...sambungan matan
Hadith (1)....
Kata Jabir bin
Abdullah ra lagi:...Serta baginda Rasulullah bersabda lagi, "(Ketahuilah) Selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah
Kitabullah..." (HR Muslim)
Maksud matan hadith
ini merupakan satu pengisytiharan yang cukup besar ertinya kepada kita. Bahwa tidak ada sebenar-benar perkataan dan sebaik-baik
ucapan, melainkan Kitabullah, iaitulah al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt kepada kita sekelian. Sebab itu kita perlu
memahami berhubung dengan al-Quran itu sendiri. Seperti bagaimanakah berlaku proses penurunan al-Quran dan sedikit daripada
perkara yang ada hubung-kait dengan "tunazzalah" atau penurunan al-Quran itu.
Apa yang perlu kita
tahu ialah :
1) yang pertama,
para ulama telah menegaskan bahwa al-Quran itu datang daripada sisi Allah swt, kemudian menuju ke suatu tempat yang dinamakan
"Lauh Mahfuz". Dan daripada sisi Allah ke "Lauh Mahfuz" ini, yang disebut dalam Suratul Buruuj ayat 21-22 yang bermaksud,
"Bahkan dialah Quran yang mulia. Dipapan
yang terpelihara (Lauh Mahfuz)."...Bagaimana
rupanya "Lauh Mahfuz", Allahu ta`ala a`lam. Tapi kita diajar supaya beriman dan mempercayai bahwa daripada sisi Allah, al-Quran
diturunkan melalui peringkat "tunazzalat"
yang pertama. Bila kita mengaji "Ulum Quran",
diajar subject ini kepada kita, iaitu dalam Bahagian Tunazzalat.
Pada fasal yang pertama
ini, daripada Allah ke "Lauh Mahfuz", al-Quran diturunkan sebanyak 30 juzuk dengan 114 Surah
sekaligus. Fasal yang kedua pula ialah daripada "Lauh Mahfuz" menuju ke suatu tempat
di langit dunia, yang dinamakan "Baitul
`Izzah". Ini adalah tunazzalat yang kedua. Daripada "Lauh Mahfuz" ke "Baitul `Izzah", juga 30 juzuk
dengan 114 Surah sekaligus. Dan proses penurunan yang ketiga, iaitu daripada "Baitul `Izzah"
di langit dunia, turun ke bumi atau al-maklumnya kepada Nabi saw secara beransur-ansur, yang berjalan selama 23 tahun. Yakni
13 tahun turun di Mekah dan 10 tahun turun di Madinah. Dan surah-surah yang diturunkan di Mekah, dinamakan "Surah Makiyyah".
Manakala surah-surah yang diturunkan di Madinah, dinamakan "Surah Madaniyyah".
2) Bila kita sebut
sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah, dan apabila sebut saja penurunan al-Quran itu, yakni apa yang dipanggil sebagai
"wahyu"; maka perkara yang perlu kita faham ialah hendaklah dihubung-kait pula dengan satu makhluk, dengan suatu hari dan
dengan suatu tempat. Jadi, bila sebut "tunazzalat" Quran (penurunan al-Quran), maka perlulah ia dikaitkan
dengan satu makhluk, iaitulah Saidina Jibril as. Kemudian dikaitkan dengan suatu hari, iaitulah hari Ithnin. Dan dikaitkan
juga dengan sebuah tempat, iaitulah Gua Hira`. Inilah detailnya ulama membahaskan kepada kita dalam membicarakan sejarah penurunan
al-Quran.
Okay mula-mula sekali
mai kita tengok malaikat Jibril as. Jibril as adalah penghulu bagi segala malaikat. Sifat Jibril as ini, telah Allah sebut
dalam Suratul Najm ayat 5 yang bermaksud, "Yang
mengajar Muhammad itu adalah Jibril yang teramat-amat kuat."...Dalam ayat ini, Allah menyebut sifat Jibril yang teramat kuat. Dengan kekuatannya itu, maka dialah yang
layak menghantar wahyu kepada Nabi Muhammad saw. Sehinggakan Allah menjelaskan bagaimana kekuatan dan kehebatan Jibril as
ini dalam firmanNya yang bermaksud, "Dan
dia (Jibril) berada di ufuk tinggi, tiba-tiba dia sudah berada depan Nabi."...Yang kata ufuk ni dia ada 2 jenis. Yang pertama ialah ufuk adna (ufuk yang dekat), yakni sejauh mata memandang. Tapi dalam ayat tadi, Allah bagitau bahwa Jibril berada di ufukil a`la (ufuk
tinggi), yakni jenis ufuk yang kedua. Yang dikatakan ufukil a`la ini, mungkin ia di arasy atau mungkin ia di langit yang ke
7. Ulama sebut ayat ini bermaksud, katalah Jibril berada di langit ke 7, tiba-tiba dia spot dia punya vision betul-betul ke
Masjid Batu ni, maka dengan dia pandang saja lalu sampailah dia di Masjid Batu ni. Ini menunjukkan betapa kuat dan lajunya
Jibril tu.
