Muqaddimah - Bab 1 - Hadith 1 (5)

Sambungan matan hadith yang bermaksud, "Kemudian baginda Rasulullah saw bersabda lagi: Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri. Sesiapa yang meninggalkan harta benda, maka itu adalah untuk waris-warisnya. Dan sesiapa yang meninggalkan hutang, atau orang yang kehilangan tempat bergantung, maka terserahlah kepadaku menjaganya, dan akulah yang menanggung hutangnya."

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Pada kali ini, Insya`Allah, saya akan cuba menghabiskan hadith yang pertama ini. Yang mana telah kita bahas beberapa fasa dan beberapa kaedah perbahasannya. Dan kali ini, kita sampai di penghujung hadith yang pertama, yang sebenarnya mahu menceritakan kepada kita akan sifat-sifat terpuji yang dimiliki oleh Nabi saw. Iaitulah sepertimana diantaranya yang disebut oleh baginda saw bahwa, "Aku ni lebih berhak menolong kamu, lebih daripada kamu menolong diri kamu sendiri. Kalau siapa yang ada hutang, maka aku akan cuba tolong bayar."...Walaupun kata-kata Nabi saw ini cukup ringkas dan pendek, yang menjadi penutup kepada hadith yang awal ini, tetapi ia menunjukkan kepada kita bahwa inilah suatu sifat yang baik yang tidak dimiliki oleh orang lain kecuali para nabi dan rasul a.s....Mana ada orang dalam dunia ni yang nak tolong orang lain bayar hutang tak pasal-pasal?...Tapi bagi Rasulullah saw, inilah dia sifatnya.

Dan sifat inilah yang dijelaskan oleh Allah swt di dalam ayat yang selalu kita baca, yakni dalam Surat at-Taubah ayat 128 yang bermaksud, "Dan telah datang kepada kamu seorang rasul dikalangan kamu (manusia), yang amat berat baginya kesusahan kamu serta harap akan keimanan mu, lagi sangat kasihan dan penyayang kepada orang-orang yang beriman."...Bila Allah sebut rasul yang dilantikNya adalah dikalangan manusia juga, yakni bukan dari kalangan malaikat, maka inilah yang dijadikan alasan remeh temeh daripada pembesar-pembesar kafir Quraisy untuk tidak menerima peraturan Islam yang diajak oleh Nabi saw. Sepertimana kata Allah dalam ayat 2 Suratul Qaaf yang bermaksud, "Bahkan mereka merasa ta`ajub (hairan) kerana yang datang memberi peringatan itu dari kalangan mereka juga. Lalu berkatalah golongan yang kafir itu: Inilah perkara yang amat menakjubkan."...Golongan kafir ini rasa hairan sebab apa Allah lantik rasul dari kalangan manusia juga?...Mengapa rasul tidak didatangkan daripada malaikat?...Inilah alasan remeh temeh mereka untuk menolak Islam. Begitulah juga dengan puak-puak sekularisma yang ada pada hari ini. Mereka menggunakan pendekatan yang sama, yakni alasan yang remeh temeh juga untuk menolak risalah-risalah Islam. Seringkali mereka mengemukakan alasan-alasan yang remeh temeh dan tak masuk akal untuk membenarkan hujjah mereka dalam menempelak Islam dan menolak risalah Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.

Kemudian dalam ayat 128 Surah at-Taubah itu juga, Allah memperjelaskan kepada kita tentang 3 sifat Nabi Muhammad saw yang cukup mulia. Dimana dengan 3 ciri yang ada pada Nabi inilah, kita boleh kaitkan dengan hadith di atas.

