Jilid 1 - Bab 3 - Hadith 18(5)

Bab 3 : Beriman Kepada Kitab-Kitab Allah.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah. Mari kita sambung perbahasan yang masih lagi dalam hadith yang ke18, iaitu dalam membicarakan fungsi al-Quran sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah saw kepada Saidina Ali kw.

Pada sesi yang lalu, ust Halim Nasir telah membahaskan pada perkara yang ke4, dimana Nabi saw menyebut bahwa al-Quran itu menjadi pemutus kepada segala masalah yang berlaku dan ianya juga bukan suatu perkara yang olok-olok. Jadi kali ini kita sambung pada perkara yang ke5, iaitu yang disebut oleh Rasullulah saw, "...; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh meninggalkannya (al-Quran) dengan tidak menurut hukumnya, maka mereka akan dibinasakan oleh Allah swt..."...Dalam perkara yang ke5 ini, kita akan lihat bagaimana Allah swt menjatuhkan hukuman dan keputusanNya kepada mereka-mereka yang disebut oleh Nabi sebagai golongan yang meninggalkan al-Quran. Dan yang paling bahaya selepas meninggalkan al-Quran, mereka turut memiliki sifat sombong dan angkuh dengan merendah-rendahkan Islam, meremeh-remehkan ugama Allah dan melakukan perkara yang termasuk dalam senarai keangkuhan. Inilah sifat-sifat manusia angkuh yang akan dibinasakan oleh Allah swt...nauzubillahiminzalik.

Bila kita sebut sifat "sombong", kita boleh lihat di zaman mutakhir ini, kebanyakan manusia sudah begitu sombong dan angkuh terhadap Allah dan rasul. Kalau 20-30 tahun dahulu, kita tidak pernah membaca tulisan-tulisan yang menghina para rasul (kalau ada pun, hanya boleh dibilang dengan jari); tetapi pada hari ini, tiap-tiap hari kita boleh tengok artikel-artikel yang berunsur fitnah tersebut. Penulis-penulis pada hari ini semakin berani, apatah lagi mereka dapat menggunakan mass media sebagai platform untuk menghina para rasul dengan tuduhan-tuduhan palsu. Semua ini dilakukan di atas sikap kesombongan dan keangkuhan mereka. Kita bimbang sebab trend sebegini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sebab nama-nama kontroversial seperti Akbar Ali yang menulis dalam The Sun, Farish M.Nor dalam Nst, Kasim Ahmad, Astora Jabat dll, masih lagi bebas menulis fahaman sesat mereka melalui akhbar-akhbar arus perdana. Bila sebut akhbar arus perdana, maknanya semua orang baca. Ini bahaya. Mari kita nak tanya, "Kemana perginya penyunting editor-editor akhbar?...Kenapa editor-editor ini tidak edit artikel-artikel yang menyesatkan daripada penulis-penulis yang ana sebut tadi?...Kenapa kamu sebagai editor, melacurkan etika kewartawanan kamu sebegitu murah semurah pelacur-pelacur jalanan?"...Geram ana tuan-tuan. Dua tahun sudah, bila Allahyarham ust Fadhil Nor sentuh bab ni dalam parlimen, dengan dituruti pula penyerahan memorandum kepada majlis Raja-raja oleh Persatuan Ulama M`sia yang bergabung dengan Persatuan Ulama Kedah; penulis-penulis sesat ni stop la sat. Tapi sejak akhir-akhir ni, depa mula balik. Ini agak membimbangkan kita.

Tuan-tuan muslimin muslimat sekelian. Sebenarnya, Allah swt telah menyebut di dalam al-Quran tentang setakat mana ketahanan kesombongan manusia di atas mukabumi ini. Cuba tuan-tuan perati Surah al-Israak:37. Allah kata, "Jangan kamu berjalan di mukabumi Aku dengan dabik dada kesombongan,..."...Ini termasuklah, jangan kamu menulis di atas kesombongan, jangan kamu bertindak di atas kesombongan dan jangan kamu memerintah di atas kesombongan. Hangpa semua tak betoi, aku saja yang betoi. Ini dia sombong tuan-tuan. Bila sebut jalan dengan lagak sombong ni, teringat ana dengan satu kisah sewaktu nak berlakunya Perang Uhud. Waktu tu belum bertempur lagi. Tengah Nabi saw dok check tentera Islam, tiba-tiba keluar seorang sahabat Nabi nama Abu Dujanah. Dia hunus pedangnya sambil berjalan dengan bongkak buka dada. Sebijik macam orang sombong. Lalu Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya jalan yang seperti ini amat dibenci oleh Allah kecuali di tempat ini!"...Maknanya sewaktu nak bertembung dengan musuh, kita dibolehkan sombong. Seolah-olah Nabi nak kata, "Jangan lembik kalau nak berjuang."