Sekarang kita tengok
pula penurunan al-Quran yang dikaitkan dengan suatu hari, iaitulah Ithnain. Hari Ithnain merupakan hari yang kedua dalam taqwim
Islam. Bila disebut penurunan Quran dikaitkan dengan hari Ithnin, sebab itulah kita muslimin muslimat sekelian disuruh oleh
Nabi saw supaya melakukan ibadah puasa sunat pada hari Ithnin. Ulama` sebut lebih elok kalau kita puasa pada hari Ithnin dan
Khamis sebab :
i) hari Ithnin itu
adalah hari lahirnya Rasulullah saw oleh ibunya Aminah binti Wahab.
ii) selepas waktu
Asar pada setiap hari Ithnin dan Khamis, Malaikat akan mengadap Allah dengan membawa "buku" amalan kita masing-masing. "Buku" amalan kita inilah yang disebut dalam Quran yang bermaksud, "Dan tidak adalah setiap perkataan yang diucapkan mahupun perbuatan yang
dilakukan oleh seseorang, melainkan Kami hadirkan di sisi tuan punya tubuh itu malaikat Raqib dan Atid yang mencatitkan segala
ucapan dan perbuatan."...Lalu sebab itulah
sabda Rasulullah saw, "Alangkah eloknya,
ketika malaikat membawa kitab amalan kamu selepas waktu Asar Ithnin dan Khamis, lalu ketika itu kamu sedang berpuasa."...Sebab inilah yang Nabi saw suruh sangat kita berpuasa
pada hari Ithnin dan Khamis ni. Letih tara mana pun, kita mau cuba try puasa Ithnin dan Khamis jugak.
iii) sebab disuruh
puasa hari Ithnin ialah kerana al-Quran mula-mula mencecah bumi ialah pada hari Ithnin. Iaitulah Surah al-`Alaq dari ayat
1-5, turun di Gua Hira`. Kalau ada orang kata ayat ke 6 dan seterusnya juga turun di Gua Hira`, maknanya orang tu pembohong,
sebab ayat 6 dan seterusnya itu turun di tempat lain di Mekah. Maka kata Nabi saw, "Berpuasalah kamu pada hari Ithnin kerana hari Ithnin itulah mula-mula perintah
Allah turun, iaitulah Surah al-`Alaq, yang mengajar kita membaca."...Ayat sebutan Nabi inilah yang dibahas oleh Said Ramadan al-Buti dalam kitabnya "Fiqhul Sirah". Diantara
persoalan yang disebut dalam kitab itu ialah mengapa Allah tidak menurunkan kepada Nabi saw ayat mula-mula sekali suruh dia
pi lawan Abu Jahal?...Mengapa mula-mula sekali tak turun ayat perang?...Mengapa tak turun ayat hukum hakam?...Sedangkan di
Mekah pada waktu itu, serba mak nenek punya dok ada. Dengan berhalanya, dengan araknya, judinya, berzina ikut suka dan sebagainya.
Mengapa tak turun ayat haram arak dan judi dulu?...Sebaliknya, yang turun mula-mula adalah Surah al-`Alaq. Sebenarnya inilah
message daripada Allah kepada setiap kita, terutamanya yang menjadi pejuang Islam, supaya berilmu. Jangan berjuang tanpa ilmu,
sebab akan hancur di tengah jalan. Depa bagi kain pelikat aja, iman dah goncang. Depa bagi
h/phone macam di Sanggang, habih lingkup iman. Sebab itu, kita mesti ada ilmu. Dan sebab itulah yang mula-mula sekali Allah
suruh Nabi ialah disuruhNya membaca. Walhal Nabi Muhammad itu buta huruf. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dialah Tuhan yang telah membangkitkan di kalangan umat
yang buta huruf seorang Rasul yang tak reti baca dan tulis."...Inilah apa yang Allah nak bagitau bahwa kalaulah Muhammad saw itu pandai baca dan menulis, sah Abu Jahal
nanti kata Muhammadlah yang tulis Quran. Oleh kerana Nabi tak reti baca dan menulis, makanya Quran itu turun untuk suruh Nabi
baca juga sebagai satu message bahwa kita pejuang-pejuang Islam mesti mencari ilmu.
