Mastika Hadith
Jilid 1
Bab 4 : Beriman kepada adanya malaikat.
Hadith 41
Dari Anas ra, bahwa Nabi saw bersabda: “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah
dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah ta`ala berfirman kepada malaikat penulis amalnya: ‘Tulislah juga untuknya
amal-amal solih yang biasa ia lakukan’; kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan dia
hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberinya keampunan serta dikurniakan
rahmat kepadanya.” (Ibn Abu Shaibah, Imam Ahmad dan Baihaqi)
Muslimin muslimat yang dirahmati
Allah. Hadith ke41 ini menceritakan pada dasarnya berhubung dengan ujian, iaitu suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah
swt kepada sesiapa saja yang selagi dia dinamakan manusia (terutama orang-orang yang beriman kepada Allah), maka dia tidak
akan sunyi dari dikenakan ujian, cabaran dan rintangan dari Allah swt.
Di dalam salah satu buku
Prof Dr Hamka, beliau pernah menyebut bahwa, “Ketinggian nilai keimanan itu bukan terletak pada rukuk dan sujud, tetapi
ia terletak pada sekadar mana ujian Allah ke atas manusia.”…Tuan-tuan boleh relate sebutan Dr Hamka ini dengan
ayat 2 Surah al-Ankabut, yang bermaksud, “Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata:
Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt.”…Maknanya apa tuan-tuan?…Maknanya,
kita tidak layak untuk menyebut kita sebagai orang yang beriman selagi Allah tidak memberi ujian kepada kita. Dan biasanya
ujian-ujian ini akan didatangkan oleh Allah mengikut kadar keimanan seseorang. Seperti dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi,
di mana Nabi saw bersabda yang bermaksud, “Besarnya pahala seseorang adalah bersamaan dengan sekadar mana ujian yang
dikenakan oleh Allah kepada dia.”…Maknanya kalau ujian tu kecik, maka keciklah pahala yang kita dapat. Kalau
ujian tu besar, maka besarlah pula pahala yang diberikan oleh Allah.
Golongan mana yang paling hebat
diuji Allah?…Tidak lain dan tidak bukan, mereka adalah golongan para rasul dan nabi alaihimussola tuwassalam. Seperti
yang disebut oleh ust Halim Nasir ketika mengisahkan suatu peristiwa bilamana Saad bin Abi Waqash bertanya kepada Nabi saw,
“Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling teruk kena uji?”…Lalu jawab Rasulullah saw, “Yang
paling teruk kena uji ialah para nabi dan para rasul, kemudiannya golongan yang mengikut para nabi selepas zaman nabi (tabiin)
dan kemudiannya golongan selepas tabiin yang mengikut para tabiin.”…Inilah susunan yang Nabi saw letak dan
jawapan kepada Saad bin Abi Waqash radiallahuanhu.
Kalau kita lihat sejarah yang
ditinggalkan oleh para nabi dan rasul pun sudah cukup untuk kita tahu bahwa mereka diuji dengan ujian yang amat berat, yang
tak mungkin dan tak mampu bagi insan kerdil seperti kita untuk menerima ujian-ujian sepertimana yang dikenakan oleh Allah
kepada para anbiya`. Sebab itu, pada hujung Surah al-Baqarah, kita diajar oleh Allah swt dengan doa-doa, yang bermaksud, “Ya
Allah! Jangan Engkau timpakan ke atas kami dengan ujian yang kami tidak sanggup untuk memikulnya;…”…Inilah
yang Allah ajar kepada kita, especially kita yang lemah iman untuk memohon kepada Allah supaya ujian yang dikenakan, biarlah
ujian yang mampu ditanggung. Bukannya apa; kita bimbang sebab kadang-kadang manusia boleh hanyut jauh dari ugama Allah dengan
hanya ujian yang dikenakan oleh Allah kepadanya.
Mari kita tengok beberapa
contoh bagaimana para nabi/rasul terima ujian dari Allah swt. Yang pertamanya,
kita lihat peristiwa yang berlaku kepada Nabi Nuh as. Ujian yang Nabi Nuh kena amat-amat berat tuan-tuan. Sehingga anaknya
sendiri dihancurkan depan mata dia. Hati ayah mana yang tidak hancur melihat anaknya melencong jauh dari jalan orang yang
beriman?…Hati ayah mana yang tidak terguris melihat anak dia tak mau ikut cakap dia?…Alangkah hancurnya hati ibubapa
yang punya anak bersikap demikian. Sedangkan makbapak dah doa berjela-jela. Sewaktu di Mekah, sanggup cari tempat yang mustajab
doa seperti di telaga zamzam, safah marwa, depan pintu Kaabah, sambil tawaf, habih semua kita doa; tetapi tidak diperkenankan
juga oleh Allah swt. Anak tetap macam setan. Bila jadi macam tu, apa perasaan kita tuan-tuan?…Inilah dia ujian.