Sambung ayat tu lagi, kata Allah, "...takdak pasai kamu nak sombong wahai manusia, sebab tapak tumit kamu yang berjalan di atas kesombongan itu tidak akan dapat menembusi bumi. Malah kamu yang sombong itu juga tidak akan sama tingginya dengan gunung ganang."...Allah ta`ala perli manusia sombong sebab tak tara mana pun kuatnya. Tu dia tuan-tuan.

Topik "sombong takabbur" ni tuan-tuan, sebenarnya semua ulama pakat berperanan membahaskan sifat keji ini, termasuklah Imam Abu Hamid al-Ghazali (Imam Ghazali) rahimallahu ta`ala. Beliau menyebut bahwa sombong dan takabbur itu boleh dibahagikan kepada 6 bahagian. So make sure keenam-enam bahagian yang kita huraikan nanti, jangan ada pada kita tuan-tuan...nauzubillah. Sebab apa?...Sebab ana teringat cerita berlakunya dialog antara Nabi Musa as dengan Allah swt. Nabi Musa tanya Allah, "Wahai Tuhanku! Siapakah dia makhluk Mu yang Kamu paling benci?"...Allah jawab, "Golongan yang 1st sekali Aku benci ialah mereka yang takabbur sombong hati nya."...Nauzubillah. Golongan sombong mutakhir ini, dalam nak menolak risalah Allah swt, mereka sering mengemukakan alasan-alasan yang tidak langsung masuk akal. Ingat tak lagi apa yang Akbar Ali tulis dalam The Sun dua tahun sudah?...Dalam nak menempelak para mufti, dia kata, "Ulama kita hari ini dah tak boleh berfikiran waras sebab serban yang mereka pakai tu agak ketat, sampai oksigen pun tak masuk."...Nampak tak tuan-tuan macamana si Akbar Ali ni nak tipu kita?...Gamaknya dia ingat kita tak score Sains time SPM dulu. Tuan-tuan tau tak macamana oksigen boleh pi ke kepala?...Dia takdak kena mengena dengan pakai serban aih!...Oksigen ini dibawa oleh darah ke seluruh anggota badan. Darah la yang bawa segala oksigen, vitamin apa semua ni, termasuklah benda-benda yang tak diperlukan juga, dan last sekali tukang penapisnya ialah buah pinggang. Hasil penapisan itulah yang darah bawa pi ke otak. Bukan pasai pakai serban oksigen tak masuk. Nampak tak macamana dia nak tipu orang Islam?

Orang yang tak tau apa, akan terpengaruh. Inilah tulisan jahat. Mereka mengemukakan alasan sama macam Abu Jahal mengemukakan alasan untuk menolak risalah Rasulullah saw. Cuba tuan-tuan tengok firman Allah dalam Suratul Israk:90 - 93, Allah cerita macamana perangai puak kuffar Mekah perli Nabi saw. "Wahai Muhammad! kalau benar kamu rasul, sila pancarkan matair daripada bumi Mekah. Atau jangan kamu sembang je ada segala kebun-kebun anggur maupun kebun-kebun tamar, mana dia geran tanahnya ataupun projeknya, mai kami nak tengok. Bila ada buktinya, baru kami boleh ikut kamu. Ataupun sekiranya kamu memiliki rumah-rumah bungalow yang besar, baru kami nak ikut. Jangan dok perasan Muhammad, sebenarnya kamu gembala kambing je. Itupun Abu Talib punya..."...Inilah dia alasan daripada Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Dan sebenarnya mereka pun tahu yang Nabi takkan buat benda tu semua. Beginilah juga dengan manusia mutakhir ini yang sefikrah dengan Abu Jahal. Mereka juga seperti Abu Jahal, akan mengemukakan alasan-alasan yang remeh temeh tak masuk akal langsung. Inilah yang menjayakan mereka meletakkan diri mereka dalam senarai manusia yang dibenci Allah...nauzubillahiminzalik.