Antara puncanya ilmu
selain kuliyyah dan ceramah, ialah membaca. Sebab itu, kita jangan malas membaca. Kata Said Abul `Ala Mawdudi rahimatullahu
ta`ala, katanya, "Bagi setiap individu muslim, paling minima masa yang mesti diperuntukan untuk membaca ialah 1 jam."...Tapi
bila disuruh baca, jangan pulak pi baca majalah Mangga. Hangpa jangan salah faham. Yang dimaksudkan oleh Mawdudi ialah membaca
buku-buku agama, sirah, perjuangan Islam dan sebagainya. Dalam bab membaca ni, yang paling champion sekali ialah orang-orang
Jepun. Menurut sahabat yang belajar di sana, mereka mengatakan bahwa orang-orang Jepun membaca buku setebal 500 mukasurat
dalam masa 1 bulan. Pasai tu bila kita pi Jepun, tuan-tuan boleh tengok perangai orang-orang Jepun tak kiralah mana saja;
dalam bas ka, kat bus-stand ka, kat market ka; dengan buku aje depa ni yang kita nampak. Sebab itu, Allah kurniakan kecerdikan
dan gentlemannya orang-orang Jepun ni. Mau tak kata macam tu; bukan ka hari tu masa PM depa kena koma, lalu serentak dengan
itu, habih satu kabinet pi tender surat resigned. Dengan alasan depa tak layak mentadbir sebab PM depa sakit. Itulah
gentlemen namanya. Bukan macam kita, kalau PM mati tegak atas kerusi sekalipun, kabinet nanti relax aje. Silap-silap haribulan,
tepuk tangan lagi pasai seronok. Pasai apa kita kata lagu tu?...Sebab mentaliti orang kita memang macam tu. Orang Jepun dekat
bus-stand, depa baca buku. Tapi orang kita kat bus-stand, baguih punya dok termenung gigit kuku. Kalau dak pun, pi mengorat minah
kilang. Yang tu saja yang depa tau. Jadi lagumana nak tambah ilmu kalau macam ni punya gaya?...Sepatutnya, kita orang Islamlah
yang mau rajin baca buku sebab ayat yang mula-mula sekali turun ialah Iqra`, yakni disuruhNya kita membaca...SubhanAllah.
Tapi kalau kita hentam baca saja, tanpa teknik pun tak boleh jugak. Hentam baca sampai 2 buku habis dalam masa 1 hari, tapi
apa pun tak paham. Yang ni namanya buang masa dan penat membaca je. Sebab itu, kita mesti ada kaedah dan strategi. Yang ni
kena belajar management dan cara-cara ilmu phycology bagaimana nak faham sesuatu perkara. Antara caranya yang paling simple
yang boleh kita buat ialah cuba buat ringkasan apa yang kita faham tentang buku yang baru kita habis baca tu. Insya`Allah,
dengan kaedah seperti ini, kefahaman itu akan melekat dalam pemikiran kita.
iv) Bila disebut
penurunan Quran, maka dikaitkan juga dengan sebuah tempat yang bernama Gua Hira, yang terletak di Jabal Nur (Bukit Cahaya). Lalu ulama pun membahaskan persoalan mengapa ayat yang mula-mula sekali itu diturunkan di sebuah
gua?...Mengapa wahyu yang pertama ini tak diturunkan di Masjidil Haram?...Ataupun mengapa ia tidak diturunkan di rumah Nabi
saw saja?...Ulama kata, "Allahu ta`ala a`lam. Allah lah yang Maha tahu kenapa Dia pilih gua sebagai tempat untuk menurunkan
wahyuNya yang pertama."...Cumanya dengan Nabi berkhalwat dalam gua, maka inilah konsep uzlah. Kita mesti beruzlah mengasingkan
diri daripada maksiat dan kemungkaran. Waktu itu, Nabi mengasingkan diri kerana meluat dan benci dengan maksiat yang wujud
di kota Mekah. Sambil itu dia juga memikir serta merenung akan kebesaran Allah swt.