Tapi kata Prof Hamka, walaubagaimana
berat sekali pun ujian yang kita terima, tetap tak boleh challenge apa yang Nabi Nuh as kena. Dia rasul, sedangkan kita bukan
rasul. Dia berdakwah bukannya 10 tahun, 20 tahun; malah dia mengambil masa selama 950 tahun untuk berdakwah kepada kaumnya,
tanpa henti. Siang malam dia ceramah. Namun begitu, apa pun dia tak dapat hasil dari dakwahnya itu melainkan semua pakat cabut
lari. Kaumnya tidak mahu mendengar seruan dakwahnya, termasuklah anaknya sendiri. Ini dia tuan-tuan rintihan Nabi Nuh as yang
dirakam oleh Allah di dalam al-Quran. Inilah ujian yang Nabi Nuh kena, sehingga dia berdoa kepada Allah supaya menyelamatkan
anaknya yang kuffur itu ketika bencana ombak besar melanda. Dalam Surah Hud: 45, Nabi Nuh berdoa kepada Allah, “Ya
Allah! Itu anak dari keluarga ku, selamatkanlah dia.”…Tapi pada ayat seterusnya (Surah Hud:46), Allah menjawab
doa Nabi Nuh itu dengan firmanNya, “Wahai Nuh! Sesungguhnya dia bukan dari ahli keluarga mu, kerana dia tidak melakukan
amal-amal yang solih…”…Dari jawapan tersebut, maka hancur luluh hati Nabi Nuh, namun begitu, dia menerima
ujian itu dengan penuh kesabaran.
Yang kedua, kita lihat apa
yang kena pada Nabi Lut as pula. Siapa yang mengkhianati beliau?…Bukannya orang lain, tak lain tak bukan, iaitu isterinya
sendiri. Isteri yang tidur sekatil dengannya, isteri itulah yang bancuh minuman untuknya, isteri itulah yang basuh baju untuknya.
Namun, apabila Nabi Lut berdakwah berhempas-pulas menentang amalan homoseksual yang semakin menjadi-jadi di zamannya, tiba-tiba
si isteri pula pi jadi broker; tak haru punya cerita ka tu tuan-tuan?...Bayangkan betapa hancurnya hati Nabi Lut bila dia
dapat tau isterinya sendiri mengkhianatinya. Namun begitu, beliau tetap tabah menghadapi perkara tersebut sebagai suatu ujian
daripada Allah swt. Akhirnya berlaku sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anfaal: 83 yang bermaksud, “Kami selamatkan
seluruh kaum Nabi Lut, kecuali isterinya, ia termasuk orang-orang yang tinggal dalam siksaan.”…Maknanya, Allah
lingkupkan negeri Sadom bersama isteri Nabi Lut as, yang sekarang ini terkenal dengan panggilan “The Dead Sea”.
Yang ketiga, kita lihat Nabi
Ibrahim as. Apa ujian yang Nabi Ibrahim kena?…Beliau diuji untuk memilih antara cinta kepada Allah atau kasih sayang
kepada anak. Bukan kecik punya ujian tu tuan-tuan Tetapi akhirnya, Nabi Ibrahim berjaya dalam ujiannya sehingga perintah Allah
dalam mimpinya itu menjadi ibadah kepada seluruh umat Islam. Ini dia mimpi para rasul.