Okay berbalik kita kepada apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali tadi, iaitu ada 6 jenis sombong. Tolong be aware dengan 6 jenis sombong ni tuan-tuan, supaya jangan kita termasuk dalam kelompok tersebut. Iaitulah:

1) takabbur kerana ilmu.

Mengaji kira sakan dah. Setiap hari ada saja kuliah yang kita hadir. Tapi Islam minta bahwa jangan dengan ilmu yang digarap setiap hari itu, menjadikan kita takabbur...nauzubillah. Ini bukannya apa tuan-tuan; ni semua kerja iblis laknatullah la tu. Menurut ust Halim, iblis ni sebelum wujudnya Adam as, dia adalah tok guru kepada para malaikat. Ilmu dia cukup hebat sehingga boleh mengajar para malaikat bagaimana nak menyembah Allah. Ini satu ilmu yang cukup tinggi. Kita setakat ajar manusia je, tapi iblis ajar malaikat!...Di atas ilmunya yang hebat inilah, menjadikan dia terlalu sombong, sehingga langsung tidak mahu menghormati Adam as; maka terus iblis ditempelak Allah sepertimana yang disebut di dalam al-Quran Suratul Baqarah:34, kata Allah, "...semua malaikat sujud kecuali iblis. Ia enggan, dan takabbur, dan ia termasuk golongan kafir!"...Nauzubillah. Daripada ayat inilah, maka para ulama mengatakan bahwa sekiranya siapa yang ada sifat sombong, termasuklah dia dalam golongan yang kuffurkan Allah swt.

Sebab itu bila berilmu, ambiklah resam padi. Semakin berisi, semakin tunduk dia. Kita pula, semakin berilmu, semakin tunduk, semakin warak dan semakin takut kita kepada Allah swt. Tapi bukan maknanya kita berilmu, kita tak boleh berhujjah dan berdebat. Sebenarnya, Islam memberi ruang membuka minda manusia dengan perdebatan. Cuba tuan-tuan tengok ayat debat dalam al-Quran dalam Surah al-Baqarah:111. Ayat ini turun bersempena orang-orang yahudi dan nasara mendabik dada mengatakan bahwa merekalah ahli syurga, bukannya orang Islam yang ikut Muhammmad saw. Lalu kata Allah, "Dan berkatalah orang-orang yahudi dan nasara: Tidak akan masuk syurga kecuali yahudi dan nasara. Demikianlah angan-angan mereka wahai Muhammad, maka katalah olehmu: Bawalah dalil dan hujjah kamu, sekiranya kamu benar."...Bila kita berhujjah atas dasar benar dan lawan kita tu rasa nak kalah, bukan maknanya kita sombong. Itulah ruang yang Islam buka untuk kita menyelesaikan masalah. Bab berdebat ni Allah sebut dalam Suratul Nahl:125, kata Allah, "...dan berbahaslah kamu dengan mereka dengan ahsan (cara yang paling baik)..."...Maknanya kita boleh berdebat untuk mencari jalan penyelesaian. Ini dibolehkan dalam Islam.

Jadi pointnya di sini ialah bila kita berilmu, jangan sekali-kali sombong, jangan jadi macam iblis. Mentang-mentang la dia ajar malaikat, tengok Adam daripada tanah pun dia tak mau. Bila Allah suruh dia tunduk kepada Adam, langsung dibantahnya. Time tu lah Allah kata, "...iblis jatuh ke dalam kekafiran!"...nauzubillah.

2) takabbur kerana warak dan banyak ibadah.