1) yang mana kata Allah, ciri yang pertama itu ialah Nabi saw terasa berat dan susah benar jiwanya kalau umatnya ditimpa dengan kesusahan. Rasulullah saw seorang yang tak boleh tengok orang lain susah. Dia akan lebih susah bila dia tengok ada orang yang susah. Inilah dia ciri kepimpinan yang diajar oleh Islam. Dan ini telah dibuktikan oleh Nabi saw dengan perlakuannya mengambil wanita-wanita yang kehilangan suami sebagai isterinya. Sebab itu, 12 orang kesemuanya isteri Nabi saw. Dalam 12 orang isterinya itu, hanya seorang saja yang dikahwininya itu anak dara, iaitulah Saidatina Aishah radiallahuanha. Maka 11 yang lain adalah janda-janda belaka, seperti Ummi Salamah, Zainab binti Jahashi, Safiah dan lain-lain lagi yang boleh kita rujuk di dalam kitab Sirah. Yang majoritinya, suami-suami mereka adalah syuhadah-syuhadah yang gugur syahid pergi bertemu Allah swt. Lalu bila wanita-wanita ini kehilangan suami, maka terbit rasa kasihan dalam hati Rasulullah terhadap janda-janda ini. Maka sebab itu, Nabi melamar wanita-wanita ini menjadi isteri-isterinya. Nabi ajak mereka kahwin bukan atas dasar hawa nafsunya sepertimana yang dilontarkan oleh para orientalis barat. Mereka kata bahwa Nabi orang Islam ini (sebenarnya Nabi adalah untuk semua manusia) adalah seorang gila seks, sehingga tak cukup baginya seorang isteri. Tuduhan-tuduhan seperti ini yang dilemparkan oleh orientalis barat adalah suatu tuduhan yang mencabar kewibawaan umat Islam. Sebagaimana yang kita tahu, Nabi saw berkahwin sebanyak 12 orang itu, hanya semata-mata untuk menjaga akan hak-hak wanita, kerana kita sedia maklum bahwa wanita dalam pandangan Islam adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah swt. Sebab itu, di dalam al-Quran tidak ada surah yang dinamakan dengan Surah ar-Rijal; tetapi ada di dalam Quran Surah an-Nissa`. Inilah bukti yang Allah mengangkat martabat wanita. Bahkan kebanyakan ayat-ayat al-Quran turun kerana keluhan para wanita. Contohnya seperti apa yang diceritakan dalam sebuah kisah yang masyhur, iaitu ketika mana sedang Amirul Mukminin Khalifah Umar al-Khatab sedang berjalan-jalan bersama dengan menteri-menterinya, tiba-tiba beliau telah ditemukan dengan seorang wanita tua. Yang mana Umar sangat kenal akan wanita tua itu dan wanita tua itu juga kenal akan Umar. Lalu wanita tua itu kata, "Wahai Umar, aku kenal engkau sewaktu di Mekah. Aku kenal engkau sewaktu zaman remaja mu. Aku juga kenal engkau sewaktu engkau masih jahiliyyah. Dan aku juga kenal engkau sekarang ini sebagai Khalifah Amirul Mukminin. Lalu wahai Umar, bertaqwalah engkau kepada Allah."...Bila dengar kata-kata daripada wanita tua itu, menteri-menteri yang mengiringi Umar ketika itu merasa marah. Lalu salah seorang daripada mereka berkata, "Wahai perempuan tua, kenalkah kamu dengan siapa kamu bercakap ini?"...Menteri-menteri itu marah bukan pasai apa; sebab semua orang tahu betapa warak dan taqwanya Umar. Contohnya, ketika Umar baca Surah Yaasiin, apabila dia sampai sahaja pada ayat 59 yang bermaksud, "Berpisahlah kamu pada hari ini (hari qiamat) wahai orang-orang yang berdosa."...Ketika itu Umar akan menangis terisak-isak. Ada riwayat menyebut, dia pengsan bila sampai kat ayat tu. Lalu bila dia sedar kembali, ada sahabat tanya, "Pasai apa ya Amirul Mukminin?"...Umar jawab, "Kerana aku bimbang, aku juga termasuk dalam salah seorang yang akan diasingkan oleh Allah daripada golongan orang-orang yang beriman di Padang Mahsyar kelak."...Tuuu dia tuan-tuan. Umar punya la takut walaupun dia dah Nabi jamin masuk syurga. Begitulah hebatnya ketaqwaan Umar al-Khatab. Sebab itu, menteri pengiringnya memberi kata dua kepada wanita tua itu, "Kamu jangan pandai-pandai nak suruh Umar bertaqwa. Amirul Mukminin dah cukup hebat dalam ketaqwaannya."...Lalu apabila mendengar kata-kata daripada menterinya itu, Umar naik marah dan menempelak menterinya itu dengan mengatakan, "Kamu kenalkah siapa wanita tua ini?"...Jawab menteri itu, "Tidak wahai Amirul Mukminin."...Lalu kata Umar, "Wanita inilah yang doanya didengar oleh Allah, sehingga turunnya Surah al-Mujaadalah. Yakni ketika wanita ini mengadu halnya kepada Nabi saw. Namanya Khaulah binti Tsa`labah."...Kalau tuan-tuan baca Asbabul Nuzul turunnya Surah al-Mujaadalah ini, ia adalah kerana cerita Khaulah binti Tsa`labah. Ia dikisahkan bagaimana Khaulah mengadu kepada Rasulullah tentang sikap suaminya yang sudah dingin terhadapnya, sehinggakan suaminya berkata, "Engkau seperti punggung ibuku."...Lalu Allah swt menurunkan hukum zihar (mengikut Islam) melalui Surah al-Mujaadalah. Lihat tuan-tuan, bagaimana Allah memuliakan kaum wanita.

