Mastika Hadith - Jilid 1
Bab 2 : Beriman Kepada Rasul-rasul Allah.
Fasal 1: Kerasulan Nabi Muhammad saw.
Hadith 13
Dari Jabir ra,
dari Nabi saw, (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap baginda saw, lalu berkata: "(Ya Rasulullah!) Kami ada mendengar
cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang yahudi, maka bagaimana fikiran tuan, bolehkah kami
menulis sebahagian daripadanya?" (Mendengarkan yang demikian) Baginda saw bersabda: "Adakah kamu merasa ragu-ragu dan serba
salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum yahudi dan nasara yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama
mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari
sebarang perkara syirik dan penyelewengan), dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya
selain daripada menurut ku." (HR Imam
Ahmad dan al-Baihaqi)
Muslimin dan muslimat
yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, lafaz syukur kita panjatkan ke hadrat Allah swt yang mempertemukan kita semula dalam
alam cyber ini, bagi meneruskan lagi perbahasan di dalam kitab Mastika Hadith Jilid 1. Kali ini kita sambung perbahasan pada
hadith yang ke13. Dalam hadith ini, Jabir ra menceritakan bagaimana diceritakan oleh Nabi saw kepadanya tentang satu hari
Saidina Umar al-Khatab datang berjumpa Nabi saw. Dia jumpa tu untuk tanya pada Rasulullah, "Ya Rasulullah! Kami orang-orang
muhajirin/ansar ini dok dengar banyak dah tentang cerita-cerita, nasihat-nasihat dan hikayat-hikayat yang dibaca oleh orang
yahudi. Jadi, boleh tak kami tulis sebahagian daripada nasihat dan hikayat itu untuk dijadikan pedoman?"...Bila sebut
"Saidina Umar dengar daripada orang yahudi", maka cam lah kita bahwa hadith ini berlaku di Madinah kerana memang cukup ramai
pun orang-orang yahudi di Madinah ketika itu. Masa tu, orang-orang yahudi ni, mereka bersembang dalam perkara-perkara yang
ada kebenaran, terutamanya cerita-cerita dalam kitab Taurah, yang pada waktu itu masih ada yang memegangnya dengan kebenaran.
Sahabat-sahabat ni pun macam kita la jugak, sambil-sambil dok berjalan beli ikan, beli sayur, beli buah tamar, sekali-sekala
berenti kena teh tarik jugak. Bila berenti kena teh tarik, tepi-tepi tu ada la semeja dua orang-orang yahudi duduk. Jadi sambil-sambil
dok pekena kopi tarik, teh tarik, orang-orang yahudi ni pun sembang-sembanglah tentang nasihat-nasihat atau cerita-cerita
dalam kitab Taurah. Masa yahudi dok bersembang tu, orang Ansar dan orang Muhajirin pasang telinga. Sebab itu kita rasa tak
heran bila ulama` bahas perbezaan macamana orang Muhajirin masuk Islam dan macamana orang Ansar masuk Islam. Orang-orang Ansar
melihat Islam dan melihat Rasulullah saw hasil daripada pendengaran mereka bila yahudi bersembang dan berborak tentang ciri-ciri
Muhammad nabi akhir zaman ni sepertimana yang disebut dalam kitab Taurah. Dok pasang telinga orang-orang Ansar ni. Ini cara
depa nak dapat hidayah. Depa tak pernah jumpa Nabi, kecualilah 72 orang yang mengikat janji dalam Bai`atul Aqobah, setahun
sebelum hijrah. Depa tu saja yang tengok Nabi saw, yang lain tak tengok. Yang tak tengok ni hanya dok pasang telinga saja
dengaq yahudi kata Muhammad lagu tu lagu ni. Akhirnya datang hidayah pada mereka. Tapi orang Muhajirin, depa masuk Islam kerana
Nabi saw bersama mereka. Dengan melihat akhlak dan kepimpinan Rasulullah, maka terus Allah campakkan hidayah pada orang-orang
Muhajirin. Inilah perbezaan bagaimana Ansar dan Muhajirin dapat hidayah.
Kembali pada hadith
tadi. Sekarang kita tengok sebab apa Saidina Umar ra minta izin daripada Nabi saw nak tulis sebahagian daripada cerita-cerita
orang yahudi tu?...Apa lagi kalau bukan sebab nakkan ilmu. Dalam satu hadith Nabi saw, baginda pernah berkata, "Bandingan
ilmu yang kita belajar adalah umpama pemburu pergi memburu binatang di hutan. Bila dah dapat binatang yang diburu, pemburu
tu kena ikat hasil buruannya itu supaya tidak terlepas lari. Bila dah ikat, baru boleh buru binatang yang lain. Yang dimaksudkan
dengan ikatan disini adalah tulisan atau catatan."...Maknanya bila kita baca buku, itulah tamsilannya kita pergi memburu.