Tak seram ka tuan-tuan dengaq macam ni?...Apa makna warak tuan-tuan?...Warak ialah memelihara diri daripada perkara syubahah. Maknanya, apabila perkara syubahah pun diteliti, apatah lagi benda haram, lagi la tak usik. So dalam Islam, kedua-dua warak dan banyak ibadah ini memang dituntut sebab ada ayat dalam Quran suruh kita berlumba-lumba mencari kebaikan. Nabi saw sendiri berlumba dalam ibadah sampai bengkak kaki baginda sebab lamanya berdiri ketika solat. Bukan kata berdiri saja lama, malah sujudnya juga adakalanya pun lama juga. Sehingga satu hari tu ketika baginda sujud dengan begitu lama, Saidatina Aisyah menyangkakan baginda dah mati sebab tak gerak langsung. Tapi tiba-tiba bila Nabi saw angkat kepalanya, Aisyah kehairanan. Aisyah tanya, "Apa perlu kamu bersusah-payah, sedangkan kamu itu rasulullah, kekasih Allah, yang pasti ke syurga?...Sepatutnya, kamilah yang kena susah payah. Bukannya kamu ya rasulullah."...Nabi saw kata, "Apakah tidak boleh aku bersyukur kepada Allah?...Tidakkah aku hambanya juga?"...Tu dia jawapan Nabi, cukup hebat tuan-tuan. Kita tak sampai tahap bengkak kaki pun. Bengkak kaki pasai sakit ghout ada la sebab makan ketam lebih, makan sotong lebih, makan kerang lebih, menyebabkan asid urik tinggi dalam darah. Hat tu ada la. Tapi nak katanya, sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki macam para nabi memang payah la nak jumpa kita ni.

Tapi walaubagaimana pun, kita memang disuruh warak, terutamanya dengan amalan-amalan sunat. Sebab apa disuruh perbanyakkan amalan sunat?...Sebab amalan sunatlah yang boleh menghampirkan kita kepada Allah swt (ana petik dari satu hadith qudsi). Selain amalan sunat ini menghampirkan kita kepada Allah, ia juga menjadi kayu pengukur kepada tahap keimanan seseorang. Sebab apa kita kata macam tu?...Sebab yang wajib tu jangan cerita la. Hat wajib ni dalam keadaan apa sekalipun, tetap kena buat. Hang malas ka, hang tak malas ka, hang sakit ka, hang tak sakit ka; hang tetap kena buat. Tapi lain dengan benda sunat ni. Sebab tu, tahap keimanan seseorang boleh kita nilai melalui amalan sunat dia...Hoooiit! jangan main-main tuan-tuan; bukan semua orang boleh buat benda sunat. Tara muka macam kita, peh!...memanjang tak sedap nak buat benda-benda sunat ni. Itu tandanya hati kita dah mula rosak. Kalau tuan-tuan buka kitab Imam Ghazali, Minhajul `Abidin, kita akan jumpa Imam Ghazali kata, "Antara tanda hati kamu dah mula hitam ialah apabila kamu buat dosa, tak terasa bersalah pun..."...Ish! berat tu tuan-tuan. Dan kata Imam Ghazali lagi, "Yang keduanya, ialah hilang kemanisan beribadah."...Sembahyang rasa tak sedap. Puasa rasa tak bermaya. Baca Quran, boring. Itu yang kedua. Dan yang ketiganya kata Imam Ghazali, "Hati yang tak makan nasihat."...Check hati kita masing-masing. Kalau ada 3 benda yang disebut oleh Imam Ghazali ini pada kita, maknanya hati kita sudah mula hitam. Nauzubillahiminzalik.

Disebalik kewarakkan seseorang dengan banyak amalan sunatnya, ada satu benda yang perlu dititik-beratkan. Iaitulah perlu dibina satu defending system daripada iblis yang selalu nak merosakkan kita. Maknanya, selain amalan sunat boleh buat kita warak, dengan amalan sunat jugalah boleh buat kita riak dan takabbur. Contohnya, selepas solat Jumaat, cuba kita bangun buat sunat ghobliyah Jumaat; lain rasa sedapnya tuan-tuan. Tapi jangan bila tengok orang lain start motor belah, kita pi kondem kata, "Tu dia la depa, tak reti!"...Time kita kondem tu, sebenarnya setan dah join sekali. Nampak tak tuan-tuan, punyala cepat setan masuk. Inilah yang boleh merosakkan amalan kita.

3) takabbur kerana kekayaan dan banyak wang.