3) Yang perlu kita
faham tentang Kitabullah ini ialah ia diturunkan di dalam bahasa Arab. Sebab itu, kita disyorkan supaya belajar bahasa Arab
untuk senang memahami kaedah-kaedah lughatul Arabiyyah, terutamanya bagi orang yang mengajar tafsir al-Quran. Kalau dia takdak
bahasa Arab, boleh lingkup tafsirnya tuan-tuan. Perkara macam ni, jangan main-main sebab bahasa Arab ini adalah bahasa al-Quran.
Mengapa Quran diturunkan dalam bahasa Arab?...Sebab Nabi Muhammad saw itu adalah orang Arab.
Mai kita tengok tuan-tuan,
walaupun Abu Jahal itu orang Arab dan al-Quran itu pun dalam bahasa Arab, tetapi pasai apa Abu Jahal tak boleh lawan mukjizat
al-Quran itu?...Sebabnya ialah bila kita belajar dan menggali ilmu al-Quran melalui bahasa Arab, kita akan melihat kehebatan
bahasa al-Quran itu. Inilah yang telah mengalahkan Abu Jahal, Abu Lahab dan kroni-kroni mereka, walaupun al-Quran itu di dalam
bahasa mereka sendiri (bahasa Arab).
Diantara indahnya
mukjizat al-Quran itu ialah cara Allah bercakap yakni yang kita panggil sebagai balaghah, bayan, badi` dan sebagainya. Jadi
inilah kaedah yang mesti digunakan oleh para pendakwah, iaitu dengan mengambil kaedah Allah bercakap. Adakala Allah menggunakan
ayat yang berkias-kias seperti dalam Surah at-Takwiir ayat 18 yang bermaksud, "Demi waktu subuh, bila ia mula bernafas (memancarkan cahayanya)."...Tengok tuan-tuan betapa indahnya ayat kiasan daripada Allah swt. Ayat
ini nak cerita kat kita bahwa apabila datang waktu Subuh, maka menandakan munculnya hari yang baru atau kehidupan yang baru.
Ini bermakna selagi takdak Subuh, tidak akan ada hari yang baru.
Dan adakalanya pula,
Allah swt mengambil kaedah suruh kita berfikir. Sepertimana firmanNya dalam ayat 6 Surah Qaaf yang bermaksud, "Apakah mereka tidak melihat langit yang berada di atas
kepala mereka; bagaimana Kami susun pembinaan langit yang kukuh itu? Dan Kami hiaskannya dengan bintang-bintang dan cakerawala.
Dan kamu lihat tiada kecacatannya dengan langit Aku."...Selain daripada disuruhNya kita berfikir tentang alam sekeliling, disuruhNya juga kita berfikir tentang ayat
hukum sepertimana firman Allah dalam ayat 9 Surah Qaaf yang bermaksud, "Dan kamu tengoklah air yang diturunkan Kami daripada langit, yang membawa berkat,..."...Bila kita tengok tv, dan ada pula berita tentang negara-negara Afrika seperti Ethiopia umpamanya; kita
akan rasa sedih bila tengok keadaan negara itu yang dilanda kemarau dengan begitu dahsyat. Ethiopia itu adalah negara Habsyah
pada masa dahulu, yang juga pernah melaksanakan undang-undang Islam suatu ketika dahulu, yakni sejak zaman pemerintahan Raja
Najashi lagi. Kalau tuan-tuan masih ingat, Raja Najashi inilah yang telah memberikan perlindungan kepada rombongan yang diketuai
oleh Saidina Ja`afar bin Abi Talib ra, yang telah berhijrah ke Habsyah ketika mereka teruk diseksa di Mekah pada zaman mula-mula
Islam nak berkembang dahulu. Jadi, sejak daripada peristiwa inilah Habsyah diperintah dengan hukum Islam. Kemudian apabila
pemerintahan bertukar ganti sehinggalah sampai kepada pemerintahan yang kuffur kepada Allah swt sehingga ke hari ini, mengakibatkan
Allah tidak turunkan hujan sudah 4 tahun lamanya. Inilah realiti yang berlaku di Habsyah sekarang, yang memang kita simpati
tengok lalat di hidung, lalat di telinga, lalat di mata, yang mengundang berbagai-bagai penyakit. Inilah bala` yang Allah
turunkan setelah mereka lawan hukum hakam Allah. Tapi yang kenanya ialah rakyat yang tidak berdosa. Jadi, apa yang berlaku
di Ethiopia ini sepatutnya diambil iktibar oleh kita di M`sia ni, yang juga masih liat untuk melaksanakan hukum hakam Allah
swt. Mungkin Allah menangguhkan bala` ke atas kita di M`sia ini sebab kita masih ada pejuang-pejuang Islam dan jamaah-jamaah
Islam yang sanggup korban masa, harta dan diri mereka untuk mengajak masyarakat kembali kepada Islam. Sebab itu, kita tak
nafikan bahwa bumi M`sia adalah bumi yang barakah. Hang campaklah benih tumbuhan apa pun, Insya`Allah hidup benih tersebut.