Dan yang keempat kita lihat
Nabi kita Muhammad saw. Dalam bulan Rejab yang baru lalu, ana tengok ada sorang-dua ustaz agak kurang cermat dalam membicarakan
sirah ketika buat ceramah Isra` wal Mikraj. Depa terus pergi ke ayat pertama Surah al-Isra` dengan meninggalkan apa yang Rasulullah
saw kena sebelum baginda di Isra`-Mikrajkan. Sepatutnya depa kena meneliti satu persatu dulu ujian-ujian yang Allah kenakan
kepada Nabi saw sebelum baginda dijemput ke Sidratul Muntaha, maka barulah nampak bernilainya Isra` wal Mikraj tu. Dimulakan
dengan gelaran-gelaran buruk yang diberikan oleh masyarakat Mekah kepada Nabi seperti seorang ahli sihir yang cekap, pelajar
yang gila, dan bermacam-macam lagi. Kemudian Allah uji lagi dengan kematian Abu Tolib, yang merupakan seorang exco kanan kerajaan
negeri Mekah yang lurus bendol orangnya sebab projek apa pun takdak. Anak ramai, keluarga susah. Gaji yang dia dapat tu cukup-cukup
untuk bagi makan kat anak-anak dia saja. Walaupun begitu, dia tetap jaga Nabi dengan menggunakan kuasa exconya. Allah ambik
nyawanya. Lepas tu, wafat pula Khadijah radiallahuanha, isteri kesayangan Rasulullah. Mana lagi Nabi nak pi?…Kerajaan
Mekah time tu dah tak bagi ruang untuk Nabi berceramah. Permit-permit apa semua memang tak lulus dah. Tapi dalam keadaan macam
tu pun, Nabi boleh juga menyorok-menyorok buat ceramah kelompok. Kira dapat la juga sedas-dua, walaupun kena kepung. Suasana
jadi semakin susah untuk Nabi bergerak. Bila tengok Mekah dah takdak harapan, Nabi try pi dakwah kat Taif dengan harapan orang
Taif boleh terima Islam. Di Taif, bukan disambut dengan permaidani merah, sebaliknya disambut dengan lemparan ketul-ketul
batu. Berdarah habih seluruh tubuh Nabi, mengalir turun sehingga bertakung dalam sepatu Nabi saw. Bayangkan tuan-tuan, seorang
kekasih Allah dikenakan ujian yang begitu berat. Baginda bertahan dari dibaling batu bersama Zaid bin Harithah radiallahuanhu.
Mereka berundur sehingga akhirnya tersadai kedua-duanya di suatu tembok dalam kebun milik Utbah bin Rabi`ah. Dalam kebun itulah
Nabi saw mengangkat tangan bermunajat kepada Allah dengan doa yang dirakam oleh Muhammad Sa`id Ramadan al-Buti di dalam kitab
Fiqh al-Sirahnya (Jilid 1 ms 180), Nabi berdoa (panjang doa tu, so ana petik di pangkalnya sahaja):
“Ya Allah! Betapa
hinanya aku dalam pandangan manusia. Ya Allah! Betapa lemahnya kekuatan ku. Ya
Allah! Kepada siapakah yang Engkau nak serahkan aku? Adakah kepada musuh yang sentiasa menanti untuk membaham aku? Ya Allah!
Aku tidak peduli semua itu, kerana yang aku cari hanyalah keredhaan daripada Mu…”
…Maknanya apa tuan-tuan?…Maknanya
walaupun orang lempar batu ka, orang bubuh najis unta atas kepala ka, orang kata dah gila ka; semua tu Nabi saw tak peduli.
Yang dipedulinya ialah adakah Allah redha atas segala perbuatannya?…Ini yang Nabi saw ajar kepada kita tuan-tuan. Dan
ini cukup berat sebab bukan mudah untuk kita nak sampai ke tahap mendapat keredhaan dari Allah swt. Kemudian lepas balik dari
Ta`if, barulah Allah angkat Nabi ke langit. Kena hurai macam tu dulu tuan-tuan, baru kita boleh nampak betapa bernilainya
Isra` wal Mikraj. Kalau terus start dengan “Subhanallazi…”, maka jadilah perjalanan Nabi itu seolah-olah
seperti melancong sahaja. Sebab apa ana sebut macam tu?…Sebab kita dah tinggalkan muqaddimah kepada peristiwa Isra`
iaitu bagaimana Nabi menerima ujian dan penentangan yang terlalu dahsyat yang tidak dapat ditanggung oleh manusia biasa seperti
kita kecualilah hanya para nabi dan rasul sahaja yang mampu.