Orang akhir zaman la ni punyala hebat kekayaannya, sampai boleh beli Merc harga RM2juta. Merc ni bila kita off je kunci, automatically dia punya steering masuk dalam, tutup. Dah nak jadi macam kereta Batman Forever pula dah. Maknanya, kalau tengok secara usaha manusia, orang takkan boleh curi. Tapi dibuatnya steering tu tak mau keluar, mampuih tak ke mana la jawabnya. Harga dia RM2juta tuan-tuan. Orang-orang kaya bolehla beli. Tapi jenih kita, boleh tengok je la. Itu cerita kereta...Cerita pasal rumah pula. Ada dah rumah sekarang ni, dia boleh sensor daripada luar. Katalah kita daripada Penang pergi ke KL atas satu urusan. Lepas tu after 2-3 days, kita pun balik ke Penang. On the way kita balik tu, kita send code ke rumah, automatic dia boleh on the system. Aircon running, everything running by itself. Kita balik-balik tu kira dah sejuk, tak payah nak warmup apa dah. So apa nak ceritanya; punyala kaya-kaya orang zaman sekarang. Islam larang tak orang jadi kaya?...Tak, Islam tak larang kalau kita cari secara halal. Bahkan sahabat-sahabat Nabi radiallahuanhum pun ada yang kaya-kaya juga, seperti Abi Bakrin dan Saidina Usman. Maknanya, Islam tak larang umatnya kaya selagimana mengikut dasar yang diletakkan Islam.

Kalau kaya tapi tak ikut dasar Islam, maka jadilah seperti Qarun laknatullahialaik. Inilah dia orang paling kaya yang Allah cerita dalam Quran. Walaupun Qarun itu terlampau kaya, tapi bila dia sombong, maka Allah ranapkan segala kekayaannya termasuklah dengan diri dia sekali ke dalam perut bumi. Inilah yang orang M`sia dok cari sampai ke hari ini dengan nama "harta karun".

Dan antara yang Allah swt marah kat orang-orang kaya takabbur ini ialah bila mereka menghina orang-orang miskin, ie seperti menghina program sedeqah. Ya, memang Islam tak suka peminta sedeqah. Tapi kalau ada orang mai rumah kita minta sedeqah, jangan kedekut tuan-tuan, bagi aje la, sebab itu Nabi saw yang ajar. Boleh pahala pula kat kita.

Jadi pointnya apa tuan-tuan?...Pointnya ialah gunalah segala kekayaan yang dikurniakan Allah kepada kita ini pada jalan Allah. Inilah saja formula yang ada untuk kita selamat di hari akhirat kelak. Takdak formula lain dah. Jangan pula ada yang salah tafsir di sini. Bukan maknanya tak boleh kaya. Kalau boleh kaya melalui jalan halal, silakan. Tapi realiti yang pasti akan berlaku di Padang Mahsyar ialah orang-orang miskin akan masuk syurga lebih dahulu daripada orang kaya. Orang-orang miskin mana ada harta nak dihitung Allah. Saving account, current account apa pun takdak. So, cepat je lah depa masuk syurga. Lainlah dengan orang-orang kaya. Yang current account dia saja dah RM5000. Saving pula RM20000. Tu baru kat Bank Islam. Hat bank tak Islam pula, lagi berjuta-juta disimpan. Esok kat Padang Mahsyar, jenoh nak jawab tuan-tuan. Tapi kalau duit berjuta-juta tu kita guna untuk Islam, insyaAllah, esok depan Allah takdak masalah sebab kita ada jawapan. Tapi yang membimbangkan, ialah kalau-kalau duit yang banyak itu diguna pada jalan yang menyimpang daripada jalan Allah. Contohnya, tabur duit kat rakyat 5 tahun sekali, supaya jangan sokong Islam. Ini paling celaka. Puak-puak hat dok pancing aqidah orang dengan kain pelikat apa semua ni, depa ni tak ingat akhirat ka?...Depa sepatutnya perlu ingat bahwa depa juga akan mati, dan akhirat menanti kita semua.

4) takabbur kerana keturunan.