Okay berbalik kepada cerita Nabi saw tadi; apabila baginda melihat kaum wanita ini mesti dibela, maka baginda sendiri menawarkan dirinya untuk kahwin dengan mereka. Inilah dia perangai Rasulullah, yang tak boleh tengok orang lain susah. Dia akan cuba tolong dengan sedaya upayanya. Sepertimana yang berlaku ke atas Saidatina Habsah binti Umar radiallahuanha, yang ketika itu menghadapi kesulitan akibat kematian suami. Lalu Nabi saw pun pergi bertemu dengan Saidina Abi Bakr, dan menyatakan hasratnya untuk melamar dan berkahwin dengan Habsah. Kemudian selang 2 hari selepas itu, Saidina Umar ibnul Khatab ra pula datang bertemu dengan Abi Bakr. Umar kata, "Wahai sahabatku Abi Bakr, mahu tak kamu kahwin dengan anak aku, Habsah?"...Abi Bakr diam tak jawab. Bila Saidina Umar tengok Abi Bakr diam membisu, dia rasa agak tersentuh hati kecilnya. Kemudian Umar pergi pula bertemu dengan Saidina Usman bin Affan ra, "Wahai Usman, mahu tak aku kahwinkan anakku Habsah dengan kamu?"...Saidina Usman kata, "Beri aku masa 2 hari untuk berfikir."...Sahabat-sahabat sekelian, daripada kisah ini, kita boleh ambil 3 pengajaran. Iaitulah :

a) tolong simpan rahsia kawan kita. Contohnya, sepertimana Saidina Abu Bakr menyimpan rahsia Nabi nak kahwin dengan Habsah,

b) tak boleh lawan pimpinan,

c) pihak perempuan boleh pi risik pihak lelaki, berkenaan dengan jodoh nikah kahwinnya.

Katakanlah, saya ada seorang anak perempuan. Lalu saya nak kahwinkan anak perempuan saya ni dengan anak seorang sahabat. Sebab saya dok tengok budak lelaki anak kepada sahabat saya ni cukup rajin pergi balik ke masjid menunaikan solat; dengan istiqomahnya pula dengan majlis-majlis ilmu; kemudian bila check dalam komputer, ahli kita pula; masa pilihanraya hari tu, baguih punya dok heret tangga nak tampal poster; kemudian pi T`ganu tempohari, nampak dia jadi perwakilan pula; yang ni semua kira cantik dah la. Lalu saya pun pi jumpa sahabat saya tu dan berkata, "Mahu tak saya kahwinkan anak perempuan saya dengan anak lelaki awak?"...Dari sudut hukum, apa yang saya lakukan itu memang boleh, tapi dengan syarat latarbelakang peribadi budak lelaki itu confirm cantik.

Okay, sebagai membenarkan firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 128 itu tadi, iaitu Nabi saw lebih rela susah daripada sesiapa saja yang susah, maka sebagai contoh yang nak menunjukkan bahwa mulianya perangai Nabi ini; ialah pada suatu hari datangnya seorang tetamu di rumah Nabi saw untuk meminta sedikit makanan. Lalu Nabi saw tanya isterinya Saidatina Aishah, "Ada apa dalam rumah kita ni yang boleh kita bagi kepada tetamu ini, supaya nanti dia balik tidak dengan tangan kosong?"...Lalu kata Aishah, "Hanya segelas susu saja ya Rasulullah."...Kata Nabi, "Berikanlah susu itu kepada tetamu itu."...Bila diberinya susu itu kepada peminta sedeqah itu, maka berlaparlah kedua-dua Nabi dan isterinya itu. Inilah dia perangai Rasulullah, yang sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi membahagiakan orang yang dalam kesusahan.

Tingkah-laku Rasulullah ini turut juga dicontohi oleh para sahabat ra. Sepertimana yang berlaku kepada keluarga Saidina Ali karamallahu wajhah; yang mana di tangan masing-masing sedang memegang sebiji buah kurma untuk berbuka puasa nanti. Lalu semasa Bilal melaungkan azan, tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk peminta sedeqah. Lalu Ali bangun dan beri buah kurmanya itu kepada peminta sedeqah. Apabila Fatimah tengok Ali bangun beri kurma, dia pun turut beri kurmanya kepada peminta sedeqah itu. Kemudian Hassan, Hussein dan Zainab kata, "Takkanlah ayah dan ibu sahaja yang mahu masuk ke syurga. Apa halnya dengan kami?"...Lalu ketiga-tiga anak ini menyerahkan kurma masing-masing, dan akhirnya kelima-lima buah kurma tadi berada di tangan peminta sedeqah. Inilah hebatnya tarbiyyah daripada Nabi saw kepada para sahabatnya.

