi dengan mengingatkan bahwa siapa yang meninggalkan Quran, pasti dia akan sesat. Dan dengan keadaan sebeginilah, maka Imam Ibn Qayyum al-Jauziy rahimallahu ta`ala telah menyebut bagaimana al-Quran dipulau sekarang ini. Beliau mengatakan bahwa al-Quran sekarang ini tidak mendapat tempat dan bagaimanakah maksudnya al-Quran dipulau. Ibn Qayyum menyebut dengan 5 makna pemulauan itu:

a) manusia enggan mendengar pembacaan al-Quran. Inilah pemulauan yang pertama. Depa lebih minat dengar lagu-lagu rock dan lagu-lagu yang menghiburkan hati daripada mendengar al-Quran, sedangkan mendengar al-Quran adalah satu ibadah. Bila kita dengar orang baca Quran dalam radio, dalam tv atau dalam masjid; boleh pahala kat kita.

b) Manusia enggan beriman dengan Quran. Iaitu tidak lagi ikut arahan-arahan dari al-Quran.

c) Manusia enggan mengambil hukum daripada al-Quran. Yang ni lagi celaka. Sebab inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Dan inilah yang paling besar dan inilah yang kita suarakan siang dan malam dalam kuliyyah-kuliyyah, dalam ceramah-ceramah, dalam internet dan dalam apa bentuk saluran pun bahwa wajibnya umat kembali kepada hukum Allah swt. Inilah hukum yang akan menyelesaikan permasalahan manusia. Tetapi golongan sekular tetap akan mempertahankan hujjah bahwa kalau kembali kepada Quran, maka kita akan mundur. Kalau kita kembali kepada al-Quran, apa nanti orang cina dan orang India nak kata?...Nauzubillahiminzalik. Seolah-olah cina/India ada tuhan lain yang buat mereka pula. Inilah yang Allah swt kata dalam Surah al-Anbiyaa`:22 yang bermaksud, "Sekiranya ada tuhan-tuhan yang lain di langit dan di bumi, selain Allah, nescaya akan hancurlah kedua-dua langit dan bumi..."..Maksudnya, kalau ada tuhan-tuhan yang lain selain Allah; seperti adanya tuhan matahari, tuhan langit, tuhan bintang, macamana yang berlaku dalam fahaman ajaran yang lain, maka akan rosak binasalah sekelian alam semesta ini akibat tidak sefahamannya tuhan-tuhan tadi dalam masalah pentadbiran. Sebab itu, Islam ini cukup realistik dan mudah. Contohnya:

i) dalam bab menikah, Islamlah yang paling mudah sekali. Tak payah teruk-teruk, hanya dengan buat kenduri sikit-sikit, kemudian ijab kabul dengan bersaksikan wali; lepas tu kira boleh "on". Bukan macamana ajaran lain, yang bila nak kahwin, terpaksa kena keliling api, satgi terbakar pungkok, tak ke naya punya kes.

ii) Dalam bab kematian, Islamlah yang paling simple sekali. Dalam ajaran-ajaran lain, tuan-tuan tengok keranda depa saja RM5000++. Lepas tu disolek pula mayat nyonya yang 80 tahun tu, sampai jadi cun nampak macam "sweet 17" pulak. Lepas make-up apa semua, simpan pulak sampai seminggu untuk adik beradik jauh nak tengok. Kalau Islam, pagi meninggal, tengahari dah selesai. Menyegerakan urusan pengkebumian mayat adalah antara 3 perkara yang Nabi saw suruh kita segerakan. Perkara yang lain yang disuruh segerakan ialah bayar hutang, dan lagi satu ialah menikahkah anak dara. Ini yang Islam ajar, cukup punya simple.

iii) Dalam bab Tuhan. Dalam ajaran lain, tuhan depa punya banyak. Menurut al-Marhum Syed Abul `Ala Mawdudi bahwa pada kurun ke 6 dalam kitab Weda (kitab orang Hindu) telah menyebut bahwa tuhan mereka berjumlah 100++. Itu dia punya banyak, nak hafalnya bukan senang tu. Tapi dalam Islam, "Katakanlah (ya Muhammad): Dialah Allah yang Maha Esa." (Surah al-Ikhlas: 1)...Tuhan Islam hanya satu saja. Cukup mudah Islam. Itulah hebatnya ugama Allah swt.