Ada tak orang macam ni tuan-tuan?...Ada, belambak. Pasai apa depa bangga sangat dengan keturunan, kita pun tak tau. Sebenarnya tidak ada keturunan yang paling mulia kecuali keturunan Rasulullah saw, ie keturunan Bani Hashim. Keturunan inilah yang jaga urusan Ka`abah termasuklah jaga telaga zamzam, bagi minum kat jemaah haji apa semua; inilah dia keturunan Nabi saw yang mulia. Adakah Nabi sombong dengan keturunan dia?...Nabi tak reti langsung nak sombong tuan-tuan. Katalah Nabi ada dalam satu majlis, tiba-tiba datang orang luar nak jumpa dia. Kalau orang luar tu sendiri pi cari baginda dalam majlis tersebut, pasti dia takkan kenal yang mana satu Rasullullah. Melainkan Abi Bakrin akan pegang tangan orang luar tu dan bawa berjumpa dengan Rasulullah saw; maka barulah orang luar tu boleh tau bahwa inilah dia Rasullullah. Jadi nak habagnya, penampilan Nabi dengan para sahabatnya kira sama saja. Tak ada bezanya pakaian Nabi dengan penduduk di sekitarnya. Nak kata baginda nak pakai satu pakaian rasmi untuk menunjukkan dia sebagai rasulullah, memang takdak tuan-tuan. Inilah yang membuatkan susah orang nak cam mana satu Nabi.

Jadi tak payahlah ada perasaan nak sombong kalau kita ni keturunan orang kaya-kaya, orang-orang kenamaan, apatah lagi ada darah raja pula. Apalah yang nak disombongkan sangat, sebab kita semua sama saja tuan-tuan. Kita semua akan mati, dan bila masuk dalam kubur, gerenti kita akan jadi makanan ulat. Tu penyudah ceritanya.

5) takabbur kerana kekuatan.

Tuan-tuan biasa tengok tak geng-geng hat bodybuilder ni jaga depa punya makanan macamana?...Hoiii! Jangan buat main tuan-tuan. Susu hat depa dok minum tu, bukan sebarang susu. Bukan macam susu dumex 20-30 ringgit hat kita dok minum tu. Susu depa saja, boleh pi sampai RM200-RM300 tuan-tuan. Entah apa jenama, kita pun tak pernah dengar. Hari tu sekali ana rasa, macam nak termuntah. Punyala tak sedap. Tapi untuk puak body ketoi-ketoi ni, depa terpaksa kena telan juga susu camni sebab nak maintain. Depa bukan boleh makan nasi kandaq sebab kari-kari ni semua punca gemok. Depa ada makanan depa tersendiri.

Ya, memang Nabi suruh kita jaga tubuh badan supaya kuat sebab Allah lebih suka mukmin yang kuat daripada muslim yang lemah. Tapi maksud hadith tu, bukannya Allah suruh pi tayang body ketoi-ketoi atas stage ngan pakai seluar macam katak puru tu. Sampai naik seram kita tengok pun. Bukan macam tu. Maksud hadith tu sebenarnya menyuruh kita guna kekuatan tubuh badan pemberian Allah itu kepada perjuangan Islam. Jadilah seperti Saidina Hamzah ra yang gugur syahid di medan Uhud. Jadilah seperti Khalid ibn Walid yang musuh hanya dengar namanya saja, pakat gementar hati tak mau perang. Ini baru betoi kekuatan.

Jangan jadi macam kaum `Ad yang Allah sebut dalam Quran. Allah rakam sebutan takabbur daripada pemimpin kaum `Ad, kata depa, "Siapakah yang lebih kuat daripada ekonomi kita?...Kitalah yang paling hebat dengan kemajuan negara kita!"...Lalu Allah ta`ala jawab, "Tidakkah Aku Allah yang menciptakan mereka?...Akulah yang terlebih kuat daripada mereka."...So jangan takabbur sangat dengan kemajuan yang kita capai selama ni tuan-tuan. Maju pun buat apa kalau undang-undang Allah masih tak nampak jalan. Kita maju sekarang ni pun bukan dengan nikmat Allah, tetapi inilah dia istidraj yang Allah bagi kat kita. Dia bagi tu tanpa keredhaanNya. Sebab itu, sekarang ni kita boleh tengok depan mata kita sendiri macamana bermacam-macam gejala sosial berlaku. Inilah tandanya Allah tak redho dengan kemajuan kita sekarang. Sebenarnya Dia sedang bagi bala` kat kita tuan-tuan.