Tuuu dia, punya la Allah beri keberkatan. Sehinggakan di bulan Ramadan, kalau jual selipar goreng salut ngan tepung adabi
pun, boleh laku juga orang beli. Ini menunjukkan betapa makmurnya negara kita dengan rezeki yang melimpah ruah. Sebab itu,
ayat 9 dalam Surah Qaaf itu, Allah suruh kita berfikir tentang keberkatan air hujan itu.
Dan ada juga ayat
yang Allah tak suruh kita fikir dah. Inilah dia kaedah "pancung" . Tarak pujuk-pujuk dah.
Seperti dalam Surah al-Muthaffifiin ayat 1 yang bermaksud, "Celakalah untuk orang-orang yang menipu."...Kemudian Allah pancung sekali lagi dalam ayat 10 Surah yang sama yang bermaksud, "Celakalah pada hari ini untuk orang-orang yang mendustakan agama."...Sebab itu, bila kita dengar kuliyyah atau ceramah,
adakala ustaz kata kasar sikit dan adakala pula dia berlembut. Itulah kaedah yang betul, yang diajar sendiri oleh Allah swt.
Semua kaedah yang Allah ajar ini, perlulah kita adunkan secantik mungkin sepertimana yang disebut oleh ustaz Fathi Yakan dalam
kitabnya "Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam".
Oleh kerana hebatnya
mukjizat al-Quran inilah, maka Abu Jahal, Abu Lahab dan kroni-kroninya menjadi lemah, sebab mereka tak boleh lawan dengan
ayat-ayat yang ada dalam al-Quran itu walaupun mereka tahu Nabi saw kita seorang yang buta huruf. Bila Abu Jahal dan kroninya
mati kutu tak boleh nak pikiaq dah macamana nak bagi Nabi kalah, maka mereka pun panggil seorang yang Emeritius (full respect) dalam bidang syair Arab yang bernama `Utbah bin Robi`ah untuk pergi berdialog dengan
Nabi saw. Dia pergi untuk buat tawaran terakhir kepada Nabi saw sebelum mereka menyusul dengan tindakan yang lebih kasar.
Lalu pergi lah `Utbah bin Robi`ah berjumpa dengan Nabi, yang ketika itu sedang berehat di bawah pokok. Kata `Utbah, "Wahai anak saudaraku, kamu ini telah membawa satu ajaran yang memecah-belahkan perpaduan umat
Arab. Yakni kamu telah mengkafirkan undang-undang nenek moyang kami dan kamu juga mencela berhala-hala kami. Yang sebenarnya,
kamu nak apa wahai Muhammad? Cuba terangkan kat aku: adakah kamu buat semua ini untuk kamu nak jadi raja?..Kalau itulah hajat
mu wahai Muhammad, kami bersedia untuk lantik kamu sebagai "Raja Mekah" sebab kami memang tak dak raja lagi.."...Ambik lah elaun RM25k sebulan. Habaq saja kamu nak ke mana?...Kami akan susun program untuk
kamu. Kami akan arrange escort, inrider/outrider, semua boleh, no problem. "..ataupun kamu inginkan harta kekayaan?..Sebab kami kenal yang kamu ni seorang gembala
kambing yang miskin. Kalau itulah hajatmu, maka kami bersedia untuk menghimpunkan harta untuk kamu supaya kamu jadi hartawan.."... Kamu akan jadi ahli korporat.
Saham kamu di papan pertama bursa saham Mekah akan melambung tinggi. "..ataupun kalau kamu ingin berkahwin, kami bersedia untuk cari wanita yang paling cantik untuk
kamu."...Ada riwayat lain sebut, "..ataupun kamu ni sakit kot ya Muhammad, sebab pada pandangan
kami, ucapan-ucapan kamu ni merapu dana saja. Maka oleh kerana kamu sakit, kami bersedia untuk carikan tabib untuk ubatkan
kamu. Kalau kamu mahukan apa yang ditawarkan tadi kepada kamu, maka syaratnya hanya satu saja. Iaitu hendaklah kamu hentikan
dakwah kamu kepada masyarakat. Kamu jangan kata arak/judi kami haram. Kamu jangan kata berhala kami syirik. Dan kamu jangan
kata undang-undang jahiliyyah kami zolim. Kalau kamu setuju dengan syarat-syarat kami ini, habuan yang kami tawarkan tadi
adalah hak kamu."...Nabi relax saja dengar
`Utbah berhujah. Inilah yang kita nak bagitau
kat puak-puak umno bahwa inilah contoh bermuzakarah. Selepas hangpa bagi hujah, kemudian dengar pula hujah daripada kami.