Bila dah dapat binatang, kita kena ikat. Ikat itu ialah menulis. Sebab itu bila baca buku, kita kena sulam dengan menulis,
ambik point-point penting. Kalau tidak, dibimbangi kita akan lupa. Sebenarnya yang menulis tu ialah akal kita, bukannya tangan.
Tangan hanya ikut apa saja yang dipandu oleh akal. Inilah cara cpu (akal) kita lakukan exercise, yang akan menghasilkan satu
memori yang cukup kuat.
Okay bila Saidina
Umar ra minta izin daripada Nabi saw nak tulis cerita-cerita orang yahudi, maka Nabi saw pun jawab, "Adakah kamu merasa
ragu sepertimana ragu-ragunya orang yahudi dan nasara terhadap agama mereka?..Sesungguhnya aku telah membawa kepada kamu suatu
ugama (Islam) yang bersih dan suci daripada sebarang penyelewengan. Dan aku nak bagitau kamu wahai Umar, kalaulah Nabi Musa
itu hidup balik dan lihat aku ini jadi rasul, pasti dia akan menjadi pengikut aku."...Apa maksud hadith ini tuan-tuan?...Sebenarnya
dalam hadith ni Nabi saw nak tekankan satu point yang amat penting, iaitulah selain daripada Islam, dia adalah pembohong!...Mai
lah cerita sedap tara mana pun, kalau dia bukan daripada Islam, jangan dok percaya bulat-bulat. Lebih-lebih lagi sumber yang
datang dari yahudi/nasara. Sebab mereka bukan kata ragu dah lagi, malah aqidah mereka dah lingkup habih!...Tidak ada bida`ah
dolallah yang paling besar yang dibuat oleh yahudi/nasara, kecuali mereka sanggup mengadakan anak bagi Allah swt. Orang-orang
nasara mengatakan Isa as itu anak Allah, manakala orang-orang yahudi pula mengatakan Nabi Uzair as adalah anak Allah. Nampak
tak tuan-tuan pasai apa Nabi saw tak bagi kita tulis riwayat kaum yahudi/nasara tu?...Tulis pun Nabi saw tak bagi, apatah
lagi ikut cara hidup depa?...Cuba kita tengok pesan Allah dalam Surah Ali `Imran:100 tentang sebahagian ahlul kitab yahudi/nasara.
Kata Allah yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman!...kalau kamu ikut sebahagian daripada ahlul kitab yang menyeleweng,
nescaya mereka akan membawa kamu menjadi kafir walaupun sebelum ini kamu telah beriman."...Tuuu dia yang kata yahudi dan
nasara ni tuan-tuan.
Okay selain point
di atas, apakah lagi hal penting yang lain yang boleh kita ambil daripada hadith 13 ni?...Saya rasa ada satu lagi point penting.
Cuba kita tengok sikap cerdiknya para sahabat ra. Mereka tidak akan buat sebarang tindakan tanpa merujuk kepada sesuatu. Dalam
hadith 13 ni, kita boleh tengok macamana Saidina Umar al-Khatab merujuk dulu kepada Rasulullah saw. Inilah dia perangai sahabat
ra, yang semakin hilang dalam jiwa umat Islam pada hari ini. Hari ni, nak buat apa pun, main bantai ikut sedap ja. Tak berapa
dah nak tengok Quran, tak berapa dah nak tengok hadith...nauzubillah. Dalam Quran, banyak ayat yang Allah suruh kita sentiasa
rujuk pada Nabi saw walaupun dalam perkara apa sekalipun. Sebab tu Imam Nawawi rahimmallahu ta`ala pernah menyebut mengatakan
bahwa, "Kamu kena ikut Rasulullah saw di dalam sabda baginda yang berhubung dengan prinsip-prinsip syariat Islam, tetapi
kamu tidak payah ikut Rasulullah dalam sabda baginda yang berhubung dengan perkara dunia dan pendapatnya."...Nampaknya
kita kena bahas kata-kata Imam Nawawi ni. Okay apa maksud "tak payah ikut Nabi dalam perkara dunia dan pendapatnya"?...Contoh
pertama yang saya ambil ialah sewaktu berlakunya Perang Badar. Semasa tentera Islam bergerak daripada Madinah ke medan Badar,
tiba-tiba bila sampai di suatu kawasan, Nabi saw suruh berenti untuk berkhemah di situ. Tapi ada seorang sahabat yang bernama
al-Hubab bin al-Munzir, dia tengok apa yang diarahkan oleh Nabi saw itu tak berapa kena. Lalu dia tanya Nabi dulu, "Adakah
arahan Rasulullah untuk kita berkhemah di sini datangnya daripada Allah atau ianya hanya sekadar pandangan tuan?"...Kata
Nabi saw, "Ini pandangan saya."...Bila dengaq Nabi kata lagu tu, al-Hubab pun berkata, "Baik, kalau itulah pandangan
tuan, boleh tak saya bagi pandangan lain?"...Nampak tak macamana beradabnya sahabat bila berbicara dengan Rasulullah saw.