6) takabbur kerana kecantikan.

Ada tak orang jenih ni?...Ada tuan-tuan. Kerja dia pi beli kentang ja. Balik dia licih, malam dia tempek kat seluruh muka. Tutup habih muka ngan kentang pasai nak jaga kehalusan kulit muka. Tu dia tuan-tuan. Ada yang sanggup habis duit pasai nak jaga kulit muka aja. Hari tu ada sekali dalam Edisi Siasat Ntv7 tunjuk tentang masalah penjagaan kulit muka dikalangan wanita kita. Depa sanggup beli krim penjagaan kulit yang berharga ratusan ringgit. Sehingga kajian dibuat bahwa masyarakat M`sia adalah antara yang paling banyak berbelanja untuk alat kosmetik dalam setahun. Makan billion gak yang ana ingat sdr Wan Kamarudin bagitau hari tu. Sebenarnya kos itu boleh di reduce kalau amal dengan cara Islam. Apa yang kita nak bagitau kat kaum-kaum hawa, sebenarnya takdak awet kecantikan yang paling hebat kecualilah air wudhuk. Lihat saja muka para ulama. Berseri-seri kita tengok muka depa. Sehingga Nabi saw kata bahwa melihat wajah ulama itu satu ibadah. Tu dia martabat ulama tuan-tuan. Sehingga boleh pahala kat kita walaupun hanya tengok wajah ulama. Tapi lainlah kalau tengok wajah "ular dalam semak"; bukannya dapat pahala, dapat bala lagi ada...nauzubillahiminzalik.

Nak ceritanya manusia tercantik di dunia, itulah dia Nabi Yusuf as. Adakah dia sombong?...Takdak pasai tuan-tuan. Allah cerita dalam Quran (Surah Yusuf), apabila wanita-wanita Mesir kata Zulaikha gatal cuba mengorat Yusuf as yang ketika itu hanyalah hamba sahyanya, maka Zulaikha telah melakukan satu perancangan untuk mengena wanita-wanita Mesir tersebut dengan mengadakan rumah terbuka di istananya. Dengaq saja ada rumah terbuka, makan free pula tu, berderu puak-puak tu mai. Okay bila dah habih makan, maka Zulaikha pun mengasingkan wanita-wanita Mesir. Lalu diberinya kepada wanita-wanita Mesir ini masing-masing dengan sebilah pisau dan sebiji epal. Time depa dok asyik mengupas tu, time tu lah Zulaikha perintah Nabi Yusuf melintas di hadapan mereka. Nabi Yusuf pun melintas tanpa bercakap sepatah pun. Dia tak kata, "Hai!" pun lagi tuan-tuan. Tiba-tiba Quran kata, pakat habis kesemua wanita-wanita itu tercengang, sehingga ada antara depa sempat kata, "Ini bukan manusia. Ini adalah malaikat!"...Tu dia, punya cantiknya Nabi Yusuf sehingga mereka terpotong jari mereka tanpa disedari. Hilang sakit bila tengok muka Nabi Yusuf. Bila tengok jari semua wanita-wanita Mesir itu berdarah, barulah Zulaikha tepuk tangan keseronokan, dia kata, "Padan muka hangpa!...Tu baru sekali hangpa tengok dia, dah terpotong tangan. Yang aku ni tengok dia tiap-tiap hari, hangpa tau ka?...Camana aku tak syok?"...Tu dia tuan-tuan nak cerita cantiknya Nabi Yusuf as. Dalam keadaan dia yang begitu cantik itu pun, Nabi Yusuf as tidak pernah kenal erti kesombongan.

...Inilah dia tuan-tuan, 6 jenis takabbur yang disebut oleh Imam Ghazali rahimahullahu ta`ala yang perlu kita fahami bahwa ianya tidak diizinkan syara`. Moga-moga Allah jauhkan kita daripada keenam-enam sifat kesombongan yang kita bahas tadi...nauzubillahiminzalik.

Wallahu ta`ala `alam.

 

44849_wallpaper280.jpg