Lepas tu compare lah, mana satu yang betul, itu saja. Awat yang hangpa takut sangat?...Mana aci dok act sorang-sorang dalam
tv, dalam paper. Mai la face to face ngan kami, macamana Nabi saw dengan `Utbah tu. Baru la real.
Selepas Nabi diam
mendengar hujah `Utbah tadi, dan apabila `Utbah habis saja berucap, maka kata pula Nabi saw dengan nada yang tidak sedikit
pun beremosi, "Habis dah ka akan ucapan
kamu ya Abal Walid (gelaran bagi `Utbah)?"...Apabila `Utbah mengangguk, maka kata Nabi, "Laa, hang dengar hujah aku pula."...Inilah kaedah bermuzakarah. Dulu kami ajak debat, hangpa takut, pasai bunyi debat dengaq lagu "Hang Jebat" je. Kemudian
daripada debat, tukaq pi muzakarah, pun hangpa tak mau jugak. Habih lagumana nak selesai?
Kata `Utbah, "Silakan."...Nabi saw kata, "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang."...Yang ni, yang depa tak mau tu. Sikit-sikit Quran, sikit-sikit hadith. Bila kita bawa mai
ayat Quran, tembelang depa nanti pecah la. Yang tu yang depa takut tu. Pasai Nabi, dia tak cakap merapu...Lalu Nabi saw baca Surah Haa Miim as-Sajdah ayat 1-4 kepada `Utbah, "Haa Miim (Allah yang mengetahui maksudnya). Inilah dia
Quran yang diturunkan daripada Allah yang Pemurah dan yang Penyayang. Iaitu sebuah kitab yang Kami jelaskan ayat-ayatnya.
Yaknilah Quran dalam bahasa Arab, bagi kaum yang mahu mengetahuinya. Memberi khabar gembira dan memberi amaran, tetapi kebanyakan
mereka berpaling, lalu mereka tiada mendengarkannya."...Menurut riwayat, bila Nabi saw selesai saja baca ayat-ayat Allah itu, maka `Utbah pun tersentak dengan ternganga
mulutnya sambil menggeletar seluruh tubuh badannya. Lalu Nabi pun sujud tilawah di bawah pokok itu, kemudian bila Nabi bangkit,
Nabi saw kata, "Hang dengaq dah kan?"...Jawab `Utbah lagumana terpukau, "Ya, Ya."...Lalu kata Nabi, "Haaa!
yang itu untuk kamu dan juga untuk Abu Jahal. Sekarang kamu boleh balik."...Nyong! nyong! nyong! `Utbah melangkah balik, macam orang kena pukau saja lagaknya. Kepulangan
`Utbah memang ditunggu-tunggu oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian (sewaktu belum Islam) dan
kroni-kroni mereka di Darul Nadwah. Depa semua pakat tunggu sebab kalaulah Nabi dapat dipengaruhi `Utbah supaya menerima tawaran
tersebut, maka lega banyaklah depa. Dan selesailah permasalahan pecah-belah dalam masyarakat, maka boleh bersatu-padulah bangsa
Arab ini diatas arak dan judi. Tetapi sangkaan mereka meleset bila tengok muka `Utbah pucat lesi. Lalu mereka pun mengerumuni
`Utbah sambil bertanya, "Ya Abal Walid,
apa keputusan Muhammad?"...Jawab `Utbah,
"Wahai Abu Jahal, wahai Abu Lahab dan pemimpin-pemimpin
Quraisy yang lain. Aku dah pun dengar. Kalau aku nak kata yang aku dengar tadi itu syair, bukannya syair sebab aku sendiri
ahli syair. Nak kata pantun, bukan pantun. Nak kata sajak, pun bukan juga. Walhal dia bahasa Arab. Bila aku dengar saja, ia
lagu satu macam punya menyucok di jantung ku...Laaa beginilah wahai Abu Jahal, aku nak pesan bahwa kita biarkanlah saja Muhammad
tu. Tok sah kacau dia lah. Dia nak dakwah ka, dia nak buat apa ka, lantak pi lah kat dia, sebab yang aku dengar itu adalah
satu qalam dalam bahasa Arab yang aku sendiri tak pernah dengar sebelum ini."...Bila `Utbah kata lagu tu, lalu Abu Jahal menyindir, "Nampak gaya, hang pun dah kena sihir Muhammad."...Ucapan Abu Jahal itulah penyudahnya, namun nak tunduk kepada Allah, tidak
sekali-kali. Itulah cerita hebatnya ayat al-Quran ni tuan-tuan.