Tapi menurut Ibn Qayyum, inilah penyelewengan yang paling besar apabila hukum al-Quran enggan diambil. Antaranya:

a) enggan mengambil ikhtibar dan memberi perhatian untuk memahami al-Quran. Dah la tak nak ambik hukum, kemudian tak mau faham pulak.

b) enggan mencari kesembuhan dengan al-Quran dan enggan menjadikannya sebagai ubat. Ramai orang tak tau atau saja tak mau jadikan Quran sebagai ubat untuk menyembuhkan sebarang penyakit, samada penyakit masyarakat ataupun penyakit jasmani. Sepertimana firman Allah yang bermaksud, "Aku telah turunkan daripada al-Quran itu apa-apa yang menyembuhkan penyakit, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman."...Tuan-tuan kena ingat, al-Quran ini mengandungi berbagai-bagai ayat yang cukup banyak untuk menyembuhkan sebarang penyakit.

Bila sebut Quran sebagai ubat ni, timbul pula satu persoalan, iaitu adakah boleh kita ambik upah dengan berubat menggunakan ayat-ayat Quran?...Daripada persoalan ini, maka datanglah hukum, bilamana seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Said al-Kudri ra (kalau tuan-tuan ziarah perkuburan Baqi` di Madinah, tuan-tuan akan dapati kubur Abu Said al-Kudri ra terletak di akhir sekali hujung belah kanan) membawa sahabat-sahabat yang bermusafir dalam satu perjalanan. Lalu di tengah-tengah perjalanan itu, mereka singgah di sebuah kampung, sebab mengikut riwayat, ketika itu Abu Said dan para sahabat yang lain menghadapi putus bekalan makanan dan minuman. Lalu mereka pun pergi berjumpa dengan ketua kampung tersebut (Jkkk la tu), tapi mereka dilayan tak layan je (Jkkk tu boleh buat tak tau saja, punya la sombong. Perangai tu serupa saja, macam belah sini la juga). Kata Abu Said, "Tolonglah bantu kami sikit yang sedang bermusafir ini. Kami putus belakan makanan dan minuman."...Jkkk tu boleh buat derkkkk aje. Punya la sombong, walhal allowance 2-3 ringgit saja, tapi belagak nak mampus. Maka Abu Said al-Kudri pun kata, "Takpalah, dah tak nak bagi, maka memadailah kami tumpang tidur sahaja."...Kemudian pada malam itu juga, sedang tidurnya Abu Said dan para sahabat, tiba-tiba kedengaran jeritan daripada kampung itu. Lalu Abu Said pun bergegas pergi dengan sahabat, tengok apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya Jkkk tadi kena sengat dengan kala-jengking...Baru padan dengan muka dia. Tuan-tuan tahu la, kala-jengking Arab ni, dia ikut size Pak Arab juga. Tuuu dia nala punya besar; dengan sepit dia, dengan badan dia biru semacam aje, maka tentulah power bisa dia. Kalau setakat kala-jengking M`sia ni, kecik aje. Gigit Pak Arab pun dia tak rasa apa.