2) sifat Nabi saw yang kedua ialah dia suka tengok umatnya dapat kebaikan. Tidak ada kebaikan yang paling besar selain berbahagia di negeri akhirat, dengan nikmat syurga yang dikurniakan oleh Allah swt. Sebab itu, sebagai tugas Rasulullah saw, baginda mengingatkan kita tentang berita gembira dan mengingatkan kita juga tentang amaran dan ancaman Allah swt melalui hadith-hadithnya. Daripada sabdaan-sabdaannyalah diberikan amaran kepada kita supaya jangan celaka di dunia dan lebih-lebih lagilah di akhirat. Untuk apa dilakukannya semua ini?...Ini semua ialah kerana dia boleh tengok kita semua mendapat kebaikan. Inilah matlamatnya. Sehinggakan sampai dia nak mati pun, dia masih lagi ingatkan umatnya dengan ditanya kepada Jibril as, "Wahai Jibril, apa yang Allah telah sediakan untukku sekarang?"...Jawab Jibril, "Ya Rasulullah, sekarang telah berdiri dengan berderet-deret di pintu langit dan di pintu syurga para malaikat dan bidadari-bidadari, menanti untuk menyambut akan roh mu. Dan Allah telah pun menyediakan syurga untuk mu wahai Rasulullah."...Kemudian Nabi tanya lagi, "Bagaimana dengan umat ku pula?"...Inilah dia perangai Nabi saw. Nak kata pentingkan diri sendiri, memang bukan style dia. Yang hanya dihatinya ialah umatnya sahaja.

Satu lagi contoh nak tunjukkan betapa kasihnya dia pada umatnya ialah sepertimana dikisahkan dalam satu riwayat yang menceritakan bagaimana Nabi saw lah orang yang pertama yang akan meniti di titian sirat. Nampak tak tuan-tuan, kalau baginda sendiri pun kena meniti di titian sirat, siapakah kita untuk dikecualikan daripada meniti di titian sirat, yang lebih tajam daripada mata pedang dan lebih halus daripada rambut itu?...Setiap orang pasti akan menitinya, dan keadaannya pula terpulanglah kepada amalan kita. Ada yang meniti seperti pantasnya kilat sampai ke hujung sana (syurga Allah). Ada yang melintas seperti kuda berlari. Ada yang seperti orang berlari, berjalan, merangkak dan mengesot pun ada. Tapi yang paling celaka ialah apabila start saja meniti, terus jatuh disambar neraka dibawahnya (nauzubillahiminzalik). Jadi, terpulanglah kepada diri masing-masing, setelah usia diberiNya, amalan dinyatakanNya, segala-galanya telah pun dikurniakan oleh Allah swt; hanya terpulang kepada kita sendiri yang buat pilihan...Okay lalu pergilah Nabi saw melintas titian sirat sepantas kilat, dan bila dia sampai di hadapan pintu syurga, terus baginda berkata, "Umatku, selamatkan mereka! Wahai Tuhan, selamatkan umatku!"...Inilah dia perangai Rasulullah walaupun dia dah selamat melintas tapi tak mau masuk syurga lagi sebab masih sibuk dengan umatnya walaupun sudah berada di alam akhirat. Sebab itu, bila Nabi tengok ada yang jatuh, dia menangis sebab dia tak boleh nak tolong. Bila ada yang lepas, Nabi pun ucap syukur kepada Allah.

Oleh kerana keperihatinan Nabi saw cukup tinggi terhadap umatnya sehinggakan keadaan dia tidur pun, para ulama membahaskannya. Iaitu apabila Nabi tidur mengiring diatas lambung kanannya, dia akan meletakkan tangannya di bawah pipinya, maka para ulama mengatakan bahwa inilah lambang baginda sentiasa mengingati sesuatu tentang umatnya, walaupun dia sedang tidur berehat.

Oleh kerana Rasulullah saw tersangat inginkan kebaikan bagi kita (umatnya), maka diajarnya kepada kita jalan-jalan kebaikan. Diantara salah satunya yang paling hebat ialah baginda menanamkan keyakinan bahwa dunia ini sementara sahaja, manakala akhiratlah yang kekal abadi. Perkara inilah yang cukup payah bagi orang-orang yang kuffur kepada Allah untuk merealisasikan dalam kehidupan mereka. Sebab itu, Nabi saw meletakkan diantara punca kehancuran ummah ialah apabila umatnya ditimpa penyakit wahhan, yakni terlalu mencintai dunia dan takut akan mati. Tapi kalau kita mengambil dunia sekadar batasan yang diizinkan oleh syara`, maka ia tidak dicela. Tetapi sekiranya meletakkan kecintaan kepada dunia sehinggakan melupai akhirat, maka inilah yang dicela oleh syara`. Dan yang paling celakanya, sudahla dilupainya akhirat, kemudian digunakan pula dunianya itu untuk mengganyang dan membunuh umat Islam. Sebab itu, Allah kata, "Barang siapa yang toghut (melampaui batas dalam perkara Islam dengan tidak menghormati peraturan Allah) dan mengutamakan pula kehidupan di dunia, maka neraka jahim lah tempat kembalinya untuk mereka besok."...nauzubillahiminzalik. Jadi ayat ini menjadi dalil supaya kita tidak ada sifat mencintai dunia. Kerana realiti kehidupan yang kita lihat mutakhir ini, bahwa golongan-golongan yang menentang Islam adalah golongan-golongan yang mengutamakan dunia. Tapi sekarang ni cuba kita tanya kat depa; adakah kamu tak tahu Islam itu baik?...Kebanyakan mereka tahu yang Islam itu baik. Kalau kita tanya lagi; adakah mereka tak tahu Quran itu daripada Allah?...Kalau depa kata tak tau, itu maknanya depa berbohong. Pasai apa kata macam tu?...Pasai di M`sia, pagi-pagi buta buka saja tv atau radio, mesti disajikan dulu dengan ayat al-Quran. Masa depa sekolah dulu pun, kalau tak banyak, sikit mesti depa tau tentang Islam ni, pasai ada dalam syllabus. Lebih-lebih lagilah orang Melayu sekular umno, depa pun tahu yang Quran itu daripada Allah. Tetapi mengapa mereka masih bertindak di luar batasan iman dan aqidah?...Ini ialah kerana mereka melihat dunia ini adalah segala-galanya dan mereka tidak yakin dengan akhirat. Tapi untuk pejuang-pejuang Islam, mujahidin dan mujahadah sekelian; kita mestilah menjadikan dunia ini hanyalah sebagai tempat bercucuk-tanam atau ladang untuk menuju ke negeri akhirat. Maknanya, dunia ini ialah tempat kita menabur benih, manakala hasilnya nanti kita akan dapat di akhirat. Itulah ganjaran syurga daripada rahmat keampunan Allah swt. Inilah yang diingini oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa.