Kemudian ada juga
ayat-ayat yang disebut sebagai "Muhkamat", yakni ayat yang terang lagi jelas dan tak perlu ditakwilkan
lagi. Seperti ayat 2 Surah an-Nur yang bermaksud, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, bila cukup syaratnya, maka sebatlah mereka masing-masing seratus
kali rotan sekiranya belum berkahwin..."...Ataupun
ayat 38 Suratul Maa`idah yang bermaksud, "Pencuri
lelaki dan pencuri perempuan, bila sabit kesalahan, hendaklah dikerat tangan keduanya,..."...Begitu juga dengan ayat 183 Suratul Baqarah yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, diperlukan atas kamu berpuasa,..."...Dan ayat 110 Suratul Baqarah yang bermaksud, "Dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat,..."...Ayat-ayat ni semua adalah contoh ayat "Muhkamat".
Dan juga yang dikatakan
ayat "Mutashabihat", ialah seperti di tengah-tengah ayat 10 dalam Suratul Fath yang bermaksud,
"...Tangan Allah di atas tangan mereka.."...Adakah Allah bertangan?...Sedangkan Allah itu zat seperti
yang disebut dalam ayat 4 Surah al-Ikhlaas yang bermaksud, "Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya."...Begitu jugalah yang kita belajar tentang sifat Wahdaniah, iaitu Esanya Allah Ta`ala seperti Esa pada zat,
Esa pada sifat, Esa pada perbuatan, tak sama dengan makhluk. Tapi tiba-tiba Quran beritahu dalam ayat tadi bahwa Allah bertangan.
Pendapat ulama terbahagi kepada 2 tentang ayat ini :- a) "tangan" itu bermakna kekuasaan;
b) tok sah dok takwil-takwil, hanya Allah yang Maha mengetahui. Inilah pendapat paling selamat...Jadi maksud ayat "Mutashabihat"
ialah kurang jelas maknanya.
4) Last sekali Ustaz
Halim baca beberapa potong hadith berkenaan dengan tajuk "Kitabullah adalah sebenar-benar perkataan"; yang mana Allah/rasulNya memuji pembaca-pembaca dan pengkaji-pengkaji al-Quran.
i) Sabda Nabi saw,
"Orang-orang yang mahir membaca Quran adalah
orang-orang yang sentiasa ditemani oleh malaikat yang mulia lagi berbakti." (HR
Bukhari/Muslim) ...Maknanya, orang yang mahir baca Quran, malaikat akan jadi kawan dia. Tuan-tuan kena ingat bahwa dalam hadith
lain Nabi sebut bahwa memang ada malaikat yang dok kawal kita, ie ada malaikat yang jaga depan/belakang kita, terutamanya
budak-budak kecik. Kan kita pernah dengar cerita accident kereta satu keluarga mati, tapi yang selamat hanyalah sorang bayi.
Ini adalah dengan izin dan pertolongan Allah melalui malaikat yang mengawal manusia. Jadi, antara kaedah kita nak berdamping
dengan malaikat ni ialah hendaklah mahir baca Quran. Ini cerita orang yang mahir baca Quran. Tapi bagaimana pula dengan orang
yang tak mahir baca Quran?...Umur 62 tahun baru nak baligh, umur 62 baru nak kepit kitab tajwid, umur 62 baru nak idram/izhar,
baru nak belajar bedengung?...Orang macam ni kata Nabi, "Dan orang yang membaca al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia dapat 2 pahala. Yang pertama,
dia dapat pahala nak baca Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun susah tapi dia tetap mencubanya."
ii) Sabda Nabi saw,
"Orang yang paling baik dikalangan kamu
ialah orang yang belajar al-Quran, kemudian diajarnya balik." (HR Muslim)...Samada dia
belajar tajwid atau tafsir, kemudian bila dia ajar balik kat orang lain, maka kata Nabi bahwa orang macam ni adalah baik.