Lalu Nabi saw jawab, "Silakan."...Berkatalah al-Hubab, "Wahai Rasulullah!...Bagi saya, berenti di sini tak berapa
cantik..."...Maknanya al-Hubab bin al-Munzir menyanggah pandangan Rasulullah dalam perkara dunia ketika itu. Lalu dicadangnya,
"Saya cadang kita bergerak ke hadapan sedikit untuk kita kuasai kesemua matair-matair yang banyak di Badar itu. Dan apa
yang perlu kita buat ialah kita berkhemah dekat dengan matair yang paling besar, dan matair hat lain tu kita ambik batu ambik
pasir kita kamboih, biaq musuh mati dahaga tak boleh minum."...Nabi kata, "Ish! baguih sungguh cadangan hang."...Maknanya
Nabi saw terima cadangan al-Hubab bin al-Munzir tu, lalu mereka pun bergeraklah mengikut cadangan sahabat Nabi tu tadi. Inilah
maksud yang disebut oleh Imam Nawawi tadi bahwa kita ada kalanya tak payah ikut kata-kata Nabi dalam hal duniawi sebab itu
hanyalah pandangannya sendiri, tapi kalau dalam prinsip syariat, kita wajib ikut. Ini yang perlu kita faham.
Okay kita tengok
satu lagi contoh. Dalam kitab "Sunnah dan Peradaban" tulisan Prof Dr Yusof al-Qardhawi, beliau menyebut ketika Nabi saw melihat
beberapa orang Ansar mengahwinkan pokok tamar, baginda rasa ini benda baru yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Sebab
di Mekah, tidak ada ilmu tentang tot mengetot pokok tamar ni. Orang Mekah tak reti. Hat retinya, orang Madinah. Bila Nabi
tengok ini benda baru, baginda pun tanya, "Hangpa buat apa tu?"...Lalu kata orang-orang Ansar tu, "Kami sedang mengahwinkan
benih pokok buah tamar."...Nabi pun kata, "Toksah dok buatlah benda tu."...Sahabat ra bila dengaq Nabi kata "toksah
dok buat", la-la tu jugak depa berenti. Akibatnya pada tahun tersebut, hasil tamar Madinah menurun. Bila Nabi saw panggil
menteri ekonomi tanya pasai apa menurun, menteri tu pun jawab, "Hari tu bila Rasulullah arah tak bagi benih tamar dikahwinkan,
orang-orang Ansar patuh."...Kata Nabi, "Ooo! hasil menurun pasai depa ikut cakap aku hari tu ka?...Kalau lagu tu, hangpa
buatlah apa yang patut sebab kamu lebih tahu urusan dunia kamu."...Bila Nabi kata lagu tu, start tahun berikutnya, orang-orang
Ansar pun mula tot balik. Lalu datanglah balik hasil yang lumayan. Inilah antara contoh dalam perkara dunia yang kadang-kadang
tak payah ikut sabda Rasulullah saw sebab masing-masing tahu dunia masing-masing. Macam kita di M`sia ni dengan pokok getahnya.
Manalah nak tau, kot-kot Risda boleh reka satu robot yang boleh ganti tenaga manusia pi toreh getah. Kalau boleh buat kira
"A" la sebab itu urusan dunia. Setakat orang kampung nak handle robot pakai komputer memang takdak masalah dah la ni sebab
orang kampung pun dah pandai guna komputer kerana menyambut seruan "satu rumah satu komputer". Lepas sembahyang Subuh, kita
pun duduk depan desktop komputer, tekan spacebar. Bila tekan spacebar, robot tu pun keluaq daripada bawah rumah mengeliat-mengeliat,
pasai dia pun baru bangkit tidoq jugak. Bila dia dah ready, kita pun keyin berapa jumlah pokok getah nak toreh. Katalah 70
pokok, kita pun keyin 70. Lepas tu "enter", store dalam memory dia 70 pokok. Dia pun mengeliat-mengeliat ambik pisau, ambik
baldi, nyong nyong nyong berjalan pi toreh, satu...satu pokok getah. Sampai 70, dia mau stop sebab kita dah clock dalam cpu
dia 70 pokok. Kalau silap keyin, sekali dengan tiang rumah dia toreh, runtuh!...Okay pointnya apa di sini?...Pointnya ialah
dalam masalah duniawi, pandangan Rasulullah saw ada kalanya tak payah ikut dan ada kalanya kena ikut. Tapi dalam bab prinsip
syariat, hukum hakam, sama sekali kita tak boleh bantah.