Okay tuan-tuan tadi kita dah
tengok macamana para rasul kena uji, sekarang kita tengok pula macamana tabiin (golongan muncul selepas Nabi saw wafat) menghadapi
ujian. Mereka juga tidak terlepas dari menerima ujian yang besar dari Allah swt walaupun mereka terkenal dengan ilmu yang
begitu luas. Siapa tidak kenal dengan Nu`man bin Tsabit rahimahullahu ta`ala, yang terkenal dengan panggilan Imam Abu Hanifah,
iaitu imam mazhab Hanafi?…Imam mazhab bukan macam imam surau. Depa ni bukan calang-calang punya orang, Quran/hadith
semua dalam kepala. Depa mampu menangani isu semasa pada zaman mereka. Punya la hebat ilmu, namun mereka juga tidak terlepas
dari diuji oleh Allah swt. Ujian yang Imam Abu Hanifah terima ialah dia dipaksa meminum racun, dalam keadaan fizikalnya cukup
lemah setelah dipukul di dalam penjara. Sebabnya satu saja, iaitu kerana beliau enggan menerima jawatan sebagai Qadi. Itu
saja. Bukan dia buat salah apa pun. Jawatan qadi yang dioffer tu ialah tok hakim, bukannya tok qadi hat “aku nikahkan
akan dikau…” tu. Bukannya apa; orang melayu kalau dengaq kata tok qadi, kira dia ingat hat bawa beg hitam dengan
saksi dua orang tu la. Hat saksi tu pula samseng nak mampoih. Baru dapat RM20, dia cakap banyak pulak dah, memanjang tak sah.
Jenoh pengantin lelaki nak kena ulang….Okay, imam Abu Hanifah tak mau terima tawaran jadi hakim sebab dia takut akan
dibicarakan oleh Allah sekiranya dia salah menghukum. Lalu menyebabkan khalifah time tu naik angin, sumbat dia dalam penjara
dan pegawai-pegawai penjara pukul dia sehingga berdarah belakang Imam Abu Hanifah. Dalam keadaan tak bermaya dan tak sedarkan
diri itulah, dia disua segelas air berisi racun, apabila Imam Abu Hanifah minum, dia mati di depan khalifah. Tu dia tuan-tuan.
Yang kedua, kita tengok
pula apa yang Imam Malik bin Anas rahimahullah kena. Beliau kena apabila mengeluarkan fatwa di Madinah mengatakan bahwa lelaki
yang menceraikan isterinya dalam keadaan lelaki itu dipaksa, maka cerai itu tidak sah. Tu saja. Bukannya dia lawan khalifah
apa pun. Tetapi apabila ulama-ulama di sekeliling khalifah time tu adalah geng-geng muktazilah belaka, depa bukan senang dengan
Imam Malik, jadi depa cari jalan nak pekena Imam Malik. Dan apabila fatwa tersebut dikeluarkan, maka depa nampak inilah peluang
untuk memalukan Imam Malik. Menurut ust Halim Nasir, yang kata muktazilah apa semua ni, depa ni berasal dari anak-anak murid
Imam Hassan al-Basri. Maknanya, depa pun bukan calang-calang punya group. Pada waktu Imam Hassan al-Basri, telah berlaku perdebatan
tentang masalah orang yang melakukan dosa besar. Anak-anak murid Imam Hassan al-Basri kata, orang macam tu kekal dalam neraka,
manakala Imam Hassan al-Basri pula kata bahwa ianya tidak kekal, sebaliknya orang itu akan masuk syurga juga setelah dosanya
dibakar oleh Allah swt. Masing-masing bawa mai hujjah, namun, sebahagian dari anak muridnya tetap membantah, maka akhirnya
Imam Hassan al-Basri pun berlepas tangan dari anak-anak muridnya itu dengan berkata, “Iqtaziltah! Nyahlah toksah bersama
aku lagi!”…Jadi, dari iqtazil inilah munculnya kumpulan muktazillah. Itu ceritanya. Balik kepada cerita Imam Malik
tadi; apabila muktazillah menguasai kerajaan time tu, maka Imam Malik pun dipanggil untuk disoal-siasat. Sebaik saja diambil
kenyataan apa semua, lepas tu depa paksa Imam Malik untuk tarik balik fatwanya tentang tidak sahnya orang yang menjatuhkan
talak ke atas isterinya dalam keadaan dipaksa. Namun, Imam Malik tetap stand dengan fatwanya itu dengan dalil sebagaimana
peristiwa Amar bin Yasir yang dipaksa meninggalkan agamanya dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat siksaan yang teruk. Last
sekali, khalifah yang termakan hasutan muktazillah, memerintahkan Imam Malik ditangkap dan dipukul di hadapan penduduk Madinah.