Lalu Jkkk ni pengsan tak sedar diri. Dengan lebam habih kaki dia kesan kena sengat. Apabila melihat keadaan ketua mereka sedemikian, maka anak-anak buah Jkkk ni pun berjumpalah dengan Abu Said al-Kudri. Sebab depa tengok Abu Said ni warak sikit kot. Puak-puak ni, bila depa dah tersepit, depa cari kita la. Memang perangai depa macam tu. Lalu depa pun minta pertolongan daripada Abu Said al-Kudri untuk merawat Jkkk depa tu...Oooooo, tadi sombong. Mintak air, tak nak bagi. Tapi inilah yang dikatakan sahabat Nabi saw, mereka sikit pun takdak kata rasa nak berdendam...Lalu kata Abu Said, "Aku ni reti tidak la, tapi bolehlah sikit-sikit nak tolong."...Kemudian dia pun pi lah tengok Jkkk yang kena sengat tu. Beliau pun baca satu surah, iaitu Suratul Fatihah. Beliau baca sebanyak 7x, kemudian ludah sikit di kesan kena sengat tu. Lepas tu, dia gosok-gosok sikit. Kemudian Alhamdulillah, sembuh Jkkk tu...Baru la Jkkk tu sedaq; tinggi rendah ka langit tu...Lalu Jkkk ni arahkan anak-anak buahnya bagi hadiah kat Abi Said, berupa 100 ekor kambing. Bila dapat hadiah yang begitu banyak, Abu Said jadi panik. Timbul persoalan dalam dirinya, "Ish! Bolehkah aku ambik upah berubat gunakan ayat-ayat al-Quran ini?"...Yang ni mula nak mai hukum. Serupalah dengan kita berubat jampi orang dengan ayat Quran, kemudian orang tu bagi RM10 atau RM20 sebagai upah atas nama sedeqah; boleh tak kita ambik?

Lalu Abu Said pun mengadu kepada Nabi saw. Dia pun ceritalah kepada Nabi saw daripada awal hingga akhir tentang kampung tersebut dan macamana dia terbabit dengan persoalannya itu, "..Macamana ya Rasulullah, bolehkah kami ambik hadiah itu?"...Jawab Rasulullah saw, "Kamu sembelih kambing tu, kemudian masak buat kenduri, tapi jangan lupa panggil aku makan sekali."...Itu dia yang Rasulullah saw sebut. Maknanya, datanglah hukum bahwa dibenarkan kalau nak ambik. Kalau tak mau pun, takdak masalah. Pointnya ialah bukan kita jual ayat Quran. Maknanya, Allah swt beri kita ruang dengan menggunakan ayat-ayat daripada al-Quran itu untuk menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit manusia, sekiranya kita tahu. Daripada al-Quran, cukup banyak yang boleh kita gunakan untuk menyelesaikan masalah, sebab tu kita kenalah belajar sikit-sikit. Try ambil daripada orang yang boleh mengajar kita perkara-perkara tentang perubatan menerusi al-Quran. Lebih baik daripada dok pi kat bomoh Siam tak bertempat tu. Ambik patung cucuk jarum, kemudian pi tanam belakang rumah orang, yang tu semua mula dah nak syirik belaka...Nauzubillah. Sedangkan, Allah kata bahwa Quran ini, Dia turunkan untuk menyembuhkan segala penyakit.

Maka inilah kata-kata Imam Ibn Qayyum al-Jauziy tentang 5 kaedah pemulauan yang sedang berlaku kepada al-Quran sekarang ini. Jadi, tugas kita ialah mesti menafikan pemulauan ini, terutama sekali di dalam persoalan yang berhubung dengan keengganan mengambil hukum daripada al-Quran kerana ini adalah penyelewengan aqidah yang boleh menjahanamkan iman dan merosak ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Kesimpulan :

1) Hadith ini diambil daripada Zaid bin Arqam ra, yang dengan sebabnyalah maka turunnya Surah al-Munaafiquun.

2) Nabi saw menyebut bahwa dengan berpegang kepada al-Quran ini, maka kita akan mendapat "rahmat" dari sisi Allah swt.

3) Nabi saw juga menyebut bahwa barang siapa yang meninggalkan al-Quran, maka beradalah dia dalam kesesatan. Maka kesesatan itu nantinya akan menjahanamkannya.

4) Akhirnya, 5 jenis pemulauan al-Quran yang disebut oleh Almarhum Imam Ibn Qayyum al-Jauziy rahimallahu ta`ala, yakni ulama` terkenal dalam ugama Allah ini, yang telah membahaskan perkara-perkara tersebut.

Allahu ta`ala `alam.


pic17752.jpg