Sebenarnya tuan-tuan,
Nabi saw marah pada Saidina Umar ra dalam hadith 13 ni. Sehingga Nabi saw kata pada Saidina Umar, "Tidakkah aku bawa untuk
kamu suatu ugama yang jelas nyata dan bersih suci keadaannya..."...Maknanya, Islam ini bukan hanya suatu hikayat, bukan
hanya suatu nasihat, atau jugak bukan hanya suatu kepercayaan, malah Islam ini seperti yang disebut oleh Azzarul Rahman, ialah
suatu warisan yang cukup unik dan suatu peradaban yang boleh mengawal kehidupan manusia sehebat-hebatnya (Heritage and Human
Civilization)...Tu dia yang kata Islam tu tuan-tuan. So, kita yang jadi orang Islam ni pun, dah kira cukup nikmat dah ni.
Ingat tak lagi apa yang saya tulis ketika membahas ucapan Saidina Ali kw dalam posting yang lalu?...Begitulah juga yang pernah
disebut oleh seorang barat (sori pasai lupa pulak nama dia), dia mengatakan bahwa, "Di mana ada Islam, di situ ada nilai
yang baik."...Ini ucapan orang barat tuan-tuan. Dia ucap begitu sebab dia tengok sendiri cara hidup orang Islam di Eropah.
Orang Islam di Eropah jadi baik sebab mereka benar-benar faham nikmat yang ada dalam Islam. Cuba tengok Yusuf Islam. Sebelum
dia masuk Islam, hidup dia tak tentu arah. Tapi bila dia pegang Islam, masyaAllah, air muka dia kelihatan jernih sejernih-jernihnya
akibat dari jiwa yang tenang.
Bila sebut "nikmat"
Islam ni, Nabi saw cukup marah kalau kita tidak mensyukurinya. Ceritanya begini. Satu hari Nabi saw baca complete satu Surah
ar-Rahman, start daripada ayat pertama sehinggalah ayat terakhir (ayat 78), secara berdepan dengan sahabat. Semasa Nabi baca
tu, setiap kali bila sampai pada ayat, "Wahai jin dan manusia, nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?", Nabi akan
pause sebentar tengok reaksi sahabat-sahabatnya. Kita kan tahu Allah ta`ala ulang ayat tersebut 31x, betoi tak?...Jadi setiap
kali Nabi sampai pada ayat tersebut, Nabi berenti kejap, tengok kat sahabat. Tapi setiap kali tu lah sahabat hanya diam buat
derk je. Depa hanya pandang muka Nabi saja. Apa lagi, habih-habih baca, Nabi pun bagi "Sodakallahul`azim", teruih Nabi mengamok.
Nabi saw kata, "Mengapa kamu semua tidak jawab ketika aku membaca ayat: Wahai jin dan manusia, nikmat Tuhanmu yang manakah
kamu dustakan?...Pasai apa kamu senyap tak jawab?...Ketahuilah olehmu ketika aku membaca ayat itu tadi, seluruh jin ifrit
telah menjawab bacaan ku itu dengan mengatakan: Kami para jin, mensyukuri nikmat Allah. Tapi kamu wahai sahabat, ketika itu
juga kamu boleh berdiam diri, tidak menyahut bacaan ku!"...Tuuu dia tuan-tuan, marahnya Nabi. Menangis sahabat bila kena
marah dengan Nabi. Sebab itu, bila kita dengar ada orang baca ayat tersebut, kita kena jawab, "Kami mensyukuri nikmat Mu
wahai Allah!"...Kalau dalam sembahyang, cukup sekadar jawab dalam hati. Jangan kita diam diri sebab semasa peristiwa tu
berlaku, Nabi cukup marah pada sahabat kerana mereka mendiamkan diri tak jawab sepatah pun apabila Nabi baca pada ayat tersebut...Jadi
pointnya di sini ialah jadi orang Islam pun sudah cukup nikmat. Kita patut mensyukuri dan ucap terimakasih pada Allah kerana
Dia pilih roh kita untuk masuk duduk dalam jasad orang Islam, lalu kita pun jadi orang Islam.