Nampak tak tuan-tuan, Imam mazhab pun diuji begitu teruk, apatah lagi kita!
Nak katanya, keempat-empat
Imam mazhab yang besar, semuanya kena uji. Ujian tetap akan sampai apabila kita benar-benar beriman kepada Allah. Dan Allah
uji tu, Dia tengok kadar iman kita tahap mana. Okay selepas zaman tabiin, muncul pula zaman tabiin tabiin, depa pun tak lari
dari dikenakan ujian. Contoh yang paling ketara ialah ujian yang dikenakan Allah kepada Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah. Dialah
antara ulama yang paling banyak sekali kena penjara. Disebabkan sedikit perdebatan tentang masalah sifat Ketuhanan, beliau
dimasukkan dalam penjara. Lepas tu keluar 2 minggu, sumbat balik 2 tahun. Keluar seminggu, sumbat balik 3 tahun 8 bulan. Sehingga
akhirnya dia mati dalam penjara. Itu dia yang kata ujian tu tuan-tuan.
Okay berbalik kita kepada hadith
yang dibahaskan di atas. Ujian yang Nabi sebut dalam hadith tu khususkan adalah pada tubuh manusia. Maksudnya apabila manusia
demam, sakit, gering, kena accident dan sebagainya; Allah akan perintah malaikat tulis pahala untuk orang yang sakit itu sama
seperti waktu dia tak sakit dulu. Contohnya macam orang yang rajin pi kuliyah/ceramah agama apa semua tu. Sekali bila depa
jatuh demam tak boleh pi kuliyah, kata kat depa, “you don’t have to worried” sebab pahala untuk depa sedang
berjalan. Maknanya pahala yang depa dapat time sakit tu, sama dengan pahala time depa attend majlis ilmu; seolah-olah depa
hadir walaupun hakikatnya depa sedang terlantar sakit di hospital. Tu dia tuan-tuan, Allah punya sayang kat kita. Tapi jangan
buat-buat sakit pulak, yang tu tak aci. Hat dok cerita ni, hat sakit betoi-betoi punya.
Kemudian Nabi saw sebut lagi,
“Kalaulah dengan sakitnya itu, Allah matikannya, maka dia mati dalam keadaan bersih dari dosa dan diberi rahmat oleh
Allah swt.”…Tapi ini semua berlaku dengan syarat. Syaratnya ialah kita betoi-betoi ambik waktu sihat untuk
Islam. Waktu sihat dulu pulun sungguh pi mengaji; buka kitab, catit, rakam, apa semua. Tiba-tiba jatuh sakit, seminggu tak
pi kuliyah, tetap malaikat catit pahala sepertimana tuan-tuan hadir ke majlis ilmu tu jugak.
Kesimpulannya; ujian mesti
datang, cabaran mesti sampai. Dan Allah akan uji mengikut kadar tara mana iman kita. Sikit iman kita, sikitlah ujian. Besar
iman kita, maka besarlah datangnya ujian. Selagi namanya dunia, pasti ujian akan datang dengan berbagai ragam. Ujian dalam
bentuk anak-anak. Kita mau dia jadi ulama, dia pi terbang jadi superman kot tengah jalan. 24 jam dok belek motor dia saja.
Jiran lagu jiran; kita nak tidoq, depa pi bantai sinar.fm in full volume. Ujian hawa nafsu, ujian setan, semua mai. Takdak
sapa yang Allah tak uji, semuanya kena uji. Dan bila kena uji, Allah minta satu benda saja kat kita, iaitu kita kena sabar
banyak-banyak sebab dari situ adanya pahala. Kalau tak sabar, lingkup pahala tak dapat. Tambah-tambah lagi di bumi umat Islam
yang diserang kuffar hari ini seperti di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Kashmir, di Chechya, di Moro, di Patani dan
sebagainya; semua tu ujian Allah yang berat-berat belaka tu. Di bumi yang dalam suasana perang seperti yang disenaraikan ini,
disamping kena bijak berstrategi, sabar juga perlu ada. Cumanya sebagai manusia yang serba serbi lemah, kita harap, ujian
yang Allah bagi kat kita ialah ujian yang mampu kita tanggung. Tu saja yang kita doa. Bukannya apa, kita bimbang dengan ujian
yang tak mampu ditanggung, menyebabkan kita bertindak di luar batasan. Nauzubillahiminzalik.
Allahu ta`ala `alam.
|