Hari ini kita boleh lihat sendiri macamana masyarakat kita telah menjadi rosak dan Islam tidak dapat ditegakkan akibat budaya terlalu mencintai dunia. Tetapi jangan salah sangka pula, bilamana kita kata ingin menegakkan Islam, bukan makna kita buang dunia sama sekali. Yang kita maksudkan ialah memajukan dunia untuk kesejahteraan rakyat disamping menjaga batasan-batasan dan hak-hak Allah, supaya dunia yang kita ambil itu tidak menjahanamkan kita di negeri akhirat kelak. Inilah yang boleh kita lihat di negeri-negeri yang ditadbir oleh para ulama`. Aman dan sejahteranya kehidupan. Cantik dan indahnya pergaulan sesama manusia. Dan kita nak bagitau bahwa bila ulama` yang mengambil-alih pemerintahan, bukan makna dunia tidak dimajukan. Sahabat-sahabat pi lah ke T`ganu. Ni betoi-betoi punya cakap. Melawat M`sia kira merata dah, tapi saya tak pernah jumpa lagi jalanraya paling cantik kecuali di negeri T`ganu. Semasa berlangsungnya Muktamar di T`ganu beberapa tahun yang lalu, kita boleh lihat bagaimana mesranya polis dengan orangramai. Polis yang menunjukkan kemesraan mereka itu adalah daripada PDRM yang sama tu juga. Bukan daripada negara lain punya PDRM. Tapi nak habaq mai ialah pasai apa Polis PDRM yang sama tu juga boleh bertindak di luar nilai kemanusiaan ke atas orang ramai dalam perhimpunan 100k di Kesas Highway hari tu?...Tapi tiba-tiba polis PDRM yang sama tu juga boleh bermesra dengan orang ramai di T`ganu. Yang ni lah yang kita nak bagitau bahwa bila ulama` yang memerintah, maka habih semua pakat jadi baik, termasuklah PDRM. Ini semua berlaku kerana pemerintah adalah golongan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Golongan atasan seperti ini, mereka tahu dengan memajukan dunia untuk kebahagiaan di negeri akhirat. Bukannya dengan memajukan dunia dalam keadaan melupakan akhirat, melupai dosa pahala dan menghentam Islam. Kerana ini akan mencacatkan suatu kepimpinan dan akan menyebabkan rakyat dan masyarakat rosak. Kita kena sebut perkara-perkara macam ni sebab la ni Harakah keluar 2x sebulan saja. Jadi, perkembangan-perkembangan terbaru akan lambat diterima. Sebab itu la ni, kitalah yang kena ambik inisiatif jadi pemberi matlumat tanpa gaji. Walaupun tanpa gaji, demi untuk menyedarkan masyarakat kerana Allah, saya sanggup. Sebab itu, Pas la ni ambik tindakan mahkamah untuk saman KDN, kerana KDN telah mencabul hak-hak demokrasi yang sepatutnya tidak boleh berlaku. Dengan menyekat kebebasan rakyat untuk mendapat berita, maka ini menghalang demokrasi dan mencabul perlembagaan M`sia.

3) sifat Nabi saw yang ketiga dalam ayat 128 Surah at-Taubah ialah baginda teramat kasih dan belas kasihan terhadap orang-orang yang beriman. Inilah yang diajar oleh Allah swt kepada orang-orang beriman, dengan ditanamNya perasaan kasih sayang. Sifat mulia seperti ini, sepatutnya diteladani oleh kita. Lebih-lebih lagi sifat ini mesti ada kepada kepimpinan. Tetapi yang sedihnya pada hari ini, kebanyakan pemimpin dalam negara kita sudah hilang perasaan macam ni. Malah apabila golongan-golongan yang beriman ini menyokong kebenaran, menentang kezaliman, mahukan Islam ditegakkan, mahukan rasuah dihapuskan; tiba-tiba mereka didera dan difitnah oleh pemerintah. Maka pemimpin berperangai sebegini adalah lebih zolim daripada Firaun laknatullah.