Dan dipenghujung
hadith 13 ini, kita boleh tengok macamana Nabi bagi warning kat Saidina Umar ra. Kata Nabi , "Kalaulah Musa masih hidup
lagi, dia pasti menjadi pengikut aku!"...Tuan-tuan, yang Nabi kata tu bukannya cik Musa kampung kita tu. Yang dimaksudkannya
ialah Nabi Musa as. Bukan calang-calang orang Nabi Musa ni tuan-tuan. Dia bukan hanya seorang nabi, malah dia juga seorang
rasul. Bukan sikit anak perjuangan dia tuan-tuan. Bacalah Suratul Ma`idah, bacalah Suratul A`raaf, bacalah Surah Taahaa, bacalah
Hamiim Fusilat; ini semua cerita perjuangan Nabi Musa as. Tapi walau tara mana hebat sekali pun Nabi Musa tu, kalau ditakdirkan
dia hidup pada zaman Nabi saw, dia tak akan jadi Nabi. Nabi saw kata, "Dia akan menjadi pengikut aku."...Maknanya disini
ialah kita diperlihatkan ketinggian martabat Rasulullah saw sehingga tidak boleh disanggah oleh sesiapa pun, walaupun dia
nya seorang nabi seperti Musa as. Hebat Rasulullah saw ni tuan-tuan.
Dan memang pun dia
hebat sebab Allah jaga dia, sampai tahap tak boleh digangggu. Kalau tuan-tuan baca Surah al-Mujaadalah, tuan-tuan akan jumpa
apa yang saya kata tu. Pada ayat ke12 Allah Ta`ala menyatakan, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu mahu berbisik-bisik
(berbual-bual) dengan rasul (Muhammmad saw), maka hendaklah kamu mendahulukan berbisik-bisik itu dengan menghulurkan sedeqah..."...Pasai
apa turun ayat ini?...Ayat ini turun kerana nak menunjukkan kehebatan Rasulullah saw. Sebab sebelum ayat ini turun, ada sahabat
pi jumpa Nabi ikut suka hati dia saja. Dah la dia pi tak kira time, lepaih tu dia berborak tu pulak bukannya tentang masalah
ugama. Dia saja kerling bumbung rumah Nabi, "Ya Rasulullah! Awat tak tukaq lagi bumbung tu. Teruk dah tu!"...Dia dok
sembang kosong. Sembang pulak bukannya sat; yang Nabi nak berehat, yang Nabi ada anak-isteri. Jadi bila ada sahabat-sahabat
ni pi hanya nak sembang kosong, Allah marah. Tu yang turun ayat tadi tu. Lalu Allah pun buat undang-undang, siapa nak jumpa
Nabi, dia kena hulur sedeqah bagi kat fakir miskin dulu. Maknanya, orang yang betul-betul nak jumpa Nabi, dia kena bagi sedeqah.
Bila bagi sedeqah, sah orang yang nak jumpa Nabi tu mesti ada point. Kalau tak, masakan dia nak bagi sedeqah?...Nampak tak
tuan-tuan, Allah ta`ala jaga Nabi sampai tahap tu. Tapi dengan turunnya ayat tu jugak, ada puak-puak yang bersedih hati. Sapa
lagi kalau bukan orang-orang miskin seperti Saidina Ali. Mana dia nak cekau duit?...Dia buka posa dengan Fatimah pun makan
buah tamar sorang sebijik ja. Abu Hurairah lagi la sebab dia pernah pengsan 7 hari tak makan. Habih tu nak cari duit kat mana?...Bukannya
dia pengsan 7 hari tak bangun-bangun, bukan lagu tu. "Pengsan 7 hari tak makan" tu maknanya, dia lapar sampai pengsan. Kemudian
bila jaga dari pengsan, tengok takdak makanan lagi, dia jatuh pengsan lagi. Bangun besok pagi, tengok takdak makanan, pengsan
pulak lagi. Sampai 7 hari, jadi macam tu sekali. Punyalah lapar. Habih tu nak bagi duit macamana?...Duit takdak tapi hati
teringin nak jumpa Nabi. Sebab tu pakat menangis habih orang-orang miskin. Bila jadi lagu tu, akhirnya ayat tadi hukumnya
dinasakhkan hanya pada orang-orang miskin apabila turun ayat seterusnya, kata Allah, "Dah kalau kamu tak dapat duit sebab
Aku tahu kamu miskin, Aku ganti sedeqah tadi dengan 3 benda. Iaitulah kamu sembahyang, kamu keluar zakat dan kamu hendaklah
taat pada rasul..."...Inilah 3 benda yang ganti sedeqah bagi orang miskin yang takdak duit. Tapi hat kaya macam Abdurrahman
bin Auf, kalau dia nak jumpa Nabi, dia kena bagi sedeqah dulu kat fakir miskin, baru boleh jumpa Nabi. Tu dia ceritanya, Allah
tak bagi ganggu Nabi Dia sesuka hati. So, inilah kaedahnya kalau kita nak pi jumpa alim ulama` pun. Memang ulama` bukannya
Nabi, tapi depa pun manusia biasa macam kita juga, ada time nak rehat dengan anak-isteri. Kalau kita bagi salam 3x tak jawab,
paham-paham je lah, mungkin ustaz nak rehat tak mau diganggu. Begitulah juga dengan Nabi saw, ada masa boleh dijumpai, dan
boleh bual dengan dia. Dan ada masa kalau betul-betul urgent nak jumpa dengan dia, maka hulur dulu sedeqah. Takdak sedeqah,
jangan jumpa jangan kacau dia sebab dia nak berehat dan dia pun ada anak-isteri. Itulah kehebatan Nabi saw.