iii) Dari hadith
Mushabih Sunnah, Nabi saw bersabda, "Seseorang
yang dalam kehidupan sehariannya langsung takdak Quran (seperti tak pernah beramal, tak pernah baca dan jauh sekali menghafal),
maka dia seperti sebuah rumah yang usang."...Cuba tuan-tuan masuk rumah yang sudah ditinggalkan begitu lama, apa yang ada dalam rumah tu?...Apa yang mungkin kita
tengok ialah taik tikus, teloq ular, aksesori penagih dadah dan bermacam-macam lagi benda yang teruk-teruk belaka. Inilah
keadaan orang yang langsung takdak dalam kepala hotak dia, al-Quran.
iv) Sabda Nabi saw,
"Barang siapa yang membaca 1 huruf daripada
al-Quran, maka dia dapat 1 kebaikan. Dan 1 kebaikan itu pula diganda menjadi 10." (HR
Tirmidzi)...Ini merupakan satu bonus untuk kita daripada Allah swt. Itu belum lagi ganjaran faham makna ayat. Dengan kita
baca saja ayat Quran, boleh bonus tu kat kita. Timbul satu persoalan, iaitu seelok-eloknya banyak mana kita nak baca?...Seelok-eloknya
kita ambik kaedah yang Allah sebut dalam Surah al-Muzzammil ayat 20 yang bermaksud, "...bacalah oleh mu apa yang kamu rasa senang dan mudah daripada Quran itu."...Kalau tuan-tuan rasa mudah hanya baca satu mukasurat
sahaja, takpa silakan. Kalau tuan-tuan rasa mudah baca daripada satu `ain ke satu `ain, pun boleh, silakan. Kalau tuan-tuan
rasa mudah baca satu juzuk, boleh silakan. Asalkan mau baca sudah la. Kalau boleh sekurang-kurangnya mau pederaih setengah
jam. Tengok bola sejam boleh pi, awat baca Quran setengah jam tak boleh pi pulak?....Lagi baguih, kalau boleh hari-hari mau
baca sebab itulah aset yang Nabi sebut baca 1 huruf dapat 10 kebajikan. Tapi Nabi tak sebut kebajikan itu dalam bentuk apa.
Mungkin dalam bentuk diberi umur kita panjang. Boleh jadi dalam bentuk rezeki kita murah. Boleh jadi anak-anak kita nanti
semuanya berjaya jadi orang-orang yang baik, masuk Univ mengaji tinggi-tinggi, kemudian bila keluar jadi pulak pejuang-pejuang
Islam. Ini semua ada kemungkinannya, yang Allah janjikan kebajikan dari 1 huruf yang kita baca itu. Sebab itu, saya seru diri
saya sendiri dan kepada muslimin/muslimat sekelian, rebutlah peluang ini dengan memperbanyakan membaca al-Quran kerana ia
adalah ibadah yang tidak ada tolok bandingnya.
Kesimpulannya :
1) Proses penurunan
al-Quran daripada Allah ke "Lauh Mahfuz" ke "Baitul `Izzah" dan kemudiannya ke dunia.
2) Bila sebut penurunan
al-Quran; ia dikaitkan dengan Jibril as, dikaitkan dengan hari Ithnin dan dikaitkan dengan Gua Hira`. Kemudian ustaz Halim
pecah pula hari Ithnin berkenaan dengan puasa sunat hari Ithnin/Khamis berdasarkan 3 sebab : a) hari lahir Nabi saw ialah
hari Ithnin, b) amalan kita dibawa selepas waktu Asar pada hari Ithnin/Khamis, c) kerana Quran mula-mula diturunkan pada 17
Ramadan itu adalah hari Ithnin.
3) Walaupun Quran
itu dalam bahasa Arab, tapi ia penuh dengan seni/ sastera/ keindahan mukjizatnya, yang menyebabkan orang lemah tak boleh lawan
dengan al-Quran. Dan ustaz sebut juga contoh-contoh macamana Allah bercakap, yakni ada cara berkias, ada ayat yang suruh kita
berfikir dan ada yang Dia "pancung" terus.
4) Ustaz Halim Nasir
sebut 4 hadith yang berhubung dengan kelebihan al-Quran :
i) tentang orang
mahir dan yang tak mahir baca al-Quran,
ii) orang yang paling
baik ialah yang belajar al-Quran, kemudian mengajarnya pula kepada orang lain.
iii) orang yang dalam
otaknya takdak langsung al-Quran adalah seperti rumah yang usang.
iv) hadith kelebihan
membaca al-Quran.
...bersambung.....