Contohnya, ustaz Halim cerita ada seorang sahabat mai jumpa ustaz dan mengadu bahwa dia kehilangan tender projek pembinaan jalanraya sebanyak RM10juta. Sahabat tu kata, "Lepas-lepas saja daripada pilihanraya umum yang lalu, saya dapati nama saya pun hilang daripada senarai kontrak."...Sahabat kita ni yang pada asalnya memang dah dapat tender projek RM10juta tu, tapi dengan tiba-tiba saja nama dia lesap dari senarai, hanya semata-mata kerana nak tegakkan keadilan dan menghapuskan kezoliman. Kita nak bagitau, "Kamu Mahathir Mohamad & kroni-kroni kamu yang buat angkara ini, kamu jawablah besok di hadapan Allah. Allah akan menghukum walau sekecil zarah akan ketidak-adilan kamu. La ni atas dunia, hang boleh la sedap dengan kuasa yang hang ada. Tapi besok di akhirat, takdak dah nak seronok nyanyi lagu raya apa ka. Tinggai hang kena jawab di hadapan Allah swt."...Dari kacamata Islam, orang macam Dr Mahathir ni bukannya pandai, malah bahalol lagi ada. Seluruh rakyat sedang mentertawakan apa saja tindakannya. Mau tak gelak, semua strategi yang digunakannya untuk menyerang musuh, nampak sangat akan kelemahan dan kebodohannya. Ingat tak tuan-tuan, masa selepas pilihanraya umum dulu, ada yang dinafikan hak mereka untuk melawat K`tan/T`ganu, kerana kononnya takut dijangkiti virus tertiru cara pemerintahan K`tan/T`ganu. Cara yang digunakan oleh pemerintah BN di Melaka lahabau ini, menunjukkan betapa tak cerdiknya puak-puak ni untuk memerintah. Ada ka pemerintahan di K`tan/T`ganu meluluskan lesen judi/arak dan sebagainya sampai diharamkan kakitangan kerajaan untuk melawat ke sana?...Ini bukan apa. Ini adalah kerana busuk hati dendam kesumat kerana orang dah tak suka dengan hangpa.

Apa lagi kita nak sembang pasai kezoliman depa ni tuan-tuan?...Bukan pasai apa, sebab masih ada lagi netters yang dok ingat Dr Mahathir tu bijak...tinggai saki baki saja la!...Kezoliman seterusnya ialah pinjaman MARA. Ia hanya diberi kepada mereka yang benar-benar menyokong golongan yang menegakkan kekufuran. Sapa yang menentang, minta maaf banyak-banyak...Awat, depa ingat MARA tu bapak depa punya ka?...Awat, depa ingat Majlis Amanah tu tok wan depa punya ka?...Awat, bangunan MARA tu buat pakai duit depa ka?...Inilah antara bentuk kezoliman puak-puak BN sampai nak menafikan hak rakyat yang menentang kezoliman.

Yang paling clear menunjukkan akan kebangangan puak-puak karat ni ialah pembelian saham MAS. Bisnesman apa kalau orang letak harga RM3.60 seunit, hang pi beli dengan harga RM8.00 seunit?...Pandai ka lagu tu?...Ya, memang pandai, cerdik, genius betoi Daim tu; pasai dia bukan beli pakai duit dia. Dia beli pakai duit rakyat macam kita ni. Nampak sangat yang puak-puak karat ni bukan nak menyelamatkan MAS, tapi sebenarnya mereka nak menyelamatkan kroni depa yang bernama Tajudin Ramli dan sekali gus menyelamatkan diri mereka sendiri...Tuan-tuan ingat tak, personaliti Tajudin Ramli inilah dulu yang depa canangkan keseluruh negara sebagai usahawan yang berjaya dan patut dicontohi. Siap buat ceramah motivasi ke Universiti-universiti lagi...Piiiirahhhh!! usahawan apa, tak ketahuan ada la.

Jadi, sifat kasih sayang Nabi saw kepada orang-orang beriman sudah tidak dipandang oleh puak-puak karat ni. Malah jadi terbalik pula; orang menentang Allah dibela, penegak agama Allah pula ditindas. Tapi, percayalah wahai para sahabat ku sekelian, akan sampai juga saat dan ketika, kebathilan akan runtuh akhirnya. Sesungguhnya ini adalah janji Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, yang puak-puak ni akan tersungkur rebah ke bumi. Masanya akan sampai, percayalah. Bila?...Allahu ta`ala a`alam. Tapi Dia telah berjanji dalam al-Quran bahwa Dia akan menjadikan diantara kita seorang Khalifah yang memerintah bumi, sepertimana Dia telah melantik orang sebelum kita menjadi pemerintah...Ini janji Allah.