Dan Nabi saw inilah
yang bawa Islam yang serba nikmat ni. Bila sebut "nikmat", ust Halim Nasir kata dia teringat pula kata-kata Imam Hasan al-Basri.
Imam Hasan al-Basri ini adalah seorang tabi`in, yakni yang lahir selepas Nabi saw wafat. Beliau lahir pada tahun 21 Hijrah
di kota Basra, Iraq, dan nama sebenarnya ialah Abu Said Hasan bin Yasar al-Basri. Seangkatan dengan dia ialah seperti Malik
bin Dinar dan Rabi`atul Adawiyah. Okay sekarang kita tengok apa ucapan Imam Hasan al-Basri dalam nak mencari kemanisan beramal
dalam Islam?...Sebenarnya dalam Islam ini, setiap ibadahnya adalah nikmat belaka. Tapi dalam banyak-banyak amalan tu, Imam
Hasan al-Basri hanya fokus pada 3 sahaja. Maknanya kalau iman kita okay, 3 amalan yang kita buat ni terasa sedap. Tapi kalau
kita masih tak rasa manisnya bila buat 3 amalan ni, kata Imam Hasan al-Basri, "Ketahuilah Allah masih tutup "pintu" kenikmatan
itu untuk kamu!"...Okay sekarang kita tengok 3 amalan tu. Yang pertamanya ialah ketika kita sujud. Mari kita muhasabah.
Tuan-tuan rasa sedap tak bila sujud time sembahyang?...Terasa tak sikap perhambaan dan hinanya kita bila sujud?...Sebab bila
sujud, kita menjatuhkan wajah yang mulia. Nak tau wajah kita mulia tak mulia, cuba pi mahkamah. Cuba tengok reaksi orang salah
yang nak bawa masuk ke mahkamah ketika cameraman sampai?...Ada yang tutup muka dengan paper. Ada yang tutup dengan baju. Kadang-kadang
kita tengok, dia tutup lens camera tu ngan tangan dia. Pasai apa jadi lagu tu?...Yang mencuri/merogol semua ni bukannya muka,
anggota lain yang lakukan, tapi pasai apa depa tutup muka?...Sebab di wajahlah terletaknya kemuliaan. Okay sekarang cuba bayang
kita letakkan wajah mulia kita itu ke tanah yang kotor, yang orang pijak, yang orang buang najis?...Terasa hina, betoi tak
tuan-tuan?...Memang pun tanah itu lambang kehinaan. Sebab itu kita yang Allah buat daripada tanah ni, kalau sombong, Allah
lempar dalam neraka. Dan bila sebut "kita dibuat daripada tanah", ada sebuah hadith sahih menyebut bahwa di mana kita dikuburkan,
maka di situlah dulu Allah ambik tanah tu untuk buat kita. Maknanya, katalah kita lahir di Penang, tapi mati di bumi Iraq
(mati syahid lawan Amerika la kot), maka tanah di Iraq itulah yang Allah ambik masa Dia nak buat kita. Sebab itu, orang tak
tau di mana dia akan di tanam. Cerita ni ada hadithnya...Okay berbalik kita cerita sujud tadi. Walaupun tanah itu lambang
kehinaan, tapi sekiranya sujud kita itu terasa sedap, kira "A" la tu. Tapi kalau sujud tak terasa sedap, rasa boring, tok
imam sujud lama sikit, dia komplen hantaq surat layang; maknanya iman orang macam ni ada sikit problem la tuan-tuan. Cumanya,
tok imam kena la fakih. Sujudnya jangan la terlampau lama sangat dalam sembahyang berjemaah. Sebab Saidina Umar al-Khatab
pernah tegur sahabat dia yang buat lagu tu bila jadi imam. Bukan apa, takut dia jadi riak. Dia kata kat sahabat tu, "Kalau
nak sujud lama-lama, sembahyang sunat di rumah, takpa. Orang tak tengok. Allah saja yang tau. Time tu hang bantailah berapa
lama hang nak sujud. Sampai bengkak kepala pun takpa."...Dan bila cerita pasai sujud ni, ada satu hadith Rasulullah saw
mengajar sahabat cara sujud yang betul sebagai syarat sah sujud. Bila Ibn Abbas tanya, "Selain dahi, apa lagi nak kena
cecah ke lantai wahai Rasulullah?"...Lalu Nabi saw tunjuk hidung. Sebab itu, orang yang sujud dalam sembahyang kalau hidung
dia tak cecah lantai, maka sujudnya tak sah dan sembahyang dia juga tidak sah. Tak kira, hang hidung kemek ka, hang hidung
mancung ka, semua kena cecah. Kecualilah orang yang takdak hidung. Boleh jadi baru lepaih operation apa ka. Jadi dia tak payah
la cecah sebab dia dah takdak hidung.