Kata Allah dalam Surah an-Nur ayat 55, "Aku berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahwa Aku akan melantik mereka menjadi pemimpin."...Tu dia tuan-tuan. Kita kena yakin akan berlaku perubahan ini pasai ayat ini ayat Quran. Kita kena yakin bahwa satu masa nanti, orang-orang bukan Islam akan minat dengan Islam. Bunga-bunganya sudah pun kita nampak di Lunas. Tapi pada keseluruhannya, mungkin mereka masih ditakut-takutkan. Tapi percayalah, akan sampai masanya benteng ini akan pecah. Maka dikala itu, kamu puak-puak karat tidak akan dapat lagi menghalang kemaraan dan kebangkitan Islam.

Jadi, sebagai saudara dalam Islam, kita nak bagitau kepada puak-puak karat ini, bertaubatlah segera kepada Allah swt kerana setiap tindakan rakus kamu telah pun dicatit oleh malaikat. Dan setiap tindakan ketidak-adilan kamu, juga akan dibawa di hadapan Allah swt. Kamu nafikan hak orang yang benar-benar berhak menerimanya, maka jaga kamu. Kerana Nabi saw pernah bersabda, "Barangsiapa yang mengambil walaupun sejengkal tanah orang lain tanpa hak, dia akan dilipat dan dililit pada hari qiamat dengan 7 lapisan bumi."...nauzubillahiminzalik. Oleh itu, jangan dok main-main dengan hak orang lain. Yang ni baru cerita pasai sejengkal tanah sahaja, apatah lagi RM10juta yang memang clear dinafikan. Ada juga yang dah siap buat projek, tapi ditahan bayarannya. Kamu tak pikiaq ka?...Anak dia nak sekolah, isteri dia nak itu ini untuk bagi dapur berasap. Tapi dengan hanya dia seorang penegak keadilan dan menentang kezoliman, walaupun projek dah siap, bayaran tetap ditangguhkan. Apa ini?!!

Tidakkah Allah pernah berkata, "Bersifat adil lah kamu walaupun terhadap musuh kamu sendiri."...Tu dia aih! Islam ajar sampai macam tu. Kata Allah lagi dalam Surah al-Maidah ayat 8, "Janganlah kebencian kamu kepada satu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Maka berlaku adillah kamu kerana adil itu lebih dekat kepada ketaqwaan."...Ini Islam ajar. Allah ajar walaupun terhadap musuh, kita mesti berlaku adil. Sebab itulah kita seru, "Wahai orang Melayu Umno, adakah kami ini musuh kamu?..Ya, kami mungkin musuh pada kamu di bidang politik. Tapi kami dan kamu, sama-sama mengucap dua kalimah syahadah. Jadi, mengapa kamu wahai umno masih tak boleh berfikir dalam suasana kami hanya mengajak kepada kebenaran Islam, hanya mengajak kepada perpaduan yang sebenar, hanya mengajak kepada tegakkan ugama Allah dan janganlah berpecah-belah?..Itu saja matlamat kami."

Antara pengajaran yang paling besar daripada hadith ini ialah kita hendaklah suka dan sentiasa mahu membantu sesama manusia sepertimana Nabi saw lakukan. Yang kata Nabi ni, orang punya hutang pun dia sanggup bayar. Janda yang kematian suami pun dia sanggup jadikan isterinya (bukan kerana nafsu). Orang yang lapar, dia sanggup bagi makan walaupun dia sendiri dalam keadaan kelaparan. Sifat-sifat begini, kalau dapat kita contohi; masya`Allah, tuan-tuan. Walaupun mustahil bagi kita, tapi sekurang-kurangnya keinginan dan kesukaan kepada menolong manusia yang susah, cubalah kita praktikkan. Sepertimana kata Nabi saw, "Barang siapa yang melepaskan kesusahan orang lain di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya di negeri akhirat."...Ini pula adalah janji Rasulullah saw. Oleh sebab itu, jangan berat tangan untuk beri pertolongan kepada manusia sekadar yang kita mampu, kerana kita tak tahu berapa banyak bebanan-bebanan yang akan kita tanggung esok di negeri akhirat. Tapi daripada hadith ni, timbol pula satu persoalan, "Macamana pula kita yang tinggal dalam masyarakat yang majoritinya keris karat tak dak sarong tu?..Adakah boleh kita apply sifat yang mulia ini kepada mereka?"...Lalu jawab ustaz Halim Nasir dengan membaca satu ayat al-Quran daripada Surah Haamiim as-Sajdah ayat 34 yang bermaksud, "Kamu tolaklah segala kejahatan dengan penuh kebaikan.."...Inilah Allah/rasulNya ajar kepada kita supaya jangan berdendam. Akhirnya kata Allah lagi dalam ayat yang sama yang bermaksud, "Mengakibatkan orang yang asalnya musuh kamu itu, akan menjadi teman yang baik dan bersama dengan kamu."...Dalam lain perkataan, "isi borang" la jawabnya tu. Sebab itu, kita kena banyak bersabar, kerana kebathilan tidak akan kemana-mana, yang akhirnya ia pasti akan tunduk kepada kebenaran juga. Sebab itu, kita kena terang juga Islam dekat puak-puak karat ni. Kena bagitau kat depa yang perbuatan mengambil hak orang ini zalim dalam Islam. Depa buat semua ini sebab depa rasa depa ada kuasa. Tapi itu hanya di dunia, di akhirat kelak lagumana?...Dengan peringatan-peringatan yang kita beri ini, mudah-mudahan terbuka hati mereka untuk menerima Islam dan menjadi kawan baik kita pulak. Berapa ramai yang buat kerja pilihanraya dengan kita dulu, la ni semua pakat masuk Pas habih dah. Macam budak-budak Abim dan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim; mula-mula depa buat kerja secara sukarela saja, lepas tu bila keADILan mai, depa buat kerja dalam parti keADILan. Kemudian, bila depa join dengan kita pi masjid, dengar kuliyyah-kuliyyah, last sekali keADILan pun masuk, PAS pun depa masuk.