Yang keduanya ialah
terasa sedap bila membaca al-Quran. Bila sebut baca Quran ni, teringat saya kata-kata Suffian ath-Thauri rahimallahu ta`ala.
Beliau pernah berkata, "Antara yang termasuk dalam kezaliman ialah apabila kamu membaca Quran setiap hari tapi tak sampai
pun 100 ayat."...Tuu dia aih!...Bukan kata tak buat hukum Allah saja yang zalim, baca Quran sehari tak cukup 100 ayat
pun dikira sebagai zalim juga. Kita dok ingat satu `ain ke satu `ain kira dah alright pasai Allah kata dalam Quran, "Bacalah
mana-mana yang mudah daripada Quran"...Rupa-rupanya hat mudah tu Suffian ath-Thauri kata, kena baca 100 ayat...Habih macamana
kita nak buat tuan-tuan?...Agak-agak, muka macam saya, muka macam tuan-tuan, boleh pulun 100 ayat sekali gus ka?...Mau kena
pulak Suratul Maidah yang satu ayatnya sampai setengah mukasurat, atau al-Baqarah yang satu ayatnya sampai suku mukasurat,
kalau pulun juga boleh juling bijik mata tuan-tuan oiii. Mau tak mau, kita kena divide 100 ayat tu kepada 5, sebab kita kan
ada 5 waktu solat sehari semalam?...Lepaih Subuh, baca 20 ayat. Lepaih Zohor, baca 20 ayat. Lepaih Asar, tambah lagi 20 ayat.
Boleh tak dapat 100 ayat bila lengkap 5 waktu?...Boleh tuan-tuan kalau kita cuba. Sehingga ada ulama` yang lain kata, "Barang
siapa yang baca ayat-ayat Quran sehari tak sampai 10 ayat, maka dia termasuk dalam golongan ghofilin (lalai)."...Oooo!
Kes berat ni tuan-tuan. Sebab tu, kita kena usaha jugak cari jalan sampai boleh baca 100 ayat sehari...Okay, bila kita baca
Quran tu, terasa tak sedapnya?...Rasa seronok tak?...Ataupun bila buka saja Quran, dan-dan rasa mengantuk, rasa boring?...Kalau
tak rasa jugak sedap, Imam Hasan al-Basri kata, "Carilah kerana waktu ini Allah masih tutup pintu itu untuk kamu."
Dan amalan yang ke3
yang kita kena rasa manis ialah amalan berzikir (zikrullah). Sebenarnya amalan berzikir ni dia tak perlu banyak. Kalau kita
rajin mengaji, kita akan tahu, zikir hat lagu mana yang hanya baca 2-3 kali saja tapi Allah bagi ganjarannya seluas langit
dan bumi. Contohnya sapa lagi kalau bukan Rasulullah saw. Satu hari tu selepas sembahyang Subuh, Nabi saw pun balik ke rumah.
Bila dia balik, dia tengok isterinya Juwairiyah radiallahuanha dok tengah asyik berwirid. Nabi pun tak kata apa. Dia pun tukaq
pakaian dan dia keluar atas urusan pemerintahan. Bila dia keluar, sekitar jam 10 pagi Nabi akan balik semula. Biasalah, breaktime.
Tapi waktu Nabi balik tu, Nabi tengok isterinya Juwairiyah masih lagi sedang berwirid. Maknanya daripada lepas Subuh tadi,
sampailah nak pukoi 10 pagi, tak henti-henti Juwairiyah berwirid. Lalu Nabi saw pun tegur isterinya. Nabi saw tanya, "Wahai
Juwairiyah, adakah kamu wirid sejak Subuh tadi?"...Juwairiyah kata, "Ya Rasulullah."...Nabi pun kata, "Ketahuilah
wahai isteriku, ketika aku keluar lepas Subuh tadi, aku hanya wirid 3x saja. Tapi Allah bagi kat aku pahala sebanyak langit
dan bumi."...Tuan-tuan nak tau ka apa wirid tu?...Kalau nak tau, tuan-tuan boleh buka risalah al-Ma`thurat. Wiridnya ialah
"Subhanallahi wa bihamdihi wa `adada khalqihi wa ridha nafsihi wa zinata `arsyihi wa mida dakalimaatih" (ulang 3x).