Contoh pada zaman Rasulullah saw pula ialah bilamana datang satu orang nak bunuh Nabi. Kalau tak silap saya, nama orang itu ialah Samamah, datang daripada Yaman. Dia masuk Madinah dengan kuda sambil diselitnya pedang di belakang dan terus mata dia liar mencari Nabi saw. Apabila dia melewati Masjid Nabawi yang ketika itu Nabi saw bersama dengan Saidina Umar ra berada di situ, Saidina Umar pun pandang Samamah dan berkata kepada Nabi, "Ya Rasulullah, la ni aku nak bangun, aku nak pi kerat leher orang tu."...Yang ni yang dikatakan Saidina Umar ni. Dia boleh baca dah gerak-geri orang tu. Kata Umar, "Ya Rasulullah, izinkan aku memenggal leher dia. Sebab mengikut deria bau aku, aku rasa dia nak bunuh kamu."...Nabi kata, "Wahai Umar, panggil dia masuk dulu."...Bila dipanggil oleh Umar, lalu Samamah pun duduk depan Nabi dan Nabi saw tanya, "Kamu mesti datang daripada jauh ni sebab pakaian kamu berdebu. Kamu dah makan ka?"...Tengok tuan-tuan perangai Nabi, walhal dia tahu yang Samamah ni mai nak bunuh dia. Lalu jawab Samamah, "Belum lagi."...Lalu Nabi pun kata kat Umar, "Wahai Umar, tolong siapkan makanan untuk tetamu kita ni."...Bisik Umar kat Nabi, "Makan apa? Tak dak masa nak makan-makan dah. Dia tu mai nak bunuh kamu, ya Rasulullah. Aku boleh baca dah gerak-gerinya."...Inilah kehebatan yang Allah bagi kat Saidina Umar. Dia boleh tau firasat orang. Lalu Nabi keluarkan arahan, "Sediakan makanan!"...Umar pun tak cakap banyak dah, dia pi cari roti dan bagi kat Samamah. Bila Samamah tengah dok makan roti tu lah, Nabi saw kata, "Katakanlah oleh mu bahwa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah."...Samamah kata, "Aku tak mau."...Kemudian Nabi ulangkan sekali lagi dan tetap ditolak juga oleh Samamah. Lalu Nabi saw suruh dia balik. Samamah pun melangkah balik, tapi belum lagi sampai ke kudanya, dia patah balik ke arah Nabi dan terus memeluk Islam...Nampak tak tuan-tuan?...Bolehkah kita belajar daripada apa yang Nabi lakukan tu?...Cukup susah tuan-tuan. Lebih-lebih lagi kita dah ramai sekarang. Bila dah ramai, mulalah syaitan inject masuk sifat ego. Sifat perosak inilah yang perlu kita tepis, lebih-lebih lagi kepada kita yang bergelar pejuang-pejuang Islam. Tapi bukan makna bila kita berlembut macam Nabi, bermakna kita bersetuju dengan kemungkaran. Mana boleh lagu tu?...Kerana kemungkaran tetap kemungkaran, ia mesti ditentang. Kita mengambil sikap lembut dan bersabar ni hanya dalam beberapa keadaan sahaja. Kerana kebathilan tak ke mana, melainkan ia pasti sujud kepada kebenaran. Kalau sifat ini boleh kita buat, betapa untung dan mudahnya kerja kita, kerana ia menjadi satu aset yang besar kepada kita.

Kesimpulannya; hadith ini mengajar kita supaya sentiasa suka mengambil sikap menolong orang lain sekadar yang kita mampu.

Wallahu ta`ala `alam.


conceptm5.jpg