Wirid ni cukup bagus untuk orang zaman sekarang yang sibuk dengan pelbagai urusan. Katalah lepas sembahyang Zohor takdan nak
Subhanallah 33x, cukup tuan-tuan pulun wirid tadi 3x, InsyaAllah tuan-tuan boleh dapat pahala seluas langit dan bumi. Maknanya
dalam berzikir pun kita kena reti.
Okay sekarang mari
kita muhasabah. Dalam kita selalu dok berzikir/berwirid tu, ada dak mai rasa syok?...Ketika berwirid tu, kita kenang dak Allah
itu Maha Suci Yang Bersih daripada Segala Kecacatan?...Dalam kitab Hikam, Ibnu Atto`illah rahimmallahu ta`ala menyebut bahwa
apabila lidah kamu berzikir, maka hati hendaklah mengikutnya. Inilah cara berzikir yang betul. Jangan action saja pegang tasbih,
mulut kata Subhanallah, tapi mata melilau ushar anak dara lalu depan masjid. Lagu tu tak aci. Sepatutnya masa berzikir tu
kita kena berfikir. Masa kata Alhamdulillah tu, kita kena berfikir atas nikmat yang terlalu banyak yang Allah bagi. Dalam
masa orang lain dok tergantung kaki di hospital, hidung dijolok wire sampai bernafas pun tak selesa, kita pula dalam keadaan
sihat boleh mai masjid dengaq kuliyyah apa semua. Sebab itu, Nabi saw pernah berkata bahwa apabila kamu bangun daripada tidur,
dan mendapati tubuh kamu sihat dan keperluan kamu sekeluarga pula cukup, maka ketika itu kamu telah mendapat dunia dan segala
isinya...Begitulah juga bila sebut AllahuAkbar, ingatkanlah Kebesaran Allah. Semua ini mendatangkan keseronokan amal dalam
ibadah. Sebab itu, Imam Hasan al-Basri suruh kita cari juga-juga 3 benda ni. Kalau tak jumpa juga, terpaksalah kita belajar
mencarinya. Iaitulah sedap dalam sujud, sedap dalam baca Quran dan kesedapan di dalam zikrullah. Inilah dia ucapan Imam Hasan
al-Basri yang ust Halim cuba extract sikit daripada topik nikmat dalam Islam.
Dalam kewajipan kita
mengikuti agama Allah secara benar, jangan sekali-kali kita bertelingkah dengan Allah dan rasulNya. Cukuplah dengan dosa kita
yang terlalu banyak. Cukuplah dengan segala masalah yang Allah dah bagi kat kita. Tak habih pening lagi dengan Perang Iraq,
tiba-tiba mai Sars pulak dah. Sampai makbapak takut tak mau bagi anak-anak keluaq rumah pun ada. Tak pi sekolah pun takpa.
Takut nak keluar rumah tu nikmat ka?...Jadi tak nikmat dah. Amoi kat counter shopping kompleks pun lagu pakai macam nurse
kat hospital ja. Dengan facemasknya, nak cakap dengan kita pun lagu macam tak mau cakap ja. Jadi tak seronok dah. Macam-macam
jenih penyakit dok mai kat kita la ni. Semua ni kita kena muhasabah. Cuba sama-sama kita pikir, kat mana yang tak kena ni.
Apa Allah saja-saja nak takdir bagi susah kita ka?...Takdak aih! Malah Dia kata, "Aku (Allah) tak reti nak zalim kat kamu.
Sebenarnya kamulah yang menzalimi diri kamu sendiri!".
Kesimpulannya
1) Sahabat menjadikan
Rasulullah saw sebagai tempat rujukan. Apa cerita pun, depa tanya Nabi dulu. Depa tak pandai-pandai buat sebelum tanya Nabi.
Hendaknya begitulah kita pun. Apa hal pun, tengok Rasulullah. Nak jadi suami, tengok Rasulullah. Nak jadi pemimpin, pun kena
contohi Rasulullah. Apa gaya hidup pun, kita jangan putus dengan Rasulullah saw.
2) Jangan ragu-ragu
dalam ugama Allah, seperti ragunya yahudi/nasara. Mereka ini adalah bakal ke neraka kerana merekalah yang memindah Taurah
dan Injil.
3) Ikut Rasulullah
saw adalah satu benda yang amat penting, kerana kalau Nabi Musa hidup di zaman Nabi Muhammad saw pun, dia tak akan jadi Nabi
sebab dia kena menjadi pengikut Rasulullah saw. Bayangkan Nabi Musa pun kena jadi pengikut, inikan pula kita yang bukan nabi?
Allahu ta`ala `alam.
|